fbpx

Mula ingat scammer, rupanya orang mahu beri MINI Clubman kepada Bell Ngasri

bell ngasri mini cooper 08

TUAH terus mengiringi pelakon Bell Ngasri apabila dia menerima sebuah MINI Clubman daripada DTC Motors Sdn. Bhd. sempena kemenangannya sebagai Bintang Paling Popular.

Kereta sports bernilai kira-kira RM200,000 itu telah disampaikan oleh penyampai Hot FM, Khairy Jamaluddin (KJ) sambil disaksikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif DTC Motor Sdn. Bhd. Afendy Wahid.

“Sebenarnya saya langsung tidak sangka akan dapat kereta kerana bagi saya hadiah yang saya terima (Bintang Paling Popular) sudah cukup besar,” kata Bell.

“Bila ada orang nak beri saya kereta saya tidak kisah kereta apapun saya terima. Jadi, apabila diberi kereta mewah yang memang saya idamkan saya berasa cukup terharu.

“Syukur dan terima kasih kerana undian rakyat Malaysia saya dapat begitu banyak rezeki yang tidak disangka-sangka ini,” tambahnya.

Dalam pada itu, Bell atau nama sebenarnya Nasrizal Ngasri, 43, mendedahkan dia tidak dapat tidur malam memikirkan kereta yang bakal diperolehi.

“Jika mengikut tradisi pemenang utama semua dapat kereta. Tapi dapat trofi pun saya dah bersyukur sangat-sangat.

“Tidak sangka pada hari saya ke Hot FM untuk temubual, ada orang menghubungi Hot FM meluahkan hasrat beri kereta. Mulanya saya ingat scammer (ketawa).

“Alhamdulillah, betul saya dapat kereta. Terima kasih kepada DTC Motors dan juga semua yang berusaha merelisasikan hadiah ini,” ujar Bell yang sebelum ini telah memiliki dua buah kereta.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif DTC Motor Sdn. Bhd. Afendy Wahid berkata, pihaknya berniat untuk memberikan kereta kepada Bell selepas melihat kemenangannya tanpa sebarang kereta yang sudah menjadi kelaziman dalam pengajuran Anugerah Bintang Popular (ABP) sebelum ini.

“Saya tertanya-tanya kenapa Bell tidak dapat kereta seperti pemenang terdahulu. Saya berbincang dengan kakitangan, apa kata kita yang beri.

“Saya hubungi pihak Bell dan segala usaha dipermudahkan. Kami pilih kereta MINI Clubman kerana berasa sesuai dengan diri Bell,” ujar Afendy yang turut memberitahu DTC Motors memberikan diskaun sehingga RM50,000 selama sebulan bermula 1 Ogos ini sempena bulan kemerdekaan.

MINI Clubman mempunyai beberapa versi, tetapi kebanyakannya dikuasakan enjin 2.0-liter MINI TwinPower Turbo dengan output 192hp dan 280Nm tork. Dengan transmisi automatik dwi-klac 7-kelajuan, ia mampu memecut ke 100km/j dalam masa 7.2 saat.

Kelengkapan standard kereta ini termasuklah sistem pendingin hawa dwi-zon, sistem navigasi 6.5-inci, MINI Connected, Apple CarPlay, lampu LED, kemasan warna dwi-tona, enam beg udara, Dynamic Stability Control (DSC), dan kawalan differential elektronik.

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved