Semua kiriman oleh Hans

Wartawan yang masih menabung demi sebuah Aventador

Pengusaha teksi sapu punca kluster baharu di Beaufort

ORANG ramai dinasihati terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 susulan tercetus satu kluster baharu melibatkan pengusaha teksi sapu di Beaufort, Sabah.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan berkata, pengusaha berusia 68 tahun itu positif Covid-19 setelah mengalami gejala demam dan batuk sejak 1 Julai lalu.

“Kluster ini melibatkan penularan jangkitan dalam komuniti yang majoritinya adalah ahli keluarga dan pelanggan teksi sapu.

“Daripada 71 kontak yang disaring, sebanyak 60.5 peratus didapati positif dengan jumlah kumulatif 44 kes,” kata Datuk Masidi Manjun.

Memetik laporan Bernama, kluster baharu itu telah mencatat jangkitan 44 kes kumulatif Covid-19.

Semalam, 370 kes baharu Covid-19 direkod di Sabah. Ia menjadikan jumlah kumulatif 73,506 kes di negeri itu.

HEV canggih keluaran Turki, mampu cecah jarak 500 kilometer!

ENTAH kenapa kebelakangan ini nama Turki sering disebut-sebut rakyat Malaysia.

Walau apa jua sebabnya, tidak dinafikan Turki merupakan sebuah negara mempunyai keunikan tersendiri.

Selain ‘kaya’ dengan kerencaman budaya, Turki juga merupakan negara mempunyai ekonomi pesat terutama membabitkan industri automotif.

Hal ini terbukti dengan kewujudan syarikat pengeluar kenderaan Turkey’s Automobile Joint Venture Group Incorporated atau TOGG.

TOGG ditubuhkan pada tahun 2018 dengan permulaan modal 22 bilion lira atau bersamaan $AS 3.1 bilion.

Pemilikan saham syarikat ini dimiliki oleh Anadolu Group, BMC Turkey, Kök Group, Turkcell dan Zorlu Holdingare.

Walaupun dunia berdepan ancaman pandemik Covid-19, namun syarikat ini tetap meneruskan projek pengeluaran kenderaan elektrik (HEV) hasil sokongan pihak kerajaan.

Kenderaan elektrik (HEV) pertama keluaran Turki diperkenalkan pada 2019. – Foto ihsan TOGG

HEV pertama Turki

Turki menjadi antara negara terbesar dunia dalam industri automotif dengan anggaran pengeluaran kenderaan sebanyak 1.3 juta unit, tahun lalu.

Kini, Turki bersedia menghasilkan HEV pertama keluaran TOGG yang dijangka dimulakan bila-bila masa selepas pembinaan sebuah kilang di Bursa selesai.

Menerusi pendedahan TOGG pada 2019, HEV pertama syarikat itu dihasilkan menerusi dua varian iaitu sedan dan kenderaan utiliti sukan (SUV).

Selain mempunyai rekaan menarik, HEV ini didatangkan dengan pelbagai teknologi canggih termasuk penggunaan bateri yang sangat efisyen.

Pengguna hanya perlu mengambil masa selama 30 minit pengecasan bagi mendapatkan sekurang-kurangnya 80 peratus jangka ketahanan bateri.

HEV ini juga mampu bergerak sejauh 500 kilometer dengan sekali pengecasan penuh bateri kenderaan.

Ruang dalaman yang sangat luas dan dilengkapi teknologi canggih. – Foto ihsan TOGG

Berikut antara keistimewaan lain terdapat pada HEV konsep keluaran TOGG:

• Mempunyai 200 kuasa kuda (versi RWD) dan 400 kuasa kuda (versi AWD)
• Pecutan 0-100 km/j hanya dalam masa 7.6 saat (RWD)
• Pecutan 0-100 km/j hanya dalam masa 4,8 saat (AWD)
• Terdapat tujuh beg keselamatan udara
• Menerina penarafan lima bintang Euro NCAP

Setakat ini, tidak dapat dipastikan berapakah harga bagi model HEV keluaran TOGG.

Bagaimanapun, ia dijangka mampu mencatatkan permintaan tinggi apabila dipasarkan kelak terutama di peringkat antarabangsa.

https://www.youtube.com/watch?v=RgBXFec7kx4

Kes pecah masuk stesen minyak selesai, polis tahan suspek wanita

JENAYAH membawa padah.

Itu dapat disimpulkan terhadap nasib seorang wanita selepas dia ditahan polis bagi membantu siasatan kes pecah masuk stesen minyak sekitar Bandaraya Melaka.

Memetik laporan Bernama, suspek ditahan polis pada 11 Julai lalu di sebuah rumah dekat Taman Peringgit Ria.

Sebelum ini, polis percaya suspek bergerak secara sendirian malah, semakin aktif memecah masuk stesen minyak dan bangunan sejak Jun lalu.

“Suspek sering memakai ‘jacket hoodie’ ketika menjalankan aktiviti memecah masuk stesen minyak di bangunan lama antara 3 dan 7 pagi.

“Nilai kerugian keseluruhan kes adalah sebanyak RM5,000 termasuk wang tunai dan kerosakan cermin akibat dipecahkan, yang ditanggung pemilik stesen,” memetik kenyataan polis.

Sementara itu, ujian air kencing terhadap suspek mendapati dirinya positif dadah dan direman mulai 12 sehingga 17 Julai ini.

Polis turut merampas beberapa peralatan dipercayai digunakan suspek bagi melakukan aktiviti pecah masuk bangunan.

Pada masa sama, polis percaya suspek telah menggunakan wang hasil curi untuk membeli dadah.

Mujur tak ‘bersepah’, aksi MotoGP rider p-hailing dikecam warga maya

AKSI ala ‘MotoGP’ seorang pekerja p-hailing mengambil selekoh dalam keadaan sangat berbahaya tular di media sosial.

Memetik hantaran akaun Facebook Malaysian Modders, kelihatan sebuah motosikal dipercayai ditunggang pekerja p-hailing berada pada kelajuan tinggi sebelum memotong sebuah kereta.

Setakat ini tidak dapat dipastikan sama ada pekerja p-hailing terbabit dalam waktu bekerja atau sebaliknya.

Lokasi kejadian tersebut berlaku juga tidak dapat dipastikan.

Bagaimanapun, kebanyakan pengguna internet memberi pelbagai pandangan mengenai insiden terbabit.

Jelas mereka, ‘aksi’ ditunjukkan individu terbabit amat berbahaya bukan sahaja kepada dirinya malah, melibatkan pengguna jalan raya lain.

“Aku paling nyirap (menyirap) rider yang potong dan masuk sipi macam tu. Sagat sikit je ekor (mudguard) mesti bersepah (kemalangan). Lepas tu cakap kereta langgar.

“Aku pernah kena, seboleh-bolehnya nak dakwa kereta aku langgar. Nasib member sebelah ada rakam kejadian.

“Tahu pulak nak settle elok, nasib tak patah riuk,” kata Ariff Hafizy.

Sementara itu, terdapat pengguna media sosial secara sinis memuji rakyat Malaysia yang begitu berbakat dalam sukan ‘perlumbaan’.

“Banyak bakat pemuda negara boleh diketengahkan dalam sukan permotoran. Cuma bermacam alasan dan syarat untuk jadi pelumba,” kata Abner Asyer pula.

Media sebelum ini melaporkan statistik kemalangan melibatkan pekerja p-hailing berada pada tahap membimbangkan.

Statistik menunjukkan terdapat lebih 150 kes kemalangan jalan raya melibatkan penunggang motosikal perkhidmatan penghantar makanan dari Mac hingga Jun tahun lalu.

Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) berkata, jumlah itu amat membimbangkan memandangkan ia dijangka terus meningkat.

Sementara itu, kajian sosial Perkeso menunjukkan lebih 55 peratus kemalangan pekerja berlaku dalam jarak lima kilometer dari destinasi ke tempat kerja.

Warna baharu Ninja ZX-25R di Indonesia, Malaysia masih jadi ‘penonton’

KAWASAKI meneruskan usaha ‘menawan’ pasaran permotoran negara jiran Indonesia dengan memperkenalkan pilihan warna baharu bagi model Ninja ZX-25R.

Lima warna baharu termasuk Lime Green, Passion Red, Metallic Matte Graphene, Steel Grey dan Metallic Spark Black.

Bagaimanapun, Kawasaki mengumumkan tiada perubahan terhadap komponen lain termasuk enjin.

Ninja ZX-25R memiliki enjin empat silinder DOHC 249.8 cc dan dipadankan dengan transmisi enam kelajuan.

Pada masa sama, model ini turut didatangkan dengan quickshifter sekaligus memberi kepuasan tunggangan menyeluruh.

Mengikut spesifikasi oleh Kawasaki, model ini mampu menghasilkan kuasa 51PS pada 15,500 rpm dan 22.9 Nm tork pada 14,500 rpm.

Selain itu, antara spesifikasi menarik ada pada ZX-25R termasuk sistem mod tunggangan full dan low, cengkaman KTRC dan throttle valve elektronik.

Model Kawasaki Ninja ZX-25R menggunakan tayar bersaiz 110/70 di hadapan dan 150/60 di belakang. – Foto ihsan Kawasaki Indonesia

Keistimewaan lain Ninja ZX-25R

Model Ninja ZX-25R direka bagi tunggangan sporty sama seperti ‘saudaranya’ yang lain iaitu ZX-6R dan ZX-10R.

Sistem brek pula menggunakan unit cakera tunggal 310 mm berserta angkup monoblock di hadapan dan cakera 220 mm di belakang.

Berikut antara perincian lain mengenai Ninja ZX-25R:_

• Penggunaan suspensi USD SFF-BP 37mm
• Monoshock Horizontal Back-link
• Berat keseluruhan 182 kilogram
• Tangki bahan api 15 liter

Setakat ini, masih belum ada tanda bahawa model ini akan memasuki pasaran Malaysia.

Hanya untuk pengetahuan anda, harga sebuah Ninja ZX-25R dijual pada harga bermula 98.95 juta rupiah atau bersamaan RM28,582 bagi varian asas.

Bagi model SE dan ABS, ia boleh mencecah sehingga 116 juta rupiah atau RM33,540.

Hyundai, Kia yakin mampu jual 7.08 juta kenderaan berakhir 2021

PENGANALISIS ekonomi percaya Hyundai Motor Co. dan rakan kerjasamanya Kia Corp. bakal mencatatkan keuntungan tinggi pada suku kedua tahun ini.

Ia dipacu permintaan positif bagi kenderaan syarikat terbabit dalam usaha mengimbangi gangguan output kekurangan semikonduktor.

Hyundai serta Kia merupakan pengeluar kenderaan kelima terbesar di dunia dengan penjualan dijangka mencatat keuntungan operasi lebih 1.86 trilion won dan 1.34 trilion won bagi suku berakhir 30 Jun.

Tahun lalu, Hyundai dan Kia mencatat hanya 590 bilion won dan 145 bilion won dalam tempoh yang sama.

Sementara itu, laporan pakar turut melihat kejayaan Hyundai dan Kia susulan penjualan kenderaan mewah yang kukuh di pasaran Korea Selatan dan Amerika Syarikat (AS).

“Kombinasi campuran produk yang lebih baik, insentif lebih rendah dan harga jualan purata lebih tinggi di pasaran AS membantu mengimbangi kesan kekurangan cip,” kata penganalisis di Hana Financial Investment Co.

Sejak Januari hingga Jun, Hyundai dan Kia menjual 3.47 juta kenderaan.

Ia meningkat 25 peratus daripada 2.77 juta unit pada tempoh sama tahun lalu.

Tahun ini, dua syarikat gergasi itu membuat unjuran penjualan 7.08 juta kenderaan.

Bagaimanapun, ia sedikit rendah berbanding 7.2 juta unit tahun lalu.

Berdasarkan tinjauan kenderaan utiliti crossover IONIQ 5 milik Hyundai dan model sedan K8 antara mendapat permintaan tinggi pengguna.

Awal tahun 2022, dua model baharu Genesis GV60 SUV dan Kia’s Sportage SUV akan diperkenalkan pula kepada pengguna.

Gadis hampir jadi mangsa ‘tonto’, bapa kongsi detik cemas

SEORANG gadis berdepan detik cemas selepas dikepung sekumpulan lelaki dipercayai ‘tonto’ dalam satu kejadian di Kajang, semalam.

Insiden berlaku ketika gadis tersebut dalam perjalanan pulang ke rumah setelah selesai menjalankan kerja amal.

Memetik hantaran Facebook Zulkifli Mohd Salleh yang juga bapa kepada gadis itu, kereta dipandu anaknya pada mula dikatakan mengalami masalah di bahagian tayar.

Sangsi dengan situasi berlaku, gadis tersebut kemudian bertindak memberhentikan kenderaan di bahu jalan bagi melakukan pemeriksaan.

Bagaimanapun, apa yang mengejutkan secara tiba-tiba muncul dua buah kereta dinaiki beberapa lelaki menawarkan perkhidmatan menunda kenderaan.

“Hati-hati ya. Menjelang Maghrib tadi (semalam) anak perempuan saya pergi ke Family Mart Sungai Long, Kajang.

“Selepas keluar dia terus drive ke rumah. Tapi beberapa minit drive dia rasa kereta melelong. Terus dia berhenti di lorong tepi. Dia check tayar kereta pancit.

“Dia terus call saya. Saya pesan dekat dia masuk balik ke dalam kereta. Lock pintu. Tunggu saya dan anak-anak lelaki saya datang. Jangan sesekali benarkan tow truck tarik.

“Tidak sampai lima minit datang kereta Proton ‘WJM’, kemudian dalam dua minit datang sebuah lagi kereta Toyota ‘RAJ’. Kedua-dua mereka offer tow truck,” katanya.

Salah sebuah kenderaan dipercayai dipandu oleh ‘tonto’. – Foto ihsan Facebook/Zulkifli Mohd Salleh

Sementara itu, beberapa orang anak lelaki Zulkifli bertindak segera ke lokasi kejadian bagi menghulurkan bantuan.

Sebaik tiba di lokasi, kesemua lelaki terbabit kemudian segera beredar tanpa sempat melakukan sebarang tindakan.

Jelas Zulkifli, tidak mustahil insiden itu berpunca daripada perbuatan khianat memandangkan terdapat kesan torehan pada bahagian tayar kereta anak perempuannya.

“Bila diperiksa, dua tayar pancit dan ada kesan dihiris dengan pisau atau benda tajam.

“Jadi anak-anak lelaki saya ganti tayar bocor tu menggunakan spare tyre kereta anak perempuan dan satu lagi nasib baik muat lubang spare tyre kereta anak lelaki.

“Cuma size tyre tak sama. Boleh la jalan perlahan2 sampai rumah,” katanya lagi.

Susulan insiden itu, Zulkifli menitipkan pesan agar sentiasa berhati-hati dengan pelbagai sindiket penipuan.

Zulkifli juga sempat memberikan beberapa tips penting jika berdepan situasi sama antaranya seperti berikut:

    • Segera hubungi ahli keluarga terdekat

    • Sekiranya kenderaan terpaksa ditunda, gunakan perkhidmatan tunda oleh syarikat insurans kenderaan

    • Pastikan tahu nombor telefon kecemasan syarikat insurans kereta

    • Jangan gunakan perkhidmatan trak tunda ‘tonto’

    • Berhenti di lokasi selamat dan tunggu dalam kenderaan sehingga bantuan tiba

PKPD: Puspakom seluruh Selangor ditutup kecuali di Sungai Besar

PUSAT Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) seluruh Selangor ditutup sehingga 16 Julai berikutan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Puspakom dalam satu kenyataan berkata, penutupan meliputi perkhidmatan bergerak di Lembah Klang.

“Bagi pelanggan yang telah membuat janji temu di cawangan Puspakom yang tidak beroperasi, bayaran janji temu akan dikembalikan secara automatik,” memetik kenyataan itu.

Bagaimanapun, Puspakom cawangan Sungai Besar tidak terlibat dengan proses penutupan sementara itu.

Semua pusat pemeriksaan Puspakom seluruh negara termasuk perkhidmatan bergerak yang tidak berada dalam kawasan PKPD kekal beroperasi seperti biasa.

Namun, tiada pemeriksaan secara “walk-in” di pusat pemeriksaan sebaliknya hanya pelanggan mempunyai janji temu  dibenarkan melakukan pemeriksaan kenderaan mengikut tarikh, masa dan tempat dipilih.

Mereka yang hadir semasa pemeriksaan disaran mematuhi prosedur operasi standard (SOP).

Ia termasuk mengimbas aplikasi MySejahtera sebelum memasuki premis.

Segala maklumat mengenai operasi Puspakom bergantung kepada pengumuman terkini kerajaan.

Orang ramai boleh mengikuti Facebook Puspakom Sdn Bhd atau melayari www.puspakom.com.my untuk maklumat terkini.

WMoto Xtreme 150i skuter jimat minyak, harga bermula RM9,588

SKUTER WMoto Xtreme 150i secara rasmi dilancarkan di pasaran Malaysia.

Tampil dengan ciri keselamatan tinggi, ia menerima penarafan lima bintang dalam ujian Motorcycle Assessment Program in Malaysia (MyMAP).

Model WMoto Xtreme 150i didatangkan dengan enjin silinder tunggal SOHC 149.3 cc.

Ia mampu menghasilkan 12.1 kuasa kuda pada 8,500 rpm dan daya kilas 11.8 Nm 5,000 rpm.

Sementara itu, model WMoto Xtreme 150i turut memenuhi piawaian Euro 4.

Model WMoto Xtreme 150i didatangkan dengan saiz rim 14 inci. – Foto ihsan WMotor

Spesifikasi WMoto Xtreme 150i

Spesifikasi menarik model WMoto Xtreme 150i termasuk dilengkapi suspensi USD dan penyerap hentak tunggal di bahagian belakang.

Pada masa sama, ia didatangkan dengan rim tayar bersaiz 14 inci.

Berikut antara ciri istimewa lain terdapat pada WMoto Xtreme 150i:-

  • Berat keseluruhan 143 kilogram
  • Kapasiti tangki sebesar 11 liter
  • Jarak tunggangan sehingga 400 kilometer untuk full tank
  • Unit lampu nyalaan siang diod pemancar cahaya (LED)
  • Paparan digital LCD
  • Ruang storan besar di bawah tempat duduk (mampu memuatkan helmet fullface)
  • Slot pengecasan USB
  • Soket 12 V serta pelindung angin hadapan dilaras secara manual

Model WMoto Xtreme 150i boleh didapati dalam dua warna iaitu merah dan kelabu.

Harga jualan bermula dari RM9,588 tidak termasuk cukai jalan, insurans serta pendaftaran.

Spesifikasi enjin Jeep Grand Cherokee 4xe masih jadi rahsia

USAHA menghasilkan jentera cekap tenaga terus meriah dengan terbaharu datangnya daripada syarikat pengeluar kenderaan Jeep.

Model Grand Cherokee 4xe buat pertama kali diperkenalkan pada acara Stellantis EV Day 2021.

Mempunyai rekaan luaran yang begitu menarik, Jeep bagaimanapun belum mendedahkan secara terperinci spesifikasi terdapat pada model ini.

Namun, syarikat itu berjanji akan mendedahkan spesifikasi Grand Cherokee 4xe ketika New York International Auto Show 2021 pada akhir Ogos depan.

Rekaan model terbaharu Jeep amat memukau dan mempersonakan. – Foto ihsan Motor Authority

Spekulasi enjin Grand Cherokee 4xe

Walaupun Jeep memaklumkan akan mendedahkan spesifikasi enjin Grand Cherokee 4xe tidak lama lagi, namun masih wujud spekulasi mengenai enjin model kenderaan tersebut.

Pemerhati automotif berpendapat terdapat kemungkinan besar Grand Cherokee 4xe berkongsi penjana kuasa PHEV yang sama dengan Wrangler 4xe.

Ia adalah kombinasi dengan enjin 2.0 liter pengecas turbo empat-silinder petrol dengan dua motor elektrik.

Enjin itu mampu menjana kuasa 375 PS pada 5,250 rpm dan tork 637 Nm.

Apa yang menarik, output ini disalurkan ke semua roda menerusi transmisi automatik lapan-kelajuan TorqueFlite sumber-ZF.

Jeep juga mempunyai satu lagi sistem plug-in hybrid menggunakan unit enjin lebih kecil iaitu 1.3 liter turbo-petrol.

Teknologi ini digunakan pada model Renegade dan Compass 4xe.

Enjin model Grand Cherokee 4xe masih belum didedahkan kepada umum. – Foto ihsan Motor Authority

Selain itu, enjin lain yang turut menjana kenderaan utiliti sukan (SUV) keluaran Jeep termasuk unit naturally-aspirated 3.6 liter Petastar petrol V6 dengan 290 PS dan 348 Nm.

Terdapat juga enjin 5.7 liter petrol V8 dengan 357 PS dan 528 Nm.

Kedua-dua penjana kuasa ini dipadankan dengan transmisi automatik lapan-kelajuan.

Enjin varian V6 menggunakan electronically controlled full time active 4WD transfer case. Ia boleh dinaiktaraf dengan electronically controlled transfer case dua-kelajuan dengan jarak rendah.

Gandar hadapan pada model 4WD pula akan diputuskan sambungan secara automatik bagi meningkatkan penjimatan bahan api.

Varian V8 diberi pilihan electronic limited-slip rear differential.

https://www.youtube.com/watch?v=od6s6uEFFYE

Hilang kawalan punca dua kapal berlanggar di perairan Muar

JABATAN Laut Malaysia memaklumkan telah memperoleh keputusan siasatan awal kemalangan kapal MV Gagapagos dan MV Zephyr Lumos di perairan Muar, semalam.

Memetik satu kenyataan, insiden berlaku selepas kapal MV Gagapagos dikatakan hilang kawalan semasa pelayaran sebelum melanggar MV Zephyr Lumos.

“Jabatan Laut Malaysia juga telah mengarahkan kedua-dua kapal untuk berlabuh di tempat selamat bagi tujuan verifikasi kerosakan dan siasatan lanjut.

“Pasukan siasatan kemalangan kapal Jabatan Laut Wilayah Selatan (JLWS) sedang menjalankan siasatan ke atas kapal-kapal berkenaan,” menurut kenyataan itu.

Semalam, sebuah kapal tangki MV Galapagos dan kapal kargo MV Zephyr Lumos berlanggar di kedudukan 14.1 batu nautika barat daya kuala Sungai Muar.

Tiada kemalangan jiwa dilaporkan susulan insiden terbabit.

Terdahulu, maklumat isyarat kecemasan dari kedua-dua kapal itu diterima menerusi Badan Nasional Pencarian dan Pertolongan (BASARNAS) Indonesia.

Pada masa sama, Jabatan Laut memaklumkan hasil pemeriksaan mendapati tiada sebarang kesan minyak dijumpai.

Namun, menurut laporan awal yang diperoleh daripada Maritim, tumpahan minyak dikesan kira-kira lima batu nautika dari lokasi kapal MV Galapagos berlabuh.

Bagaimanapun tiada tumpahan minyak dilaporkan di lokasi MV Zephyr Lumos berlabuh.

AE 86, GR Yaris antara kereta sport terbaik Toyota

KREDIBILITI Toyota sebagai syarikat pengeluar kenderaan terkemuka dunia tidak dapat disangkal lagi.

Syarikat asal “negara matahari terbit” itu bukan sahaja sekadar menempa nama di peringkat global malah, kekal bersaing menghasilkan kenderaan hebat.

Ini terbukti apabila Toyota sebelum ini pernah menghasilkan beberapa model sport yang agak power.

Jadi, kali ini EnGear telah senaraikan lapan model sport Toyota yang pernah ‘menggegar’ pasaran automotif dunia.

Toyota 222D

Ramai yang menganggap model 222D seakan kereta keluaran Ford iaitu RS200.

Model ini terkenal dengan kelajuan yang super hebat terutama dalam sukan rally.

Bagaimanapun, disebabkan kenderaan ini terlalu laju, ia kemudian dihentikan daripada memasuki kejohanan rally.

Toyota Soarer

Syarikat Toyota dikatakan mempunyai niat tersembunyi ketika mengeluarkan model ini.

Khabar angin mengatakan bahawa model Soarer dihasilkan bagi menyaingi kenderaan keluaran syarikat Jerman.

Buat pengetahuan anda, model Soarer adalah asas kepada penghasilan sport car
keluaran Lexus.

Toyota Celica GT Liftback

Sekali pandang model ini persis kereta keluaran Amerika Syarikat (AS), Mustang.

Ia dikeluarkan pada tahun 1977 dan ramai meminati model ini bukan sahaja kerana rekaannya tetapi disebabkan enjin berkuasa tinggi.

Toyota Trueno (AE 86)

AE merupakan antara model yang agak famous bagi peminat kereta.

Hal ini kerana AE 86 pernah muncul dalam sebuah filem yang mengetengahkan aksi perlumbaan drift.

Maklumat yang kami selidiki mendapati model AE 86 sebenarnya adalah berasaskan daripada model Corolla.

Toyota Supra Mark 3

Supra Mark 3 juga salah satu model paling famous bagi kenderaan keluaran Toyota.

Tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa model ini antara yang terbaik pernah dihasilkan Toyota.

Pada masa sama, reka bentuk ini sangat ‘mengancam’ dan sering menjadi ‘buruan’ peminat kereta.

Toyota 2000GT

Pertama kali terpandang model ini, pasti mata kita akan terpanggil untuk melihat rekaan lampu hadapannya.

Kelebihan ada pada kereta ini selain enjin yang mantap adalah detailing yang dihasilkan menghampiri tahap sempurna.

Toyota Supra Mark 4

Supra Mark 4 tidak dinafikan antara kereta pasaran domestic Jepun (JDM) yang masih mahal harganya.

Ini bukan sahaja kerana rupanya yang agresif malah enjin yang digunakan sangat hebat.

Kami yakin, ramai juga meminati model ini kerana rekaan dalaman cockpit yang menarik dan sporty.

Percaya atau tidak, Supra Mark 4 juga boleh mencapai 1000 kuasa kuda walau hanya menggunakan blok asal!

Toyota GR Yaris

Percaya atau tidak GR Yaris pernah menerima pengiktirafan daripada Top Gear sebagai kenderaan perfect 10!

Ini merupakan satu pencapaian membanggakan bagi Toyota.

Walaupun harga model ini mencecah RM300,000 tetapi ia masih berbaloi untuk dibeli bagi mereka yang berkemampuan.

GR Yaris juga adalah satu-satunya kereta sport untuk kegunaan rally yang dijual kepada orang ramai.

Jika anda mempunyai sebarang cadangan atau pandangan mengenai artikel ini boleh kongsikan kepada kami.

Informasi lanjut sila layari laman sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram dan Twitter.

Jangan lupa untuk saksikan video menarik mengenai lapan kereta sport keluaran Toyota bersama host kesayangan ramai, Shamsul Yunos!

Chiow!

Sekali pengecasan, BMW CE 04 2022 mampu capai jarak 128 kilometer

BMW dijangka memasarkan model skuter elektrik terbaharu menjelang tahun hadapan dikenali sebagai CE 04.

Berdasarkan spesifikasi model ini, ia didatangkan dengan motor elektrik tunggal yang menghasilkan 42 kuasa kuda dan 60 Nm.

Walaupun kelajuan tertinggi skuter ini dihadkan 120 km/j sahaja namun, ia hanya mengambil masa kurang 10 saat untuk mencapai pecutan 0-100 km/j.

Selain itu, pecutan 0-48 km/j pula hanya mengambil masa sekitar 2.6 saat!

Keistimewaan enjin BMW CE 04

BMW CE 04 mampu bergerak sejauh 128.7 kilometer dengan sekali pengecasan penuh.

Ini kerana ia menggunakan pek bateri berkapasiti 8.9 kWh dengan dibantu sistem penyejukan udara agar bateri kekal di tahap optimum.

Masa pengecasan pula sekitar 1 jam 40 minit dari tahap bateri sifar hingga 100 peratus.

Rekaan garang skuter BMW CE 04. – Foto ihsan BMW

Ciri pengendalian memukau

Terdapat beberapa ciri lain menarik terdapat pada BMW CE 04.

Antara ciri tersebut termasuk:

  • Sistem keselamatan ABS
  • Kawalan gelinciran ASC
  • Dynamic Traction Control
  • ABS Pro

BMW turut memuatkan paparan skrin high-definition (HD) bersaiz 10.25 inci untuk kepuasan penglihatan penunggang.

Skrin ini bukan sahaja boleh disambungkan kepada peranti pintar malah mempunyai sistem navigasi canggih.

Paparan panel meter canggih high-definition (HD). – Foto ihsan BMW

Pada masa sama, BMW CE 04 turut ditawarkan dengan pakej premium dengan sistem DTC dan ABS Pro.

Terdapat juga sistem lampu utama diod pemancar cahaya (LED) adaptif, tempat duduk dengan pemanas dan mod dynamic bagi pengendalian sempurna.

Berdasarkan harga didedahkan BMW, ia dijangka dijual sekitar $11,795 atau bersamaan RM49,221.

PKPD: Operasi Puspakom Seremban ditutup

PARA pelanggan ingin mendapatkan perkhidmatan Puspakom Sdn Bhd cawangan Seremban diminta menangguhkan niat tersebut buat seketika.

Ini kerana Puspakom cawangan itu ditutup sementara berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Memetik kenyataan Puspakom, cawangan itu akan ditutup sepanjang tempoh tersebut.

“Semua bayaran temujanji yang telah dibuat akan dikembalikan secara automatik,” memetik kenyataan Puspakom.

Daerah Seremban dikenakan PKPD bermula hari ini hingga 22 Julai 2021.

Sebarang maklumat sila layari laman web www.puspakom.com.my.

Foto ihsan Facebook/Puspakom Seremban

Penumpang positif Covid-19, Rapid KL minta individu bergejala jalani swab

SEMUA pengguna perkhidmatan LRT Laluan Kelana Jaya dan juga MRT Laluan Kajang yang mempunyai gejala Covid-19 diminta menjalani ujian saringan secepat mungkin.

Rapid KL dalam satu kenyataan berkata, ia susulan dua orang pengguna LRT disahkan positif Covid-19 sebelum ini.

Pada 3 Julai lalu, seorang penumpang menggunakan LRT Laluan Kelana Jaya disahkan positif Covid-19.

Perkara itu dimaklumkan penumpang terbabit kepada Rapid KL menerusi laman sosial Twitter.

Berdasarkan maklumat diterima, penumpang itu memaklumkan menaiki tren dari Stesen LRT Subang Jaya kira-kira jam 6.50 pagi dan turun di KL Sentral.

Pada sebelah petang, penumpang itu sekali lagi menggunakan perkhidmatan LRT untuk pulang dari KL Sentral ke Subang Jaya pada 4.15.

Sementara itu, Rapid KL turut menerima emel daripada seorang penumpang yang mendakwa dirinya dijangkiti Covid-19.

Penumpang itu mengakui pernah menaiki tren dari Stesen MRT TTDI ke Stesen MRT Bukit Dukung untuk menjalani saringan Covid-19 pada pukul 4.30 petang.

Rapid KL seru patuh prosedur operasi standard (SOP)

Rapid KL menyeru semua penumpang terus mematuhi SOP ketika menggunakan perkhidmatan mereka.

Penumpang menjalani ujian calitan Covid-19 diminta mengasingkan diri sehingga menerima keputusan.

Kerajaan sebelum ini menghadkan hanya 50 peratus daripada jumlah maksimum.

Skyline GT-R R34 ini lebih mahal daripada Ferrari F8 N-Largo!

Adakah anda masih ingat akan model Nissan Skyline GT-R R34?

Ya, sebuah model Skyline yang telah berusia hampir 20 tahun.

Apa yang menarik baru-baru ini sebuah Nissan Skyline GT-R R34 dengan spesifikasi V-Spec II Nur ingin dijual oleh Yahoo Auction.

Berdasarkan kenyataan Yahoo Auction, kenderaan itu dikatakan belum didaftarkan malah, jarak perbatuannya hanya kurang 10 kilometer!

Untuk rekod, model V-Spec II Nur merupakan salah satu daripada 718 unit pernah dihasilkan dan daripada jumlah itu, hanya 159 unit dicat warna putih.

R34 GT-R V-Spec II ini dikatakan masih belum didaftarkan walau telah dihasilkan lebih 20 tahun lalu. – Foto ihsan Yahoo Auction

Selain itu, model ini didatangkan dengan enjin perlumbaan RB26DETT.

Antara penambahbaikan yang telah dibuat termasuk:

  • Aci engkol lebih seimbang
  • Saluran air dan udara lebih baik
  • Omboh yang dinaiktaraf
  • Unit pengecas turbo baharu
  • Aci sesondol yang dinaiktaraf

Yahoo Auction memaklumkan harga bidaan bagi Nissan Skyline GT-R R34 tersebut bermula dari 50,000,000 yen atau bersamaan RM1.87 juta!

Apa kata anda?

Suspek kes curi rempuh kenderaan, sekatan pihak polis

TAKUT kena cekup pihak polis, dua lelaki bertindak nekad merempuh sekatan jalan raya (SJR) di Papar, Sabah.

Insiden pada semalam itu berlaku selepas suspek disyaki terlibat dengan beberapa kes curi kabel.

Memetik laporan Bernama, suspek berusia 36 dan 21 tahun dipercayai terlibat dengan sekurang-kurangnya 10 kes kecurian kabel telekomunikasi bernilai RM100,000.

Ketua Polis Daerah Papar DSP Batholomew Umpit berkata, suspek turut bertindak ganas dengan merempuh kenderaan pihak berkuasa.

“Kedua-dua suspek bertindak agresif menyerang polis dengan merempuh kenderaan pihak berkuasa sebelum melarikan diri,” katanya.

Terdahulu, polis telah mengenal pasti lokasi suspek sebelum bertindak melakukan kepungan untuk menahan mereka.

Kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh dan 379 kerana mencuri .

Siasatan awal turut mendapati suspek mempunyai rekod jenayah lampau melibatkan dadah dan curi.

Orang ramai mempunyai maklumat mengenai kedua-dua suspek diminta segera menghubungi pihak polis.

Rare! 12 jenis kereta harga bawah RM5,000 di pasaran Malaysia

PASARAN kenderaan terpakai di Malaysia tidak dinafikan semakin meluas di seluruh pelosok negara.

Ada pelbagai jenis kenderaan sama ada sedan, van, pacuan empat roda dan lain-lain.

Selain model kenderaan, terdapat juga pelbagai julat harga bergantung kepada tahun buatan kenderaan tersebut.

Justeru, artikel kali ini kami dedahkan kepada anda 12 kenderaan terpakai yang boleh didapati dengan harga kurang RM5,000!

Ada ke?

12 kenderaan terpakai bawah RM5,000

Terdapat beberapa jenis kenderaan yang EnGear berjaya temui di pasaran dengan harga kurang RM5,000.

Bagaimanapun, tidak dapat dipastikan sejauh mana tahap kondisi ke semua kenderaan terbabit.

Apa pun jangan buang masa, jom kita lihat satu demi satu kenderaan bawah RM5,000!

Perodua Rusa

Perodua Rusa kini merupakan antara kenderaan yang semakin rare.

Dihasilkan sekitar tahun 1996, kenderaan ini amat sesuai untuk mereka yang mempunyai keluarga besar.

Jika anda seorang ‘kaki camping’ pun sesuai untuk memiliki sebuah Perodua Rusa.

Setakat ini, kami berjaya menemui sebuah Perodua berharga serendah RM3,800.

Toyota Corona GL2.0

Corona GL2.0 merupakan antara kenderaan yang popular suatu ketika dahulu.

Ia bukan sahaja didatangkan dengan enjin yang mantap tetapi mempunyai ruang dalaman yang cukup luas.

Sebuah Corona buatan tahun 1995 boleh didapati pada harga RM4,400.

Jika anda berjaya menemui harga yang lebih rendah, mungkin boleh kongsikan bersama kami ya!

Peugeot 306 1.8

Kereta keluaran Perancis ini juga antara yang popular suatu masa dulu.

Ia bukan sahaja popular kerana keluaran luar negara tetapi disebabkan ketahanan enjinnya.

Sebuah Peugeot 306 keluaran tahun 1997 boleh didapati pada harga serendah RM4,500.

Perodua Kembara 1.3 EZ

Perodua Kembara merupakan salah satu kenderaan yang agak legend di Malaysia.

Pernah dipopularkan oleh kumpulan adik-beradik KRU, model ini terkenal bukan sahaja kerana lasak malah lincah di jalan berbukit.

Setakat ini, harga terendah Perodua Kembara model ini adalah RM5,000.

Volvo 940 2.3 GL

Sebut model Volvo jenis ini, ada yang menamakannya sebagai kereta kebal.

Namun, sesuai dengan jolokan itu ia amat tahan lasak dan cukup berkuasa.

Tidak dinafikan juga, sesiapa yang memandu Volvo 940 2.3 GL pasti akan merasai kepuasan memandu. Itulah hebatnya sebuah Volvo!

Harga bagi model jenis ini adalah serendah RM4,800 sahaja!

Honda Civic EX

Tidak dinafikan ramai yang masih menggemari Honda Civic EX.

Ada yang menjadikan model ini sebagai weekend car atau sekadar memenuhi hobi ‘bikin’ kereta.

Harga Honda Civic EX boleh didapati serendah RM4,800.

Ford Telstar 1.8

Ford Telstar 1.8 tahun 1995 yang berjaya EnGear temui adalah berharga RM3,000.

Harga yang cukup reasonable tetapi perlu diteliti lebih lanjut keadaan enjin dan body kereta.

Jika semuanya okey, pasti tidak menyesal untuk memliki sebuah Ford Telstar 1.8!

Citroen ZX 2.0

Sebuah lagi kereta keluaran Perancis bernama Citroen ZX 2.0 berjaya EnGear temui dengan harga serendah RM4,300.

Kereta ini amat ‘sedap’ dipandu suatu ketika dahulu.

Kalau anda berjaya temui kereta ini dengan harga berbaloi, ‘sambar’ terus geng!

Alfa Romeo 146 2.0 Twin Spark Manual

Jika anda seorang peminat jenama Alfa Romeo ini mungkin peluang keemasan yang tidak mungkin mahu dilepaskan.

EnGear berjaya menemui sebuah Alfa Romeo 146 2.0 Twin Spark Manual berharga RM4,000.

Perlu diingat jenama ini mungkin sedikit sukar untuk mencari spare part maka, anda kena bersedia untuk melancarkan misi pencarian alat ganti di masa depan.

Cherry A160

Cherry A160 mula diperkenalkan di pasaran sekitar tahun 2003 di China.

Kalangan peminat kereta berpandangan kenderaan ini agak bermasalah terutama membabitkan sistem enjin.

Namun, jika teringin sangat nak memiliki sebuah kenderaan terpakai dari China, anda boleh dapatkan ia serendah RM4,500. Berbaloi?

Mercedes Benz W124

Memiliki body yang kukuh antara kelebihan yang ada pada model ini.

Sebuah model Benz W124 tahun 1989 boleh dibeli pada harga RM4,500.

Mazda MPV 3.0 V6

Model Mazda ini antara paling dicari-cari ketika zaman kegemilangannya sekitar tahun 1995.

MPV ini bukan sahaja memiliki ruang dalaman luas tetapi faktor enjinnya yang besar cukup untuk memberi kepuasan kepada pemandu.

Harga yang berjaya EnGear cari adalah RM4,800.

Cumanya, sendiri kena ingat harga cukai jalan yang perlu dibayar ya!

Demikian antara 12 kenderaan terpakai dengan harga kurang RM5,000 yang berjaya kami senaraikan.

Perlu diingat, kesemua kenderaan ini sudah berusia dan mungkin aka nada masalah di masa hadapan.

Bagaimanapun, jika anda terdesak untuk memiliki kenderaan maka apa salahnya untuk mencuba. Kos baiki itu kita fikir kemudian.

Nak tahu lebih lanjut mengenai kereta bawah RM5,000 jangan lupa saksikan video disediakan di platform media sosial EnGear yang lain.

Adios!

Kenderaan ‘kayangan’, Ferrari F8 N-Largo hanya 15 unit seluruh dunia

‘PERANG’ supercar nampaknya terus memuncak dengan pengenalan model baharu Ferrari F8 N-Largo.

Tampil lebih ‘garang’ dan eksklusif, model ini mendapat sentuhan pereka Jerman Vittorio Strosek.

Apa yang menarik, Ferrari F8 N-Largo hanya dihasilkan sebanyak 15 unit bagi pasaran global.

Justeru, apa kelebihan Ferrari F8 N-Largo ini?

Ferrari F8 N-Largo mampu menjana kuasa mencecah 818 PS pada 7,960 rpm dan tork 903 Nm dari serendah 3,100 rpm.

Ia mampu memecut dari 0-100 km/j hanya dalam 2.6 saat selain mencapai kelajuan 200 km/j dengan masa kurang 7.4 saat.

Tahap kelajuan maksimum yang boleh dicapai pula adalah 340 km/j.

Ferrari F8 N-Largo sesuai untuk mereka yang gemarkan kelajuan. – Foto ihsan Motor1.com

Berikut antara kelebihan lain terdapat pada model Ferrari F8 N-Largo:

  • Penggunaan dua modul kawalan enjin yang memperkenalkan pemetaan khas bagi pencucuhan dan suntikan serta kawalan tekanan rangsangan
  • Sistem ekzos kustom yang diperbuat daripada aloi Inconel
  • Menggunakan roda Novitec NF10 NL 21-inci dan 22-inci yang dihasilkan menerusi kerjasama Vossen
  • Tayar prestasi tinggi 255/30 ZR21 (9.5J) dan 335/25 ZR22
  • Gegelung sport bagi mengurangkan ketinggian jentera sebanyak 35 mm
Rekaan belakang Ferrari F8 N-Largo kelihatan begitu ‘seksi’. – Foto ihsan Motor1.com

Pelanggan yang berminat membuat tempahan diberi pilihan untuk memilih warna luaran, roda dan ruang kabin mengikut selera masing-masing.

Harga bagi sebuah Ferrari F8 N-Largo bermula serendah $274,000 atau bersamaan RM1.14 juta sahaja.

Suntik vaksin Covid-19 secara pandu lalu di Labuan

PENDUDUK Labuan mula menjalani proses penerimaan vaksin Covid-19 secara pandu lalu mulai semalam.

Langkah itu dibuat oleh pihak berwajib bagi melancarkan proses pemberian vaksin kepada penduduk.

Memetik laporan Bernama, lokasi pelaksanaan vaksinasi secara pandu lalu itu terletak di ruang letak kereta Universiti Malaysia Sabah Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL).

Bagaimanapun, ia hanya terhad kepada penerima suntikan dos kedua vaksin jenis Pfizer-BioNTech.

Pengarah Jabatan Kesihatan Labuan Dr Ismuni Bohari berkata, setakat ini lebih 56,000 penduduk Labuan telah menerima vaksin Covid-19.

“Kami menjangkakan ramai yang akan hadir mulai 8 Julai ini.

“Kebanyakan penerima dos pertama harus mendapatkan suntikan kedua mereka sehampir mungkin dengan selang masa tiga minggu,” katanya.

Ketika ini, terdapat peningkatan jumlah penduduk Labuan mendaftar untuk vaksinasi melalui aplikasi MySejahtera.

Untuk rekod, 85.3 peratus populasi dewasa telah mendaftar setakat semalam berbanding 40.8 peratus pada 1 Jun lalu.