Arkib Tag: 992

Porsche 911 Dakar 2023 – 3.2 inci lebih tinggi, dengan mod Rallye!

PORSCHE memperkenalkan variasi terbaharu 911, bukan convertible, bukan GT3 untuk litar, sebaliknya 911 Dakar. Ya, ia hadir lengkap dengan suspensi lebih tinggi dan tayar all-terrain dari kilang. Dan ia juga akan menjadi agak rare, hanya 2,500 unit akan dikeluarkan seluruh dunia.

Paling ketara anda dapat lihat pada 911 Dakar ini pastinya ride height padanya yang lebih tinggi, iaitu dua inci pertambahan dari biasa. Dan bila diperlukan, ia boleh dinaikkan sebanyak 1.2 inci lagi.

Ini bermakna 3.2 inci lebih tinggi dari Carrera biasa, menyamai ride height sebuah SUV. Ketinggian 3.2 inci ini boleh dipandu sehingga 169km/j, dan selepas itu ia akan turun semula ke ketinggian asal. Kelajuan maksima ialah 241km/j.

Kelajuan itu dihadkan secara elektronik kerana 911 Dakar ini datang dengan tayar all-terrain khas Pirelli Scorpion dengan profil 245/45/R19 di depan dan 295/40/R20 di belakang. Tayar ini mempunyai rating Z untuk kekerasan dan pemanduan di jalan biasa.

Untuk anda yang mahu lebih prestasi, tayar prestasi biasa atau tayar salji juga boleh digunakan.

Porsche 911 Dakar ini dipacu oleh enjin 3.0-liter flat-six twin-turbo dengan 473hp, dan kuasa disalurkan ke semua roda melalui kotak gear PDK dwi-klac 8-kelajuan.

Dengan bantuan Launch Control, 911 Dakar mampu memecut ke 96km/j dalam masa 3.2 saat.

Kereta ini juga mendapat dua mod tambahan iaitu Off-Road dan Rallye. Seperti pada namanya, mod Off-Road untuk permukaan kasar yang akan menaikkan ketinggian kenderaan ke tahap maksima, manakala Rallye untuk permukaan berpasir, dan kuasa akan dihantar lebih ke roda belakang untuk keseronokan.

Ciri standard lain termasuklah Porsche Dynamic Chassis Control, sistem stereng belakang, cagak enjin dari GT3, dan Rallye Launch Control khas untuk pecutan di permukaan off-road.

Terdapat spoiler di belakang, manakala hud depan adalah CFRP dari GT3. Anda juga boleh mendapatkan khemah bumbung dan bakul kargo.

Kelengkapan lain pada badannya termasuklah flared fender, beberapa komponen stainless steel, dan cangkuk tunda berwarna merah.

Kesemua pembeli 911 Dakar juga akan mendapat akses khas untuk membeli jam Porsche Design Dakar istimewa.

Porsche 911 GT3 RS baharu dibina semata-mata untuk prestasi

DALAM hierarki Porsche, mana-mana model yang memakai lencana ‘GT’ adalah yang paling hardcore dan berprestasi dalam barisannya. Contohnya 911 GT3 RS yang baru sahaja diperkenalkan ini.

Untuk model generasi 992, 911 GT3 RS tampil dengan pelbagai penambahbaikan yang diinspirasikan dari sukan permotoran termasuk kit aerodinamik dari Formula 1, komponen suspensi baharu, casis yang dipertingkatkan serta enjin yang lebih berkuasa.

Mari kita mulakan dengan penampilannya dahulu. Jika dibandingkan dengan 911 GT3, versi RS ini kelihatan lebih serius dan mengancam terima kasih kepada kit badannya yang agresif. Ia merangkumi splitter depan, skirt sisi, sirip fender dan sudah tentu, spoiler belakang.

Menurut Porsche, spoiler berkenaan mempunyai Drag Reduction System (DRS) yang boleh diaktifkan menerusi butang pada stereng. Selain membolehkan kereta memecut lebih laju, ia juga didatangkan dengan fungsi airbrake sebagai sokongan kepada brek cakera ketika membrek pada kelajuan tinggi.

Apa yang lebih menarik, spoiler 911 GT3 RS ini lebih tinggi berbanding bumbungnya dan ini merupakan yang pertama bagi model produksi Porsche!

Model baharu ini mempunyai ukuran trek (jarak antara titik tengah roda kiri dan kanan) yang lebih lebar sebanyak 29 mm berbanding GT3. Para jurutera Porsche turut memberikan profil berbentuk teardrop pada komponen double-wishbone depan bagi meningkatkan downforce sebanyak 40 kg pada kelajuan maksimum.

Selain itu, kadar spring pada sistem multi-link belakang telah diperbaharui, manakala sistem bantuan pemandu dan stereng gandar belakang mempunyai tetapan yang lebih dinamik.

911 GT3 RS dikuasakan oleh enjin naturally-aspirated 4.0-liter enam silinder yang sama seperti GT3, namun dengan camshaft dan cam profile baharu, kuasanya meningkatkan dari 510 PS kepada 525 PS. Transmisi PDK tujuh kelajuan yang memacu roda belakang membolehkan ia memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam 3.2 saat sebelum mencapai kelajuan maksimum 296 km/j.

Menerusi penggunaan bahan-bahan ringan seperti CFRP pada pintu, sayap depan, bumbung, bonet serta tempat duduk bucket antara lainnya, berat jentera ini hanya 1,450 kg walaupun mempunyai komponen-komponen yang lebih besar.

Pelanggan boleh menaik taraf 911 GT3 RS menerusi pakej Clubsport secara percuma. Pakej ini didatangkan dengan rollover bar, tali pinggang keledar enam poin dan juga pemadam api.

Untuk mereka yang lebih serius dengan prestasi, Porsche turut menawarkan pakej Weissach yang merangkumi kemasan gentian karbon, lebih banyak komponen CFRP dan teknologi magnet pada paddle shifter. Pelanggan yang membeli pakej ini juga boleh memilih untuk mendapatkan rim magnesium yang 8 kg lebih ringan berbanding rim standard.

Porsche 911 Sport Classic – Moden dengan sentuhan klasik, 1,250 unit sahaja seluruh dunia

PORSCHE 911 Sport Classic telah dijelmakan semula untuk generasi 911 992 baharu, dan ia salah satu dari empat barangan koleksi oleh Heritage Design.

Sebanyak 1,250 unit 911 edisi terhad ini akan dihasilkan oleh Porsche Exclusive Manufaktur, menampilkan elemen retro dari 1960an dan 1970an.

Sama seperti model sebelumnya iaitu dari generasi 997 yang dikeluarkan pada 2009, kemunculan semula Sport Classic ini diinspirasikan dari 911 asal (1964 – 1973) dan 911 Carrera RS 2.7 1972.

Ciri luaran yang menjadi identiti model ini adalah badan lebar dari 911 Turbo, spoiler ‘ducktail’ dari Carrera RS 2.7 dan bumbung ‘double bubble’ yang membezakannya dari varian 911 lain.

Sama seperti 911 (997) Sport Classic, generasi terbaharu ini juga hadir dengan warna Sport Grey Metallic. Menurut Vice President Style Porsche, Michael Mauer, “Kelabu tidak pernah membosankan, agak menonjol dan sentiasa cool.”

Jika anda tidak berminat dengan warna ini, 911 Sport Classic juga boleh didapati dengan warna Black, Agate Grey Metallic, Gentian Blue Metallic, atau Paint to Sample. Pelengkap kepada warna badan ini adalah dua garisan yang dicat pada bonet, bumbung dan spoiler belakang.

Di bahagian dalam pula, corak Pepita boleh didapati pada panel pintu dan tempat duduk. Sementara itu, balutan kulit Black/Classic Cognac memberikan kontra yang elegan.

Unit janaan kuasanya agak unik, ia dikuasakan oleh enjin 3.7-liter flat-six twin-turbo yang menjana 550hp, dihantar ke roda belakang.

Enjin ini digandingkan dengan kotak gear manual 7-kelajuan, dan 911 Sport Classic menjadi model 911 manual paling berkuasa setakat ini.

Tiada fungsi auto blip pada kotak gear ini, dan enjin juga dipadankan dengan sistem sport ekzos khas untuk bunyi yang lebih merdu.

Untuk suspensi pula, 911 Sport Classic mendapat sistem suspensi dari 911 Turbo dan GTS, bersama Porsche Active Suspension Management (PASM) dan ianya juga 10mm lebih rendah.

Porsche 911 GT3 (992) 2021 kini di Malaysia – 510hp, manual 6-kelajuan, dari RM1.76 juta

JENTERA lumba untuk jalanan terkini iaitu Porsche 911 GT3 2021 telah tiba di Malaysia secara rasmi, dilancarkan di lokasi paling sesuai iaitu Litar Antarabangsa Sepang. 911 GT3 merupakan model paling sporti setakat ini untuk generasi 992 dan ditawarkan pada harga bermula RM1,766,244.

Ia mungkin tidak nampak istimewa pada orang biasa, tapi 911 GT3 merupakan jentera idaman bagi peminat Porsche dan mereka yang gemar memandu. Nadi kepada 911 GT3 ini ialah enjin 4.0-liter naturally-aspirated dengan output 510hp pada 8,400rpm dan 470Nm tork pada 6,100rpm.

Enjin dari jentera lumba GT3 Cup ini juga mampu rev sehingga 9,000rpm dan menampilkan individual throttle body serta solid valve lifter khas yang tidak perlu diselenggara.

Porsche 911 GT3 ini hadir dengan kotak gear manual 6-kelajuan sebagai standard (syukur!). Tetapi ia juga boleh dipilih dengan dwi-klac automatik PDK 7-kelajuan tanpa sebarang kos.

Pecutan 0-100km/j boleh dibuat dalam 3.4 saat. Tetapi prestasi jalan lurus bukanlah keutamaan GT3, sebaliknya di litar. Ia mampu mencatat masa pusingan di litar Nurburgring di bawah 7 minit. Lebih tepat lagi, 6 minit 59.927.

Semua ini dapat dicapai bukan sahaja dari enjin yang lebih berkuasa, tetapi juga aerodinamik badan yang ditala hasil dari pengalaman Porsche dalam dunia perlumbaan. Lebih banyak downforce dapat dijana tanpa menambah nilai drag coefficient.

Di bahagian casis, Porsche 911 GT3 dilengkapi dengan suspensi double-wishbone di depan buat kali pertama bagi 911.

Dari segi penampilan pula, GT3 baharu ini menampilkan rekaan muka depan dengan ruang kemasukan udara besar. Segala lip dan diffuser semuanya boleh dilaras mengikut keperluan di litar.

Perbezaan terbesar ialah spoiler belakang jenis leher angsa (swan neck) yang besar, sepasang ekzos di bahagian tengah bampar, dan diffuser di bahagian kiri kanan.

Kebanyakan panel badan seperti hud, spoiler dan sayap belakang semuanya dibuat dari campuran gentian karbon dan plastik untuk menjimatkan berat. Cermin juga dibina dari bahan ringan.

911 GT3 ini dipasangkan dengan rim 20-inci di depan, dan 21-inci di belakang. Rim ini lebih ringan dari GT3 sebelumnya, dan anda juga boleh memasang tayar Michelin Pilot Sport Cup 2 R yang lebih agresif dan mencengkam, tetapi tayar ini masih boleh dipandu di jalan raya.

Brek pula adalah 408mm di depan, iaitu 28mm lebih besar dari sebelum ini. Terdapat juga pilihan PCCB (Porsche Ceramic Composite Brake) bersaiz 410mm untuk prestasi brek lebih konsisten.

Jika anda tidak mahu gaya dengan segala spoiler dan sirip aerodinamik, Sime Darby Auto Performance (SDAP) juga menawarkan pakej 911 GT3 Touring untuk rupa kurang ‘menunjuk’.

Bahagian dalaman GT3 juga dinaiktaraf. Ia kini mendapat butang mod pemanduan di stereng, dan tombol gearnya menggunakan seperti tombol manual walaupun kereta itu menggunakan transmisi PDK. Ini berlainan dari 911 Carrera biasa yang menggunakan tombol kecil.

Ciri baharu ialah paparan litar. Dengan satu sentuhan butang, ia akan mengalihkan maklumat-maklumat kurang penting ke kiri dan kanan, dan hanya memfokuskan paparan rev di tengah-tengah.

Dan hanya maklumat penting seperti tekanan tayar, tekanan minyak, suhu minyak, dan suhu air akan diketengahkan. Ia juga akan memaparkan panduan penukaran gear dalam bentuk bar berwarna untuk penukaran gear tepat, satu ciri dari jentera lumba.

Porsche 911 Targa 4S Heritage Design Edition kereta sports moden dengan gaya retro, 450hp, RM1.7 juta

PORSCHE 911 dikenali sebagai sebuah kereta sports yang membawakan imej dan elemen klasik. Dengan bentuk tidak berubah sejak lebih 50 tahun, ia mengekalkan resepi asal sambil ditambahbaik saban tahun.

Tetapi terdapat satu edisi 911 dengan gaya yang lebih klasik dan retro, iaitu Heritage Design Edition. Untuk 2021, edisi ini diberikan pada 911 Targa 4S, dengan aksesori dan teknologi dari Porsche Exclusive Manufaktur.

Pakej yang diberikan pada Porsche 911 Heritage Design Edition adalah:

  • Balutan kulit dwi-tona dengan warna Bordeaux Red dan Atacama Beige
  • Bahagian tengah tempat duduk dan panel pintu dengan kemasan corduroy
  • Kluster instrumen Heritage Design
  • Jam Sport Chrono Heritage Design
  • Tulisan Historical Porsche pada perehat kepala
  • Logo “Porsche Exclusive Manufaktur” pada penutup ruang simpanan
  • Tali pinggang keledar dengan warna Atacama Beige
  • Lencana 911 berwarna perak
  • Pemijak tepi aluminium dengan logo 911

Porsche 911 Targa 4S Heritage Design Edition dibawakan secara rasmi ke Malaysia oleh Sime Darby Auto Performance (SDAP) dengan harga jualan RM1,677,409 (termasuk pengecualian cukai SST).

Dari segi mekanikal, Heritage Design Edition ini masih diasaskan dari 911 Targa 4S yang bermakna ia dikuasakan oleh enjin boxer 3.0-liter twin-turbo yang menjana 450hp dan 460Nm tork.

Enjin ini dipadankan dengan kotak gear dwi-klac PDK 8-kelajuan dan pacuan semua-roda, dan membolehkan 911 ini memecut ke 100km/j dalam 3.6 saat sahaja. Kelajuan maksima pula ialah 304km/j.

Selain dari warna Cherry Metallic dengan gaya 50an, edisi ini boleh dipilih dengan tiga warna lain iaitu Black, Guards Red, GT Silver Metallic dan satu warna istimewa Crayon. Sebagai tambahan, anda juga boleh kustom kereta ini mengikut citarasa untuk menjadikannya lebih eksklusif.

Satu ciri khas pada edisi Heritage Design ini ialah grafik Spears pada bahagian depan, iaitu pelekat putih rekaan khas. Grafik ini hanya ditawarkan pada model-model terhad seperti 911 Speedster.

Memandangkan ini model Targa, terdapat bar unik di belakang kabin yang menjadi identitinya. Tetapi khas untuk Heritage Design Edition, bar ini dikemaskan dengan tulisan berwarna emas di belakangnya.

Ciri lain pada 911 ini termasuklah rim Carrera Exclusive Design berwarna hitam berkilat (atau pilihan satin Platinum) bersaiz 20- dan 21-inci, angkup brek berwarna hitam, lencana Porsche Heritage dan ekzos sports berwarna perak.