Dongfeng Box vs BYD Dolphin: yang mana lebih berbaloi?


Pasaran kenderaan elektrik (EV) di Malaysia dimeriahkan lagi dengan kehadiran pesaing terbaru iaitu Dongfeng Box. Ia diedarkan secara rasmi oleh Central Auto Distributors Sdn Bhd, sebuah subsidiari PEKEMA.
Seperti yang anda boleh lihat, Box merupakan sebuah hatchback kompak dengan rekaan segar yang mampu menarik minat golongan muda. Dengan harga bermula dari RM100,700, ia adalah pesaing terdekat BYD Dolphin sebagai antara EV paling mampu milik di negara ini.
Dalam artikel ini, kami akan bandingkan Box dan Dolphin bagi membantu anda membuat pilihan yang terbaik:
Saiz
Box mempunyai ukuran panjang 4,020 mm, bermakna ia 270 mm lebih pendek berbanding Dolphin. Bagaimanapun, ia 40 mm lebih lebar berbanding Dolphin 1,810 mm, manakala ketinggian kedua-dua model ini adalah sama iaitu 1,570 mm.
Sementara itu, badan Dolphin lebih panjang memberikannya kelebihan dari segi ukuran jarak roda dengan ukuran 2,700 mm berbanding 2,650 mm yang dimiliki oleh Box.
Satu lagi kelebihan Dolphin adalah ia mempunyai ruang but yang lebih besar 345 liter, 19 liter lebih besar berbanding ruang but Box.
Kelengkapan
Untuk bahagian luaran, Box didatangkan dengan lampu LED depan dan belakang, serta rim 17 inci bagi kedua-dua varian iaitu E2 dan E3. Dolphin juga dilengkapi dengan lampu LED automatik bersama DRL, pemanas cermin sisi dan rim berukuran 16 inci untuk varian Dynamic Standard Range dan 17 inci untuk Premium Extended Range.
Di dalam, terdapat beberapa persamaan antara Box dan Dolphin di mana kedua-dua model menampilkan upholsteri kulit sintetik, kluster instrumen digital lima inci, skrin sentuh 12.8 inci dengan Apple CarPlay/Android Auto, enam pembesar suara dan pengecas tanpa wayar (50W untuk Box).
Bagaimanapun, Dolphin dilihat mempunyai kelebihan di sini kerana ia juga dilengkapi dengan pelarasan elektrik untuk tempat duduk depan dan bumbung suria panoramik.
Keselamatan
Untuk Box, hanya varian E3 dilengkapi dengan ADAS, manakala Dolphin mendapat sistem bantuan pemandu secara standard. Kedua-dua model mempunyai kamera 360 darjah.
Walau bagaimanapun, untuk sistem keselamatan pasif, Box agak mengecewakan kerana ia mempunyai dua beg udara sahaja, manakala Dolphin mempunyai enam.
Prestasi, jarak & pengecasan
Box dikuasakan oleh motor elektrik tunggal pada gandar depan yang menghasilkan 95 PS dan 160 Nm, membolehkannya mencapai kelajuan maksimum 140 km/j.
Dolphin pula mempunyai 95 PS/180 Nm untuk varian Dynamic Standard Range dan 204 PS/310 Nm untuk Premium Extended Range.
Sejauh mana kedua-dua EV ini boleh dipandu? Box E2 yang dilengkapi dengan bateri 31.45 kWj menawarkan jarak pandu 330 km, manakala Box E3 dengan 42.3 kWj pula menawarkan jarak 430 km. Angka-angka ini adalah berdasarkan kitaran CLTC.
Box menyokong pengecasan AC (3.3 kW untuk E2, 6.6 kW untuk E3), serta pengecasan pantas DC yang boleh memulihkan kuasa bateri dari 30-80% dalam 30 minit.
Untuk Dolphin, varian Dynamic Standard Range dilengkapi dengan bateri LFP 44.92 kWj tang menawarkan jarak 340 km. Varian Premium Extended Range pula mempunyai bateri lebih besar dengan kapasiti 60.48 kWj yang membolehkan ia dipandu sejauh 427 km. Angka-angka ini adalah berdasarkan kitaran WLTP yang lebih realistik.
Model ini menyokong pengecasan AC 7 kW, manakala untuk pengecasan DC pula, kapasiti antara varian berbeza iaitu 60 kW untuk Dynamic Standard Range dan 80 kW untuk Premium Extended Range yang boleh melakukan pengecasan 30-80% dalam kurang 30 minit.
Harga
Jika anda sedang mencari EV mampu milik sebagai permulaan untuk menjejaki dunia EV, Box dan Dolphin adalah antara calon paling sesuai tetapi yang manakah yang lebih mesra poket?
Box dijual pada harga (OTR tidak termasuk insurans) bermula dari RM100,700 untuk E2 dan RM113,700 untuk E3. Ia didatangkan dengan waranti kenderaan selama lima tahun/150,000 km dan waranti bateri selama lapan tahun/150,000 km.
Sementara itu, harga Dolphin pula bermula dari RM100,530 untuk Dynamic Standard Range dan RM125,530 untuk Premium Extended Range.
Sime Darby Motors menawarkan waranti kenderaan selama enam tahun/150,000 km, waranti bateri selama lapan tahun/160,000 km dan waranti unit pacuan selama lapan tahun/150,000 km.

Hidup ini terlalu singkat untuk bertekak tentang kereta mana yang paling hebat. Pandulah apa sahaja, yang penting anda puas hati.