Arkib Tag: XM

BMW XM buat kemunculan di Malaysia – pelancaran rasmi Jun ini

BMW Malaysia hari ini mempertontonkan BMW XM serba baharu, iaitu model Sports Activity Vehicle (SAV) dengan pacuan berelektrik pertama dari divisyen BMW M.

Model ini diperkenalkan di peringkat global pada September tahun lalu dan untuk pasaran Malaysia, pratempahannya telah pun dibuka pada Oktober dengan harga bermula dari RM1.4 juta. Ia dijangka tiba ke pasaran tempatan pada Jun ini.

Sebagai standard, XM didatangkan dengan Pakej M Aerodynamics dan M High-Gloss Shadow Line, dengan Konten Lanjutan disediakan untuk profil Shadow Line. Lampu hadapan Adaptive LED dengan ciri bantuan lampu puncak juga disertakan sebagai standard.

Dari sudut hadapan, XM menampilkan gril ‘kidney’ bercahaya dan set lampu hadapan yang terbahagi kepada dua modul yang berasingan iaitu satu untuk pencahayaan waktu siang dan satu lagi untuk lampu rendah/puncak.

Dari sisi, profilnya diserlahkan menerusi rim 23 inci M Star Spoke 923 M dalam warna Bicolour Nightgold atau rim 23 inci M Law Star Spoke 923 M dalam warna Bicolour Black untuk mereka yang memilih profil Shadow Line.

Bahagian belakang pula menampilkan lampu belakang berbentuk L yang menyerlahkan lagi kelebaran kenderaan ini, serta dua paip ekzos berkembar berbentuk heksagon yang disusun secara menegak.

Ruang dalaman XM dihias dengan trim bermaterialkan gentian karbon serta kulit vintaj Walknappa pada panel pintu dan bahagian atas panel instrumen.

Dari segi sistem infohibur, terdapat BMW Live Cockpit Professional dengan Paparan Informasi 12.3 inci, Paparan Kawalan 14.9 inci, Head-up Display dan BMW Intelligent Personal Assistant – kesemuanya dikuasakan oleh Sistem Operasi BMW 8.

Kelengkapan lain yang tersedia termasuklah stereng kulit M, tali pinggang keledar M dan kerusi multifungsi M. Turut disertakan adalah sistem audio Bowers & Wilkins Diamond serta ciri BMW Iconic Sounds Electric yang memperkayakan lagi suasana ruang kabin dengan bunyi pecutan elektrik.

XM dikuasakan oleh sistem pacuan M Hybrid plug-in yang menampilkan gandingan enjin 4.4-liter biturbo V8 dan sebuah motor elektrik yang menghasilkan kuasa keseluruhan sebanyak 653 PS dan 800 Nm. Dengan bantuan Launch Control, ia boleh memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam 4.3 saat.

Kelajuan maksimum jentera ini adalah 270 km/j dengan M Driver’s Package. Dalam mod EV pula, ia boleh dipandu sejauh 88 km dan mencapai kelajuan maksimum yang dihadkan pada 140 km/j.

Tenaga elektrik dibekalkan oleh pek bateri berkapasiti 25.7 kWj yang boleh dicas dari 0 hingga 100 peratus dalam 4 jam 15 minit menggunakan pengecas AC 7.4 kW.

Pacuan M xDrive disertakan secara standard, begitu juga dengan Adaptive M Suspension Professional, peredam elektronik, Active Roll Stabilisation dan Integral Active Steering. Untuk brek pula, model ini menggunakan sistem brek M Sport dengan cakera depan berukuran 508 mm.

Sistem bantuan pemandu terdiri daripada Driving Assistant Professional yang merangkumi Distance Control (ACC), Automatic Speed Limit Assist, Steering dan Lane Control Assistant, Lane Change Assistant, Lane Keeping Assistant, Lane Change Warning, Front/Rear Crossing-traffic Warning, Rear Collision Prevention, Exit Warning dan pelbagai lagi.

Turut disertakan adalah Sistem Parking Assistant Plus yang membawakan Reversing Assist Camera, Lateral Parking Aid, Park Assist, Active Park Distance Control, Reversing Assistant, Parking View, Surround View System, Remote 3D View, Drive Recorder dan Anti-theft Recorder.

Pratempahan BMW XM dibuka 20 Oktober ini – harga bermula RM1.4 juta

BMW Malaysia mengumumkan bahawa pratempahan untuk BMW XM akan dibuka pada 20 Oktober ini. Diperkenalkan di peringkat global pada September lalu, XM merupakan model BMW M pertama yang didatangkan dengan trenkuasa yang dielektrifikasi.

Menurut syarikat itu, harga anggaran (atas jalan, tidak termasuk insurans) dengan pakej waranti servis lanjutan bertempoh lima tahun adalah RM1.4 juta untuk Semenanjung Malaysia atau RM820,000 di Langkawi. Ia akan ditawarkan secara eksklusif dalam bilangan yang terhad.

Tarikh penyerahan untuk pasaran Malaysia tidak dinyatakan namun pengeluaran kenderaan ini dijangka bermula di kilang BMW Group di Spartanburg, South Carolina pada Disember 2022.

Sebagai standard, XM didatangkan dengan Pakej M Aerodynamics dan M High-Gloss Shadow Line, dengan Konten Lanjutan disediakan untuk profil Shadow Line. Selain itu, lampu hadapan Adaptive LED dengan ciri bantuan lampu puncak juga disertakan sebagai standard.

Ini dipadankan dengan gril ‘kidney’ bercahaya, jalur trim dalam rona ‘nightgold’ yang selari dengan garisan tingkap, serta rim 23 inci M Star Spoke 923 M dalam warna Bicolour Nightgold. Pelanggan yang memilih profil Shadow Line akan mendapat rim M Law Star Spoke 923 M dalam warna Bicolour Black, juga berukuran 23 inci.

Penawaran warna luaran bagi XM terdiri daripada Cape York Green Metallic, Carbon Black, Marina Bay Blue, Toronto Red, Mineral White, Black Sapphire dan Dravite Grey.

Untuk bahagian dalaman pula, terdapat upholsteri Leather Merino dengan pilihan warna Deep Lagoon, Silverstone, Black dan Sakhir Orange.

Kelengkapan standard yang tersedia termasuklah BMW Live Cockpit Professional dengan Paparan Informasi 12.3 inci, Paparan Kawalan 14.9 inci, Head-up Display dan BMW Intelligent Personal Assistant. Ia beroperasi menggunakan Sistem Operasi BMW 8 yang menawarkan kawalan intuitif ke atas fungsi-fungsi kenderaan menggunakan pertuturan kata yang natural.

Turut disertakan adalah BMW Gesture Control, Connected Package Professional, Panggilan Kecemasan Pintar, Telekservices, Connected Drive Services serta Apple CarPlay dan Android Auto.

XM dikuasakan oleh sistem pacuan M Hybrid plug-in yang terdiri daripada enjin 4.4-liter biturbo V8 dengan 489 PS/650 Nm, dan sebuah motor elektrik yang menjana 197 PS/280 Nm. Gandingan ini menghasilkan 653 PS/800 Nm, membolehkan ia memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam 4.3 saat dengan bantuan Launch Control.

Oleh kerana ia didatangkan standard dengan M Driver’s Package, XM mampu mencapai kelajuan maksimum 270 km/j. Dalam mod EV pula, ia boleh dipandu sejauh 88 km dan mencapai kelajuan maksimum yang dihadkan pada 140 km/j.

Tenaga elektrik dibekalkan oleh pek bateri berkapasiti 25.7 kWh yang boleh dicas dari 0 hingga 100 peratus dalam 4 jam 15 minit menggunakan pengecas AC 7.4 kW.

Pacuan M xDrive disertakan secara standard, begitu juga dengan Adaptive M Suspension Professional, peredam elektronik, Active Roll Stabilisation dan Integral Active Steering. Untuk brek pula, model ini menggunakan sistem brek M Sport dengan cakera depan berukuran 508 mm.

Akhir sekali, sistem bantuan pemandu terdiri daripada Driving Assistant Professional yang merangkumi Distance Control (ACC), Automatic Speed Limit Assist, Steering dan Lane Control Assistant, Lane Change Assistant, Lane Keeping Assistant, Lane Change Warning, Front/Rear Crossing-traffic Warning, Rear Collision Prevention, Exit Warning dan pelbagai lagi.

Sistem Parking Assistant Plus juga disertakan dan ia membawakan ciri-ciri seperti Reversing Assist Camera, Lateral Parking Aid, Park Assist, Active Park Distance Control, Reversing Assistant, Parking View, Surround View system, Remote 3D View, Drive Recorder dan Anti-theft Recorder.

BMW XM – super SUV dengan 748 PS, 1,000 Nm!

BMW M meneruskan sambutan ulang tahunnya yang ke-50 dengan memperkenalkan kereta pertamanya yang mempunyai trenkuasa yang dielektrifikasi iaitu BMW XM.

Jangan terkeliru dengan model-model elektrik seperti i4 M50, iX M60 dan i7 M70 kerana ketiga-tiganya merupakan model M Performance dan bukannya model M sepenuhnya seperti M3, M5 dan XM. Dalam hierarki BMW, M Performance diposisikan di bawah M.

Satu lagi fakta menarik tentang XM adalah ia merupakan kereta M original pertama sejak M1 yang dilancarkan pada 1978. Ini bermakna, tidak seperti M3, M4 dan M5, ia tidak berasaskan mana-mana model BMW yang sedia ada.

Memacu XM adalah sistem pacuan M Hybrid yang terdiri daripada enjin 4.4-liter biturbo V8 dan sebuah motor elektrik yang diintegrasikan ke dalam transmisi. Enjin tersebut mampu menghasilkan 489 PS dan 650 Nm, manakala motor elektrik tersebut pula menyumbangkan 197 PS dan 280 Nm.

Gabungan kedua-dua elemen ini memberikan kuasa keseluruhan berjumlah 653 PS dan 800 Nm. Dengan transmisi M Steptronic lapan kelajuan dan pacuan M xDrive, jentera ini boleh memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam hanya 4.3 saat sebelum mencapai kelajuan maksimum 250 km/j (270 km/j jika dilengkapi dengan M Driver’s Package).

Tidak cukup hebat? Jangan risau kerana pada 2023, BMW akan memperkenalkan XM Label Red yang mempunyai output keseluruhan berjumlah 748 PS dan 1,000 Nm. Ini akan menjadikannya model siri pengeluaran yang paling berkuasa dalam sejarah BMW M.

Mengenai motor elektrik berkenaan, ia mendapat bekalan kuasanya daripada sebuah pek bateri lithium-ion berkapasiti 25.7 kWh yang diletakkan di bawah lantai. Dalam mod Electric, model ini boleh dipandu sejauh 88 km, dengan kelajuan maksimum mencecah 140 km/j. Bateri ini menyokong pengecasan AC dengan kapasiti sehingga 7.4 kW.

Selain mod Electric, pemandu juga boleh memilih mod pemanduan Hybrid atau eControl dengan menggunakan butang M Hybrid. Untuk sistem pacuan M xDrive pula, terdapat mod 4WD Sport yang cenderung kepada pacuan roda belakang dan 4WD Sand yang dikhususkan untuk pemanduan di atas permukaan berpasir. Bukan itu sahaja, kawalan differential M Sport pada gandar belakang juga boleh diubah-ubah sepenuhnya.

 

Casis XM terdiri daripada suspensi jenis double-wishbone pada bahagian depan dan five-link pada bahagian belakang. Ini digandingkan dengan peredam adaptif yang dikawal secara elektronik dan ciri Active Roll Stabilisation 48V dengan Active Roll Control.

Tidak cukup dengan itu, ia juga merupakan model BMW M pertama yang dilengkapi dengan Integral Active Steering secara standard. Untuk brek, ia menggunakan brek M Sport dengan dua tetapan pedal.

XM akan dipasang di kilang BMW Group Spartanburg di Amerika Syarikat bermula Disember tahun ini. Menurut BMW, pasaran-pasaran utama untuk model ini adalah Amerika Syarikat, China dan Timur Tengah.