fbpx

Betul ke harga Neta V dah jatuh kepada RM79,800?

Neta V 02

BARU-baru ini tular gambar yang memaparkan harga jualan Neta V bermula dari RM79,800, iaitu RM20,000 lebih rendah berbanding harga yang diumumkan di Malaysia Autoshow 2023 pada Mei lalu.

Gambar berkenaan dimuat naik ke laman Facebook Malaysian Electric Vehicle Owners Club (MyEVOC) dan dipercayai diambil di siri jelajah yang diadakan di sebuah pusat beli-belah.

Ini secara tidak langsung menimbulkan pertanyaan sama ada harga model itu telah jatuh secara mendadak dalam masa beberapa bulan selepas ia diperkenalkan.

Malah, ia juga tidak selaras dengan polisi kerajaan yang tidak membenarkan EV import dijual pada harga di bawah paras RM100,000.

Menurut laporan paultan.org, pengedar rasmi Neta di Malaysia iaitu Intro Synergy Sdn Bhd telah mengeluarkan kenyataan bagi menafikan harga tersebut.

Dalam kenyataan itu, Intro Synergy menjelaskan bahawa harga Neta V hanya akan diumumkan secara rasmi ketika majlis pelancarannya yang dijadualkan pada bulan hadapan.

“Pihak kami akan mematuhi segala dasar yang ditetapkan. Apa yang pasti pihak kami akan mengumumkan harga Neta V berserta tawaran pakej yang menarik kepada semua pelanggan,” katanya.

Neta V membuat kemunculan sulungnya di negara ini menerusi acara Malaysia Autoshow 2023 yang diadakan pada Mei lalu. Harga (OTR tidak termasuk insurans) yang diumumkan ketika itu adalah RM99,800.

Lebih menarik lagi, 100 pelanggan pertama yang membuat tempahan secara dalam talian akan menikmati rebat tunai RM10,000, menjadikan harganya RM89,800.

Dari segi spesifikasi, Neta V mempunyai motor elektrik tunggal pada gandar hadapan yang mampu menjana 95 PS dan 150 Nm. Pecutan 0 hingga 50 km/j boleh dilakukan dalam 3.9 saat, manakala kelajuan maksimum adalah sekitar 120 km/j sahaja.

Ia menggunakan bateri berkapasiti 38.54 kWj yang mampu memberikan jarak pemanduan sejauh 380 km dengan satu cas penuh berdasarakan kitaran NEDC.

Bateri tersebut boleh menampung pengecasan AC sehingga 6.6 kW yang akan mengambil masa selama lapan jam untuk pengecasan penuh. Ia juga menyokong pengecasan pantas DC sehingga 100 kW yang berupaya memulihkan tenaga bateri dari 30 hingga 80 peratus dalam 30 minit.

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved