GWM Malaysia mengumumkan model MPV Wey G9 mencatatkan tempahan lebih 800 buah dalam tempoh seminggu selepas dilancarkan.
Pencapaian ini menunjukkan permintaan yang kukuh terhadap MPV tenaga baharu mewah pertama yang dipasang secara tempatan (CKD).
Bukti keupayaan ekosistem tempatan
Menurut Encik Roslan Abdullah selaku Ketua Pegawai Operasi GWM Malaysia berkata, “Pencapaian ini turut menggambarkan keupayaan ekosistem pemasangan tempatan di Malaysia.
“Dengan kelebihan tenaga kerja mahir dan rangkaian vendor sedia ada, kami membuktikan bahawa Malaysia menepati standard global di samping menjana nilai jangka panjang untuk industri tempatan.
Jarak pandu Wey G9 lebih 1,000 km
GWM Wey G9 dikuasakan oleh sistem hibrid pintar Hi4 PHEV yang mampu menjanjikan jarak pemanduan sifar emisi sejauh 170 km.
Jarak pandu keseluruhan pula mampu melebihi 1,000 km, di samping menawarkan pengalaman pemanduan yang cekap dan senyap.
Honda Malaysia mengumumkan perancangan untuk memperkenalkan sehingga enam model baharu untuk tahun 2026.
Selari dengan hala tuju perniagaannya, Honda Malaysia turut menetapkan sasaran jualan 60,000 unit sepanjang tahun ini.
Pengenalan teknologi baharu
Selain mengumumkan enam model baharu, Honda turut sama mengesahkan pengenalan teknologi S+ Shift buat kali pertama untuk pasaran Malaysia.
Ia merupakan satu teknologi kawalan unit kuasa dalam sistem hibrid e:HEV yang mampu mensimulasikan penukaran gear persis pemanduan kereta manual.
Setakat ini, terdapat beberapa model yang dilengkapi dengan S+ Shift termasuklah Honda Prelude dan Honda Super ONE.
Ciri ini bakal diperluaskan kepada model-model e:HEV Honda pada masa akan datang.
Perluas barisan model e:HEV
Honda Malaysia juga dijangka akan mengembangkan lagi barisan model e:HEV untuk pasaran tempatan.
Sebagai peneraju di dalam segmen sejak 2004, pendekatan ini merupakan bukti usaha Honda Malaysia untuk terus mendapatkan teknologi hibrid yang cekap, boleh dipercayai dan berprestasi.
Semangat ‘Fun to Drive’
Teras utama strategi Honda Malaysia ialah komitmen untuk terus menawarkan pengalaman ‘Fun to Drive’ kepada pelanggan.
Menurut Pengarah Urusan dan CEO Honda Malaysia, Narushi Yazaki berkata, “semangat ‘Fun to Drive’ mencerminkan komitmen kami untuk terus menawarkan kenderaan yang dapat menghubungkan emosi pelanggan.
“Pengenalan teknologi S+ Shift buat pertama kali merupakan satu contoh jelas hala tuju kami,” ujarnya lagi.
Hyundai Motor Malaysia bakal melancarkan beberapa buah model baharu sepanjang tahun 2026.
Antara model yang bakal diperkenalkan kelak termasuklah Tucson dan Santa Fe versi pemasangan tempatan (CKD).
Jenama itu turut mengesahkan kehadiran sebuah MPV segmen B pada suku keempat tahun ini, iaiatu Hyundai Stargazer.
Selain itu, Hyundai juga bakal memperkenalkan dua buah model berprestasi tinggi, iaitu Ioniq 5 N dan Ioniq 6 N serta barisan produk di bawah sub-jenama N-Line.
Sasar 25 pusat jualan & servis
Hyundai Malaysia juga turut menyasarkan sehingga 25 buah pusat jualan dan servis termasuklah di Malaysia Timur.
Setakat ini, Hyundai Malaysia mempunyai 12 cawangan dengan lima LOI ditandatangani pada tahun 2025 dan satu pada awal tahun ini.
Pengalaman pemilikan dipertingkatkan
Hyundai turut mahu meningkatkan lagi pengalaman pemilikan pelanggan menerusi program myHyundaiCare.
Antara inisiatif di bawah program ini termasuklah:
pelarasan semula pakej servis dan penyelenggaraan untuk menjadikan kos pemilikan lebih rendah
kos bateri hibrid lebih rendah, dan hanya menggantikan modul bateri yang rosak berbanding penggantian penuh
kempen pemeriksaan dan servis kenderaan percuma sempena perayaan
pasukan sokongan teknikal bergerak
klinik servis dan bengkel pemilik untuk tingkatkan keyakinan dan pengetahuan produk
jaminan 8-tahun/160,000 km diteruskan
perlindungan nilai kenderaan menerusi Hyundai Protection Plan yang disokong oleh rakan insurans termasuklah Allianz, Berjaya Sompo, Etiga General Takaful, Takaful Ikhlas dan Tokio Marine
stok alat ganti ditambah baik melalui gudang di Glenmarie
Program rujukan Staria All-Star
Program rujukan Staria All-Star ini menawarkan manfaat berikut:
kredit servis RM500 untuk perujuk
penjimatan sehingga RM1,500 untuk pelanggan baharu ke atas promosi sedia ada
Siapa sangka sisa batang pisang boleh jadi manual kereta? Honda Access Co., Ltd. mengumumkan penggunaan manual aksesori Honda yang diperbuat daripada kertas pisang One Planet Paper® bagi menggantikan kertas konvensional untuk Panduan Mula Pantas (Quick Start Guides) produk mereka.
Langkah unik ini akan mula digunakan secara rasmi pada model baharu alat kawalan jauh penghidup enjin yang akan dipasarkan bermula Februari 2026.
Penggunaan bahan daripada pisang ini bukan sekadar gimik, malah merupakan satu revolusi kecil dalam rantaian bekalan aksesori automotif mereka untuk jangka masa panjang.
Peralihan Manual Aksesori Honda Kepada Sumber Lestari
Meskipun Honda Access giat melaksanakan pendigitalan bagi mengurangkan penggunaan kertas, Panduan Mula Pantas tetap disertakan untuk produk tertentu.
Sebelum ini, manual aksesori Honda menggunakan kertas tebal dengan salutan polipropilena (PP).
Melalui inisiatif hijau ini, salutan berasaskan bahan api fosil tersebut akan dihentikan sepenuhnya.
Kertas pisang dipilih kerana pokok pisang tumbuh sangat cepat dan menyerap jumlah karbon dioksida (CO2) yang tinggi.
Langkah ini secara langsung membantu mengurangkan jejak karbon sepanjang kitaran hayat produk bagi setiap unit manual aksesori Honda yang dihasilkan.
Impak Sosial dan Teknikal Kertas Pisang One Planet Paper®
Bahan mentah iaitu serat batang pisang diperoleh daripada ladang organik di Zambia. Batang pisang yang dahulunya dianggap sisa kini diproses menjadi kertas menggunakan teknik pembuatan kertas tradisional Jepun.
Projek ini bukan sahaja memfokuskan kepada isu alam sekitar, malah turut menangani isu sosial termasuk pembasmian kemiskinan dan pemerkasaan wanita di negara membangun.
Ia merupakan penyelesaian dua hala yang menggabungkan kelestarian alam sekitar dan tanggungjawab sosial dalam satu produk yang mampan.
Komitmen Neutral Karbon dan Manual Aksesori Honda
Inisiatif ini merupakan salah satu bahagian daripada usaha Honda untuk mencapai keneutralan karbon menjelang 2050.
Honda Access nekad mengurangkan pelepasan karbon dioksida melalui inovasi produk dan aktiviti korporat.
Dengan mengintegrasikan bahan mampan ke dalam rantaian bekalan, syarikat berharap dapat terus memberikan sumbangan positif kepada masyarakat.
Langkah ini juga membuktikan bahawa perincian sekecil manual aksesori Honda pun mampu memberi impak besar kepada dunia.
Ringkasan Inisiatif Kertas Pisang Honda Access
Bahan Utama: One Planet Paper® yang diperbuat daripada serat batang pisang organik.
Tarikh Peralihan: Bermula Februari 2026 untuk Panduan Mula Pantas penghidup enjin kawalan jauh.
Perubahan: Menggantikan penggunaan kertas tebal bersalutan plastik polipropilena (PP) yang berasaskan fosil.
Sumber Serat: Diperoleh melalui perdagangan adil dari ladang organik di Zambia.
Teknik Pembuatan: Dihasilkan menggunakan kepakaran teknik pembuatan kertas tradisional Jepun.
Manfaat Alam Sekitar: Membantu mengurangkan pelepasan CO2 dan menyokong isu sosial global.
Shell Malaysia menyambut ulang tahun ke-135 dengan melancarkan kempen ‘Mencetus Potensi Sejati’.
Kempen terbaharu ini akan menghadiahkan ganjaran bernilai RM1.35 juta untuk pelanggan di seluruh negara melalui peraduan peringkat nasional.
Pelbagai rangkaian produk moden Shell
Daripada permulaan sebagai pedagang minyak tanah, Shell kini menawarkan rangkaian produk moden.
Antaranya termasuklah Shell FuelSave, Shell V-Power hasil kerjasama dengan Scuderia Ferrari HP, serta rangkaian pengecas EV berprestasi tinggi Shell Recharge.
Pelincir Shell juga terus mengukuhkan reputasi global sebagai Pembekal Pelincir No.1 dunia selama 19 tahun berturut-turut.
Di stesen minyak, Shell Select dan Shell Café menawarkan kopi barista, pastri segar dan pelbagai pilihan makanan serta keperluan harian.
Hadiah utama bernilai RM135,000
Sempena ulang tahun ini, Shell memperkenalkan tawaran nilai baharu di Shell Select dan melancarkan kempen ‘Shell Select Ganjaran water2go Berjuta’.
Bermula 16 Mac hingga 10 Mei 2026, dengan setiap pembelian Water2go pelanggan berpeluang memenangi hadiah berikut:
Hadiah utama RM135,000
Hadiah saguhati sehingga RM13,500
Pelbagai ganjaran mingguan serta bulanan
Komitmen Shell bantu rakyat Malaysia
Menurut Seow Lee Ming, Pengurus Besar Shell Mobiliti dan Kemudahan Malaysia, ulang tahun ini menandakan komitmen Shell untuk terus menawarkan nilai, kemudahan dan pengalaman lebih baik kepada rakyat Malaysia — bukan sahaja hari ini, tetapi juga untuk masa depan.
Selepas 135 tahun, Shell kekal komited untuk terus berinovasi, memperluas penawaran dan memperkukuh hubungan dengan komuniti di seluruh negara.
Morbidelli SC200SR 2026 tampil sebagai skuter sport yang menonjol dengan badan yang bersudut dan agresif. Rekaan sebegini mengingatkan kepada SYM Naga yang sudah berada di pasaran tempatan.
Walaupun tampil menyerlah, Morbidelli tetap mementingkan praktikaliti dan boleh pada kerangka jenis lantai rata yang memberikan keselesaan untuk kegunaan harian.
Rekaan ini juga membolehkan penyediaan ruang penyimpanan bawah tempat duduk yang besar bagi kemudahan pemilik.
Enjin Morbidelli SC200SR 2026
Nadi penggerak utama Morbidelli SC200SR adalah enjin silinder tunggal berkapasiti 168.9 cc.
Enjin ini menggunakan teknologi SOHC 4 injap yang moden serta sistem penyejukan cecair yang dipasang pada bahagian sisi.
Unit ini mampu menghasilkan kuasa maksimum sebanyak 15.2 ps pada 8,000 rpm dan tork maksimum 15.0 Nm pada 7,000 rpm.
Kuasa dihantar ke roda melalui transmisi automatik jenis CVT dengan tali sawat V-Belt. Skuter ini mampu mencapai kelajuan maksimum sehingga 110 km/j.
Sistem Gantungan dan Pengendalian
Morbidelli SC200SR 2026 menggunakan roda aloi bersaiz 13 inci di depan dan belakang untuk kelincahan yang baik serta pertukaran arah spontan
Tayar yang digunakan bersaiz 120/70 pada bahagian hadapan dan 130/70 pada bahagian belakang daripada jenama CST.
Sistem gantungan pula terdiri daripada fork teleskopik hadapan dengan jarak gerak 82 mm.
Manakala bagi bahagian belakang, ia menggunakan penyerap hentak tunggal yang boleh dilaraskan tahap prabeban dengan jarak gerak 32.5 mm.
Teknologi Keselamatan SC200SRDari segi pakej keselamatan, SC200SR didatangkan standard dengan sistem brek anti kunci atau ABS 2 saluran yang bertindak pada cakera hadapan bersaiz 260 mm dan cakera belakang bersaiz 233 mm.
Selain itu, ia turut dilengkapi Sistem Kawalan Cengkaman atau TCS serta Sistem Pemantauan Tekanan Tayar atau TPMS.
Ciri-ciri ini merupakan kelengkapan premium yang biasanya hanya ditemui pada skuter kelas atasan bagi memperkukuh keyakinan penunggang.
Kelengkapan Multimedia dan Keselesaan
Morbidelli melengkapi SC200SR dengan sistem penghidup enjin tanpa kunci dan suis pemegang yang mempunyai lampu latar.
Panel instrumen menggunakan paparan LCD yang komprehensif untuk rujukan maklumat tunggangan.
Kemudahan mengecas peranti turut disediakan melalui dua port USB iaitu jenis Type-A dan Type-C.
Sistem pencahayaan adalah jenis LED sepenuhnya termasuk fungsi lampu kecemasan untuk keselamatan tambahan.
Omoda | Jaecoo Malaysia mengumumkan pakej menarik bagi bakal pembeli dua SUV baharunya, iaitu Jaecoo J5 dan Omoda C9 PHEV.
Jaecoo J5 bakal dilancarkan tidak lama lagi, manakala Omoda C9 PHEV pula akan dilancarkan pada suku kedua tahun ini.
Ganjaran Ekslusif Super Early Bird
Bernilai sehingga RM8,888, berikut merupakan ganjaran yang bakal dinikmati para pembeli Jaecoo J5:
insurans tahun pertama (RM3,000)
aksesori subwoofer, mikrofon tanpa wayar dan lampu suluh pelbagai fungsi (bernilai RM2,000)
rebat Angpow CNY (bernilai RM3,888)
Bagi Omoda C9 PHEV pula disediakan ganjaran berikut:
rebat Angpow CNY (bernilai RM3,888)
kabel V2L percuma (bernilai RM730)
Kempen ini sah bagi pelanggan yang membuat tempahan awal sebelum pelancaran rasmi bulan depan.
Lebih banyak model Omoda | Jaecoo bakal dilancarkan
Omoda | Jaecoo Malaysia turut mengumumkan harga jualan anggaran bagi dua model yang disebutkan tadi:
Jaecoo J5: RM110,000
Omoda C9 PHEV: RM220,000
Selain Jaecoo J5 dan Omoda C9 PHEV, Omoda | Jaecoo Malaysia bakal memperkenalkan dua model baharu pada suku ketiga dan dua lagi pada suku keempat tahun ini.
Toyo Tyre Sales and Marketing Malaysia Sdn Bhd (Toyo Tyre Malaysia) mengumumkan kehadiran Proxes Comfort serba baharu.
Tayar ini dibangunkan dengan teknologi moden dan rekaan termaju untuk menawarkan pengalaman pemanduan yang lebih selamat, selesa dan meyakinkan.
Ciri-ciri utama Proxes Comfort
Teras utama Proxes Comfort terletak pada gabungan sebatian bunga tayar termaju, struktur dalaman diperkukuh serta corak bunga tayar yang dioptimumkan.
Kesannya, ia dapat memastikan sentuhan permukaan jalan yang lebih konsisten terutama ketika menukar lorong, mengambil selekoh tajam dan pemanduan berkelajuan tinggi di lebuh raya.
Aspek kestabilan brek turut dititikberatkan menerusi Dynamic Taper Design yang dapat mengekalkan sentuhan lebih konsisten dengan permukaan jalan.
Berbanding Proxes CF 2 yang terdahulu, Proxes Comfort mampu mencapai jarak brek 8 peratus lebih pendek di litar kering dan 13 peratus lebih pendek di jalan basah.
14 saiz tersedia
Tayar Proxes Comfort tersedia dalam 14 saiz bermula dari diameter rim 16 inci hingga 19 inci.
Kebanyakan varian memiliki penarafan XL (Extra Load) yang menyokong keperluan berat bagi kenderaan elektrik (EV), hibrid (HEV) dan plug-in hybrid (PHEV).
Harga tayar dari RM279
Bergantung kepada saiz, harga jualan bagi satu unit Proxes Comfort bermula dari RM279 hingga RM698.
UMW Toyota Motor (UMWT) memulakan tahun 2026 dengan permulaan yang stabil, di mana sebanyak 4,700 unit kenderaan telah terjual sepanjang bulan Januari.
Pencapaian ini menunjukkan penerimaan pasaran yang konsisten dan disokong oleh rangkaian produk yang meluas dalam pasaran Malaysia.
Berpandukan pendekatan “Best in Town”, UMWT komited untuk menyediakan pengalaman pemilikan yang boleh dipercayai disokong oleh produk berkualiti dan rangkaian sokongan di seluruh negara.
Perluas tawaran mobiliti lebih menyeluruh
Di bawah pendekatan Multipathway, UMW Toyota Motor berterusan memperluas pilihan mobiliti tanpa meninggalkan pelanggan.
Antara yang telah dilancarkan setakat ini termasuklah jentera prestasi tinggi GR Corolla dengan transmisi automatik, serta Vellfire HEV.
Tidak ketinggalan, sedan segmen B Vios HEV sebagai akses kepada elektrifikasi yang lebih mampu milik.
UMWT turut melabur dalam kemudahan pemasangan bateri hibrid di kilang Bukit Raja, dengan kapasiti sehingga 30,000 unit setahun.
Fasiliti ini mampu mengukuhkan ketahanan bekalan dan menyokong penggunaan kenderaan hibrid dengan lebih meluas di Malaysia.
Promosi sempena CNY
Sempena Tahun Baru Cina, UMWT menawarkan promosi perayaan untuk model terpilih, dengan manfaat sehingga RM9,500 dan ansuran bulanan serendah RM658.
UMWT turut memperkenalkan beberapa program khas untuk meningkatkan keyakinan pemilikan, seperti:
Toyota Extend – perlindungan jaminan lanjutan melebihi tempoh standard untuk model terpilih
Toyota Service Savers – pilihan pakej penyelenggaraan serendah RM33/bulan untuk tempoh 5-tahun
Hong Leong Yamaha Motor (HLYM) menyerahkan 200 unit Tracer 9 GT kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Ia menandakan penyerahan terbesar yang dibuat oleh HLYM kepada PDRM setakat ini.
Jentera ini dipilih atas faktor keselesaan tunggangan, prestasi tinggi, teknologi canggih, ketahanan dan kebolehpercayaan.
Selain daripada itu, PDRM juga yakin akan reputasi Yamaha dalan aspek kualiti dan kebolehpercayaan, disokong rangkaian selepas jualan Yamaha Quality Service (YQS) yang meluas di seluruh negara.
Yamaha Tracer 9 GT ini akan digunakan dalam tugasan iringan peringkat tinggi dan rondaan khas.
Mforce Bike Holdings melancarkan sebuah lagi motosikal jenama WMoto, iaitu jentera dwi-kegunaan Hawk 200i.
Terdapat dua warna iaitu Obsidian Black dan Extreme Red, dengan harga jualan dari RM7,888 (tidak termasuk cukai jalan dan pendaftaran).
Spesifikasi
Jentera ini dikuasakan oleh enjin silinder tunggal 200 cc sejukan cecair yang dipadankan dengan transmisi 5-kelajuan.
Kuasa sekitar 16.1 hp @ 8,000 rpm dan daya kilas 15.7 Nm @ 7,000 rpm disalurkan ke roda menerusi pacuan rantai.
Sistem suspensi terdiri daripada fork teleskopik jenis terbalik dan penyerap hentak tunggal di belakang yang sesuai untuk jalan bandar atau laluan off-road ringan.
Brek pula menggunakan tetapan cakera depan dan belakang, lengkap dengan sistem ABS hadapan yang boleh dinyahaktif.
Mitsubishi Motors Malaysia mengumumkan pembukaan tempahan bagi SUV segmen B Mitsubishi Xforce 2026.
Ditawarkan dalam dua varian, harga jualan anggaran adalah seperti berikut:
Xforce Urban – RM110,000
Xforce Ultimate – RM120,000
Bersempena dengan pra-pelancaran, MMM turut mengumumkan promosi berikut:
rebat tunai RM5,000 untuk 1,000 orang pembeli pertama
rebat tunai tambahan RM1,000 untuk pemilik Mitsubishi sedia ada
kos penyelenggaraan 5-tahun cuma RM3,978.03 serta pengecualian kos buruh sebanyak tiga kali
peraduan “Beli 1 Percuma 1” di mana setiap pelanggan yang membuat tempahan sebelum pelancaran April ini berpeluang untuk membawa pulang Mitsubishi Xforce Ultimate
Dimensi
Dari segi ukuran, Xforce membawakan panjang 4,390 mm, lebar 1,810 mm dan tinggi 1,660 mm.
Jarak antara roda pula sekitar 2,650 mm sementara jarak lega bumi 222 mm.
SUV ini turut menawarkan sudut pendekatan 21 darjah serta sudut pelepasan 30.5 darjah, sesuai untuk pemanduan off-road ringan.
Kapasiti kargo pula sebesar 410 liter.
Enjin
Xforce dikuasakan enjin MIVEC empat silinder sebaris (kod 4A91) 1.5 liter yang dipadankan dengan kotak gear CVT.
Kuasa mencecah 103 hp @ 6,000 rpm dan daya kilas 141 Nm @ 4,000 rpm itu disalurkan kepada roda depan.
Biarpun dengan sistem 2WD, Xforce menawarkan sehingga 4 mod pemanduan iaitu Normal, Gravel, Mud, dan Wet.
Kelengkapan
SUV ini menggunakan tetapan topang MacPherson di depan dan torsion beam di bahagian gandar belakang.
Dari sudut luaran, Xforce mendapat ciri seperti:
lampu utama LED berserta DRL
lampu belakang LED
spoiler belakang
rim aloi 18 inci
tayar Toyo Proxes CR1 saiz 225/50 R18
pintu tailgate berkuasa elektrik (varian Ultimate sahaja)
Secara standard, Xforce hadir dengan kelengkapan seperti:
upholsteri leatherette
skrin kluster digital 4.2 inci
skrin infohibur 8 inci
sokongan Apple CarPlay/Android Auto berwayar
enam pembesar suara
kawalan iklim dua zon automatik
Untuk varian Ultimate pula mendapat kelengkapan tambahan:
upholsteri kulit sintetik dengan aksen mocha
tempat duduk larasan manual
skrin kluster digital 8 inci
skrin Display Audio 12.3 inci
sokongan Apple CarPlay dan Android Auto
sistem audio Dynamic Sound Yamaha Premium dengan 8-pembesar suara
port pengecasan USB
sistem pencahayaan ambien
slot pengecasan peranti pintar tanpa wayar
Keselamatan
Secara standard, Xforce didatangkan dengan empat beg udara, peranti perakam video pemanduan, serta dua fungsi keselamatan aktif iaitu amaran titik buta (BSW) dan Amaran Lintasan Trafik Belakang (RCTA).
Varian Ultimate pula mendapat kelengkapan berikut:
enam beg udara
peranti perakam video pemanduan depan dan belakang
Suzuki Malaysia bersama AFY Mobility Industries (AMI) menganjurkan Kempen Keselamatan AMI-Suzuki 2026 sempena Tahun Baharu Cina 2026 (CNY 2026).
Kempen ini dirasmikan oleh Datuk Jazmanie Shafawi selaku Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan dan Operasi) Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
Turut sama hadir dalam majlis tersebut ialah Ahmad Faez Yahaya selaku Pengerusi Eksekutif AFY Mobility Industries dan Datuk Wee Hong, Pengerusi Persatuan Pengedar Motosikal dan Skuter Malaysia (MMSDA).
Keselamatan Bermula Dengan Kita
Dalam ucapannya, Datuk Jazmanie berkongsi statistik kemalangan yang membimbangkan terutama di kalangan golongan muda.
Ujarnya, lebih 80 peratus kes kemalangan melibatkan penunggang motosikal, dan hampir 50 peratus daripadanya terdiri daripada golongan berusia antara 16-25 tahun.
Datuk Jazmanie menjelaskan walaupun pelbagai inisiatif telah dilaksanakan kerajaan, aspek kesedaran dan tanggungjawab individu kekal sebagai faktor paling penting.
Ia adalah selaras dengan tema kempen tahun ini, iaitu “Keselamatan Bermula Dengan Kita”.
Menurut Ahmad Faez, adalah menjadi tanggungjawab Suzuki Malaysia sebagai pengeluar, pemasang dan pengedar untuk memastikan setiap produk mengutamakan aspek keselamatan.
Jelasnya, setiap produk Suzuki, AFAZ dan Moda di bawah Kumpulan AMI dilengkapi dengan lampu LED yang lebih terang untuk meningkatkan tahap keterlihatan dan mengurangkan risiko kemalangan.
Komitmen ini menjadi asas kepada penganjuran kempen yang menawarkan pemeriksaan keselamatan 16-poin secara percuma kepada orang ramai.
Serah 200 unit topi keledar & jaket keselamatan
Kempen ini turut mendapat sokongan daripada AEON Credit Malaysia dan Tokio Marine Insurance.
Hampir 200 unit topi keledar dan 200 jaket keselamatan telah diagihkan kepada para peserta yang sudah menjalani pemeriksaan keselamatan motosikal.
Selain itu, 30 buah topi keledar turut diedarkan kepada kanak-kanak berusia 4-6 tahun sebagai usaha memupuk kesedaran sejak kecil.
Morbidelli memperkenalkan NR125X yang membawa konsep Naked Retro Crossover dan menggabungkan prestasi motosikal naked moden dengan elemen reka bentuk scrambler klasik.
Nama model ini membawa maksud NR untuk Naked Retro manakala X mewakili elemen Crossover.
Bagi tahun model 2026, rangkaian NR125X akan diperluas secara global melibatkan versi 125cc serta varian 200cc baharu yang dikhususkan untuk pasaran Amerika Tengah dan Selatan.
Rekaan Luaran dan Gaya Scrambler NR125X
Walaupun jentera ini tidak menggunakan reka bentuk ekzos tinggi, pengaruh warisan scrambler jelas kelihatan pada beberapa komponen utama NR125X.
Ia dilengkapi lampu hadapan bulat yang disertakan dengan lampu siang DRL, bar pemegang yang tinggi, serta pelana tunggal dengan tekstur beralun.
Penampilan ringkas model retro ini diteruskan pada unit ekor yang minimalis dan penggunaan panel instrumen LCD bulat yang diletakkan secara offset.
Untuk kegunaan pelbagai permukaan jalan, rim aloi 17 inci NR125X dipadankan dengan tayar corak bunga campuran daripada CST yang sesuai untuk tugasan bandar mahupun pengembaraan ringan.
Rangkaian Kuasa NR125X
Morbidelli NR125X dikuasakan enjin satu silinder 125cc dengan konfigurasi DOHC 4 injap dengan sistem penyalaan T.C.I. dan sistem sejukan cecair.
Dari segi output, enjin motosikal ini menghasilkan 14.7 hp pada 9,500 rpm dan tork maksimum 11.5Nm pada 8,000 rpm.
Kuasa dihantar ke roda melalui kotak gear 6 kelajuan yang turut dilengkapi dengan ciri premium klac jenis slipper untuk meningkatkan aspek keselamatan ketika menurunkan gear dengan pantas.
Kerangka Diamond dan Suspensi
NR125X menggunakan kerangka jenis Diamond yang direka untuk kelincahan tunggangan.
Dengan berat hanya 143 dan ketinggian pelana pada paras 795 mm, NR125X menawarkan akses yang mudah untuk pelbagai profil penunggang.
Sistem ampaian pula menggunakan fork teleskopik terbalik 33 mm pada bahagian hadapan dengan jarak gerak 130 mm.
Bahagian belakang NR125X dilengkapi penyerap hentak tunggal Pro-link dengan fungsi larasan prabeban dan jarak gerak 30 mm.
Ciri Keselamatan dan Kelengkapan Moden
Aspek pemberhentian NR125X dikendalikan oleh brek cakera terapung 260 mm dengan angkup 2 omboh di hadapan dan cakera 220 mm dengan angkup 1 omboh di bahagian belakang.
Sistem keselamatan pada NR125X diperkukuhkan lagi dengan penggunaan ABS dua saluran untuk mengelakkan roda terkunci ketika brek kecemasan.
Di antara keunikan utama model ini adalah tangki bahan api berkapasiti 17.5 liter yang memberikan jarak tunggangan terbaik dalam kelasnya bagi sesaran ini.
Kelengkapan lain pada NR125X seperti lampu LED sepenuhnya, lampu kecemasan serta dua port pengecasan USB jenis A dan jenis C untuk kemudahan peranti pintar.
Spesifikasi Morbidelli NR125X
Enjin: 125cc, 1 silinder, 4 lejang, 4 injap, DOHC
Kuasa Maksimum: 14.7 hp pada 9,500 rpm
Tork Maksimum: 11.5Nm pada 8,000 rpm
Sistem Penyejukan: Sejukan cecair
Sistem Bahan Api: EFI Motion
Klac: Slipper clutch
Kotak Gear: 6 kelajuan
Kerangka: Jenis Diamond
Suspensi Hadapan: Fork teleskopik terbalik 33 mm
Jarak Gerak Suspensi Hadapan: Jarak gerak 130 mm
Suspensi Belakang: Penyerap hentak tunggal Pro-link, prabeban boleh laras
Jarak Gerak Suspensi Belakang: Jarak gerak 30 mm
Lengan Ayun: Keluli dua sisi
Brek Hadapan: Cakera terapung 260 mm, angkup 2 omboh