Vespa 946 10° Anniversario masuk pasaran Malaysia – tak sampai 20 unit, harga RM100k!

DIDI Group, pengedar rasmi jenama Vespa di Malaysia, telah melancarkan model edisi terhad Vespa 946 10° Anniversario ke pasaran tempatan.

Dihasilkan sempena Tahun Arnab mengikut kalendar zodiak Cina, model ini dijual pada harga RM99,900 tidak termasuk insurans. Hanya 1,000 unit dihasilkan untuk pasaran global dan untuk Malaysia, Didi Group dilaporkan membawa masuk kurang 20 unit.

Apa yang menarik tentang edisi 10° Anniversario? Selain berasaskan model 946 yang sememangnya diketahui sudah cukup istimewa, edisi ini tampil menonjol dengan grafik kartun arnab pada bahagian hadapan dan belakang.

Selain itu, ia didatangkan dalam skema warna hijau muda yang diserlahkan lagi dengan kemasan berwarna kelabu pada bahagian badan dan rim. Tempat duduk pula dibalut upholsteri kulit berwarna hitam berserta jahitan tangan.

Seperti versi standard, 946 10° Anniversario menggunakan rangka steelplate monocoque dengan pelbagai komponen aluminium rim, bar hendal, panel sisi, mudguard hadapan serta penyokong tempat duduk dan cermin.

Ia dikuasakan oleh enjin silinder tunggal sejukan udara bersesaran 155 cc yang mampu menghasilkan 12.7 hp pada 7,750 rpm dan 12.8 Nm pada 6,500 rpm.

Skuter bergaya ini didatangkan dengan rim aloi berukuran 12 inci dan menggunakan sistem brek yang terdiri daripada cakera berkembar 220 mm dan ABS dwi-saluran. Turut disertakan adalah sistem kawalan cengkaman ASR.

Tidak cukup dengan itu, lampu hadapan, belakang dan isyarat membelok semuanya LED, manakala panel instrumen dilengkapi dengan panel LCD pelbagai fungsi.

Vespa Primavera Color Vibe untuk yang terpaling havoc

SELAIN dari GTS 300, Didi Group juga melancarkan Vespa Primavera Color Vibe di acara sama. Color Vibe ini merupakan edisi istimewa dari rangkaian Vespa Primavera 150.

Seperti pada namanya, ia menampilkan ekspresi warna yang cukup havoc (penulis terikut tema isu semasa). Baik, mungkin penerangan paling sesuai untuk Color Vibe ini adalah vibrant atau meriah.

Dua pilihan warna boleh anda pilih, iaitu Orange Tomato atau Blue Audace, tetapi kedua-duanya ibarat disulami secara kontra. Warna oren disulami biru, dan biru disulami oren. Jangan pening, anda lihat sahaja gambar-gambar yang kami kongsikan ini.

Kemudian, terdapat juga dekal grafik khas dengan rekaan retro, menyerlahkan lagi konsep dan karakter skuter ini.

Vespa Primavera Color Vibe dipacu oleh enjin 154.8cc yang berkuasa 12.9hp pada 7,750rpm dan 12.8Nm tork pada 6,500rpm.

Enjin silinder tunggal itu juga merupakan unit empat-lejang, tiga injap dengan suntikan elektronik PFI serta menggunakan sejukan udara.

Dari segi casis, Primavera Color Vibe dilengkapi lengan tunggal dan penyerap hentak hidraulik di depan dan penyerap hentak boleh-laras di belakang. Brek pula adalah cakera 200mm di depan dengan ABS, dan cakera 140mm mekanikal di balakang.

Untuk tayar, Vespa Primavera 150 mendapat profil 110/70 R12 dan 120/70 R12 masing-masing untuk depan dan belakang. Vespa Primavera 150 Color Vibe dijual pada harga bermula RM22,300.

Vespa GTS 300 tiba di Malaysia dengan pilihan SuperSport dan SuperTech, dari RM33k

DIDI Group hari ini melancarkan Vespa GTS 300 terbaharu. Ia ditawarkan dengan dua ‘perisa’ iaitu GTS SuperSport (RM32,900) dan GTS SuperTech (RM36,900).

Setiap varian Vespa GTS baharu ini boleh dibezakan melalui skema warna badan yang unik. GTS SuperSport mendapat kemasan hitam pada badan serta rim berwarna graphite.

Penutup hendal diberikan warna seperti karbon dan oren yang agresif, sementara tempat duduk hitam juga mendapat jahitan oren.

Keseluruhan Vespa GTS SuperSport hadir dengan empat pilihan warna: Orange Tramonto AX, White Innocenza BR, Black Opaco Matt NS, dan Green Olive Matt V06.

Sementara itu, GTS SuperTech pula boleh dibezakan dari kemasan krom satin, rim berwarna graphite dengan kemasan berlian, dan grafik badan Grey Quarzo Matt G27 dan Blue Deep D13.

Terdapat juga elemen kontra pada penutup hendal dan spring depan yang diwarnakan dengan hijau neon. Tempat duduk juga diberikan warna seperti “hi-tech”, menurut Vespa.

Kedua-dua varian GTS dipacu oleh enjin 278cc silinder-tunggal, empat injap dan suntikan elektronik. Enjin ini mempunyai output 23.8hp dan 26Nm tork yang disalurkan ke roda belakang melalui transmisi CVT.

Enjin ini juga dilengkapi sistem sejukan cecair, penghidup elektrik, dan klac automatik dengan penyerap gegaran.

Vespa GTS 300 menggunakan suspensi lengan tunggal di depan dengan spring gegelung dan penyerap hentak tunggal, serta penyerap hentak hidraulik berkembar di belakang dengan pelarasan preload.

Tayar bersaiz 120/70 R12 di depan, dan 130/70 R12 di belakang. Untuk brek pula, GTS 300 didatangkan dengan cakera 220mm di depan dan belakang, lengkap dengan ABS.

Vespa edisi Justin Bieber serba putih dengan aksesori edisi terhad – RM28,000

VESPA sering menjalankan kolaborasi dan kerjasama dengan pelbagai selebriti, artis dan pereka seluruh dunia. Kali ini, mereka berkolaborasi pula dengan penyanyi pop Justin Bieber.

Model Vespa ini mendapat sentuhan dan idea yang diinspirasi dari Bieber sendiri. Penyanyi itu juga dikhabarkan memang meminati Vespa.

“Kali pertama saya menunggang Vespa adalah semasa di Eropah, sama ada di London atau Paris. Saya teringat melihat Vespa dan berkata kepada diri sendiri, saya mahu menunggangnya,” kata Bieber.

“Dan saya memang menikmatinya. Dengan angin di rambut saya, kebebasan, ia memang seronok,” tambahnya.

Vespa x Justin Bieber ini diasaskan dari model Sprint, dengan warna serba putih dari tempat duduk hingga bilah rimnya.

Logo dan grafik api yang dilukis di sisi badan pula berwarna putih sedikit berbeza, dan Bieber mahukan ia nampak kreatif, meriah dan menyerlah.

Vespa ini dikuasakan oleh enjin 150cc dengan teknologi dan piawaian terkini. Ia turut dilengkapi dengan lampu depan LED petak, paparan TFT moden, sambungan telefon pintar, dan rim 12-inci yang sepadan.

Setiap pembelian Vespa Justin Bieber ini juga akan hadir dengan koleksi aksesori edisi terhad iaitu sebuah beg, sepasang sarung tangan, dan topi keledar putih dengan grafik api.

Vespa Justin Bieber ini dijual pada harga RM28,000 termasuk dengan flyscreen depan, dan topbox putih dengan perehat belakang.

Vespa 3S Skudai kini dibuka, bakal tingkatkan rangkaian pengedaran di Malaysia

Didi Group yang merupakan pengedar rasmi jenama Vespa di Malaysia telah mengumumkan pembukaan bilik pameran baharu Vespa di Skudai, Johor.

Pembukaan Ng Brothers Motor (Vespa Skudai) ini merupakan bilik pameran Vespa 3S yang pertama bagi wilayah Johor Bahru, Johor.

Encik Rewi Hamid Bugo, Pengerusi Didi Resources Sdn Bhd berkata pembukaan bilik pameran Vespa Skudai ini akan meningkatkan lagi rangkaian pengedaran jenama Vespa di Malaysia.

Bagi Pengurus Besar Ng Brothers Motor (Vespa Skudai), Encik Ng Terng Kang pula berkata majlis ini bukan sahaja untuk meraikan pembukaan rasmi Vespa Skudai, bahkan ia adalah untuk meraikan komuniti Vespa di Johor.

“Kami telah berkerjasama dengan Modern Vespa Club Johor dengan mengumpulkan 150 pemilik Vespa klasik dan juga moden bagi meraikan MoveFest 3.0,” tambahnya lagi.

Ng Brothers Motor (Vespa Skudai) merupakan pengedar 3S rasmi Didi Group di Johor yang menawarkan pelbagai model bagi memenuhi keperluan serta kehendak pelanggan Vespa di Johor terutamanya di Skudai dan kawasan sekitar.

Orang ramai yang berminat boleh berkunjung ke Vespa Skudai yang terletak di 33, Jalan Pakis 1, Taman Sri Pulai, Johor Bahru.

Vespa GTS 300 dan Primavera edisi khas sempena ulangtahun ke-75, harga dari RM23,500

DIDI Resources Sdn Bhd, pengedar rasmi Vespa di Malaysia memperkenalkan dua model edisi terhad iaitu GTS 300 75th Anniversary dan Primavera 75th Anniversary. Seperti pada namanya, kedua-dua model ini diperkenalkan sempena menyambut ulangtahun Vespa yang ke-75.

Apa yang berbeza? Pertama, Vespa ulangtahun ke-75 ini diberikan warna kuning metalik yang dinamakan Giallo 75th, yang nampak hampir seperti keemasan. Warna ini dibangunkan khas sebagai tafsiran moden untuk tema retro 1940an.

Seterusnya, model Vespa 75th Anniversary ini dilengkapi panel tepi dan mudguard depan dengan nombor 75, tempat duduk kulit Nubuck khas, rim berwarna kelabu dengan machine finish, dan pelekat grafik pada mudguard, keliling panel instrumen, pelindung ekzos, cermin sisi dan – untuk GTS sahaja – pada pemijak kaki penumpang.

Satu lagi ciri unik 75th Anniversary ialah rak barangan di belakang yang diberikan warna krom, ia boleh menempatkan beg kulit bulat yang nampak seperti tempat tayar simpanan. Beg kulit Nubuck ini juga diberikan tali dan klip khas dengan mekanisma khas untuk memudahkannya dipasang dan ditanggalkan.

Walaupun hadir dengan gaya retro, Vespa ini tetap mendapat teknologi moden. Ini termasuklah paparan TFT berwarna bersaiz 4.3-inci serta panel instrumen digital dengan sambungan telefon pintar.

Untuk lebih eksklusif, setiap pembelian edisi 75th Anniversary, anda akan mendapat Welcome Kit yang mengandungi plat Vespa besi vintaj, Buku Pemilik khas, dan lapan poskad dengan imej dari sejarah hampir 80 tahun jenama Itali itu.

Harga jualan Vespa 75th Anniversary adalah seperti berikut:

Vespa Primavera 75th Anniversary: RM23,500
Vespa GTS 300 75th Anniversary: RM38,900

‘Santai’ cara baharu dengan Primavera Pic Nic 2021

PRIMAVERA Pic Nic 2021 menjadi model terbaharu taruhan syarikat pengeluar Vespa dalam memenuhi permintaan pasaran negara ini.

Mengekalkan tema klasik dan moden glamour, model kali ini ditampilkan lebih ‘santai’ sesuai untuk semua peringkat umur.

EnGear berpeluang melihat lebih dekat model Vespa ini dalam satu majlis pelancaran diadakan di Shah Alam, Selangor pada semalam.

Apa tunggu lagi? Jom check it out!

Primavera Pic Nic 2021

Sesuai dengan namanya, Primavera Pic Nic 2021 memiliki reka bentuk ‘santai’ dengan dilengkapi tali kulit berwarna kuning air atau beige pada bahagian rak depan dan belakang.

Walaupun mempunyai rekaan ‘santai’, jangan sesekali memandang rendah kuasa enjin yang terdapat pada model ini.

Memiliki enjin i-GET dengan satu silinder 150cc, ia mampu menghasilkan 9.5kW pada 7,750 rpm dan juga 12.8Nm pada 6,500 rpm.

Selain itu, Primavera Pic Nic 2021 turut dipadankan dengan suntikan elektronik serta injap tiga hala (3 valve distribution) termasuk sensor barometric bagi menghasilkan tahap pembakaran optimum dalam apa jua keadaan.

Vespa Primavera Pic Nic 2021 walau kelihatan 'cute' tetapi jangan disangkal keupayaan enjinnya.

Aksesori

Pelanggan bakal menerima selimut khas perkelahan selain bakul rotan untuk diletakkan di bahagian belakang motosikal.

Pada masa sama, pelanggan juga menerima beg penyejuk yang boleh ditempatkan dalam bakul rotan tersebut.

Antara aksesori lain yang bakal diperoleh pelanggan termasuk tumbler khas Vespa, topi fedora dan beg tote berwarna putih atau kelabu.

Vespa Primavera Pic Nic 2021 dijual pada harga RM19,900 dengan pilihan tiga varian warna iaitu White Innocenza, Green Relax serta Grey Materia.