Sentuhan Mugen buat Honda Freed nampak sedikit jahat
DALAM hidup ini, ada tiga perkara yang pasti iaitu kematian, cukai dan sentuhan Mugen untuk setiap model Honda.
Selepas memperkenalkan kit badan untuk Civic Type R FL5, syarikat penala Jepun itu kini menawarkan pula pakej naik taraf untuk Honda Freed yang dilancarkan baru-baru ini.
Menurut Mugen, pakej tersebut dibangunkan berdasarkan konsep “Sports for Everyone” untuk pelanggan yang gemarkan gaya hidup aktif.
Tidak banyak maklumat yang diberikan namun seperti yang boleh dilihat, kit badan Mugen sedikit sebanyak membuatkan MPV itu kelihatan lebih sporty.
Mugen membangunkan kit badan yang berbeza untuk varian Air dan Crosstar. Varian Air yang tampil lebih ringkas dalam keadaan standard, kini nampak lebih agresif dengan gril Mugen dan penambahan liang udara dan splitter pada bampar depan.
Untuk bahagian sisi, ia diberikan jalur grafik berwarna hitam, visor tingkap dan skirt sisi. Ia juga kelihatan sedikit lebih rendah berbanding versi standard, bermakna ada kemungkinan yang pakej ini turut merangkumi sistem suspensi.
Di belakang, kehadiran spoiler bumbung, kemasan tailgate, liang udara bampar dan diffuser melengkapkan penampilan segar Freed Mugen.
Sementara itu, penampilan Freed Crosstar, yang sebenarnya sudah agak rugged dengan adanya elemen-elemen SUV, dipertingkatkan lagi menerusi tulisan ‘MUGEN’ berwarna hitam pada bonet, jalur grafik dengan corak camo, rim aloi aftermarket, cermin sisi hitam dan spoiler.
Seperti yang boleh dijangka, pakej naik taraf ini meliputi aspek kosmetik sahaja. Di pasaran Jepun, Freed boleh didapati dengan enjin 1.5-liter empat silinder dengan 117 hp dan 142 Nm, dipadankan dengan transmisi CVT dengan pilihan pacuan roda depan atau semua roda.
Ia juga ditawarkan dalam versi hibrid e:HEV yang menampilkan gabungan enjin 1.5-liter berkuasa 105 hp dan 127 Nm, serta motor elektrik yang menjana 121 hp dan 253 Nm.
Hidup ini terlalu singkat untuk bertekak tentang kereta mana yang paling hebat. Pandulah apa sahaja, yang penting anda puas hati.