fbpx

Gadis hampir jadi mangsa ‘tonto’, bapa kongsi detik cemas

Pengguna media sosial Zulkifli Mohd Salleh memuat naik foto menunjukkan kereta anak perempuannya 'dikepung' dua lagi kenderaan dalam satu kejadian di Kajang, semalam. - Foto ihsan Facebook/Zulkifli Mohd Salleh
Pengguna media sosial Zulkifli Mohd Salleh memuat naik foto menunjukkan kereta anak perempuannya 'dikepung' dua lagi kenderaan dalam satu kejadian di Kajang, semalam. - Foto ihsan Facebook/Zulkifli Mohd Salleh

SEORANG gadis berdepan detik cemas selepas dikepung sekumpulan lelaki dipercayai ‘tonto’ dalam satu kejadian di Kajang, semalam.

Insiden berlaku ketika gadis tersebut dalam perjalanan pulang ke rumah setelah selesai menjalankan kerja amal.

Memetik hantaran Facebook Zulkifli Mohd Salleh yang juga bapa kepada gadis itu, kereta dipandu anaknya pada mula dikatakan mengalami masalah di bahagian tayar.

Sangsi dengan situasi berlaku, gadis tersebut kemudian bertindak memberhentikan kenderaan di bahu jalan bagi melakukan pemeriksaan.

Bagaimanapun, apa yang mengejutkan secara tiba-tiba muncul dua buah kereta dinaiki beberapa lelaki menawarkan perkhidmatan menunda kenderaan.

“Hati-hati ya. Menjelang Maghrib tadi (semalam) anak perempuan saya pergi ke Family Mart Sungai Long, Kajang.

“Selepas keluar dia terus drive ke rumah. Tapi beberapa minit drive dia rasa kereta melelong. Terus dia berhenti di lorong tepi. Dia check tayar kereta pancit.

“Dia terus call saya. Saya pesan dekat dia masuk balik ke dalam kereta. Lock pintu. Tunggu saya dan anak-anak lelaki saya datang. Jangan sesekali benarkan tow truck tarik.

“Tidak sampai lima minit datang kereta Proton ‘WJM’, kemudian dalam dua minit datang sebuah lagi kereta Toyota ‘RAJ’. Kedua-dua mereka offer tow truck,” katanya.

Salah sebuah kenderaan dipercayai dipandu oleh 'tonto'. - Foto ihsan Facebook/Zulkifli Mohd Salleh
Salah sebuah kenderaan dipercayai dipandu oleh ‘tonto’. – Foto ihsan Facebook/Zulkifli Mohd Salleh

Sementara itu, beberapa orang anak lelaki Zulkifli bertindak segera ke lokasi kejadian bagi menghulurkan bantuan.

Sebaik tiba di lokasi, kesemua lelaki terbabit kemudian segera beredar tanpa sempat melakukan sebarang tindakan.

Jelas Zulkifli, tidak mustahil insiden itu berpunca daripada perbuatan khianat memandangkan terdapat kesan torehan pada bahagian tayar kereta anak perempuannya.

“Bila diperiksa, dua tayar pancit dan ada kesan dihiris dengan pisau atau benda tajam.

“Jadi anak-anak lelaki saya ganti tayar bocor tu menggunakan spare tyre kereta anak perempuan dan satu lagi nasib baik muat lubang spare tyre kereta anak lelaki.

“Cuma size tyre tak sama. Boleh la jalan perlahan2 sampai rumah,” katanya lagi.

Susulan insiden itu, Zulkifli menitipkan pesan agar sentiasa berhati-hati dengan pelbagai sindiket penipuan.

Zulkifli juga sempat memberikan beberapa tips penting jika berdepan situasi sama antaranya seperti berikut:

    • Segera hubungi ahli keluarga terdekat

    • Sekiranya kenderaan terpaksa ditunda, gunakan perkhidmatan tunda oleh syarikat insurans kenderaan

    • Pastikan tahu nombor telefon kecemasan syarikat insurans kereta

    • Jangan gunakan perkhidmatan trak tunda ‘tonto’

    • Berhenti di lokasi selamat dan tunggu dalam kenderaan sehingga bantuan tiba

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved