Arkib Tag: x7

BMW X7 xDrive40i 2023 dikemas kini – CKD, pakej M Sport, dari RM719k

ANDA mencari sebuah SUV premium saiz besar untuk tujuh dewasa? Anda mungkin boleh tengok ini, BMW X7. Ia dikemaskini untuk 2023, dengan penambahan beberapa ciri.

BMW X7 hadir dalam varian xDrive40i M Sport untuk pasaran Malaysia, dan ia masih dipasang secara tempatan (CKD) di Kulim, Kedah.

Nadi kepada SUV premium besar ini adalah enjin 3.0-liter 6-silinder sebaris turbo petrol, dengan output 375hp dan 520Nm tork. Output ini boleh ditambah kepada 540Nm melalui boost, kerana ia disokong oleh sistem mild hybrid 48-volt dengan bekalan kuasa 12hp/200Nm.

Transmisi ialah automatik 8-kelajuan Steptronic Sport, dan kuasa disalurkan ke semua roda melalui sistem xDrive. Ini membolehkan X7 xDrive40i memecut ke 100km/j dalam masa 5.8 saat, hingga ke kelajuan maksima 245km/j.

Dari segi kelengkapan bahagian luar, BMW X7 2023 didatangkan dengan pakej M Sport yang memberikannya bampar agresif, selain lampu LED matriks, dan kemasan ekzos lebih besar. Rim aloi 913 M bersaiz 22-inci pelengkap kepada gaya mewah SUV ini.

Di dalam, X7 xDrive40i dilengkapi kemasan kayu Fineline Black dengan kesan logam berkilat, dipadankan dengan balutan kulit Merino dari BMW Individual. Skrin melengkung lebar mendominasi papan pemuka, yang terdiri dari paparan instrumen 12.3-inci dan infotainment bersaiz 14.9-inci.

Untuk menjadikan SUV besar ini sedap dipandu, ia dilengkapi suspensi udara, Executive Drive Pro dengan penstabil olengan aktif, dan sistem stereng roda belakang.

Ciri keselamatan juga dipertingkat, dimana ia kini mendapat Driving Assistant Professional yang merangkumi Active Cruise Control dengan fungsi stop and go serta bantuan stereng, dan Lane Control Assistant.

Terdapat juga barisan sistem keselamatan aktif lain seperti Lane Departure Warning, Lane Change Warning, Front Collision Warning dengan bantuan brek, Rear Crossing Traffic Warning, Speed Limit Info, dan Reversing Assistant Professional.

BMW X7 xDrive40i M Sport boleh menjadi milik anda pada harga bermula RM718,800, ia hadir dengan jaminan dan pakej servis lima-tahun.

BMW X7 xDrive40i Pure Excellence versi facelift kini di Malaysia – RM655k

SELEPAS melancarkan M340i xDrive dan 330Li M Sport tempoh hari, BMW Malaysia kini melancarkan pula model terbesar dalam barisannya iaitu X7 xDrive40i Pure Excellence.

Model facelift atau Life Cycle Impulse (LCI) ini menampilkan rekaan terbaharu persis 7 Series, serta trenkuasa mild-hybrid baharu yang lebih berkuasa.

Dari segi penampilan, X7 didatangkan dengan lampu LED terpisah yang merangkumi lampu nyalaan siang (DRL) dan lampu isyarat membelok pada bahagian atas dan lampu utama pada bahagian bawah.

Apron hadapan turut direka semula dengan gril kidney double-slat dan elemen krom pada liang bawah. Bahagian belakang pula menampilkan lampu dengan rekaan 3D dan jalur krom yang menghubungkan kedua-dua lampu berkenaan.

Ia ditawarkan dalam lima warna iaitu Sparkling Copper Grey Metallic, Blue Ridge Mountain Metallic, Skyscraper Grey Metallic, Mineral White Metallic, dan Black Sapphire Metallic.

Di dalam, terdapat BMW Curved Display yang terdiri daripada paparan informasi 12.3 inci dan skrin sentuh 14.9 inci. Sistem ini dikuasakan oleh BMW Operating System 8.

Ciri mewah ditonjolkan menerusi trim kayu Lindenwood Fineline, stereng sport dengan balutan kulit, pelapik bumbung Alcantara dan pencahayaan ambien.

Untuk pasaran Malaysia, X7 didatangkan dalam versi enam tempat duduk dengan kerusi individu pada barisan tengah. Setiap kerusi dibalut upholsteri Sensafin dengan jahitan dekoratif, dalam warna hitam atau Cognac.

Selain itu, model ini juga didatangkan dengan bumbung kaca panoramik, selain menawarkan ruang but berkapasiti 750 liter jika tempat duduk barisan ketiga dilipat.

X7 xDrive40i masih dikuasakan oleh enjin 3.0-liter enam silinder turbo namun output telah dipertingkatkan dari 333 PS/450 Nm kepada 380 PS/520 Nm. Kuasa disalurkan ke roda oleh transmisi automatik Steptronic Sport lapan kelajuan.

Enjin tersebut digandingkan dengan teknologi mild-hybrid dengan starter generator 48V yang mampu menjana 12 PS dan 200 Nm. Dari segi prestasi, model ini boleh memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam 5.8 saat, 0.3 saat lebih pantas berbanding sebelum ini.

Untuk sistem bantuan pemandu pula, X7 disertakan dengan Parking Asistant Professional dan Driving Assistant. Parking Assistant Professional menggunakan sistem kamera dan ultrabunyi bagi membolehkan ia parkir secara automatik. Ia didatangkan bersama Reversing Assistant Professional.

Semetnara itu, Driving Assistant pula merangkumi ciri-ciri seperti Lane Departure Warning, Lane Change Warning dengan intervensi stereng aktif, Front Collision Warning dengan intervensi brek, Rear Crossing Traffic Warning, Rear Collision Prevention, Speed Limit Info dan Speed Limit Assist manual.

Harga jualan (atas jalan, tanpa insurans) BMW X7 xDrive40i Pure Excellence adalah RM 654,800. Ia didatangkan dengan waranti lanjutan lima tahun dan pakej servis.

Punca SRS meletus, tempat pemegang cawan BMW X7 didakwa cacat?

BMW menerima satu tamparan hebat apabila syarikat asal Jerman itu berdepan tindakan undang-undang dek kerana reka bentuk pemegang cawan pada model X7.

Kes berjalan di mahkamah Orange County dekat California, lapor portal Motor1.

Berdasarkan aduan, BMW bertanggungjawab atas kegagalan mencipta tempat pemegang cawan yang selamat daripada dipenuhi air jika tertumpah dari bekas minuman.

Justeru, ia boleh boleh menyebabkan berlaku kerosakan beberapa komponen kenderaan termasuk modul kawalan beg udara (SRS) yang terletak di bawah tempat pemegang cawan.

Foto ihsan Wikipedia

Sebelum ini, terdapat beberapa kes direkodkan yang mana SRS Meletus secara tiba-tiba selepas berlaku tumpahan air dalam tempat pemegang cawan model X7.

Selain itu, terdapat juga insiden model BMW X7 berhenti secara tiba-tiba dek kerana tumpahan air dalam tempat pemegang cawan.

Apa yang memeningkan pengguna adalah K]kos pembaikan dan penggantian modul tersebut yang mencecah sehingga $2,000 atau RM8,363.

Ini kerana BMW didakwa enggan menggantikan komponen tersebut di bawah jaminan pengeluar.

Jadi, bagaimana pengakhiran ‘drama’ ini? Terus nantikan perkembangan lanjut hanya di Engear!

Chiow…

BMW X7 Tom Cruise dicuri semasa penggambaran Mission Impossible

BMW X7 milik Tom Cruise dilaporkan dicuri semasa beliau sedang menjalankan penggambaran di Birmingham, United Kingdom (UK).

SUV itu digunakan untuk membawa Tom Cruise ke lokasi-lokasi penggambaran Mission Impossible: Impossible di sekitar bandar itu.

BMW X7 itu dibawa ke Church Street dan diparkir di luar Grand Hotel, tempat dimana Cruise tinggal, sebelum hilang di situ. Segala barangan dan bagasi milik pelakon Hollywood itu yang dilaporkan bernilai ribuan Pound, turut hilang sekali.

Walaubagaimanapun, SUV itu dijumpai “tidak lama kemudian” di Smethwick menurut polis, kira-kira 5km. Tetapi barangan di dalamnya tidak dijumpai.

Pelakon berusia 59 tahun itu menjadi sensasi di Midlands, UK sepanjang minggu dan dilihat memakai sut gelap dan kaca mata di pusat beli-belah Grand Central, Birmingham. Ia telah ditukar untuk kelihatan seperti lapangan terbang Abu Dhabi untuk penggambaran.

Cruise juga dilihat merakamkan babak-babak di depan barisan kedai di ruang utama stesen New Street dimana orang ramai dilihat berkumpul untuk melihat kelibat beliau.

Di Malaysia, BMW X7 hadir dalam varian xDrive40i Design Pure Excellence dan dijual pada harga kira-kira RM649,000.

Ia dikuasakan oleh enjin 3.0-liter turbo 6-silinder sebaris yang menghasilkan 340hp dan 450Nm serta dipadankan dengan kotak gear automatik 8-kelajuan.

X7 mendapat kelengkapan serba mewah seperti lampu BMW Laserlight, balutan kulit Vernasca, kemasan kayu Fineline Strips, bumbung panoramik Sky Lounge, kemasan kristal di konsol tengah, paparan instrumen digital, dan sistem audio premium Harman Kardon 464 watt.