fbpx

Banjir: ATM terima peruntukan RM10 juta untuk pembelian bot getah dan lori 7 tan

bot tempur atm
Bot tempur yang digunakan ATM. Gambar oleh: OneNews

KERAJAAN meluluskan peruntukan sekali beri (one-off) sebanyak RM10 juta kepada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bagi pembelian aset dan persediaan menghadapi kejadian banjir pada masa akan datang.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, peruntukan tersebut diluluskan pada mesyuarat pasca-Kabinet pada Jumaat.

Beliau berkata, antara aset bakal dibeli adalah lori tujuh tan dan bot getah yang boleh memudahkan usaha menyelamat mangsa banjir terperangkap terutamanya di kawasan cetek.

Bot tempur yang digunakan ATM. Gambar oleh: OneNews

“Sekarang ini ATM menggunakan bot tempur dan kita memerlukan bot getah yang digunakan komando dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia.

“Ini adalah persediaan untuk kita menghadapi ancaman bukan tradisi dan melengkapkan aset dalam memberi bantuan menyelamat dalam situasi seperti ini (banjir),” katanya selepas melawat mangsa banjir di pusat pemindahan sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan Temenggong Abdul Rahman, di Segamat, pada Sabtu.

Mohamad berkata, pandangan daripada pihak berkaitan termasuk ATM akan diambil kira bagi mengenal pasti keperluan pembelian aset menghadapi banjir dan penempatan aset di beberapa negeri sering menghadapi banjir seperti Johor, Pahang, Terengganu, Kelantan dan Negeri Sembilan.

Beliau berkata, sebanyak 1,500 anggota tentera dikerah bagi membantu mangsa banjir di Johor melibatkan aset sebanyak 28 bot, lapan lori dan 25 trak termasuk pasukan Kor Perubatan ATM, Kor Jurutera Diraja ATM dan bahagian teknikal.

Susulan kejadian banjir teruk di Johor, pihaknya turut menghantar anggota tentera laut buat pertama kali bagi membantu mangsa banjir bersama agensi kerajaan lain, katanya.

Gambar oleh: Facebook Kementerian Kerja Raya Malaysia

Sementara itu, dalam perkembangan lain, Mohamad berkata, pembinaan jambatan bailey di jalan utama ke Felda Selancar, Rompin, Pahang, akan disiapkan dalam tempoh terdekat.

“Sekarang ini (jambatan) akan dipasang dan kor jurutera ATM bersedia membantu Jabatan Kerja Raya, dalam sehari dua boleh siap,” katanya.

Pada 1 Mac lepas, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan pembinaan jambatan bailey di jalan utama Felda Selancar, Rompin yang runtuh akibat limpahan air deras ekoran hujan lebat.

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved