fbpx

Polestar 2 facelift lebih berkuasa, boleh capai jarak 635 km

Polestar 2 facelift 04

TIGA tahun selepas ia diperkenalkan kepada dunia buat pertama kali, Polestar 2 kini menerima versi facelift yang tampil dengan motor elektrik yang lebih berkuasa, pek bateri yang lebih besar serta varian pacuan roda belakang (RWD) baharu.

Dari segi penampilan, fastback lima pintu ini mendapat gril baharu yang diinspirasikan daripada Polestar 3. Digelar sebagai SmartZone, panel ini menempatkan ciri-ciri keselamatan aktif termasuk kamera dan radar.

Selain itu, rim aloi 20 inci dalam Performance Pack juga mendapat sentuhan segar dengan rekaan yang lebih sporty seperti Polestar 3.

Untuk model tahun 2024, semua varian motor tunggal adalah RWD dan bukannya pacuan roda hadapan (FWD) seperti sebelum ini. Varian ini mempunyai output sehingga 299 PS dan 490 Nm, naik dari 231 PS dan 330 Nm sebelum ini, sekaligus mengurangkan masa pecutan 0-100 km/j dari 7.4 saat kepada 6.2 saat.

Sementara itu, varian motor berkembar kini ditala semula bagi menjadikan ia lebih cenderung kepada RWD untuk pemanduan yang lebih mengujakan. Motor belakang kini lebih berkuasa dan menjadi sumber utama pacuan, disokong oleh motor jenis ‘asynchronous’ pada gandar hadapan.

Gabungan ini menghasilkan output maksimum mencecah 421 PS dan 740 Nm, membolehkan ia memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam hanya 4.5 saat. Jika dilengkapi dengan Performance Pack, kuasanya meningkat kepada 476 PS dan masa pecutan pula dikurangkan sebanyak 0.3 saat.

Menurut Polestar, motor hadapan boleh dilepaskan sepenuhnya apabila tidak diperlukan bagi meningkatkan lagi kecekapan trenkuasa elektrik. Ia akan disambungkan semula sekiranya pemandu menekan pendikit untuk memandu lebih laju.

Untuk bateri pula, varian Long Range tampil dengan bateri lithium ion berkapasiti dengan 27 modul yang dibekalkan oleh CATL, manakala varian Standard Range mendapat bateri keluaran LG Chem berkapasiti 69 kWh dengan 24 modul.

Bagi varian motor tunggal, versi Standard Range boleh mencapai jarak pemanduan sehingga 518 km, naik sebanyak 40 km, manakala versi Long Range kini boleh dipandu sejauh 635 km dengan satu cas penuh, iaitu 84 km lebih jauh berbanding sebelum ini.

Varian motor berkembar Long Range pula menyaksikan peningkatan jarak pemanduan sebanyak 105 km, menjadikan angka terkini 592 km.

Bateri-bateri baharu ini boleh menerima pengecasan pantas DC sehingga 205 kW untuk versi Long Range dan 135 kW bagi versi Standard Range.

Harga Polestar 2 facelift bermula dari 50,190 euro (RM232,994) untuk versi Standard Range motor tunggal sehingga 64,690 euro (RM300,306) untuk Long Range motor berkembar dengan Performance Pack.

 

Lihatkan Ulasan (1)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved