Semua kiriman oleh Hans

Wartawan yang masih menabung demi sebuah Aventador

Sering banjir, LPT bakal dinaik taraf Julai tahun ini

PENGGUNA jalan raya terutama penduduk Pantai Timur boleh menarik nafas lega dengan cadangan naik taraf laluan Lebuhraya Pantai Timur yang sering dinaiki air terutama ketika musim tengkujuh.

Projek melibatkan kerjasama kerajaan negeri Pahang dan Persekutuan itu dilaporkan bakal dilaksanakan dalam tempoh terdekat.

Menteri Besar Pahang berkata, projek naik taraf itu amat penting memandangkan ia melibatkan kepentingan rakyat.

Jelas, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, persetujuan sudah diberi kerajaan Persekutuan untuk melaksanakan projek berkenaan.

Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail. – Foto ihsan Malay Mail

“Kerja ini perlu dilakukan dan diberi keutamaan. Oleh itu kerajaan pusat bersetuju menaik taraf laluan LPT bermula Julai depan,” katanya baru-baru ini.

Antara kawasan terlibat dengan proses naik traf ini adalah di daerah Lanchang sehingga ke Temerloh.

Sementara itu, Jabatan Pengairan Sungai (JPS) Pahang turut menerima peruntukan menaik taraf kolam takungan banjir.

Bagi tujuan itu, RM6.14 juta telah diperuntukkan bagi melaksanakan 42 kerja kecemasan di luar jangka.

Enjin kereta yang ditenggelami banjir mengudang risiko kerosakan. – Foto ihsan Malay Mail

JPS Pahang turut menerima peruntukan RM20.36 juta daripada kerajaan Persekutuan untuk kerja-kerja mengurangkan risiko banjir.

Negeri Pantai Timur saban tahun sering berdepan masalah banjir setiap kali memasuki musim tengkujuh.

Banjir bukan sahaja memberi ancaman kepada nyawa manusia dan haiwan malah, merosakkan harta benda awam.

Kargo terkandas di Kenya, sesi latihan GP Argentina ‘terbantut’

KEJOHANAN MotoGP Argentina sedikit terbantut susulan masalah logistik yang menyaksikan dua penerbangan membawa kelengkapan perlumbaan mengalami kelewatan.

Masalah itu menyebabkan sesi latihan pada Jumaat terpaksa dibatalkan dan ditunda esok (Sabtu waktu Argentina).

Selain itu, sesi kelayakkan akan bermula sebelah tengah hari Sabtu sementara tempoh ‘warm up’ pada Ahad akan dipanjangkan.

Memetik kenyataan Dorna Sports, isu logistik berlaku disebabkan masalah teknikal oleh syarikat penerbangan.

Jelas kenyataan itu lagi, terdapat muatan kargo terkandas di Mombasa, Kenya akibat masalah yang tidak dapat dielakkan.

Pelumba Jepun Takaaki Nakagami sentiasa memberi saingan sengit dalam setiap perlumbaan. – Foto ihsan Facebook/Tarmac Sports Malaysia

Dalam perkembangan lain, GP Argentina musim ini tidak akan menyaksikan persembahan pelumba Jepun Takaaki Nakagami.

Nakagami terpaksa melupakan perlumbaan di Argentina selepas disahkan positif Covid-19 sekaligus perlu menjalani kuarantin.

Ketiadaan Nakagami merencatkan saingan Honda selepas Marc Marquez daripada pasukan Repsol juga tidak dapat beraksi.

Pelumba MotoGP Marc Marquez dihimpit masalah kecederaan. – Foto ihsan Facebook/Marc Marquez

Marquez disahkan tidak mampu meneruskan saingan di Argentina kerana mengalami masalah diplopia akibat gegaran di bahagian otak.

Insiden berlaku di GP Indonesia yang mana pelumba kelahiran Sepanyol itu berdepan kemalangan ketika sesi ‘warm up’.

Tanah dijual, pembinaan lapangan terbang baharu Perak mungkin lewat

RAKYAT negeri Perak mungkin terpaksa menunggu lebih lama untuk memiliki lapangan terbang baharu.

Hal ini kerana kerajaan negeri masih tidak mempunyai kawasan yang sesuai memandangkan tanah sedia ada telah dijual kepada sebuah syarikat swasta.

Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, ketika ini pihaknya masih berusaha mencari lokasi strategik bagi membina lapangan terbang baharu.

“Tanah itu telah dijual semasa zaman PH (Pakatan Harapan), mereka masa itu sudah jual jadi kita tidak ada tanah untuk bina lapangan terbang baharu.

“Tanah itu tidak boleh diambil semula, memandangkan syarikat swasta berkenaan sudah pun mendapat kebenaran merancang untuk melaksanakan pembangunan,” katanya.

Suasana di dalam Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah. – Foto ihsan Wikipedia

Mengulas lanjut, Saarani berkata pihaknya perlu mencari tapak baharu bagi pembinaan lapangan terbang antarabangsa seperti yang dirancang.

Saarani tidak menolak kemungkinan terpaksa memindahkan lokasi lapangan terbang baharu jika tiada kawasan sesuai di Seri Iskandar.

Bagaimanapun, kerajaan negeri akan mendapatkan pandangan daripada Jabatan Penerbangan Awam (DCA) sebelum membuat sebarang tindakan susulan.

Sebelum ini, Ahli Dewan Undangan Negeri Aulong mendakwa cadangan pembinaan lapangan terbang antarabangsa di Seri Iskandar dijual tanpa kebenaran kerajaan negeri.

Nga Kor Ming berkata, perbuatan itu dilakukan individu tidak bertanggungjawab selain menuntut pihak bertanggungjawab diheret ke muka pengadilan.

Pintu sempadan dibuka, jumlah kenderaan dijangka meningkat

PEMBUKAAN semula sempadan Malaysia – Singapura dijangka menyebabkan berlaku penambahan kenderaan pada hujung minggu ini.

Menteri Pengangkutan berkata, keadaan itu juga ditambah dengan pengecualian caj jalan dan tol selama seminggu.

Datuk Seri Wee Ka Siong menambah, kedatangan bulan Ramadan dan Hari Qing Ming juga menyebabkan rakyat kedua negara melakukan perjalanan rentas sempadan.

“Pengecualian ini menggalakkan mereka yang lama tidak balik ke Malaysia ataupun orang Singapura hendak masuk ke Malaysia.

“Seperti mana saya telah huraikan dua sambutan besar iaitu Awal Ramadan dan Hari Qing Ming.

“Secara tradisi mereka balik maklumlah dua tahun tidak boleh balik, mungkin ada yang ambil kesempatan untuk balik menziarahi kubur orang tua atau ahli keluarga,” katanya.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong. – Foto ihsan Malay Mail

Sementara itu, Wee turut melihat pembukaan pintu sempadan akan meningkatkan aktiviti ekonomi Negeri Johor.

“Kemasukan kenderaan akan kita lihat dari Singapura ke Johor dan ini memberi kesan yang sangat positif kepada ekonomi negeri Johor,” katanya lagi.

Bermula esok, pintu sempadan Malaysia – Singapura akan dibuka selepas kedua-dua kerajaan bersetuju untuk berbuat demikian.

Semua pintu sempadan antarabangsa melalui laluan darat, udara dan laut juga akan dibuka sepenuhnya.

Pertingkat keselamatan negara, TLDM cari ‘pengganti’ helikopter Fennec

TENTERA Laut Diraja Malaysia (TLDM) bercadang menambah aset helikopter mempunyai keupayaan peperangan anti kapal selam dan berteknologi baharu.

Panglima Udara TLDM berkata, helikopter baharu itu penting bagi menggantikan helikopter AS555SN Fennec, lapor Bernama.

Jelas Laksamana Pertama Ahmad Shafirudin Abu Bakar, helikopter AS555SN Fennec tidak lagi dikeluarkan ketika ini dan TLDM akan melihat kepada aset helikopter bersesuaian pada masa akan datang.

Panglima Udara Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Laksamana Pertama Ahmad Shafirudin Abu Bakar (kanan) berkata, pihaknya sedang meneliti mendapatkan helikopter baharu. – Foto ihsan Facebook/TLDM

Ahmad Shafirudin memberitahu pemberita selepas majlis penyampaian anugerah meraikan rekod pencapaian 20,000 jam penerbangan helikopter AS555SN Fennec, semalam.

Helikopter AS555SN Fennec dikendalikan Skuadron 502 TLDM semenjak tahun 2004 lagi.

Ia berfungsi sebagai helikopter latihan serta menyokong operasi penerbangan selain mempertingkat kawalan keselamatan negara.

Antara operasi menggunakan helikopter AS555SN Fennec TLDM termasuk Op Fajar di perairan Somalia dan pelbagai latihan ketenteraan lain.

XMax SP di pasaran Thailand, dilengkapi penyerap hentak Ohlins

VERSI baharu model XMax yang dikenali dengan nama XMax SP mula dipasarkan di pasaran negara jiran, Thailand.

Terdapat beberapa ciri menarik pada model ini antaranya termasuk penyerap hentak belakang boleh laras jenama Ohlins.

Apa yang menarik, Yamaha turut memberikan penyerap hentak asal jika pemilik berhasrat untuk menggunakannya kelak.

Foto ihsan Yamaha Thailand

Berdasarkan maklumat diterima, XMax dijual di pasaran Thailand menggunakan enjin 292cc dengan 27.6 kuasa kuda pada 7,250 rpm dan 29 Nm tork pada 5,750 rpm.

Model XMax SP didatangkan dengan warna kelabu manakala, rim diwarnakan dengan warna merah sekaligus menyerlahkan gaya ‘sporty’.

Foto ihsan Yamaha Thailand

Berikut antara spesifikasi lain terdapat pada Yamaha XMax SP di Thailand:

  • Tangki bahan api 13 liter
  • Brek cakera ABS depan dan belakang
  • Sistem kawalan cengkaman
  • Lampu hadapan dan belakang LED
  • Soket 12V
  • Fork teleskopik

Sebuah Yamaha XMax SP dijual pada harga 209,000 baht atau RM26,332.

ELMS: Jazeman yakin naik podium jika tidak berdepan kemalangan

PELUMBA negara Jazeman Jaafar berharap tidak berdepan sebarang masalah terutama kemalangan dalam saingan European Le Mans Series (ELMS).

Jelas Jazeman, dia akan cuba melakukan segala yang terbaik bagi mengelak kemalangan sekaligus, membuka peluang menaiki podium.

Foto ihsan Facebook/Jazeman Jaafar Live Page

“Pasukan berada dalam keadaan cukup bersedia dan saya akan cuba meraih kedudukan podium daripada perlumbaan awal lagi.

“Apa yang penting, strategi serta persiapan untuk menang itu di landasan yang betul.

“Ini perlumbaan sangat kompetitif dan jika sebarang kesilapan boleh dapat dielakkan saya rasa tidak mustahil untuk meraih podium,” katanya kepada pemberita.

Foto ihsan Facebook/Jazeman Jaafar Live Page

Perlumbaan ELMS akan bermula pada 17 April depan di Le Castellet, Perancis.

Selain Perancis, ELMS turut dijadual berlangsung di Itali, Sepanyol, Belgium dan Portugal.

Jazeman akan beraksi secara penuh dalam kategori Le Mans Prototype 2 (LMP2) dan bergandingan bersama pelumba Perancis Gabriel Audry dan pelumba Amerika Syarikat Rob Hodes.

Marquez belum pulih daripada diplopia, sah terlepas GP Argentina

PELUMBA pasukan Repsol Honda Marc Marquez sah tidak beraksi di Grand Prix (GP) Argentina hujung minggu ini.

Perkara itu disahkan pakar perubatan Dr Sanchez Dalmau yang merawat Marquez berikutan masalah diplopia dialaminya.

Memetik laporan dikeluarkan Dorna Sports, Marquez masih mengalami masalah penglihatan atau double vision.

Bagaimanapun, apa yang dialami Marquez tidak begitu serius dan menunjukkan tanda positif.

“Beliau (Marquez) menunjukkan tanda pemulihan namun, tidak pulih sepenuhnya.

“Marquez perlu menjalani rawatan lanjut dan lebih rapi agar dapat pulih seperti sedia kala,” kata Dr Sanchez.

Pada perlumbaan GP Indonesia, Marquez berdepan kemalangan sehingga menyebabkan dirinya mengalami gegaran otak.

Masalah dihadapi Marquez bukan kali pertama dan pernah mengalaminya dua tahun lalu dalam kemalangan di GP Sepanyol.

Pembayaran parkir digital sepenuhnya di Selangor mulai 1 April

SELANGOR bakal menguatkuasakan sepenuhnya pembayaran parkir secara digital bermula 1 April depan.

Langkah itu dibuat bagi memudahkan orang ramai selain lebih efektif dan efisyen.

Orang ramai boleh memuat turun aplikasi Smart Selangor Parking (SSP) di Google Play Store, Apple App Store atau Huawei AppGallery.

Sementara itu, orang ramai boleh memindahkan baki nilai kupon kepada kredit SSP mulai 26 Mac.

Perkara itu secara tidak langsung mengelak pengguna daripada berdepan kerugian kerana masih mempunyai baki kredit pada kupon dibeli sebelum ini.

Sejak diperkenalkan pada 2018, aplikasi SSP telah menjimatkan penggunaan lebih 1,041,221 kilogram kertas.

Setakat ini, SSP mempunyai 1,963,241 pengguna berdaftar.

Menyelinap seperti ular, Kawbra UGV pertama buatan tempatan tanpa bahan bakar

SISTEM pertahanan negara terus dipertingkat dengan kewujudan Kenderaan Darat Tanpa Pemandu (UGV) pertama buatan tempatan.

Kenderaan dikenali sebagai Kawbra itu mempunyai kelebihan tersendiri memandangkan ia tidak menggunakan bahan bakar.

Justeru, Kawbra dikatakan mampu bergerak dengan senyap sekaligus sukar untuk dihidu pihak musuh.

Dibangunkan Institut Penyelidikan Sains dan Teknologi Pertahanan (STRIDE), Kawbra dilengkapi tiga sensor.

Ia termasuk sensor mengesan objek menghalang laluan, sensor geomaknatik dan sensor GPS untuk ‘follow me mode’.

Selain itu, Kawbra juga mempunyai empat kamera di bahagian hadapan, sisi kanan dan kiri serta belakang untuk tujuan pemantauan.

Kawbra mampu membawa beban sehingga 200 kilogram dan boleh bergerak sejauh 40 kilometer bagi setiap cas penuh.

Ketika ini, tahap kesediaan teknologi (TKT) kenderaan UGV itu berada pada tahap empat dan untuk tujuan komersil.

Kawbra dibangunkan pada 2019 dengan kos tidak melebihi RM1 juta selain mendapat sentuhan daripada syarikat Dream Age.

Tiada bantuan kerajaan, Fernandes bangga AirAsia terus bertahan

KETUA Pegawai Eksekutif (CEO) Capital A Bhd berbangga selepas syarikat itu berjaya menyelesaikan lebih 90 peratus bayaran semula kepada pelanggannya.

Tan Sri Tony Fernandes berkata, walaupun syarikat mengalami masalah kewangan namun, lebih banyak bayaran balik dijangka dapat dilakukan dalam tempoh terdekat.

Pada masa sama, Fernandes menganggap segala yang dilalui syarikat itu sebagai luar biasa kerana tidak menerima sebarang sokongan kewangan daripada kerajaan.

“AirAsia telah mengendalikan lebih 90 peratus bayaran balik dan ia tidak menjadi isu kerana kami telah bertindak secara telus.

“Pelanggan kami memahami bahawa kami telah memberi sokongan walaupun wujud rungutan dan pihak media juga menimbulkan isu tersebut,” katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Capital A Bhd Tan Sri Tony Fernandes percaya pihaknya kini bersedia memberikan perkhidmatan terbaik kepada penumpang dengan memastikan tahap keselamatan berada di paras tertinggi. – Foto ihsan Malay Mail

Bayaran balik akan terus dilakukan apabila penerbangan disambung semula di Malaysia dan Filipina dalam tempoh enam bulan akan datang.

Pelanggan AirAsia X juga akan mendapat baucar apabila syarikat penerbangan itu memulakan operasi semula.

Sektor penerbangan seluruh dunia mengalami impak sangat besar susulan pandemik Covid-19.

Ia susulan kebanyakan negara menutup pintu sempadan serta lapangan terbang sekaligus merugikan pelbagai sektor lain termasuk pelancongan dan perniagaan.

Pengangkutan awam Malaysia – Singapura kembali beroperasi 1 April

PERKHIDMATAN kenderaan pengangkutan awam rentas sempadan Malaysia dan Singapura dibenarkan beroperasi mulai 1 April depan.

Langkah itu dibuat selaras dengan pembukaan sempadan darat antara kedua-dua negara.

Susulan itu, semua operator perkhidmatan kenderaan pengangkutan awam berkaitan boleh membuat persiapan awal dengan memperbaharui permit atau lesen berkaitan.

Jelas Menteri Pengangkutan Datuk Seri Wee Ka Siong, operator pengangkutan awam bagaimanapun berhak menentukan masa permulaan operasi mereka.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong. – Foto ihsan Malay Mail

“Penyediaan atau permulaan perkhidmatan sebenar adalah tertakluk kepada kesediaan operator yang terlibat untuk memulakan operasi mereka semula,” katanya.

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat lanjut daripada pihak operator berkenaan mengenai status pengoperasian perkhidmatan rentas sempadan yang bakal disediakan.

Operator kenderaan perkhidmatan awam rentas sempadan juga diingatkan mematuhi semua garis panduan prosedur operasi standard (SOP) kesihatan sedia ada.

Antara SOP yang perlu dipatuhi termasuk menyediakan kod QR di dalam kenderaan perkhidmatan awam yang beroperasi.

Pandemik Covid-19 membadai negara turut menjejaskan industri pengangkutan. – Foto ihsan Malay Mail

Dalam perkembangan sama, operator atau pemandu kenderaan boleh menolak menyediakan perkhidmatan kepadapengembara tidak mematuhi SOP kesihatan.

Pengembara menggunakan kenderaan motokar persendirian ke Malaysia pula diingatkan mendaftar dan mendapatkan permit kemasukan kenderaan asing (VEP).

Sime Darby, Porsche mula operasi pemasangan Cayenne di Kulim

SEJARAH baharu tercipta bagi Sime Darby dan Porsche selepas secara rasmi memulakan operasi pemasangan tempatan bagi model Cayenne di Kulim, Kedah.

Ia secara tidak langsung juga menjadi operasi pemasangan tempatan pertama yang dibuat di luar Eropah.

Memetik laporan media, pengeluaran model Cayenne ini hanya dikhaskan untuk pasaran Malaysia sahaja.

Ketua Pegawai Eksekutif Sime Darby Berhad Group berkata, pihaknya akan terus berusaha memberikan kualiti terbaik kepada para pelanggan.

Selain itu, Datuk Jeffry Salim Davidson turut berbesar hati dengan kerjasama yang dimeterai bersama Porsche.

“Kami berbesar hati dengan kepercayaan berterusan daripada Porsche kepada Sime Darby.

“Pada masa sama kami bertekad menawarkan produk berkualiti Porsche serta prestasi dan pengalaman pemanduan mengujakan,” katanya.

Operasi di Kulim itu turut membuka lebih peluang pekerjaan kepada penduduk setempat.

Fasiliti tersebut juga dikendalikan sepenuhnya oleh rakyat Malaysia sekaligus menyokong pertumbuhan rantaian industri automotif negara.

Porsche turut berharap perniagaannya berkembang di rantau ini malah, menerima penerimaan positif daripada pengguna.

Terus bela rakyat, kerajaan kaji mekanisme pemberian subsidi petroleum

MEKANISME pemberian subsidi produk petroleum akan dikaji semula oleh kerajaan bagi memastikan setiap rakyat menerima manfaat secara menyeluruh.

Timbalan Menteri Kewangan I berkata, sebarang kaedah pemberian subsidi bagaimanapun akan diperhalusi serta diteliti terlebih dahulu.

Jelas Datuk Mohd Shahar Abdullah, kerajaan mengadakan sesi libat urus dengan pelbagai pihak untuk memperincikan kaedah pelaksanaan rasionalisasi subsidi petrol.

“Kita berjumpa dengan semua syarikat petroleum untuk kita berbincang dahulu dan lihat kaedah yang terbaik untuk subsidi bersasar ini,” katanya.

Ketika ini, setiap US$1 setong kenaikan harga minyak mentah memberikan hasil RM300 juta kepada kerajaan dan jumlah subsidi ditanggung untuk RON95 adalah RM1.65.

“Tetapi masalahnya setiap kenaikan US$1 setong akan memberi implikasi sebanyak RM600 juta.

“Jadi dia tak breakeven (pulang modal) kerana kita melaksanakan harga siling.

“Kita tetapkan harga siling sebanyak RM2.05 seliter untuk RON95 tetapi harga sebenar adalah RM3.70 seliter dan kerajaan tanggung sebanyak RM1.65,” katanya lagi.

Harga petroleum sering mendapat perhatian ramai memandangkan ia memberi kesan besar kepada banyak perkara khusus sektor ekonomi.

Namun, kerajaan sentiasa memberi jaminan akan terus menjaga kepentingan rakyat agar tidak terlalu terkesan dengan peningkatan harga bahan api.

Kajian BMW: Lapan daripada 10 pemandu Malaysia pilih kenderaan elektrik

BMW Group mendapati lapan daripada sepuluh pemandu negara ini ingin melihat lebih banyak kenderaan elektrik (EV) menyusuri jalan raya.

Kaji selidik dijalankan mendapati rata-rata berharap EV dapat mencorak sebuah dunia yang lebih cakna terhadap alam sekitar.

Tinjauan dalam talian itu melibatkan lebih 4,000 pemandu bukan sahaja di Malaysia malah, negara lain turut terlibat seperti Singapura, Indonesia dan Thailand.

Fokus kaji selidik adalah untuk memahami lebih mendalam mengenai pemahaman dan kecenderungan terhadap EV dalam kalangan pemandu Asia Tenggara.

Penggunaan kereta elektrik (EV) diyakini mampu menjaga alam sekitar. – Foto ihsan BMW

Selain itu, kaji selidik juga mendapatkan reaksi terhadap impak EV ke atas alam sekitar serta faktor mendorong pengguna memilikinya.

Jelas Pengarah Urusan BMW Group Malaysia, kesedaran dan keterujaan ditunjukkan terhadap mobiliti lestari adalah amat menggalakkan.

Pada masa sama, pemandu Malaysia juga melihat EV sebagai gerbang pengalaman pemanduan premium.

“Sebagai perintis dalam mobiliti elektrik di Malaysia dan setelah menjejakkan kaki di pentas ini sejak tahun 2015, kami dapat melihat sambutan dan keterujaan.

“Bagaimanapun, masih wujud kesangsian kerana isu-isu yang menyelubunginya…kesemuanya kami sedang menanganinya,” kata Hans de Visser.

Sudah tiba masa lebih banyak pengeluar kenderaan menghasilkan kereta cekap tenaga dan mampu milik. – Foto ihsan Malay Mail

Dalam perkembangan sama, tinjauan mendapati 72 peratus rakyat Malaysia memilih pengurangan pelepasan karbon.

Sementara itu, 49 peratus memilih penjimatan kos menerusi penggunaan elektrik dan bukannya petrol serta 40 peratus untuk pengalaman premium.

Bagaimanapun, wujud beberapa kebimbangan mengenai EV termasuk jarak perjalanan yang dapat dicapai, kos penyenggaraan dan kesukaran mengecas.

SIC anjur MotoGP sehingga 2024, Petronas penaja utama

LITAR Antarabangsa Sepang (SIC) kekal dalam kalendar Kejohanan Dunia FIM MotoGP sehingga tahun 2024.

Perkara itu disahkan Dorna Sports yang pada masa tidak menolak kemungkinan perjanjian akan dilanjutkan sehingga 2026.

Dorna Sports turut mengesahkan Petronas sebagai penaja utama Grand Prix (GP) Malaysia bagi tiga musim berturut-turut.

Justeru, perlumbaan musim ini di Sepang bakal dinamakan Petronas Grand Prix Malaysia sekaligus memastikan jenama itu terus signifikan dalam sukan permotoran.

Perlumbaan MotoGP mempunyai jutaan peminat di seluruh dunia. – Foto ihsan Facebook / MotoGP

Kehadiran Petronas dalam bidang sukan permotoran bukan suatu yang asing malah, merupakan pembekal bahan api bagi kelas Moto2 dan Moto3.

Dalam perkembangan sama, SIC berharap para peminat MotoGP kembali memberi sokongan dengan kembali ke litar bagi menyaksikan perlumbaan secara langsung.

Sebelum ini, Malaysia terkeluar daripada kalendar MotoGP selama dua tahun susulan penularan virus Covid-19 yang mengancam seluruh dunia.

Susulan itu, tema GP Malaysia pada tahun ini adalah #WelcomeHome yang menjadi simbolik kepada kebangkitan semula sukan permotoran antarabangsa.

Jadi, kepada semua peminat MotoGP ayuh kita sama-sama memberi sokongan untuk GP Malaysia tahun ini!

Syarikat pengendali berbeza, lorong SmartTag dan RFID perlu diasingkan

TEMPOH percubaan teknologi Identifikasi Frekuensi Radio (RFID) adalah penting bagi memastikan kelancaran sistem berkenaan.

Menteri Kanan Kerja Raya berkata, sesi percubaan dilaksanakan bagi mengelak sebarang masalah seperti dihadapi kebanyakan pengguna sebelum ini.

Jelas Datuk Seri Fadillah Yusof, pihaknya memandang serius isu dihadapi pengguna dan berharap penyelesaian dapat dilakukan segera.

“Kita mengenal pasti daripada segi teknologi, pentadbiran, perundangan serta kelancaran ataupun efisiensi sistem yang ada itu dan tidak akan membebankan rakyat.

“Itulah yang sedang kita lihat dan perincikan di peringkat Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dan Kementerian Kerja Raya,” katanya.

Menteri Kanan Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof. – Foto ihsan Malay Mail

Fadillah menjawab soalan Senator Datuk Razali Idris yang ingin tahu sama ada Kementerian Kerja Raya bercadang untuk sistem SmartTag dan RFID disatukan dalam lorong sama.

Tambahnya, pembekal perkhidmatan bagi kedua-dua sistem pembayaran tol itu adalah berbeza dan teknologi serta ‘reader’ (pengesan tekonologi) juga tidak sama.

“Sekiranya diletakkan dalam satu lorong, ia akan menyebabkan kecelaruan untuk mengenal pasti sistem tag yang digunakan,” katanya lagi.

Mengenai harga RFID, Fadillah berkata nilai RM35 itu merangkumi kos tag, pemasangan tag, sistem dan pengoperasian.

Namun, kerajaan telah mengarahkan pihak Touch ‘n Go Sdn Bhd mengkaji semula kos itu bagi tujuan mengurangkan harga jualan.

Perang Rusia – Ukraine: Vietnam Airlines gantung laluan ke Moscow

KONFLIK Rusia dan Ukraine menyaksikan Vietnam Airlines bertindak menggantung sementara penerbangan laluan Hanoi – Moscow.

Ia dibuat bagi menyemak prosedur, keperluan dan peraturan berkaitan insurans pesawat serta operasi penerbangan ke Rusia.

Memetik laporan Bernama, syarikat penerbangan itu akan menawarkan bayaran balik percuma kepada penumpang yang sudah membeli tiket.

Bayaran balik juga akan dibuat kepada penumpang yang menukar ke penerbangan lain apabila laluan itu disambung semula.

“Penggantungan itu akan berkuat kuasa sehingga diberitahu kelak.

“Syarikat penerbangan mengesyorkan penumpang sentiasa mengikuti maklumat terkini,” kata syarikat itu.

Vietnam Airlines merupakan syarikat penerbangan tunggal mengendalikan laluan tetap ke Rusia.

Para penumpang boleh mendapatkan maklumat lanjut melalui laman sesawang Vietnam Airlines di www.vietnaairlines.com.

Tindakan menyerang Ukraine menyebabkan beberapa syarikat terkemuka dunia menghentikan operasi di Rusia.

Antara syarikat terbabit termasuk Toyota, Michelin dan beberapa lagi firma terlibat dalam bidang automotif.

Alami gegaran otak, Marquez belum pasti beraksi di GP Argentina

NASIB juara dunia MotoGP sebanyak lapan kali Marc Marquez terus menjadi tanda tanya pasca perlumbaan Grand Prix Indonesia minggu lalu.

Susulan kemalangan ketika sesi warm up di Litar Antarabangsa Mandalika, Marquez disahkan mengalami masalah diplopia atau double vision.

Portal motogp.com melaporkan pelumba asal Sepanyol itu kini mendapatkan rawatan di Barcelona bersama pakar perubatan Dr Sanchez Dalmau.

Dr Sanchez mengesahkan masalah dihadapi Marquez sama seperti dilaluinya dalam kemalangan pada tahun 2011.

Sementara itu, Marquez meminta semua peminatnya bertenang sambil berharap masalah kesihatan dihadapi tidak menjejaskan kempen perlumbaan musim ini.

“Saya mula mengalami ketidakselesaan dengan penglihatan dan kami memutuskan bertemu Dr Sanchez.

“Nasib baik keadaan kini kurang teruk berbanding kecederaan yang saya alami pada penghujung tahun lalu. Terima kasih semua di atas sokongan anda,” katanya.

Pada perlumbaan di Mandalika, Marquez terbabas ketika pusingan warm up yang menyaksikan pelumba itu melayang ke udara.

Beliau kemudian disahkan tidak dapat berlumba kerana mengelami gegaran otak sebelum diterbangkan ke hospital di Lombok.

Setakat ini, masih menjadi tanda tanya sama ada Marquez dapat beraksi pada pusingan ketiga MotoGP di Argentina minggu depan.

Kes Ford Ranger langgar kereta mewah, 10 individu lagi dipanggil polis

POLIS bakal memanggil sepuluh individu dipercayai terlibat dalam insiden kumpulan konvoi kereta mewah berhenti di Lebuhraya Utara-Selatan arah Selatan.

Ketua Polis Johor berkata, kesemua mereka akan dipanggil ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulai bagi membantu siasatan.

“Mereka yang terlibat akan dipanggil termasuk pemandu yang kita sudah tahan dan juga mereka yang berkaitan.

“Pemandu perempuan itu sudah membuat laporan polis mendakwa dia dipukul.

“Kita juga dapati pemandu wanita itu tidak mabuk, dia mungkin panik,” kata Datuk Kamarul Zaman Mamat.

Sebelum ini, polis menyiasat insiden dipercayai melibatkan kesalahan memandu secara melulu, memukul pemandu wanita dan membuat halangan di jalan raya.

Sementara itu, polis mengesahkan menerima laporan pemandu wanita pacuan empat roda mendakwa dirinya dipukul kumpulan konvoi tersebut.

Semalam, tular di media sosial menunjukkan kereta pacuan empat roda Ford Ranger melanggar sebuah kereta mewah berhampiran susur keluar Sedenak.

Ahli perniagaan wanita berusia 28 tahun berasal dari Yong Peng itu ditahan kira-kira 1 pagi untuk siasatan lanjut setelah hadir menyerah diri di balai polis.

Wanita itu direman selama tiga hari dan siasatan dibuat di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Kes itu turut disiasat di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan (Merusuh) yang boleh membawa hukuman dua tahun penjara atau denda jika disabit kesalahan.