fbpx

BMW XM – super SUV dengan 748 PS, 1,000 Nm!

BMW XM 05

BMW M meneruskan sambutan ulang tahunnya yang ke-50 dengan memperkenalkan kereta pertamanya yang mempunyai trenkuasa yang dielektrifikasi iaitu BMW XM.

Jangan terkeliru dengan model-model elektrik seperti i4 M50, iX M60 dan i7 M70 kerana ketiga-tiganya merupakan model M Performance dan bukannya model M sepenuhnya seperti M3, M5 dan XM. Dalam hierarki BMW, M Performance diposisikan di bawah M.

Satu lagi fakta menarik tentang XM adalah ia merupakan kereta M original pertama sejak M1 yang dilancarkan pada 1978. Ini bermakna, tidak seperti M3, M4 dan M5, ia tidak berasaskan mana-mana model BMW yang sedia ada.

Memacu XM adalah sistem pacuan M Hybrid yang terdiri daripada enjin 4.4-liter biturbo V8 dan sebuah motor elektrik yang diintegrasikan ke dalam transmisi. Enjin tersebut mampu menghasilkan 489 PS dan 650 Nm, manakala motor elektrik tersebut pula menyumbangkan 197 PS dan 280 Nm.

Gabungan kedua-dua elemen ini memberikan kuasa keseluruhan berjumlah 653 PS dan 800 Nm. Dengan transmisi M Steptronic lapan kelajuan dan pacuan M xDrive, jentera ini boleh memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam hanya 4.3 saat sebelum mencapai kelajuan maksimum 250 km/j (270 km/j jika dilengkapi dengan M Driver’s Package).

Tidak cukup hebat? Jangan risau kerana pada 2023, BMW akan memperkenalkan XM Label Red yang mempunyai output keseluruhan berjumlah 748 PS dan 1,000 Nm. Ini akan menjadikannya model siri pengeluaran yang paling berkuasa dalam sejarah BMW M.

Mengenai motor elektrik berkenaan, ia mendapat bekalan kuasanya daripada sebuah pek bateri lithium-ion berkapasiti 25.7 kWh yang diletakkan di bawah lantai. Dalam mod Electric, model ini boleh dipandu sejauh 88 km, dengan kelajuan maksimum mencecah 140 km/j. Bateri ini menyokong pengecasan AC dengan kapasiti sehingga 7.4 kW.

Selain mod Electric, pemandu juga boleh memilih mod pemanduan Hybrid atau eControl dengan menggunakan butang M Hybrid. Untuk sistem pacuan M xDrive pula, terdapat mod 4WD Sport yang cenderung kepada pacuan roda belakang dan 4WD Sand yang dikhususkan untuk pemanduan di atas permukaan berpasir. Bukan itu sahaja, kawalan differential M Sport pada gandar belakang juga boleh diubah-ubah sepenuhnya.

 

Casis XM terdiri daripada suspensi jenis double-wishbone pada bahagian depan dan five-link pada bahagian belakang. Ini digandingkan dengan peredam adaptif yang dikawal secara elektronik dan ciri Active Roll Stabilisation 48V dengan Active Roll Control.

Tidak cukup dengan itu, ia juga merupakan model BMW M pertama yang dilengkapi dengan Integral Active Steering secara standard. Untuk brek, ia menggunakan brek M Sport dengan dua tetapan pedal.

XM akan dipasang di kilang BMW Group Spartanburg di Amerika Syarikat bermula Disember tahun ini. Menurut BMW, pasaran-pasaran utama untuk model ini adalah Amerika Syarikat, China dan Timur Tengah.

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2021 © ENGEAR TV | All Rights Reserved