Range Rover SV Ultra 2026: SUV British dengan kemewahan aras tinggi

Range Rover SV Ultra 2026 diperkenalkan sebagai kemuncak tertinggi dalam hierarki kemewahan dan eksklusiviti jenama Britain tersebut.

Model ini menggabungkan kemasan paling teliti dengan penggunaan teknologi audio pertama di dunia untuk meningkatkan lagi keselesaan penumpang.

Langkah ini dilihat sebagai usaha Range Rover untuk memperkukuh hubungan antara kesejahteraan dan pengalaman mendengar di dalam kabin.

Dengan pelbagai kemasan eksklusif, ia kini menetapkan tanda aras baharu bagi segmen SUV mewah di peringkat global.

Peminat jenama ini pastinya akan menghargai perincian teliti yang dibawakan.

Sebelum ini, Range Rover SV standard sudah pun menerima pujian tinggi, namun varian Ultra ini membawa segalanya ke tahap yang lebih hebat.

Range Rover SV Ultra Eksklusif dengan Titan Silver

Luaran SV Ultra ditawarkan dalam pelbagai pilihan warna dengan rona Titan Silver eksklusif untuk varian ini sahaja.

Formulasi cat baharu ini menggunakan kepingan aluminium halus dan teknologi pigmen canggih bagi menghasilkan impak visual yang luar biasa.

Permukaan badan kini kelihatan sangat reflektif yang menyerupai logam cecair dengan kualiti seperti cermin.

Perincian luaran diperkemas lagi dengan riasn Satin Platinum Atlas dan Silver Chrome pada bahagian gril serta grafik sisi.

Bagi melengkapkan penampilan, SUV mewah ini dilengkapi rim aloi 23 inci yang menampilkan riasan Satin Platinum.

Penutup hab Range Rover baharu turut diperkenalkan untuk sentuhan akhir yang lebih segar dan premium.

Ruang Dalaman dan Bahan Bebas Kulit

SV Ultra hadir dengan ruang dalaman bebas kulit iaitu Ultrafabrics™ bersama gabungan warna dua tona iaitu Orchid White dan Cinder Grey.

Kelembutan bahan ini membolehkan corak buatan laser yang halus dan liang rumit dihasilkan pada ruang dalaman.

Buat pertama kali, tempat duduk menampilkan corak mozek buatan laser yang rumit pada bahagian atas.

Corak ini diteruskan sehingga ke bahagian tepi dan penyandar belakang untuk permukaan yang lebih terperinci dan kohesif.

Penggunaan venir palma rotan (rattan palm veneer) baharu pula memberikan tekstur semula jadi melalui struktur liang terbuka yang unik.

Dengan teknik yang dipatenkan, urat pada venir ini ditingkatkan dengan rona Orchid White untuk menyerlahkan bentuk linear dan kedalaman bahan tersebut.

Perincian Mewah dan Keselesaan Penumpang

Bahan daripada palma digunakan di bawah skrin sesentuh tunggal dan merentasi kabin sehingga ke meja boleh gerak secara elektrik di bahagian belakang.

Malah, pintu berkuasa untuk ruang penyejuk bersepadu turut menerima sentuhan bahan yang sama.

Tema cerah ini diteruskan dengan kemasan seramik putih berkilat, pembesar suara Orchid Pearl SV, tali pinggang keledar Orchid White dan plat pemijak berjenama SV Ultra.

Kusyen hiasan baharu turut menggunakan tekstil Kvadrat daripada campuran bulu dan poliester kitar semula.

Setiap elemen reka bentuk ini bertujuan untuk mewujudkan suasana tenang di dalam kabin.

Teknologi SV Electrostatic Sound Pertama di Dunia

Range Rover SV Ultra merupakan kenderaan pertama yang memperkenalkan teknologi bunyi elektrostatik high-fidelity.

Sistem SV Electrostatic Sound ini menggunakan 21 transduser filem nipis yang ringan untuk mencipta auditorium peribadi bagi setiap kerusi penumpang.

Panel elektrostatik ini disepadukan di dalam penyandar kepala, penyandar kerusi dan lokasi pembesar suara sedia ada termasuk di bahagian bumbung.

Membran ultra ringan setebal 1 mm di dalamnya bertindak balas sehingga 1,000 kali lebih pantas daripada pembesar suara tradisional.

Selain bunyi yang lebih jelas, sistem ini 90 peratus lebih ringan dan menjimatkan tenaga berbanding pembesar suara biasa.

Ia juga diperbuat daripada 100 peratus bahan kitar semula tanpa menggunakan elemen nadir bumi.

Pengalaman Audio Satu Kereta

Sistem audio ini berfungsi secara harmoni dengan teknologi Body and Soul Seat (BASS) dan Sensory Floor.

Teknologi BASS menggunakan perisian beroptimumkan AI untuk menganalisis media secara masa nyata dan menjana denyutan fizikal pada kerusi.

Sensory Floor pula menambah maklum balas haptik melalui empat transduser di bawah alas kaki di setiap ruang kaki penumpang.

Ini membolehkan penumpang merasai setiap persembahan muzik dengan lebih mendalam seolah-olah berada di dalam sebuah dewan konsert.

Terdapat enam program BASS yang boleh dipilih, antaranya mod Calm dan Invigorating.

Mod ini menawarkan manfaat yang boleh diukur pada variabiliti kadar denyutan jantung (HRV) penumpang bagi mengurangkan kebimbangan atau meningkatkan tindak balas kognitif.

Pilihan Rangkaian Kuasa Range Rover SV Ultra

Range Rover SV Ultra 2026 menawarkan pilihan rangkaian kuasa untuk prestasi dan kecekapan tinggi:

  • P550e Plug-in Electric Hybrid: Enjin petrol 2,996 cc 6 silinder, kuasa 550 ps@5,500 hingga 6,500 rpm, tork 800Nm@2,000 hingga 5,000 rpm. Motor elektrik 160 kW (218 ps).
  • P615 V8 Petrol Mild Hybrid: Enjin 4,395 cc V8 turbo berkembar, kuasa 615 ps@ 5,855 hingga 7,000 rpm, tork 750Nm@1,800 hingga 5,400 rpm.
  • Versi Elektrik: Menyusul pada akhir tahun ini.

Spesifikasi Teknikal Range Rover SV Ultra

Range Rover SV Ultra PHEV (P550e)

  • Kuasa maksimum: 550 ps
  • Tork maksimum: 800Nm
  • Laju maksimum: 241 km/j
  • Pecutan 0-100 km/j: 5.0 saat (0-96 km/j dalam 4.8 saat)
  • Jarak pemanduan elektrik (WLTP EAER): 119 km
  • Kapasiti tangki bahan api: 71.5 liter
  • Pengecasan awam: Kurang daripada 60 minit (80 peratus) menggunakan pengecas pantas DC 50 kW
  • Pengecasan rumah: Bermula daripada 5 jam (0-100 peratus) menggunakan pengecas AC 7 kW

Range Rover SV Ultra Petrol V8 MHEV (P615)

  • Kapasiti enjin: 4,395 cc
  • Kuasa maksimum: 615 ps
  • Tork maksimum: 750Nm
  • Laju maksimum: 261 km/j
  • Pecutan 0-100 km/j: 4.5 saat (0-96 km/j dalam 4.3 saat)
  • Kapasiti tangki bahan api: 90 liter

Range Rover klasik ini dapat ‘nadi’ V8 Corvette, harga RM1.8 juta!

Sebuah syarikat dari UK memberikan Range Rover klasik ‘nafas baharu’ dengan transformasi ekstrem, namun harganya setanding supercar moden.

Interpretasi berani model legenda

Baru-baru ini, Twisted Automotive memperkenalkan TRRC, Range Rover tiga pintu yang diolah semula dengan gabungan gaya klasik dan prestasi moden. Nama TRRC merupakan singkatan kepada “Twisted’s interpretation of a Range Rover Classic”.

Projek restomod ini bersifat peribadi kerana pengasas Twisted iaitu Charles Fawcett membangunkannya sebagai penghormatan kepada Range Rover milik bapanya pada era 1980-an.

Peminat Range Rover klasik boleh mendapatkan hasil tangan nostalgia ini namun perlu cepat kerana hanya 12 unit dihasilkan setahun, dengan harga bermula GBP350,000 (RM1.8 juta).

Menariknya, kerana harga tersebut untuk kos restorasi sahaja, manakala kereta perlu disediakan sendiri oleh pelanggan.

Enjin V8 dari Corvette

Di bawah bonet, TRRC menggunakan enjin LT1 6.2 liter V8 daripada Chevrolet Corvette, yang menghasilkan kira-kira 500 hp. Ia dipadankan dengan transmisi automatik lapan kelajuan.

Suspensi, brek dan rangkaian kuasa telah dinaik taraf bagi menampung kuasa yang tinggi itu. Namun menurut Twisted, suspensi ditala bagi mengekalkan keselesaan dan karakter pemanduan Range Rover yang lembut.

Rekaan klasik, kemasan lebih baik

Rekaan luaran TRRC menggabungkan elemen retro dan moden. Bahagian hadapan mengekalkan gaya 1970-an, manakala gril dan lampu diinspirasikan daripada model semasa. Sesetengah panel badan diperbuat daripada aluminium.

Semestinya, pelanggan bebas menyesuaikan penampilan mengikut citarasa tersendiri, termasuk mewarnakan tiang C mengikut warna badan bagi menyingkirkan efek ‘bumbung terapung’ yang sinonim dengan Range Rover klasik.

Kabin moden dan eksklusif

Ruang dalaman pula dihiasi dengan balutan kulit premium, serta menampilkan ciri-ciri moden seperti pemanas tempat duduk, sistem audio premium dan infotainmen ringkas.

Menurut Twisted, setiap unit dihasilkan dengan tangan dan diuji sebelum diserahkan kepada pelanggan. Berminat? Anda perlu menunggu slot 2027 dibuka kerana slot yang diperuntukkan untuk tahun ini sudah pun habis.

Range Rover Velar 2024 elegan tidak perlu beriya – Pandu uji

ANDA lihat setiap kali Apple iPhone baharu dikeluarkan, begitu sedikit perubahan dari segi rupa atau reka bentuknya. Mereka yang mementingkan rupa pasti akan berkata pereka bentuk Apple ini pemalas.

Tetapi betulkah mereka pemalas? Atau reka bentuk itu sebenarnya sudah hampir sempurna, hanya sedikit penghalusan diperlukan?

Reka bentuk seperti ini biasanya diterangkan sebagai elegan, minimalis, ringkas, atau kemas. Ia juga boleh menjadi evergreen; nampak relevan dan baharu walaupun sebenarnya lama dalam pasaran.

Begitu juga dengan Range Rover Velar ini. Velar bukan model baharu, bukan? Tetapi unit yang kami pandu uji ini sebenarnya model terkini 2024, dengan pembaharuan luar dan dalaman. Tak percaya?

Rekaan elegan dan bersahaja, tampak kekal segar

Sebagai contoh, DRL LED di lampu depan adalah rekaan baharu, corak gril diperbaharui, nyalaan lampu belakang juga direka semula; kini satu U lebar memanjang di kiri dan kanan, berbanding dua-U pada Velar sebelum ini.

Perubahan-perubahan ini tidak menghilangkan identiti Velar itu, kerana ia sejak azali sebuah SUV mewah yang kemas dan segak. Ia mendapat garisan-garisan lurus seperti semua model Range Rover, tetapi bumbung rendah ke belakang, badan belakang seolah-olah penyet atau menipis, menyuntik elemen sporti pada Velar.

Kesemua ini juga sesuai dengan kedudukan Velar itu di tengah-tengah model Range Rover, iaitu di bawah Range Rover dan Range Rover Sport, tetapi di atas Evoque. Jika dilihat, model-model lebih atas tampil lebih mewah dan premium, tidak begitu sporti.

Range Rover Velar unit ini juga mendapat Black Exterior Pack yang memberikan kemasan hitam pada tulisan di bonet depan, tulisan di pintu but, rongga udara di fender sisi, pada gril, dan corong udara atas bonet.

Pada penulis, Black Pack ini menyerlahkan rupa garang pada Velar. Inilah yang biasa dibuat secara kustom atau DIY oleh pemilik kereta-kereta seperti biasa. Cuma pakej pada Range Rover Velar ini berharga RM8,300. Biasalah, besar periuk nasi, maka besar jugalah keraknya, bukan?

Secara keseluruhan, Range Rover Velar 2024 ini tetap segak dan stailo, mengundang pandangan orang di sekeliling bila anda memandu perlahan di kawasan padat. Lagipun, ada ke yang berpendapat Range Rover Velar ini tidak cantik?

Kabin lebih minimalis, tetapi padat fungsi

Range Rover Velar 2024 ditawarkan pada harga bermula RM638,800 tetapi unit ini merupakan varian tertinggi P250 Dynamic HSE (L spec), berharga RM739,800. Baik, dengan harga sebegini, anda akan sangka ruang dalamannya nampak penuh dan kompleks, bukan?

Cuba lihat gambar ini. Macam spec kosong?

Sebenarnya Range Rover mahu kabin Velar ini tampil minimalis dan kemas. Tidak berserabut. Mungkin ini yang golongan T20 suka.

Paling utama, Velar sebelum ini mempunyai dua lapisan skrin di tengah – belah atas untuk infotainmen, manakala di bawah untuk kawalan penghawa dingin.

Tetapi dengan kemaskini 2024, hanya ada satu skrin utama dan ia telah diperbesarkan sedikit, kini berukuran 11.4-inci yang ‘terapung’ di konsol tengah. Bahagian skrin bawah sebelum ini dikosongkan untuk menjadi ruang simpanan dan terdapat pengecas tanpa-wayar.

Segala fungsi seperti pelarasan sistem penghawa dingin ‘disumbat’ ke dalam satu skrin ini yang menggunakan perisian Pivi Pro.

Tiada masalah besar bagi penulis. Cuma ada rakan penulis yang berkata kabin ini nampak terlalu ringkas. Tetapi penulis tidak salahkan dia kerana pada masa itu dia belum menyelongkar habis kesemua fungsi dan spesifikasi yang ada dalam skrin.

Keseluruhan kabin memang terasa premium dan bermutu tinggi. Dengan kulit lembut yang sedap disentuh, kemudian kemasan plastik keras dan logam di beberapa kawasan, terasa ianya kabin yang elegan.

Umpamanya jika anda baru keluar dari hotel penginapan 5-bintang untuk ‘business trip’ dan masuk ke dalam Velar ini untuk urusan seterusnya, tidak terasa kekok atau terlalu berbeza. Memang bahan dan kemasan yang biasa anda jumpa dalam hotel mewah.

Cuma jika Velar ini milik penulis sendiri, penulis akan pilih warna balutan kulit selain hitam. Mungkin warna coklat cerah atau maroon gelap. Sedikit ‘berani’ di situ kononnya.

Duit pergi ke kualiti pemanduan

Sesetengah model Range Rover yang lebih besar mungkin sesuai untuk kita upah pemandu peribadi, tetapi dengan Velar, anda mahu pandu ia sendiri. Ini kerana saiznya yang sederhana agak seronok untuk dipandu, selain tetap rasa sangat premium dan selesa.

Terdapat banyak fungsi dalam menu yang sebenarnya bukan gimik, tetapi praktikal dan boleh digunakan dalam pemanduan seharian.

Sebagai contoh, Wade Sensing di bawah fungsi Terrain Response. Dengan Wade Sensing, ia akan mempersiapkan suspensi dan semua sistem kereta ini untuk meranduk air. Klu: Kuala Lumpur, banjir kilat. Ehem.

Kemudian, fungsi Ride Height boleh melaras suspensi udara Velar ini dengan beberapa tetapan seperti Normal, Off-Road, dan Access. Dalam kebanyakan pemanduan, ia akan berada pada tetapan Normal. Access akan merendahkan kereta untuk memudahkan anda turun/naik selain memuatkan barangan di ruang kargo.

Untuk Off-Road, suspensi akan dinaikkan untuk anda meredah laluan mencabar dengan lebih mudah. Kami memang cuba untuk menaiki benteng tepi jalan semasa penggambaran video di bawah, jadi ia memang berguna.

Malah ada dua tahap ketinggian untuk Off-Road, bergantung kepada keperluan anda. Lagipun sesebuah Range Rover – sama ada anda mahu guna atau tidak – perlulah boleh off-road. Ya, semua Range Rover direka untuk off-road walaupun rupa bentuknya seperti SUV pejabat.

Terrain Response juga mempunyai mod-mod seperti Comfort, Grass/Gravel/Snow, Normal, Mud/Ruts, dan Sand. Ini semua akan melaras suspensi, respon minyak dan kotak gear, untuk memudahkan anda melepasi laluan-laluan sukar.

Manalah tahu ada taukeh mahu masuk ladang durian dia, yang penting dia tahu Range Rover Velar ini bersedia.

Velar dipacu oleh enjin 2.0-liter Ingenium 4-silinder turbo yang menghasilkan 250PS dan 365Nm tork, output yang lebih tinggi dari sebelumnya. Janaan kuasa yang dihantar ke semua roda melalui kotak gear automatik 8-kelajuan ini sangat lancar dan senyap.

Pertukaran gear hampir tidak terasa melainkan anda lihat pada meter rpm. Tetapi jika anda mahu bergegas ke mesyuarat untuk projek juta-juta, Range Rover Velar ini tetap sedia mengikut kemahuan anda.

Memandangkan ini enjin petrol, ia terasa sedap diperah hingga ke hujung rpm, dan tiada langsung bunyi tidak selesa. Segalanya terasa ada penghalusan yang tinggi, selesa, dan masih mampu laju. Kawalan badan pula dijamin dengan suspensi udara yang disebut tadi, jadi ia memberikan imbangan antara keselesaan dengan tindak balas positif pada setiap masa.

Oh ya, sistem audio Meridian pada Velar ini fuhhh, segala lagu kegemaran anda di Spotify akan dimainkan dengan kualiti bunyi lunak dan merdu sekali. Seronok penulis pandu sambil layan Goo Goo Dolls dan Bon Jovi.

Berbaloi untuk RM740,000?

Biasanya untuk produk atau barangan mewah, jarang untuk pengguna mempersoalkan sama ada ia berbaloi. Sebaliknya, lebih kepada eksklusiviti. Anda tidak mahu orang lain menggunakan barangan atau kereta yang sama dengan anda.

Anda mahu tergolong dalam kelompok elit.

Ya, untuk harga sekitar RM700,000, anda mungkin boleh dapat juga BMW X7 atau Mercedes GLE dan EQS. Tetapi jika dilihat dari sudut jenama, kedua-dua nama Jerman di atas adalah ‘lebih marhaen’, lebih biasa dilihat, dan lebih biasa.

Range Rover adalah lebih eksklusif dari sudut ini, menjadikannya lebih istimewa. Ini juga membuatkan sesebuah Range Rover itu masih nampak baharu walaupun sebenarnya sudah beberapa tahun dalam pasaran.

Memandu Range Rover Velar ini menyedarkan kita bahawa sesetengah kereta juga perlu dinilai lebih dari sekadar spesifikasi atas kertas. Anda perlu pandu sendiri untuk merasai sendiri kemana wang yang anda bayar itu telah pergi.

Penulis sentiasa senang hati memandu Velar ini, terasa mudah, teruja setiap kali mahu menghidupkan enjinnya, dan rasa lebih istimewa di atas jalan. Untuk itu, sudah terasa berbaloi.

Spesifikasi Range Rover Velar P250 Dynamic HSE

Harga: RM739,800
Enjin: 2.0-liter Ingenium turbo 4-silinder
Kotak gear: Automatik 8-kelajuan
Kuasa: 250PS
Tork: 365Nm

Range Rover Evoque facelift 2024 kini di Malaysia, dari RM499k

RANGE Rover Evoque facelift 2024 akhirnya tiba di Malaysia, setelah membuat pengenalan global pertengahan tahun lepas.

Untuk Malaysia, anda ada tiga pilihan varian dengan harga seperti berikut:

Evoque P200 Dynamic SE (M spec): RM498,800
Evoque P250 (H spec): RM529,800
Evoque P250 Dynamic HSE (L spec): RM565,800

Kesemua tiga varian dipacu oleh enjin 2.0-liter Ingenium petrol 4-silinder, tetapi dengan beberapa tahap output. P200 menjana 200PS dan 320Nm tork, memberikan prestasi pecutan 0-100 dalam 8.6 saat.

Seterusnya Evoque P250 dengan output 249PS dan 365Nm tork, mampu mencapai 100km/j dalam 7.6 saat.

Kesemua model walaubagaimanapun didatangkan dengan kotak gear automatik 9-kelajuan dari ZF, serta sistem pacuan semua-roda Efficient Driveline dengan fungsi Driveline Disconnect.

Kini kita lihatkan pembaharuan pada model facelift ini. Di bahagian luar, ia mendapat bahasa rekaan mirip ‘abang-abangnya’ iaitu Velar dan L460 Range Rover. Lampu LED dengan DRL lebih nipis, selain corak petak pada gril depan.

Lampu belakang berbentuk “U berkembar” kini digantikan dengan bentuk-U tunggal yang lebih lebar. Range Rover Evoque boleh didapati dengan warna Corinthian Bronze, Tribeca Blue, dan Arroios Grey.

Pembaharuan di bahagian kabin pula merangkumi paparan infotainmen 11.4-inci “terapung” yang baharu. Butang-butang fizikal dikurangkan, memberikan rasa minimalis tetapi anda juga dapat lebih banyak ruang simpanan.

Ciri lain termasuklah pengecas tanpa-wayar Qi, stereng baharu dengan kemasan Moonlight Chrome, dan tombol gear baharu.

Pakej standard pada P200 Dynamic SE terdiri dari rim aloi 20-inci, balutan kulit Ebony, tempat duduk pemandu dengan pelarasan 12-arah, pendingin hawa dwi-zon, paparan instrumen 12.3-inci, sambungan Apple Carplay dan Android Auto tanpa-wayar, sistem audio Meridian 400-watt, kamera undur, dan pintu but berkuasa.

Varian P250 mendapat tambahan lampu tinggi automatik, lampu kabus, kamera 360-darjah 3D, dan cermin pandang belakang ClearSight.

Versi tertinggi Dynamic HSE pula dilengkapi lampu matriks Pixel LED, rim 21-inci, balutan kulit Windsor, bumbung panoramik, pelarasan 14-arah untuk tempat duduk, suspensi adaptif, dan head-up display.

Kesemua varian ditawarkan dengan sistem keselamatan ADAS seperti Autonomous Emergency Braking, Adaptive Cruise Control, Lane Keep Assist, Blind Spot Monitoring, Traffic Sign Recognition, dan Rear Cross Traffic Monitor.

Range Rover generasi baharu bakal tiba Februari ini – 4.4 V8, 530hp, suspensi udara

Jaguar Land Rover Malaysia (JLRM) dijangka akan membawa masuk Range Rover generasi kelima serba baharu untuk pasaran negara ini. Range Rover L460 itu dikatakan bakal tiba pada pertengahan Februari nanti.

Menurut Pengarah Urusan JLRM, Syed Ahmad Muzri Syed Faiz, “Range Rover L460 ialah SUV prestasi mewah terbaik dalam kelasnya yang akan mengubah segmen itu.”

“Dengan kombinasi sempurna inovasi dan kemewahan, ini akan menjadi Range Rover paling diimpikan dan kami teruja untuk membawanya ke pasaran Malaysia tidak lama lagi.”

SUV itu akan dikuasakan oleh enjin 4.4-liter V8 turbo petrol yang menjana 530hp dan 750Nm tork yang digandingkan dengan kotak gear automatik 8-kelajuan. Dengan pacuan semua-roda, SUV ini mampu memecut ke 100km/j dalam hanya 4.6 saat. Kelajuan maksima ialah 250km/j.

Range Rover L460 akan didatangkan dengan ciri premium seperti rim aloi 22-inci, sistem All-Wheel Steering, balutan kulit mewah, kamera keliling 3D, paparan instrumen 13.7-inci, dan skrin infotainmen terapung 13.1-inci.

Selain itu, ia juga dilengkapi dengan sistem audio Meridian antara 400 hingga 1,600 watt, pendingin hawa tiga-zon, suspensi udara, differential aktif dengan kawalan elektronik, head-up display, dan tempat duduk berongga.

Nantikan maklumat lanjut sebaik sahaja ia dilancarkan tidak lama lagi.

Range Rover Sport 2023 kini dengan pembuka pintu pop-out, pilihan petrol dan diesel, sehingga 530hp

LAND Rover nampaknya sedang aktif memperbaharui barisan kenderaan mereka. Pada 2019, syarikat itu memperkenalkan Defender generasi baharu, manakala Oktober tahun lalu pula menyaksikan kemunculan model flagship Range Rover generasi kelima. Kini, tiba pula giliran Range Rover Sport untuk hadir dengan pelbagai pembaharuan.

Kini dalam generasi ketiga, Range Rover Sport menampilkan rekaan yang lebih moden dan sofistikated, digabungkan dengan elemen-elemen yang dipinjam daripada Range Rover dan Evoque seperti lampu hadapan yang nipis dan pemegang pintu pop-out.

Bagaimanapun, perbezaan reka bentuk antara ketiga-tiga model ini lebih ketara pada bahagian belakang, di mana kluster lampu dan lencana “Range Rover” ditempatkan di dalam jalur hitam di bawah cermin. Pemegang nombor plat pula diletakkan betul-betul di antara tailgate dan bampar.

Masuk ke ruang kabin, anda akan menemui susun atur kokpit yang sama dengan Range Rover namun skrin sistem infotainmen pada versi Sport dicondongkan sedikit. Skrin melengkung berukuran 13.1-inci itu menyediakan akses kepada sistem infohibur Pivi Pro. Terletak di belakang stereng pula adalah paparan pemandu interaktif 13.7-inci.

Pivi Pro menyokong sistem pengecaman suara Alexa daripada Amazon, Apple CarPlay dan Android Auto wayarles, serta kemas kini atas udara (OTA) yang membolehkan pemilik mengemas kini 63 modul elektronik dengan mudah. Meridian pula menyediakan sistem audio premium yang menawarkan sehingga 29 pembesar suara, subwoofer baharu dan amplifier 1,430W.

Selain itu, Range Rover Sport juga boleh didapati dengan tempat duduk dengan rekaan ergonomik bagi meningkatkan ruang lega kaki dan lutut, sistem penapis udara dengan teknologi nanoe X yang dikatakan dapat mencegah virus COVID-19, serta pengecas wayarles 15W.

Dibangunkan menggunakan platform MLA-Flex, Range Rover Sport ditawarkan dengan empat pilihan trenkuasa petrol, dengan tiga daripadanya menggunakan enjin turbo 3.0-liter enam silinder sebaris. Dalam varian P360 dan P400, enjin berkenaan digandingkan dengan sistem hibrid ringkas bagi menghasilkan 360PS/500Nm dan 400PS/550Nm.

Dalam varian P440e pula, enjin Ingenium itu mendapat sistem hibrid plug-in dengan 440PS dan 620Nm. Varian tertinggi iaitu P530 dikuasakan oleh enjin 4.4-liter V8 dengan turbo berkembar yang mampu menghasilkan 530PS dan 750Nm. Beberapa pilihan enjin diesel turut tersedia.

Namun apa yang lebih menarik, barisan Range Rover Sport akan diperkembangkan dengan varian elektrik pada 2024.

Prestasi off-road model ini diperhebatkan lagi menerusi sistem Terrain Response 2 yang akan mengubah tetapan kenderaan berdasarkan kondisi jalan raya dan situasi pemanduan. Sistem itu kini mempunyai Adaptive Off-Road Cruise Control yang secara asasnya merupakan sistem kawalan pelayaran namun untuk jalan tidak berturap.

Untuk keselamatan pula, terdapat sistem bantuan pemandu termaju (ADAS) yang merangkumi Emergency Braking, kamera 3D dengan Manoeuvring Lights , Wade Sensing, ClearSight Ground View, Driver Condition Monitor, Lane Keep Assist dan Traffic Sign Recognition.