Honda Prelude Concept bakal muncul di KLIMS 2024, pertama kali di Asia!


Honda Malaysia mengesahkan model konsep coupe hibrid Honda Prelude akan membuat kemunculan rasmi pertama di acara Pameran Mobiliti Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIMS) pada 5-11 Disember ini.
Ini sekaligus menjadikan Malaysia sebagai negara pertama di peringkat Asia selain Jepun yang mempamerkan model coupe hibrid tersebut.
Honda Prelude didedahkan buat kali pertama pada acara Japan Mobility Show 2023, sebelum disahkan akan muncul dalam versi produksi sebenar menjelang pertengahan dekad ini.
Berdasarkan beberapa laporan terdahulu, Honda Prelude generasi baharu ini akan dibangun berdasarkan platform Civic sedia ada, selain mengguna pakai teknologi hibrid e:HEV dengan dua motor elektrik yang mampu menjana kuasa setinggi 208 hp.
Terdapat juga khabar angin di mana jurutera Honda akan memadankan enjin hibrid tersebut dengan transmisi manual enam nisbah kelajuan dan fungsi rev-match daripada Civic RS.
Apa pun berita yang berlegar di alam maya, yang pasti Honda Prelude versi produksi sebenar akan membuat kemunculan rasmi menjelang separuh kedua tahun 2025 bermula di pasaran Eropah terlebih dahulu.

Seorang yang minat memandu kereta manual, namun lebih gemar memilih skuter automatik. Faktor usia, mungkin.