fbpx

Syukur kutip tujuh mata di Mugello, Wazi puji Hafizh

Foto ihsan Facebook/Hafizh Syahrin Abdullah
Foto ihsan Facebook/Hafizh Syahrin Abdullah

MENDUDUKI tempat kesembilan kejohanan Grand Prix Itali, pelumba Moto2 kelahiran Malaysia Hafizh Syahrin Abdullah mendedikasikan kejayaannya kepada Jason Dupasquier.

Hafizh berkata demikian sejurus berjaya menamatkan perlumbaan yang merupakan keputusan terbaiknya bagi musim ini.

“Ini untuk Jason yang meninggalkan kita semua sebelum perlumbaan bermula,” katanya.

Pada Sabtu, Dupasquier berdepan kemalangan ketika sesi kelayakan di Litar Mugello, Itali.

Pelumba berusia 19 tahun kemudian dilaporkan meninggal dunia pada Ahad selepas mendapat rawatan di hospital.

Pelumba Moto3 Jason Dupasquier meninggal dunia pada Ahad selepas terbabit dalam satu kemalangan ketika sesi kelayakan Moto3, Sabtu lalu
Pelumba Moto3 Jason Dupasquier meninggal dunia pada Ahad selepas terbabit dalam satu kemalangan ketika sesi kelayakan Moto3, Sabtu lalu.

Terdahulu, Hafizh mengakui gembira dengan keputusan dicatatkan walaupun menerima tekanan daripada pelumba lain.

Mewakili pasukan NTS RW Racing GP, Hafizh mengakui berdepan tekanan di laluan lurus.

“Syukur tempat kesembilan, walaupun saat terakhir dipotong Cameron. Laluan lurus agak sukar untuk saya nak dapatkan kelajuan.

“Saya dah cuba yang terbaik, tetapi banyak kali pelumba lain memotong saya di laluan lurus.

“Saya cuba lawan di ‘breaking’, selekoh, untuk pintas…pusingan terakhir itu saya cuba menjarakan diri, tapi laluan lurus itu agak sukar.

“Motosikal saya masih kekurangan aerodinamik atau kelajuan. Apapun, terima kasih kepada semua rakyat Malaysia dan penaja atas sokongan selama ini,” katanya lagi.

Sementara itu, bekas pelumba legend negara Wazi Abdul Hamid menasihati para pelumba tempatan mengikut jejak langkah Hafizh.

Katanya, Hafizh bukan sahaja mampu menamatkan perlumbaan dengan sempurna malah, berjaya menutup ruang bagi pelumba lain memintasnya.

“Tahniah clean race by HS55 (Hafizh) di Mugello tadi (semalam).

“Pada adik-adik junior dalam Malaysia Cub Prix Championship boleh belajar sesuatu bagaimana pelumba seperti HS55 keep hold the line walaupun diasak pelumba dalam class Moto2.

Salute to the Malaysian racer,” katanya di Facebook.

Wazi merupakan antara pelumba yang berjaya mengharumkan nama negara dalam sukan permotoran sebelum ini.

Tidak lagi bergelar pelumba profesional, Wazi kini merupakan penasihat bagi sukan lumba motosikal.

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved