fbpx

Dongfeng Box EV 2025 rasmi dilancarkan, dua varian, harga dari RM100k

IMG_1142

Central Auto Distributors Sdn Bhd, sebuah subsidiari PEKEMA secara rasmi melancarkan sebuah model hatchback berkuasa elektrik, Dongfeng Box EV.

Ditawarkan dalam dua varian utama, Dongfeng Box EV dijual pada harga bermula dari RM100,000 untuk varian E2, dan bermula dari RM113,000 untuk varian E3.

Kedua-dua varian dibekalkan dengan motor elektrik tunggal pacuan roda belakang, menghasilkan kuasa 95 PS dan 160 Nm dengan keupayaan mencecah kelajuan tertinggi 140 km/j.

Membezakan antara kedua-dua varian ialah saiz kapasiti bateri, di mana varian E2 hadir dengan pek bateri berkapasiti 31.45 kWh dan menawarkan jarak gerak sejauh 330 km (data kitaran CLTC).

Sementara varian E3 pula mendapat pek bateri 42.3 kWh yang lebih besar yang membolehkan EV ini dipandu sejauh 430 km untuk sekali cas penuh.

Box EV juga turut menyokong pengecasan pantas DC di mana pek bateri boleh dicas 30-80 peratus dalam tempoh 30 minit sahaja.

Untuk sebuah kereta segmen kecil, Dongfeng Box EV menampilkan beberapa ciri unik, seperti rekaan bumbung terapung, pintu tanpa bingkai tingkap, rekaan lampu LED tiga dimensi, dan rim dua tona bersaiz 17 inci.

Sementara ruang kabin pula dilengkapi dengan skrin kluster lima inci, skrin infohibur sebesar 12.8 inci, sokongan Apple CarPlay dan Android Auto, cermin pandang belakang tanpa bingkai, sistem pencahayaan ambien 32 warna, slot pengecasan peranti pintar tanpa wayar, kamera 360 darjah dan sistem pendingin hawa automatik.

Selain kemasan dalaman warna dua tona, Box EV juga menampilkan bukaan glovebox ala laci meja solek.

Dari segi ukuran, Dongfeng Box EV membawakan dimensi sepanjang 4,020 mm, lebar 1,818 mm, tinggi 1,570 mm dengan jarak antara roda sepanjang 2,663 mm, menjadikannya bersaing secara terus dengan BYD Dolphin.

Dari segi keselamatan pula, Dongfeng Box EV didatangkan dengan dua beg udara serta ciri bantuan pemandu termaju (ADAS) yang merangkumi sistem brek kecemasan autonomi, kawalan jelajah adaptif, bantuan pengekalan tengah lorong, sistem pengecaman papan tanda trafik dan bantuan parkir.

Terdapat empat warna yang boleh dipilih iaitu putih, ungu, hijau dan biru.

Setiap pembelian didatangkan dengan jaminan menyeluruh untuk bateri bervoltan tinggi selama lapan tahun/had perbatuan 150,000km, serta jaminan alat ganti kenderaan selama lima tahun/had perbatuan 150,000 km.

Pelanggan terawal yang membuat tempahan untuk model Dongfeng Box ini akan menikmati keistimewaan berupa unit pengecas mudah alih bernilai RM1,088, storan ruang kabin bernilai RM1,250, serta memilih salah satu daripada tiga opsyen yang ditawarkan iaitu kredit pengecasan satu tahun bernilai RM3,000, atau pengecas dinding rumah bernilai RM3,288 atau pakej penyelenggaraan bernilai RM3,000.

 

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved