BMW XM dibalut baldu ultramarine sempena Festival Filem Cannes
APA yang anda lihat ini bukanlah hasil kerja bengkel West Coast Customs daripada rancangan realiti Pimp My Ride. Ia sebenarnya sebuah BMW XM istimewa yang diinspirasikan dari Naomi Campbell yang dihasilkan sempena Festival Filem Cannes.
Dikenali sebagai Mystique Allure, ia merupakan kenderaan pertama dalam sejarah BMW yang direka menggunakan material dari industri fesyen mewah (high fashion), memberikannya penampilan lain dari yang lain.
Hampir keseluruhan badan XM Mystique Allure dibalut material baldu dalam warna kegemaran supermodel Britain itu iaitu ultramarine. Tidak cukup dengan itu, bahagian bawah SUV itu dihiasi dengan labuci metalik yang berkilauan.
Ruang dalamannya tidak kurang mewah dengan upholsteri baldu berwarna ungu menghiasi segenap sudut termasuk bumbung, panel pintu dan M Lounge di belakang.
Kami tidak pasti jika Naomi Campbell gemarkan kelajuan tetapi jika jawapannya ya, dia tidak akan kecewa dengan XM kerana SUV plug-in hybrid itu merupakan model siri produksi BMW yang paling berkuasa.
Menggunakan varian Label Red sebagai asas, XM Mystique Allure dikuasakan oleh enjin 4.4-liter twin-turbo V8 dan sebuah motor elektrik yang menghasilkan kuasa keseluruhan sebanyak 748 PS dan 1,000 Nm.
Ia boleh memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam hanya 3.8 saat, sebelum mencapai kelajuan maksimum 290 km/j jika dilengkapi dengan M Driver’s Package.
Walaupun trenkuasa ini tidak diberikan sebarang penambahbaikan, ia mempunyai runut bunyi akustik unik untuk mod pemanduan elektrik yang digubah oleh komposer terkenal iaitu Hans Zimmer.
Ini merupakan tahun ketiga berturut-turut BMW dilantik sebagai rakan automotif rasmi Festival Filem Cannes. Untuk acara tahun ini, syarikat itu menyediakan perkhidmatan ulang-alik menggunakan lebih 200 kenderaan yang terdiri daripada i7, iX, i5 dan XM.
Hidup ini terlalu singkat untuk bertekak tentang kereta mana yang paling hebat. Pandulah apa sahaja, yang penting anda puas hati.