Arkib Kategori: MALAYSIA

Jaecoo Malaysia buka pusat pengedaran pertama di Kota Kinabalu

Selepas sebulan sibuk menyempurnakan penyerahan J7 kepada pelanggan, Jaecoo kini mengukuhkan rangkaian perkhidmatannya di Malaysia Timur menerusi pelancaran pusat pengedaran baharu di Kota Kinabalu, Sabah.

Dioperasikan oleh Universal Jaecoo Sdn Bhd, ia merupakan pusat pengedaran pertama Jaecoo di Malaysia Timur.

“Malaysia Timur ialah sebuah pasaran penting bagi kami. Para peminat jenama boleh menikmati pengalaman pemilikan premium yang menghidupkan falsafah jenama Jaecoo “From Classic, Beyond Classic”.

“Kami percaya J7 jelas menambat hati dan selera peminat SUV di Sabah dan Jaecoo bersedia untuk memenuhi permintaan ini,” kata Naib Presiden Eksekutif Chery Corporate Malaysia, Leo Chen.

Kemudahan baharu itu menampilkan seni bina geometrik dan mempunyai kapasiti untuk menerima sehingga 200 pengunjung sebulan. Ia dibina dan dilengkapi untuk memberikan pengalaman menyeluruh kepada pelanggan daripada titik pembelian kepada perkhidmatan lepas jualan.

Selain itu, pelanggan juga boleh menikmati pelbagai keselesaan termasuk ruang tamu santai untuk pelanggan yang dilengkapi kaunter kopi dan teh, sambungan Internet kelajuan tinggi dan surau.

Menurut Naib Presiden Jaecoo Malaysia, Emily Lek, pengunjung ke pusat pengedaran ini berpeluang untuk melihat Jaecoo J7 AWD dan 2WD dengan lebih dekat.

“Barisan penasihat jualan kami yang dilatih secara profesional juga bersedia untuk menjawab sebarang pertanyaan tentang produk dan mengatur sesi pandu uji atas permintaan,” tambah beliau.

Pengarah Urusan Universal Jaecoo Sdn Bhd, Datuk Chok Yun Kiong menambah, “Kami teruja untuk diberi kepercayaan mewakili jenama Jaecoo yang nyata membuktikan keupayaan dan pengalaman kami sebagai rakan penjual kenderaan yang memahami pasaran Malaysia Timur.”

Ducati Hypermotard 698 Mono dilancarkan di Malaysia, dari RM71k

Ducati Malaysia memperluaskan penawarannya di negara ini dengan pelancaran Ducati Hypermotard 698 Mono baharu.

Jentera itu boleh didapati dalam varian asas Hypermotard 698 Mono yang berharga RM70,900 dan varian 698 Mono RVE pada harga RM77,900.

Kedua-duanya dipacu oleh enjin Superquadro Mono 659 cc silinder tunggal yang dibina berasaskan enjin Superquadro 1,285 cc dari 1299 Panigale.

Dilengkapi dengan sistem desmodromic, enjin ini mampu menjana kuasa keseluruhan berjumlah 77.5 hp pada 9,750 rpm dan 64 Nm pada 8,000 rpm.

Apa yang lebih menarik, kuasanya boleh meningkat sehingga 84.5 hp jika menggunakan ekzos perlumbaan Termignoni.

Sistem suspensi terdiri daripada upside-down fork Marzocchi boleh laras sepenuhnya di hadapan dan lengan ayun berkembar dengan penyerap hentak Sachs di belakang.

Untuk roda, Hypermotard 698 Mono menggunakan rim aloi tempaan 17 inci yang dibalut tayar Pirelli Diablo Rosso IV bersaiz 120/70 di hadapan dan 160/60 di belakang.

Kuasa membrek pula dibekalkan oleh cakera tunggal 330 mm dan angkup Brembo M4.32 di hadapan, dan cakera tunggal 245 mm dengan angkup piston tunggal di belakang.

Untuk sistem elektronik, motosikal ini didatangkan dengan teknologi yang diperoleh daripada barisan Panigale seperti Cornering ABS with Slide-by-Brake, Ducati Wheelie Control, Ducati Traction Control, Engine Brake Control dan empat mod tunggangan.

Varian RVE boleh dibezakan dengan varian asas menerusi grafik unik dan penambahan Ducati Quick Shift (DQS), yang ditawarkan sebagai opsyen pada varian asas.

Perlumbaan Super GT kembali gegarkan Litar Sepang tahun 2025

Mungkin tidak ramai yang tahu, Malaysia sebenarnya pernah menjadi lokasi rasmi perlumbaan Super GT bermula dari tahun 2000 dan berakhir pada tahun 2013.

Setelah 11 tahun menyepi, perlumbaan Super GT bakal kembali menggegarkan Litar Antarabangsa PETRONAS Sepang untuk tiga musim, bermula tahun 2025 hingga tahun 2027.

Sehubungan dengan itu, satu majlis tandatangan perjanjian telah berlangsung siang tadi antara HARO Sports & Entertainment selaku pemegang hak dan promosi untuk Super GT pusingan Malaysia serta GT Association (GTA) selaku pemegang hak untuk Super GT.

Perjanjian tersebut ditandatangani oleh Fahrizal Hasan (HARO Sports & Entertainment) dan Masaaki Bandoh (Presiden & CEO GTA) yang turut disaksikan oleh YB Khairul Firdaus Akbar Khan selaku Timbalan Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan.

Turut hadir dalam acara tandatangan tersebut ialah CEO Litar Antarabangsa PETRONAS Sepang, Azhan Shafriman Hanif serta Setiausaha Agung Persatuan Sukan Permotoran Malaysia (MAM), S. N. Nanthan.

Malaysia kekal menjadi satu-satunya lokasi perlumbaan di luar Jepun untuk musim perlumbaan 2025 selepas kali terakhir Super GT dianjurkan di negara Thailand pada tahun 2019.

Berikut merupakan lokasi perlumbaan Autobacs Super GT 2025:

Pusingan Pembukaan (12-13 April) – Okayama International Circuit
Pusingan Kedua (3-4 Mei) – Fuji Speedway
Pusingan Ketiga (27-28 Jun) – Litar Antarabangsa PETRONAS Sepang
Pusingan Keempat (2-3 Ogos) – Fuji Speedway
Pusingan Kelima (23-24 Ogos) – Suzuka Circuit
Pusingan Keenam (20-21 September) – Sportsland Sugo
Pusingan Ketujuh (18-19 Oktober) – Autopolis International Racing Course
Pusingan Kelapan (1-2 November) – Mobility Resort Motegi


Dua kelas utama Super GT, iaitu GT500 yang menampilkan pengeluar seperti Toyota, Honda dan Nissan sementara peserta kelas GT300 terdiri daripada Subaru dan Lexus.

Perlumbaan berprestij ini sepatutnya membuat kemunculan kembali pada tahun 2020, namun ia terpaksa dibatalkan akibat pandemik COVID-19 yang melanda global pada ketika itu.

Menariknya, rata-rata pasukan dan pelumba Super GT menyifatkan pusingan Malaysia sebagai satu pengalaman yang unik dan agak mencabar dalam perlumbaan litar disebabkan oleh panas ekstrem dan hujan lebat yang sukar untuk diduga, tidak seperti kebiasaan yang dialami di Jepun.

Super GT 2025 akan membawakan pelbagai jenis daya tarikan seperti Race Ambassadors, sesi pit terbuka, pit walk, grid walk, serta Circuit Safari di mana peminat berpeluang untuk merasai aksi dalam litar dengan lebih dekat.

 

JPJ perkenal siri pendaftaran “EV”, rekaan plat khas untuk kenderaan elektrik

Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) hari ini memperkenalkan rekaan plat khas JPJePlate yang dikhususkan untuk kenderaan sifar emisi (ZEV).

Menurut JPJ, tiga piawaian telah ditetapkan untuk rekaan plat khas yang diinspirasikan daripada negara Eropah, seperti:

1. Ciri retro-reflektif untuk meningkatkan keterlihatan pada waktu malam, dan mengurangkan kadar kemalangan

2. Pelekat hologram anti-klon untuk meminimumkan risiko kecurian dan penipuan

3. Teknologi RFID terintegrasi yang menyokong pembayaran tol dan parkir kenderaan.

Pelaksanaan JPJePlate ini akan berkuatkuasa bermula hari ini (9 September 2024) untuk kenderaan elektrik baharu, di mana tempahan boleh dibuat menerusi laman sesawang jpjeplate.jpj.gov.my.

Rekaan plat baharu ini tidak akan diwajibkan untuk kenderaan ZEV yang sudah berdaftar, namun pemilik masih boleh membuat tempahan seawal November ini.

Set lengkap JPJePlate berharga RM98/set merangkumi plat hadapan, plat belakang, pelekat cermin RFID dan kos penghantaran standard.

Selain itu, JPJ turut melancarkan bidaan nombor pendaftaran istimewa (NPI) dengan tanda indeks “EV” melalui Sistem JPJeBid bermula hari ini dan berakhir 13 September 2024 jam 10.00 malam.

Nombor pendaftaran “EV” ini akan dikhususkan untuk kenderaan ZEV sahaja dan tidak boleh didaftarkan pada kenderaan bukan ZEV.

Seperti yang telah dilaksanakan sebelum ini, sebahagian pendapatan daripada NPI ini akan disalurkan kepada inisiatif rakyat seperti program penukaran topi keledar percuma dan latihan lesen B2 untuk golongan B40.

Jadi yang pertama pandu Volvo EX30 pada 26-29 Sept ini

Volvo Car Malaysia menawarkan peluang kepada pelanggan untuk memandu uji Volvo EX30 dalam acara Volvo EX30 Experience yang akan berlangsung dari 26 hingga 29 September di KL Base, Sungai Besi.

Diadakan sejurus selepas pelancaran rasmi EX30 yang dijadualkan pada 25 September, acara tersebut menawarkan peluang kepada pelanggan untuk menjadi antara yang pertama untuk memandu SUV elektrik sepenuhnya yang terbaharu dari Volvo.

EX30 padat dengan teknologi dan menampilkan sistem bantuan parkir baharu, sistem Google Built-In, sistem Pilot Assist yang dinaik taraf dan kesedaran sekeliling 360° yang dibantu oleh kamera, sensor dan radarnya.

Bukan itu sahaja, EX30 juga merupakan kereta terpantas daripada Volvo dan mempunyai jejak karbon terendah daripada mana-mana kereta keluaran syarikat dari Sweden itu.

Pelanggan yang hadir ke Volvo EX30 Experience akan dapat: 

  • Memahami pelbagai idea kecil, inspirasi, pengiraan dan ujian yang dilakukan untuk memberikan impak besar dalam reka bentuk EX30. 
  • Melihat, menyentuh, mendengar, dan memandu sendiri EX30. 
  • Mempelajari teknologi canggih dan ciri keselamatan EX30 dalam satu sesi pemanduan kereta yang interaktif. 
  • Merasai sendiri pecutan pantas dan pengendalian dinamik EX30 di landasan lapangan terbang ikonik Sungai Besi. 
  • Menikmati pemanduan EX30 yang dilengkapi dengan reka bentuk yang mesra bandar
  • Nikmati layanan mesra Scandinavia yang diiringi oleh perunding berpengetahuan dari pengedar sah Volvo.

Volvo EX30 Experience akan berlangsung dari 10:00 pagi hingga 6:00 petang setiap hari dan slot adalah terhad berdasarkan siapa cepat dia dapat. Pendafataran boleh dibuat di https://forms.volvocarmalaysia.com/ex30

Pelanggan boleh membuat tempahan dalam talian untuk Volvo EX30 bermula 25 September.

 

Hiroshi Tamura, Bapa GT-R Moden bakal meriahkan GT-R Festival 4-6 Oktober ini

Para peminat dan pemilik Nissan GT-R di Malaysia dijemput untuk menyertai acara GT-R Festival yang akan berlangsung di Crowne Plaza Penang Straits City pada 4-6 Oktober ini.

Acara 3 hari 2 malam itu disasarkan untuk menjadi perhimpunan terbesar model-model GT-R untuk diabadikan dalam Malaysia Book of Records.

Selain daripada itu, GT-R Festival juga memberikan peluang kepada para pemilik GT-R untuk berjumpa sendiri dengan Hiroshi Tamura yang lebih dikenali sebagai ‘Bapa GT-R Moden’.

Insan berusia 62 tahun itu menyertai Nissan pada tahun 1984, dan sempat bekerja selama tiga tahun sebelum berpindah ke Autech, sebuah subsidiari yang bertanggungjawab membina jentera-jentera GT-R.

Beliau menyertai semula Nissan pada tahun 1993 dalam bahagian perancangan produk, di mana ia membuka peluang untuk membangunkan model Nissan Skyline GT-R R34.

Pada tahun 2006, Hiroshi Tamura dinamakan sebagai Ketua Pakar Produk, dan sejak daripada itu lebih dikenali sebagai Bapa GT-R Moden.

Untuk GT-R Festival, terdapat dua kategori yang dibuka kepada semua pemilik GT-R seperti berikut:

1. Elite

Bernilai RM1,999, kategori ini akan terbuka kepada 250 orang peserta merangkumi penginapan 3 hari 2 malam, acara makan malam, konvoi, sesi bersama Hiroshi Tamura, sesi bergambar, t-shirt eksklusif GT-R Festival dan 2 tiket ke Tokyo Auto Salon Kuala Lumpur.

2. Ultimate Elite

Dengan harga RM3,499, kategori ini akan dihadkan kepada 20 peserta sahaja, di mana setiap peserta akan menerima manfaat yang sama seperti kategori Elite.

Istimewanya, peserta kategori ini akan turut mendapat jaket eksklusif GT-R Festival, dua tiket VIP ke Tokyo Auto Salon Kuala Lumpur 2024, serta sesi makan malam eksklusif bersama Hiroshi Tamura di Crown Plaza Penang Straits City.

Maklumat lanjut boleh didapati menerusi laman web https://www.tokyoautosalonkl.com/gtrfest

Modenas, IFS Capital lancar Program Pembiayaan Rantaian Bekalan

Motosikal Dan Enjin Nasional Sdn. Bhd. (Modenas) dan IFS Capital Malaysia Sdn. Bhd. telah menjalinkan kerjasama strategik untuk menyediakan fleksibiliti kewangan kepada vendor Modenas melalui Program Pembiayaan Rantaian Bekalan.

Kerjasama yang dikenali sebagai ‘SupplyLink Accord’ itu akan menyaksikan vendor akan menikmati beberapa ciri program pembiayaan berkenaan seperti berikut:

  • Pilihan Pembayaran Awal: Vendor dan pembekal mendapat akses kepada dana lebih awal daripada kitaran pembayaran tradisional.
  • Proses Diperkemas: Kelulusan invois dipermudahkan dan prosedur pembayaran digital untuk transaksi yang lebih pantas.
  • Fleksibiliti Kewangan yang Dipertingkat: Sokongan aliran tunai segera untuk pengurusan modal kerja yang berkesan
  • Akses Mudah: Portal dalam talian tersedia 24 jam, 7 hari seminggu.
  • Transaksi Digital: Proses secara digital yang lebih kemas.
  • Tiada Akaun Bank Baru Diperlukan: Tidak memerlukan akaun tambahan.
  • Kos Telus: Tiada bayaran atau yuran tersembunyi.

Roslan Roskan, Ketua Pegawai Eksekutif Modenas berkata, “Pilihan pembayaran awal akan memastikan rantaian bekalan kami beroperasi dengan cekap dan dapat memenuhi keperluan.

“Selain itu, ia juga membantu perniagaan kecil tempatan untuk menguruskan aliran tunai mereka, dan ini pasti akan menyumbang kepada keseluruhan komitmen kami di Modenas terhadap pertumbuhan ekonomi.”

“Kami sangat teruja untuk bekerjasama dengan Modenas untuk memperkenalkan penyelesaian pembiayaan inovatif ini,” kata Ab. Razak Khalil, Ketua Pegawai Eksekutif IFS Capital.

“Program kami direka untuk mewujudkan rantaian bekalan yang lebih tangkas dan responsif, memacu pertumbuhan dan kemampanan untuk semua pihak yang terlibat.”

Dengan meningkatkan fleksibiliti kewangan, Program Pembiayaan Rantaian Bekalan dapat mengukuhkan lagi rantaian bekalan serta memupuk daya tahan perniagaan.

Program ini menetapkan penanda aras baharu dalam industri, sejajar dengan trend penyelesaian kewangan yang semakin berkembang yang menyokong keperluan perniagaan dinamik di seluruh Malaysia dan juga di rantau ASEAN.

BYD Seal 2024, varian Dynamic RWD dengan jarak gerak 510 km, dari RM163,800

Sime Darby Motors selaku pengedar rasmi kenderaan BYD di Malaysia melancarkan BYD Seal 2024 varian Dynamic sebagai pelengkap kepada penawaran sedan elektrik Seal sedia ada.

Dengan harga jualan bermula dari RM163,800, jaminan pengeluar enam-tahun atau perbatuan 150,000 km, jaminan bateri 8-tahun (atau 160,000 km), serta jaminan unit pacuan 8-tahun atau 150,000 km, BYD Seal Dynamic ini mampu menjadi pilihan yang lebih mampu milik.

Selain itu, BYD turut menawarkan unit pengecas Wall Box Home secara percuma untuk 100 unit tempahan pertama.

Berikut merupakan spesifikasi ringkas BYD Seal varian Dynamic yang perlu anda tahu:

 

1. Dua pilihan warna

BYD Seal Dynamic RWD boleh didapati dalam dua pilihan warna, iaitu Cosmos Black dan Aurora White.

2. Kuasa

Dengan motor elektrik pacuan roda belakang, BYD Seal Dynamic RWD mampu menghasilkan kuasa 201 hp dan 310 Nm.

Pecutan 0-100 km/j boleh diselesaikan dalam masa 7.5 saat.

3. Jarak gerak 510 km

Pek bateri berkapasiti 61.44 kWh mampu menawarkan jarak gerak sejauh 510 km untuk sekali cas penuh (data NEDC).

Sebagai perbandingan, BYD Seal Premium boleh bergerak sejauh 650 km, sementara varian Performance pula sekitar 580 km.

4. Pengecasan pantas DC

BYD Seal Dynamic RWD dibekalkan dengan teknologi pengecasan pantas DC 110 kW, selain fungsi vehicle-to-load (V2L) yang mampu meningkatkan lagi aspek praktikaliti sedan elektrik ini terutama ketika melakukan aktiviti luar rumah.

5. Ciri standard

Secara standard, BYD Seal Dynamic RWD menyediakan ruang kargo sebesar 400 liter, diikuti ruang kargo depan (frunk) sebesar 50 liter.

Selain itu, ia turut mempunyai rekaan rim unik bersaiz 18 inci yang dibaluti tayar 225/50 R18.

Serentak dengan pelancaran BYD Seal Dynamic RWD, BYD Malaysia turut mengemaskini penawaran SUV elektrik BYD Atto 3 (harga RM149,800) dengan ciri yang dipertingkatkan seperti berikut:

-saiz kapasiti bateri meningkat kepada 60.48 kWh
-jarak gerak kini cecah 480 km (data NEDC)
-pecutan 0-100 km/j dalam 7.3 saat
-pintu tailgate automatik
-penapis udara PM2.5
-sistem lampu ambien ikut rentak muzik
-lapan pembesar suara

Untuk 300 unit tempahan pertama, pembeli BYD Atto 3 2024 akan dibekalkan dengan Wallbox Home Charger, pakej servis 3-tahun dan cukai jalan percuma 4-tahun.

 

BYD Seal Dynamic RWD 2024

BYD Atto 3 2024

Hyundai Santa Fe facelift dilancarkan di Malaysia, dari RM186k-RM206k

Hyundai-Sime Darby Motors (HSDM) mengumumkan bahawa Hyundai Santa Fe generasi keempat versi facelift sudah dilancarkan dan boleh ditempah di semua bilik pameran Hyundai di seluruh negara.

100 pelanggan pertama yang membuat tempahan akan menikmati diskaun sebanyak RM10,000, menjadikan harga jualan bermula dari RM185,888 untuk 1.6L Turbo Hybrid Plus, RM205,888 untuk 1.6L Turbo Hybrid Max dan RM199,888 untuk 2.2L Turbo Diesel Max.

Ketiga-tiga varian Santa Fe dipasang secara tempatan dan didatangkan dengan jaminan selama lima tahun/300,000 km.

Dari segi penampilan, Santa Fe baharu lampu nyalaan siang LED berbentuk T, gril lebar yang menggabungkan lampu utama, serta bar bercahaya yang menyambungkan kedua-dua lampu belakang. Terdapat empat warna untuk dipilih iaitu Jet Black, Snowflake White Pearl, Meteor Grey dan Stormy Sea.

Antara kelengkapan yang ada termasuk skrin sentuh 10.25 inci dengan peta, navigasi berpandukan suara berasaskan satelit, kawalan iklim automatik dua zon, dan Smart Power Tailgate.

Santa Fe juga dilengkapi dengan sistem keselamatan SmartSense yang merangkumi ciri-ciri seperti Forward Collision-Avoidance Assist, Lane Keeping Assist dan Smart Cruise Control dengan Stop & Go. Turut disertakan adalah Blind Spot View Monitor dan Surround View Monitor.

Dari segi kuasa, enjin diesel CRDi 2.2-liter itu menghasilkan 202 PS dan 440 Nm, manakala enjin hibrid Gamma-II T-GDi 1.6-liter pula menjana kuasa keseluruhan sebanyak 230 PS dan 350 Nm.

Enjin petrol tersebut dipadankan dengan transmisi automatik enam kelajuan yang memacu roda hadapan, manakala versi diesel pula mendapat transmisi automatik lapan kelajuan dan sistem pacuan semua roda HTRAC.

Kedua-dua varian didatangkan dengan Terrain Mode Selector yang membolehkan pemandu memilih mod pemanduan yang bersesuaian dengan keadaan pemanduan seperti Sand, Snow & Mud, Eco, Sport, Comfort dan Smart.

Peugeot Malaysia umum promosi pakej servis 5-tahun percuma untuk semua model

Stellantis Malaysia mengumumkan promosi pakej penyelenggaraan servis percuma selama lima tahun bermula efektif 1 September 2024.

Promosi terbaharu ini tertakluk kepada semua model dan varian Peugeot, termasuklah model 408, 2008, 3008, 5008 dan trak pikap Landtrek.

Pelanggan yang mendaftarkan kenderaan Peugeot bermula 1 September dan ke atas layak untuk menikmati promosi servis percuma lima-tahun yang merangkumi kos alat ganti untuk 10 kali servis dalam masa lima tahun, berdasarkan selang setiap 10,000 km atau enam bulan, yang mana tiba dahulu.

Pelanggan hanya perlu membayar kos upah sahaja.

Pengarah Urusan Stellantis Malaysia, Jamie Francis Morais berkata, “pelanggan merupakan keutamaan kami, dan kami teruja untuk memperkenalkan promosi servis lima-tahun percuma sebagai sebahagian daripada usaha untuk meningkatkan pengalaman pemilikan Peugeot.

“Penjimatan daripada pakej servis lima-tahun percuma berserta jaminan menyeluruh tujuh-tahun sedia ada ini sudah pasti dapat memberikan ketenangan minda kepada para pemilik Peugeot untuk tempoh yang lebih panjang.

Tawaran terhad ini boleh didapati di semua pusat pengedar sah Peugeot di seluruh negara.

Untuk makluman, semua kenderaan Peugeot datang dengan jaminan tujuh-tahun atau jarak perbatuan 200,000 km (yang mana tiba dahulu) sebagai pakej standard.

Ia terdiri daripada jaminan pengeluar 3-tahun dan tambahan perlindungan 4-tahun yang sama seperti jaminan pengeluar.

 

Jualan Proton lepasi angka 100,000 unit untuk tahun ke-6 berturut-turut

Proton mengumumkan ia menjual 12,690 unit kenderaan (domestik dan eksport) untuk bulan Ogos 2024, menjadikan jumlah jualan setakat ini mencecah 101,489 unit.

Menurut pengeluar kereta nasional itu, ini merupakan tahun keenam berturut-turut ia berjaya merekodkan jualan melebihi 100,000 unit.

Pencapaian ini membolehkan Proton kedudukan kedua dalam keseluruhan jadual kedudukan jualan automotif nasional dengan bahagian pasaran dianggarkan sebanyak 19%.

Jumlah volum industri (TIV) untuk pasaran automotif Malaysia dianggarkan telah meningkat sebanyak 1.3% bulan ke bulan kepada kira-kira 72,678 unit pada bulan Ogos.

Secara keseluruhan, angka tahun hingga kini (YTD) untuk TIV dianggarkan sebanyak 534,766 unit, bersamaan dengan peningkatan sebanyak 6.2% berbanding tahun 2023.

Proton X50 2024 yang dilancarkan pada Jun lalu mendapat sambutan hangat daripada pembeli dengan 2,440 unit diserahkan pada bulan lalu – kali ketiga jualannya mencecah angka 2,000 pada tahun ini. Jualan YTD kini berjumlah 15,229 unit, menjadikan X50 sebagai SUV paling popular dalam rangkaian Proton.

Jualan Saga pula mencecah 6,211 unit, menjadikan jumlah jualan tahun sehingga kini sebanyak 48,904 unit. Ini adalah peningkatan sebanyak 6.7% berbanding YTD tahun lepas.

Sementara itu, Persona mencatatkan jualan sebanyak 1,452 unit, menjadikan jumlah jualan sehingga kini sebanyak 13,116 unit, manakala Iriz menambah 403 unit kepada volum jualan Ogos, menjadikan jumlah jualan sehingga kini 3,719 unit.

“Memandangkan ekonomi domestik yang berdaya tahan, dengan pertumbuhan KDNK diunjurkan pada 4% hingga 5%, Proton bersetuju dengan keputusan Persatuan Automotif Malaysia (MAA) untuk meningkatkan unjuran TIV setahun penuh kepada 765,000 unit dan kami kekal optimistik mengenai potensi pertumbuhan lanjut dalam industri automotif tempatan,” kata Roslan Abdullah, Ketua Pegawai Eksekutif, Proton Edar.

Untuk eksport pula, Brunei mencatatkan prestasi jualan bulanan tertinggi dengan 120 unit terjual. Model eksport paling laris ialah Proton Saga, yang sekali lagi mendahului kumpulan model lain dengan 140 unit dieksport pada bulan Ogos.

Model-model lain juga mencatatkan peningkatan dalam penghantaran eksport pada bulan Ogos, menjadikan jumlah keseluruhan jualan eksport Proton kepada pengedar sebanyak 2,110 unit sejak Januari tahun ini.

7 kereta lumba Proton zaman silam yang wajib anda tahu

SEMPENA bulan kemerdekaan ini, kami ingin kongsikan satu artikel berkenaan Proton, salah satu pengeluar kereta nasional. Tetapi khususnya, perkongsian kali ini ialah tentang kereta lumba Proton dari masa silam.

Sebelum ini, Proton mempunyai beberapa jentera lumba seperti Saga dan Iriz di bawah pasukan R3 yang berentap dalam S1K (Sepang 1000km). Terbaharu, Proton bakal mempertaruhkan S70 R3 pula untuk perlumbaan tersebut.

Terdapat juga Proton Iriz R5 yang bersaing dalam kejuaraan-kejuaraan rali di luar negara, tetapi ini adalah hasil kerja Mellors Elliot Motorsport yang berpangkalan di UK.

Apa pun, untuk sedikit elemen nostalgia dan sejarah, jom kita lihatkan jentera-jentera lumba Proton masa silam.

1. Proton Waja BTCC

Waja BTCC merupakan projek Petronas dan telah dibangunkan untuk bersaing dalam kejuaraan British Touring Car Championship (BTCC) bermula 2002. Difahamkan terdapat juga jurutera dari Petronas yang terlibat dalam penghasilan Waja ini.

Ia dipacu enjin Renault 1.8-liter yang terdapat pada Waja Premium 1.8L tetapi telah ditala menjadi 1,996cc oleh Mountune dan digandingkan dengan kotak gear 6-kelajuan dari Xtrac.

Suspensi pula adalah gabungan spring Eibach dan penyerap hentak Penske sebelum ditukar kepada Ohlins pada 2004. Waja BTCC pernah dipandu oleh anak tempatan iaitu Fariqe Hairuman.

2. Proton Persona BTCC

Satu lagi jentera Proton yang berentap dalam kejuaraan touring car berprestij di UK ialah Persona, kali ini oleh pasukan Welch Motorsport.

Mereka menggunakan Persona selama lima tahun untuk BTCC. Kelas perlumbaan ini menggunakan piawaian yang sama iaitu enjin 2.0-liter turbo, suspensi, elektronik, dan kotak gear yang sama untuk semua pasukan.

Difahamkan enjin Persona BTCC ini mampu menjana 408hp!

3. Satria Neo S2000

Mungkin ini kereta lumba Proton paling popular dalam kalangan senarai ini. Bukan sahaja kerana ia digunakan untuk acara-acara rali di luar negara, tetapi juga kerana pernah ditampilkan dalam rancangan Top Gear.

Walaupun terdapat perkataan S2000 pada namanya, ia tidak menggunakan enjin Honda S2000 seperti yang disangka ramai netizen. Sebaliknya, S2000 merujuk kelas FIA Super 2000 rali iaitu kejuaraan yang disertainya.

Enjin adalah dari Waja 1.8 dengan komponen dalaman perlumbaan, dan sesarannya ditingkatkan kepada 1,998cc, secara asasnya menjadi 2.0-liter. Ia menghasilkan sekitar 278hp pada 7,600rpm.

Satria Neo S2000 juga mendapat kit badan agresif yang lebar, sistem pacuan empat-roda, roll cage ChroMo Steel Tube, kotak gear Xtrac 6-kelajuan dengan LSD, dan brek dari Alcon.

4. Proton Gen2 dan Satria Neo MSS

Jentera seterusnya kami sekalikan, iaitu Satria Neo dan Gen2 yang digunakan untuk Malaysian Super Series (MSS) pada 2011.

Kedua-dua kereta ini adalah dari pasukan rasmi Proton R3 dan menggunakan enjin 1.6-liter untuk kategori 1.6 Touring Car.

Satria Neo R3 dipandu oleh Faidzil Alang manakala Gen2 R3 oleh Syafiq Ali dan mereka mencatatkan pencapaian cemerlang sepanjang musim perlumbaan.

5. Proton PERT Saga Iswara 4WD Turbo

Seterusnya dalam senarai ialah sebuah jentera yang cukup cool bagi kami, iaitu Proton PERT Saga Iswara 4WD Turbo. Ya, ia dilengkapi dengan enjin turbo dan sistem pacuan 4WD, cukup radikal dari versi standard.

Jentera ini digunakan untuk rali Group S dari 1991 hingga 1994. Nadinya ialah enjin 2.0-liter DOHC 16 injap dengan MoTEC Engine Management System, menghasilkan 337hp! Kotak gear ialah jenis sequential 6-kelajuan dengan coupling tengah dan LSD di depan dan belakang.

Spesifikasi cukup mantap!

6. Proton Wira PERT AWD Turbo

Satu lagi jentera PERT untuk kegunaan rali, iaitu Proton Wira yang juga dilengkapi dengan enjin turbo, sistem AWD, bersama rim putih yang sangat cool.

7. Bonus: Proton Satria GTI (permainan video)

Terakhir dalam senarai kita kali ini merupaka satu bonus, kerana ianya jentera lumba dalam permainan video!

Proton Satria GTI versi perlumbaan dalam permainan TOCA Race Driver yang diterbitkan pada 2005 untuk platform Play Station 2, Windows, dan Xbox. Penulis masih ingat memandu Satria GTI ini di litar Monza, Itali dalam permainan ini. Mengimbau kenangan!

Kredit: Tekan Minyak, Careta, Autobuzz, The Checkered Flag UK, Paultan, Proton Motorsports, Wapcar, Weekend Octane

Isuzu D-Max sertai perarakan Merdeka seluruh negara

ISUZU D-Max baru-baru ini menyertai kontinjen perarakan Hari Merdeka bukan di satu lokasi, tetapi di beberapa lokasi seluruh negara.

Kontinjen-kontinjen itu terdiri dari pemilik Isuzu D-Max yang bersama-sama mempamerkan semangat patriotik mereka apabila menyertai Konvoi Merdeka Isuzu 2024. Ini merupakan sebahagian daripada usaha syarikat untuk meraikan sambutan kemerdekaan Malaysia yang ke-67 tahun ini.

Seramai kira-kira 3,300 peserta melibatkan sebanyak sekitar 900 unit Isuzu D-Max berkumpul di 36 cawangan Isuzu di seluruh negara, dari Alor Setar hingga ke Keningau, sebelum berkonvoi ke destinasi pilihan di kawasan masing-masing.

Pelbagai pengisian aktiviti turut diatur untuk peserta bersantai meraikan Hari Merdeka tahun ini, termasuklah antaranya santapan durian, merakit jeram, glamping, mencari harta karun, berkelah dan banyak lagi.

Konvoi Merdeka Isuzu 2024 meneruskan kejayaan Konvoi Merdeka 66 yang berlangsung tahun lalu yang menyaksikan penyertaan sekitar 600 buah D-Max.

Sebagai satu perhimpunan serentak yang terbesar melibatkan perarakan Isuzu D-Max di negara ini, konvoi berkenaan berhasrat untuk menghimpunkan pemiliknya disamping memperingati tarikh bersejarah berkenaan.

“Susulan daripada kejayaan Konvoi Merdeka 66, pemilik D-Max telah menyuarakan kepuasan serta keinginan mereka untuk terlibat lagi dalam acara serupa yang telah berhasil memupuk pertalian lebih erat dalam kalangan mereka,” jelas Ketua Pegawai Eksekutif Isuzu Malaysia, Shunsuke Okazoe.

“Disebabkan itu, kami berhasrat untuk meneruskan lagi  aktiviti berkenaan,” tambahnya.

Beliau juga sempat melepaskan peserta konvoi di cawangan Isuzu Indah Utara di Alor Setar, Kedah yang melibatkan sebanyak 80 buah Isuzu D-Max dalam perjalanan menuju Tasoh Lake Resort di Perlis sempena acara ini.

5 kilang kereta di Malaysia yang anda patut tahu

Bagi kebanyakan jenama automotif di Malaysia, inisiatif pemasangan tempatan atau CKD memainkan peranan penting dalam memastikan mereka terus berdaya saing dalam pasaran automotif tempatan.

Pengeluar kenderaan tempatan iaitu Proton dan Perodua sudah tentu mempunyai kilang pemasangan masing-masing di negara ini tetapi bagi jenama-jenama luar, operasi CKD membolehkan mereka menawarkan produk pada harga yang lebih kompetitif.

Menerusi sokongan dan pelbagai insentif yang ditawarkan oleh kerajaan, Malaysia kini menjadi ‘tuan rumah’ kepada beberapa kilang pengeluaran kenderaan dari jenama-jenama terkemuka. Berikut adalah lima kilang pengeluaran automotif di negara ini yang anda patut tahu:

Proton Shah Alam & Tg. Malim

Kilang pemasangan kenderaan Proton di Shah Alam mula beroperasi pada 1985 iaitu tahun yang sama Proton Saga dilancarkan. Selain Saga, kilang ini juga mengeluarkan banyak model penting lain seperti Wira, Waja, Exora dan Satria.

Proton dilaporkan akan memindahkan keseluruhan operasi pemasangannya dari Shah Alam ke Proton City, Tanjung Malim menjelang 2027. Kilang berharga RM1.8 bilion itu dibuka pada 2003 dan terletak di kawasan seluas 517 hektar. Selain mengeluarkan model-model terkini seperti X50 dan X70, kilang itu juga memasang enjin 1.5 TGDI.

Perodua Sg. Choh, Rawang

Ibu pejabat Perodua terletak di kawasan seluas 522 ekar di Sg Choh, Rawang. Selain bangunan korporat, kemudahan R&D, litar ujian dan pelbagai fasiliti lain, ia juga menempatkan dua kilang pemasangan iaitu Perodua Manufacturing Sdn Bhd (PMSB) dan Perodua Global Manufacturing Sdn Bhd (PGMSB) yang dibuka pada 2016.

Menurut Perodua, kedua-dua kilang itu mempunyai kapasiti pengeluaran kenderaan sehingga 320,000 unit setahun. Perodua juga mempunyai kilang pengeluaran enjin dan transmisi, kedua-duanya terletak di Sendayan TechValley.

Toyota Shah Alam & Bukit Raja

Kenderaan pemasangan tempatan pertama Toyota adalah Corolla KE10 yang dipasang di kilang Champion Motor di Shah Alam. Pada 1975, kilang berkenaan dinamakan sebagai Assembly Services Sdn Bhd (ASSB) yang kekal digunapakai sehingga hari ini.

Dengan permintaan yang semakin meningkat serta keperluan untuk mempunyai kilang baharu yang lebih moden, UMW Toyota membuka kilang pemasangan keduanya di Bukit Raja, Klang di mana-mana model-model terkini seperti Vios, Yaris dan Corolla Cross dihasilkan.

Honda Pegoh, Melaka

Honda memulakan operasi CKD-nya di negara ini pada 2003 menerusi Honda CR-V generasi kedua yang dipasang di Pegoh, Melaka. Kilang itu dibina di atas kawasan seluas 46,543 kaki persegi dan boleh mengeluarkan sehingga 50,000 kereta setahun.

Pada 2014, jalur pemasangan kedua dilancarkan, membolehkan Honda Malaysia menggandakan pengeluaran tahunan mereka kepada 100,000 unit setahun dan 400 unit sehari.

Volvo Shah Alam

Untuk pengetahuan anda, kilang Volvo Car Manufacturing Malaysia yang terletak di Shah Alam merupakan kilang pemasangan automotif yang tertua di Malaysia. Ia mula beroperasi pada Mac 1967 menerusi pemasangan Volvo 144.

Apa yang menarik, ia juga merupakan kilang Volvo pertama yang dibuka di luar negara asal Volvo iaitu Sweden. Hari ini, kilang itu mengeluarkan barisan kereta PHEV dan BEV Volvo seperti XC90 Recharge, XC60 Recharge, XC40 Recharge dan C40 Recharge.

Jaecoo Malaysia lancar kelab pemilik J-Club, pelbagai manfaat menanti

JAECOO Malaysia mengumumkan ia sudah memulakan proses penyerahan J7 AWD kepada pelanggan secara berperingkat.

Syarikat itu berkata, 500 unit J7 telah diserahkan setakat ini susulan penyerahan 500 unit pertama J7 kepada wakil pengedar pada Ogos lalu.

“Kami benar-benar menghargai keterujaan yang ditunjukkan oleh para pelanggan yang tidak sabar-sabar untuk memandu pulang SUV Jaecoo J7 impian mereka ke rumah atau dalam pengembaraan mengharungi bentuk muka bumi yang mencabar.

Di samping komitmen kami untuk menyerahkan kenderaan mengikut jadual, JAECOO Malaysia melaburkan masa dan usaha yang diperlukan untuk memastikan semua kenderaan bermutu tertinggi dan memenuhi piawaian keselamatan antarabangsa yang ketat,” ujar Naib Presiden Eksekutif Chery Corporate Malaysia, Leo Chen.

Bagi versi 2WD pula, Jaecoo berkata ia kini dalam persiapan untuk menyerahkan model itu kepada wakil pengedar lebih awal dari jadual asal pada bulan September.

Dalam pada itu, Jaecoo turut mengumumkan pelancaran kelab pemilik yang dikenali sebagai J-Club. Menurut Naib Presiden Jaecoo Malaysia, Emily Lek, setiap pemilik kenderaan Jaecoo akan menjadi ahli J-Club elit secara automatik.

“Antara manfaatnya termasuk seorang kakitangan servis Jaecoo yang terlatih dikhususkan untuk setiap pemilik demi ketenangan fikiran mereka,” kata Emily.

J-Club juga akan membolehkan pemilik menikmati tawaran tempoh terhad untuk perkhidmatan penyenggaraan dan peluang untuk menyertai aktiviti sosial seperti acara anjuran J-Club termasuk aktiviti glamping dan bengkel penjagaan kereta.

Ahli-ahli juga akan menerima jemputan eksklusif yang melibatkan kerjasama artis, jemputan ke pameran auto dan berpeluang untuk mengunjungi kilang jenama ini di China.

Jaecoo akan menganjurkan acara sulung J-Club pada 7 September dari jam 5.30 petang hingga 10.00 malam di Sentul Pavilion, Kuala Lumpur.

Ahli-ahli J-Club akan diberikan maklumat terkini tentang Jaecoo menerusi e-mel, platform sembang seperti WhatsApp dan WeChat, dan juga laman Facebook J-Club.

Motosikal 150 cc ke atas wajib ada ABS mulai tahun depan

Bermula 1 Januari 2025, semua motosikal baharu berkapasiti 150 cc dan ke atas perlu dilengkapi dengan sistem brek anti kunci (ABS), lapor Bernama.

Menurut Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kabinet Malaysia Mengenai Keselamatan Jalan Raya dan Kesesakan Lalu Lintas berkata ABS boleh mengurangkan kematian dalam kalangan penunggang motosikal sebanyak 31 peratus semasa kemalangan berdasarkan kepada laporan Pertubuhan Kesihatan Sedunia.

“Saya yakin inisiatif ini akan mengurangkan kematian pengguna jalan raya di Malaysia dan memberi inspirasi kepada negara ASEAN lain untuk melaksanakan langkah yang sama, menjadikan motosikal lebih selamat di seluruh rantau ini,” katanya ketika menyampaikan ucapan pada Persidangan Keselamatan Jalan Raya Asia (CARS).

Turut hadir Menteri Pengangkutan Anthony Loke dan Menteri Sumber Manusia Steven Sim Chee Keong.

Ahmad Zahid turut mencadangkan supaya sistem penarafan Program Penilaian Motosikal Malaysia (MyMAP) dapat diperluaskan ke luar Malaysia untuk meningkatkan keselamatan motosikal di seluruh benua.

“Dengan ini kita boleh tahu motosikal dari syarikat mana yang lebih selamat dan mana yang sebaliknya,” katanya.

5 teknologi kereta yang berasal dari dunia penerbangan

KITA harus bersyukur kerana kereta yang kita boleh beli hari ini didatangkan dengan pelbagai teknologi canggih. Kebanyakan teknologi ini direka untuk memudahkan pemanduan dan meningkatkan keselamatan.

Tetapi tahukah anda terdapat banyak teknologi yang ada pada kereta hari ini sebenarnya datang dari dunia penerbangan dan aeroangkasa? Kami akan kongsikan lima teknologi utama.

1. Brek anti-kunci

Brek anti-kunci atau nama lazimnya ABS (anti-lock braking system) mula digunakan dalam dunia penerbangan sejak 1950an. Pesawat-pesawat pada masa itu dilengkapi brek anti-kunci yang dinamakan Decelostat bagi meningkatkan kestabilan semasa mendarat di permukaan licin dan berais.

Antara pesawat-pesawat awal yang dilengkapi dengan brek anti-kunci adalah Avro Vulcan, di Havilland Comet 2c, Hawker Siddeley Trident, dan Dutch Fokker F27.

ABS mula hadir pada kereta-kereta mewah pada 1980an. Kini, brek ABS menjadi kelengkapan wajib dan paling asas untuk kereta-kereta moden.

2. Head-Up Display (HUD)

Head-Up Display (HUD) ialah paparan jernih di kokpit pesawat yang diposisikan pada tahap pandangan juruterbang di cermin depan.

Ia memaparkan maklumat-maklumat penting penerbangan seperti kelajuan udara, altitud, garisan ufuk, dan petunjuk-petunjuk lain. Juruterbang dapat mengetahui bacaan-bacaan ini tanpa mengalihkan pandangan dari cermin depan, lantas meningkatkan keselamatan penerbangan.

Hari ini, HUD telah muncul dalam dunia automotif yang memaparkan maklumat seperti kelajuan, had laju, muzik, malah arah navigasi. Matlamatnya sama, untuk mengelakkan pemandu mengalihkan perhatian dari depan.

Tetapi HUD masih dikira sebagai ciri premium untuk kereta.

3. Autopilot

Seperti pada namanya, autopilot ialah ciri dimana pesawat boleh diterbangkan sendiri dengan stabil. Tetapi tidaklah sepanjang penerbangan.

Autopilot biasanya diaktifkan apabila pesawat sudah berada di altitud tetap, kelajuan malar, dan arah hala tuju yang tetap. Ini dapat mengurangkan beban juruterbang untuk penerbangan jarak jauh yang akan memenatkan juruterbang sekiranya perlu memegang alat kawalan sepanjang masa.

Pesawat pertama dilengkapi dengan autopilot ialah Sperry Corporation pada 1912. Autopilot dihubungkan secara mekanikal dengan bahagian kawalan pesawat. Kini dalam dunia penerbangan, ciri autopilot sangat canggih dengan pelbagai kawalan automatik dan elektronik.

Untuk dunia automotif, autopilot menggunakan radar dan kamera khas untuk membaca jalan raya, papan tanda dan garisan jalan untuk membolehkan kereta dipandu secara automatik dengan mengekalkan kelajuan dan jarak dengan kenderaan di depan.

4. Gentian karbon

Gentian karbon mula dicipta sejak 150 tahun dahulu untuk mencapai nisbah kekuatan-kepada-berat yang tinggi. Ia menghasilkan bahan yang sangat keras tetapi ringan, menjadikannya sangat sesuai untuk dunia penerbangan.

Badan pesawat yang ringan bukan sahaja akan meningkatkan kecekapan bahan api, tetapi menambahkan prestasi penerbangan.

Proses penghasilan gentian karbon hari ini sedikit berbeza berbanding 100 tahun dahulu. Tetapi matlamatnya sama, malah sifat bahan itu juga sama.

Untuk pesawat, gentian karbon mula digunakan pada badan dan komponen enjin jet. Untuk dunia automotif pula, gentian karbon pertama kali digunakan pada kereta lumba memandangkan sifatnya yang sesuai dengan keperluan perlumbaan – ringan dan kuat.

Kini, gentian karbon semakin banyak didapati pada kereta harian biasa. Komponen paling lazim dibuat dari gentian karbon ialah spoiler, skirting, dan panel dalaman kereta.

5. Pengecas turbo

Pengecas turbo dipacu oleh turbin yang memasukkan lebih banyak udara dalam enjin pembakaran untuk membolehkannya menghasilkan lebih banyak kuasa.

Ia sangat sesuai untuk dunia penerbangan kerana saiz enjin pesawat dapat dibina dengan kompak atau kecil tetapi menghasilkan kuasa mencukupi untuk prestasi penerbangan.

Sudah tentu, seperti dijangka, pengecas turbo kemudiannya memasuki dunia automotif tetapi di perlumbaan terlebih dahulu.

Hari ini, enjin turbo menjadi sangat lazim bukan sahaja pada kereta berprestasi tinggi, tetapi juga kereta harian untuk anda menghantar anak ke sekolah.

Turbo pada kereta bukan lagi untuk prestasi semata-mata, tetapi juga untuk penjimatan bahan api dan meningkatkan kecekapan enjin.

C-130 Hercules TUDM bakal jalani naik taraf avionik

KEMENTERIAN Pertahanan telah mengeluarkan tender untuk menaik taraf enam unit C-130 Hercules milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Tender itu disiarkan oleh beberapa akhbar tempatan dan di laman web kementerian itu pada 20 Ogos lepas. Tetapi ia tidak disiarkan di laman web E-perolehan.

Tender tersebut adalah berkenaan naik taraf avionik bagi pesawat pengangkut itu.

Gambar oleh: TUDM

Pembida yang berminat boleh terus menyertai lawatan yang diadakan pada 29 Ogos dan tender akan ditutup pada 10 Oktober. Dokumen bidaan berharga RM1,500 dan akan dipulangkan kepada pembida yang tidak memenangi tender.

Program naik taraf C-130 TUDM telah berjalan sejak dua dekad lalu. Memandangkan pesawat dengan nama gelaran Hercules ini akan digunakan hingga 2040, naik taraf bahagian avionik adalah diperlukan.

Tahun ini juga merupakan ulang tahun ke-70 pesawat itu. Prototaip YC-130A membuat penerbangan sulungnya pada 23 Ogos 1954.

TUDM memiliki sepuluh buah pesawat C-130 Hercules termasuk beberapa varian C-130H-30 dan empat buah varian pengisi minyak, KC-130H.

Kesemua pesawat pengangkut C-130 Hercules itu ditempatkan di Skuadron 20 di Pangkalan Udara Subang serta Skuadron 14 di Pangkalan Udara Labuan.

Porsche umum kasut sniker eksklusif Turbo No. 1, Turbo 930, 150 unit terhad

Bersempena dengan sambutan ulang tahun model pertama 911 Turbo yang ke-50, Porsche memperkenalkan sehingga 12 rekaan kasut sniker untuk dimiliki.

Kesemua 12 rekaan kasut sniker itu dihasilkan menerusi kerjasama dengan pengeluar pakaian sukan Puma, dan dihadkan sebanyak 911 unit per model.

Sesuai dengan tema yang dibawakan, dua model daripada siri kasut sniker itu mempunyai kaitan sejarah dan diinspirasikan daripada rekaan ikonik model-model Porsche.

Rekaan sniker Turbo No. 1 dihasilkan berdasarkan model lagenda Porsche yang dipersembahkan kepada Louise Piëch semasa ulang tahun yang ke-70.

Menggunakan bahan kulit jenis full-grain, sniker Turbo No. 1 membawakan warna perak metalik di bahagian luar, diikuti dengan corak tartan merah/biru pada bahagian dalam, merujuk kepada kemasan kabin model pertama 911 Turbo.

Manakala rekaan sniker Turbo 930 pula merupakan satu penghormatan kepada model turbo Dr. Ferry Porsche dari tahun 1976.

Sniker Turbo 930 pula menggunakan bahan kulit nubuck yang ditampilkan dengan warna Oak Green Metallic, sementara kemasan dalaman kasut pula membawakan corak tartan hijau.

Untuk pasaran tempatan, kasut sniker Turbo No. 1 dan Turbo 930 dengan warna eksklusif polar blue boleh didapati bermula 29 Ogos 2024 di semua Porsche Centre dan dihadkan kepada 150 pasang sahaja.

Pembeli akan turut menerima tambahan set tali kasut serta beg sports hitam Porsche Puma eksklusif.

GPS bikin gadis sesat di tengah malam, makhluk alam ghaib sudah pandai usik teknologi?

SERINGKALI kita terdengar kisah-kisah seram melibatkan lebuh raya di Malaysia. Ini kerana terdapat kepercayaan bahawa terdapat roh-roh terkorban yang maut akibat kemalangan di beberapa kawasan lebuhraya yang menghantui lokasi berkenaan.

Walau bagaimanapun, kita haruslah sentiasa berhati-hati di jalan raya agar kita selamat sampai ke destinasi yang ingin dituju dan bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini berlaku.

Seorang gadis menerusi laman Twitter @fiksyenshasha telah berkongsikan tentang pengalamannya yang sesat di lebuh raya Kajang-Seremban lewat tengah malam akibat GPS yang sedang digunakannhya membawanya ke lokasi yang mampu menaikkan bulu roma kita semua.

Baca perkongsian penuh di bawah:

Assalamualaikum pembaca Fiksyen Shasha, aku Wawa. Aku nak share kisah yg aku sendiri alami. Kisah ini terjadi pada tahun 2015.

Masa tu hari Jumaat. Malam tu aku dan kawan aku, Hana dah plan untuk keluar makan. Aku bertolak dari rumah aku yang terletak di Hulu Langat menuju ke rumah Hana yang terletak di Putrajaya pada jam 9 malam.

Kami decide untuk makan di bandar Nilai pada malam tu (tak tahu lah kenapa, tiba-tiba spontan dia ajak aku makan dekat situ).

Setelah selesai makan, jam menunjukkan pukul 11.30 malam. Aku decide nak stay rumah mak saudara aku je dekat Mantin, sebab masa tu kami berdua pun dah mengantuk (tula gatal lagi nak makan jauh-jauh, huhu).

Lagipun Mantin tak jauh dari Nilai. Aku tak berapa sure jalan ke Mantin, sebab aku jarang pergi so aku set GPS ke Kolej Lagenda sebab rumah makcik aku dekat rumah pangsa area situ je. Itu jela landmark yang aku ingat.

Kami pun mulakan perjalanan, selepas melepasi area Pajam, GPS menunjukkan arah untuk kami terus lagi dan terus lagi dan lagi. Kemudian GPS arahkan kami belok ke kiri. Disitu kawasan perumahan rumah teres.

Agak usang dan gelap. Semua rumah disitu kelihatan usang. Mungkin jimat elektrik masing-masing. Tapi ada seperkara yang aku pelik…

Aku: Seingat aku datang dengan mak aku takde pulak aku kena lalu taman perumahan ni. Biar betul GPS ni?

Hana tengok GPS semula, belek skrin tengok jalan yang dipaparkan dalam GPS.

Hana: Memang dia tunjuk arah ni weh, kau terus lagi kat belakang tu je. Lagi 500m.

Aku pelik sebab rumah makcik aku rumah pangsa, ni rumah teres.

Usang. Gelap. Sunyi.

Aku pun bawa kereta perlahan-lahan ke arah arahan GPS, lalu GPS bersuara ‘You have arrived at your destination’.

 Aku terpaku. Dalam hati aku istighfar banyak. Depan mata aku adalah sebuah kuil, kiri kanan semak samun. Kuil nampak seperti kuil lama. Aku pandang Hana, Hana pandang aku.

Aku: Kau set location ape tadi?

Hana: Kolej Lagenda la weh. Ni ha kau tengok.

Aku pun tengok. Betullah. Aku pun patah balik. Cuba untuk cari jalan keluar. Di kawasan perumahan tu aku boleh sesat nak keluar. Reset location ke Kolej Lagenda, arahnya tetap sama ke arah kuil.

Aku cakap dekat Hana, “Na, baca ayat kursi banyak-banyak, Na.” Tak lama lepas tu, akhirnya aku jumpa jalan keluar. Jam menunjukkan pukul 12.30 tengah malam.

Aku pun meneruskan perjalanan. Location dah reset balik. Tetapi lagi sekali kejadian pelik berlaku. Kami tiba-tiba masuk ke satu perkampungan. Di situ ada roundabout kecil dan GPS arahkan kami untuk keluar di first exit (means ikut arah jam pukul 9).

Kami pun terus sehinggalah diberi arahan ‘turn right’. Aku tidak terus ke arah kanan, aku brek mengejut. Hana melatah lalu dia bertanya kepada aku.

Hana: Wawa, kau dah kenapa ni brek mengejut? Terkejut aku.

Aku: Hana, GPS suruh belok kanan ke? Serious?

Hana: Yelah, ni ha kau tengok.

Aku: Hana, kanan ni (aku tunjuk dengan jari).

‘Tanah Perkuburan Islam’

Hana ternganga. Terdiam. Bisu.

Aku pun cepat-cepat tekan minyak berjalan terus. Dalam hati, kalau ada kawasan rumah atau kawasan lapang aku nak pusing pastu keluar terus. Dan aku pusing di sebuah depan rumah kayu yang usang.

Mata aku terpandang sesuatu. Lembaga berkain putih lusuh bertenggek atas tangga rumah kayu tu. Rumah kayu tu pun gelap gelita jadi memang obvious nampak kain putih.

Tak berani nak pandang kiri kanan. Aku terus pusingkan kereta dalam keadaan kalut. Aku tak tau Hana nampak ke tak. Aku lalu semula di depan kubur tu GPS arahkan kami ke kiri (sebab aku dah pusing td jadi kubur belah kiri).

Tapi aku terus tak belok kiri. Sampai la jumpa roundabout tadi tapi aku pelik. Aku pusing roundabout tu 3 kali, lalu balik depan tanah perkuburan tu tapi aku tak nampak jalan keluar. Aku dah tak sedap hati.

Aku berhenti jap tepi jalan tapi bukan la dekat area tanah perkuburan tu. Hana dah diam membisu. GPS berkali-kali arahkan kami patah balik ke tempat tadi. Aku langsung tak nampak apa-apa rumah melainkan rumah kayu yang usang tadi tu.

Aku baca Al-Fatihah, ayat Kursi dan ayat 3 Qul banyak-banyak kali. Baru lah aku nampak signboard ke arah Nilai, Pajam etc.

Aku pun keluar dari situ, then Hana cakap, “Weh, tidur rumah kau jela. Lalu highway LEKAS ni.”

Aku pun mengiyakan je. Kami exit highway lekas dari Mantin. Aku ingat gangguan dah habis tapi ada lagi yang terjadi…

Kami melalui highway Lekas melalui exit Mantin. Jam menunjukkan pukul 3 pagi. Dari pukul 12.30 tengah malam sampai dah pukul 3 pagi.

Aku dah physically dan mentally exhausted tapi aku teruskan perjalanan, dalam otak aku nak cepat sampai je. Mula-mula exit Mantin tu nampak jugak 2-3 biji kereta meluncur laju meninggalkan kereta Myvi aku ni. Dalam hati aku “Yesss, ada jugak kereta lain.”

Hana pulak sejak masuk highway LEKAS dia diam je. Aku tanya Hana, “Hana kau ok ke? Kalau ikutkan Mantin ke Hulu Langat ni kereta tak banyak gini 30-40 minit sampai lah.”

Tetapi Hana diam menunduk sahaja hanya menjawab, “Hmmm…” Mungkin dia penat, aku biarkan saja.

Aku pun teruskan perjalanan tapi masa tu dah takde kereta kiri kanan. Meter kereta aku mencecah 120km/j tapi aku rasa kereta aku slow sangat. “Na, pesal kereta aku ni slow sangat ek? Dah tekan minyak pun aku rasa kereta macam kura-kura lagi nih.”

Hana tak jawab, just menundukkan kepala ke bawah. Aku pun toleh ke arah Hana, aku nampak tingkap disebelah Hana kain putih berjuntai di tepi tingkap. Aku pandang semula kedepan.

Aku tengok cermin pandang belakang. Gelap gelita. Aku tak nampak langsung line jalan putih ke lampu jalan ke. Aku pandang side mirror belah aku. Nampak je line putih jalan ni. Aku dah tak sedap hati.

Aku amik CD Yaasin aku masukkan dalam player. Tiba-tiba Hana tutup. Aku on balik, Hana tutup balik. Eh minah ni, main-main pulak dengan aku. Aku on balik then kuatkan volume. Tangan aku, aku biarkan di radio tu.

Aku nampak dari ekor mata aku, Hana merenung aku tajam. Tiba-tiba dia gigit tangan aku. Aku menjerit kesakitan. Nasib tak hilang kawalan stereng. Hana start meracau selang seli dengan menangis dengan ketawa.

Aku baca ayat Ruqyah yang aku ingat, aku terlalu takut sampai aku tak berani nak pandang Hana. Tiba2 Hana bersuara, “Kau takut ke? Hahahahahahahahaha!”

Kemudian dia sambung gelak meracau menangis. Dia tolak badan aku, menjerit sekuat hati dia. Kereta hampir hilang kawalan, beberapa kali jugak la nak terlanggar divider.

Aku laung ‘Allahuakbar’ 3 kali lepas tu aku Iqamat. Aku dah tak tau nak buat apa. Depan tu aku dah nampak tol. Lepas je bayar tol aku berhentikan kereta tepi jalan. Aku tengok Hana dah diam, dah terkulai, pengsan mungkin.

Aku call mak ayah aku. Jam waktu tu dah pukul 3.45 pagi. Dalam 4.30 pagi mak ayah aku sampai dengan sorang ustaz. Ustaz tu yang bawak kereta aku sampai la ke rumahnya.

Disitu dia pulihkan semangat Si Hana ni dan biar dia berehat dan kami sekeluarga bawa dia ke rumah mak ayah aku dan aku call mak ayah Hana seusai Subuh.

Pukul 10 pagi Hana tersedar, dia masih lagi pening. Aku menyuruh dia mandi dan makan. Mak ayah dia pun dah sampai kat rumah aku masa tu. Aku tanya Hana apa jadi semalam.

Dia cakap masa exit highway lekas tu dia nampak orang pakai baju putih melambai-lambai ke arah dia.

Dia pun menundukkan pandangan ke bawah dan selepas itu pandangan dia kosong, fikiran dia kosong dan dia rasa badan dia lemah sangat.

“Ada benda yang menyakat kamu ni, hijab kamu ditutup. Kamu tu anak dara, sepatutnya tengah-tengah malam gini duduk dekat rumah. Kawan kamu ni pun semangat lemah dan kebetulan tengah uzur jadi lagi senanglah benda tu nak mengacau.

Nasib dia tak ikut balik ke rumah, kot dah jatuh cinta kat kamu berdua, satu hal pulak nak membela nanti. Lepas ni jangan keluar malam lagi ye”, kata ustaz kepadaku.

Sejak dari itu aku dan Hana tak keluar malam dah. Sebelum pukul 10 malam mesti kami dah balik rumah, huhu.