Acura Integra Type-S 2024 dengan enjin Civic Type-R, manual 6-kelajuan

ACURA Integra Type-S 2024 membuat kemunculan awalnya di Amerika Syarikat (AS) sebelum mula dijual pada Jun ini. Orang awam kini dapat melihat sedan sport itu buat pertama kali di Acura Grand Prix of Long Beach hujung minggu ini. Harga belum didedahkan.

Integra Type-S dikuasakan oleh enjin 2.0-liter turbo dari Civic Type-R, dengan output 320hp dan 420Nm tork. Ini menjadikan model ini sebagai Integra paling berkuasa pernah dihasilkan. Hanya satu kotak gear boleh dipilih, iaitu manual 6-kelajuan dengan fungsi rev-matching dan LSD.

Sistem suspensi menampilkan penyerap hentak adaptif dengan mod Comfort, Sport, dan Sport+. Sementara itu, bar anti-oleng depannya berukuran 1.14-inci, iaitu 0.08-inci lebih tebal dari Integra biasa.

Brek pula adalah Brembo empat-pot di depan, dengan corong udara di bampar depan yang akan mengalirkan udara untuk penyejukan. Integra Type-S mendapat rim 19-inci dengan warna Shark Gray, dibaluti tayar Michelin Pilot Sport 4S 265/30.

Warna Tiger Eye Pearl adalah eksklusif untuk model ini. Integra Type-S juga datang dengan panel badan baharu di depan tiang-A, yang merangkumi bampar depan baharu, fender lebih lebar, serta hud aluminium dengan bahagian berongga.

Di belakang, sedan ini dilengkapi dengan diffuser dan tiga ekzos di tengah, sama seperti Civic Type-R FK8. Acura akan menawarkan beberapa aksesori tambahan seperti cermin sisi gentian karbon, lip belakang gentian karbon, rim berwarna gangsa, dan lencana Acura bercahaya.

Di dalam pula, Integra Type-S datang standard dengan tempat duduk depan lebih sporti, kemasan Ultrasuede, dan berserta pemanas. Di depan pemandu ialah kluster instrumen digital 10.2-inci, manakala di tengah terdapat paparan 9-inci yang menyokong Apple CarPlay dan Android Auto tanpa-wayar.

Ciri lain termasuklah head-up display, sistem stereo 3D ELS Studio dengan 16 pembesar suara, dan pengecaj tanpa-wayar. Tombol gear aluminium juga ditawarkan sebagai aksesori tambahan.

Acura NSX Type S terakhir siap dibina – nombor 350 daripada 350

SETELAH enam tahun berada di pasaran, Acura NSX generasi kedua kini secara rasmi akan dihentikan penjualannya. Unit terakhir yang merupakan model Type S berwarna Gotham Grey siap dibina pada 16 November lalu di Performance Manufacturing Center (PMC) di Marysville, Ohio.

Diumumkan pada Ogos tahun lalu, NSX Type S merupakan model edisi terhad yang ditawarkan sebagai tanda selamat tinggal. Hanya 350 unit dihasilkan, dengan 300 daripadanya diperuntukkan untuk pasaran Amerika Syarikat, 3o untuk pasaran Jepun dan selebihnya untuk Kanada.

Pelanggan yang membeli NSX Type S mendapat versi yang paling berkuasa pernah dihasilkan. Ia mempunyai 600 hp dan 667 Nm yang dibekalkan oleh enjin 3.5-liter twin-turbo V6 telah dinaik taraf dengan pengecas turbo daripada kereta lumba NSX GT3 Evo, penyuntik bahan api dan intercooler baharu, serta tiga motor elektrik.

Turut dinaik taraf adalah transmisi automatik klac berkembar sembilan kelajuan yang dikatakan mampu menukar gear 50 peratus lebih pantas berbanding sebelum ini. Bukan itu sahaja, ia juga mempunyai mod Rapid Downshift baharu yang membolehkan pemandu melangkaui beberapa gear dengan menekan pedal downshift.

Dengan kemunculan NSX Type S dengan nombor siri 350/350 ini, hayat NSX generasi kedua dengan rasminya berakhir. Persoalannya sekarang, adakah supercar hibrid itu akan mempunyai pengganti?

Masih terlalu awal untuk dikatakan namun Naib Presiden dan Pegawai Jenama Acura, Jon Ikeda sebelum ini dilaporkan pernah memberi bayangan bahawa NSX generasi baharu akan tampil sebagai sebuah model elektrik sepenuhnya.

Acura Integra 2023 dengan 1.5-liter VTEC turbo, 200hp dan pilihan manual 6-kelajuan

Baru-baru ini, Acura telah menunjukkan model prototaip Acura Integra 2023 pada perlumbaan 24 Hours of Daytona.

Acura Integra 2023 ini menggunakan konsep rekabentuk fastback lima pintu, kelihatan begitu maskulin serta praktikal bagi kegunaan harian.

Terdapat dua pilihan varian iaitu varian asas Integra dan juga A-Spec. Varian A-Spec mempunyai pilihan untuk menambah pakej teknologi.

Semua varian Acura Integra 2023 dikuasakan dengan enjin VTEC 1.5-liter turbocharged empat silinder sebaris, sama seperti Honda Civic generasi ke-11. Enjin ini menghasilkan 200hp dan 260Nm tork.

Sedikit perbezaan dimana Integra bakal mempunyai pilihan dari segi transmisi. Integra menggunakan transmisi CVT lengkap dengan paddle shifter sebagai pakej standard.

Bagi yang berjiwa sporti, berita baik buat anda kerana Acura menyediakan pilihan transmisi manual 6-kelajuan lengkap dengan limited-slip differential khas buat pembeli varian A-Spec.

Meskipun berkongsi casis dan trenkuasa dengan model Honda Civic terbaharu, sistem suspensinya telah menerima talaan khas.

Bagi yang sukakan ciri moden, anda boleh memilih pakej teknologi yang dilengkapi dengan head-up display, pengecas telefon tanpa-wayar serta sistem integrasi Apple CarPlay dan Android Auto. Pakej teknologi ini merupakan naik taraf yang hanya tersedia buat pembeli A-Spec sahaja.

Integra baharu ini juga datang dengan tiga mod pemanduan iaitu Comfort, Normal dan Sport sebagai ciri standard. Hanya pakej teknologi mempunyai tambahan mod pemanduan Individual.

Selain itu, pakej teknologi turut datang dengan bersama Adaptive Damper System (ADS), mod pemanduan individu, sistem audio premium ELS STUDIO 3D dengan 16 pembesar suara.