fbpx

Kerajaan pertimbang beri parkir percuma kepada EV, untunglah…

Mercedes-Benz EQS 500 pandu uji 02

DALAM usaha untuk menggalakkan penggunaan kenderaan elektrik (EV), Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) Nga Kor Ming berkata kerajaan sedang mempertimbangkan idea untuk mengecualikan bayaran parkir untuk EV.

Menurut laporan The Star, Nga berkata cadangan itu sedang dipertimbangkan berikutan pengumuman baru-baru ini untuk memperkenalkan “plat hijau” untuk EV.

Tambah beliau lagi, kementeriannya sedang mengadakan perbincangan dengan majlis perbandaran tempatan untuk mempertimbangkan kebolehlaksanaan cadangan itu.

Nga mengambil bandaraya London sebagai contoh di mana caj kesesakan kira-kira RM90 bagi setiap kemasukan dikenakan ke atas kereta bukan EV yang memasuki ke bandar, manakala EV dikecualikan daripada bayaran parkir.

Pada Mei, Menteri Pengangkutan Anthony Loke mengumumkan struktur cukai jalan baharu untuk EV yang 85% lebih rendah.

Untung jadi pemilik EV…

Penulis berpendapat, memang bagus kerajaan sentiasa mencari jalan untuk mempercepatkan dan menggalakkan penggunaan EV di kalangan rakyat namun seperti yang kita tahu, rata-rata pemilik EV adalah dari golongan pertengahan atasan dan atasan.

Jadi, kenapa beri parkir percuma kepada golongan ini sedangkan bayaran parkir tidak pernah jadi isu bagi mereka. Sudahlah cukai jalan dikecualikan sehingga 2026, parkir pun tak perlu bayar.

Bagi penulis, alasan untuk menggalakkan penggunaan EV tidak cukup kukuh untuk menjustifikasikan pengecualian bayaran parkir ini.

Daripada terus mengurniakan pelbagai kelebihan dan pelepasan kepada pemilik EV, lebih baik sekiranya kerajaan berusaha memantapkan lagi perkhidmatan pengangkutan awam supaya ia boleh dimanfaatkan sepenuhnya oleh mereka yang memerlukan.

Biarlah tak dapat parkir percuma pun, asalkan perkhidmatan bas dan LRT lebih lancar, kami sudah cukup gembira.

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved