Kerajaan yakin Proton dan Perodua hasilkan EV nasional menjelang 2025 – MITI

KERAJAAN optimistik bahawa Proton dan Perodua akan menghasilkan kereta elektrik (EV) nasional pertama menjelang 2025. Perkara itu dinyatakan oleh Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Malaysia (MITI), Tengku Zafrul Abdul Aziz, dan dilaporkan oleh rakan media kami, Paultan.org.

“Di MITI, mereka telah berkongsi perkembangan terkini berkenaan pelan mereka. Pihak kami juga terlibat dalam memahami kemajuan ini,” katanya.

“Setakat ini, ia nampak seperti boleh dicapai. Menurut taklimat oleh pengeluar-pengeluar nasional ini, kita akan mencapai matlamat ini, pada 2025.”

Berkenaan EV mampu milik, Zafrul berkata kerajaan menggalakkan pengeluar mempunyai pemasangan tempatan (CKD) di Malaysia untuk membolehkan mereka menawarkan EV pada harga lebih rendah.

“Kerajaan memberikan banyak insentif untuk EV, tetapi seperti disebut tadi, insentif mestilah dinikmati oleh semua rakyat Malaysia, bukan hanya yang mampu memilikinya.

“Kita mahu meluaskan penggunaan EV, memastikan lebih ramai rakyat mampu memiliki EV,” tambah Zafrul.

Sebelum ini, timbalan menteri di MITI, Liew Chin Tong berkata polisi kerajaan adalah untuk membangunkan industri automotif dengan kandungan tempatan (komponen).

Dia berkata kerjaan mengalu-alukan semua pengeluar untuk membuka pusat jualan di Malaysia, dan EV CKD tidak akan mempunyai sekatan harga – merujuk kepada harga minimum RM100k untuk EV diimport CBU.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *