Arkib Tag: X50

Proton X50 1.5L Flagship kini di pasaran Bangladesh

PROTON X50 berjaya ‘mendarat’ di bumi Bangladesh pada tanggal 12 Mac lalu.

Memetik Funtasticko.Net di laman Facebook, majlis pelancaran Proton X50 dilakukan secara besar-besaran oleh PHP Automobiles Limited.

Pelancaran telah berlangsung di kilang pengeluaran milik syarikat itu yang terletak di Chattogram.

Proton X50 1.5L Flagship yang dipasarkan di pasaran Bangladesh dikuasakan oleh enjin tiga silinder 1.5 liter turbo.

Ia mampu menghasilkan 174 kuasa kuda dan 226Nm daya kilas serta dipadankan dengan transmisi 7-kelajuan DwiCekam (DCT).

Proton X50 dijangka mampu member saingan sengit di pasaran Bangladesh. – Foto ihsan Proton X50 ketika dilancarkan dalam satu majlis oleh PHP Automobiles Limited di Bangladesh. – Foto ihsan PHP Automobiles Limited

Pada masa sama, Proton X50 ini turut dilengkapi brek parkir elektronik, rim aloi 17 inci dan unit infohibur bersama skrin paparan 8 inci.

Selain itu, pembeli juga menikmati jaminan selama lima tahun danlima kali servis secara percuma!

Apa pun, tahniah buat Proton kerana berjaya memasarkan lagi X50 di negara luar.

Syabas!

Hebat! Proton X50 jadi kenderaan rasmi MBSJ

KEHEBATAN kenderaan utiliti sukan (SUV) Proton X50 terus mendapat kepercayaan ramai.

Terbaharu, Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) telah memilih Proton X50 sebagai kenderaan rasmi.

MBSJ telah menerima lapan unit X50 1.5T Executive dalam satu majlis penyerahan baru-baru ini.

Setakat ini, MBSJ merupakan badan kerajaan pertama yang menjadikan Proton X50 sebagai kenderaan rasmi.

Proton X50 antara SUV yang diminati ramai di Malaysia. – Foto ihsan Proton

Pemilihan Proton X50 1.5T Executive dilihat sesuai untuk kegunaan MBSJ memandangkan beberapa ciri menarik terdapat pada model itu.

Proton X50 1.5T Executive dijanakan oleh enjin 1.5 liter pengecas turbo tiga-silinder petrol yang mampu memberikan kuasa hingga 177 PS dan 255 Nm tork dari 1,500 hingga 4,000 rpm.

Sementara itu, ia turut digandingkan dengan transmisi DCT tujuh-kelajuan.

Reka bentuk Proton X50 tidak dinafikan sememangnya menawan. – Foto ihsan Proton

Pada September 2020, Proton telah melancarkan model SUV X50 pada harga RM84,800.

Sejak diperkenalkan, Proton telah mencatatkan penjualan memberansangkan bagi model X50.

Tahun lalu, X50 muncul sebagai model SUV paling laris dengan jualan sebanyak 28,774 unit.

Proton terpilih sebagai salah satu kenderaan rasmi Sukan Asia 2022 di Hangzhou

PROTON bangga mengumumkan penamaannya sebagai salah satu kenderaan rasmi sempena Sukan Asia ke-19 Hangzhou 2022, hasil daripada kaitannya dengan Geely Auto Group – Rakan Kongsi Prestij Rasmi untuk Sukan Asia.

Pengiktirafan ini bukan sekadar memberikan peluang untuk menyokong acara sukan terbesar di Asia namun ia juga memberikan lebih bagi pendedahan untuk pengeluar nasional itu di peringkat Asia.

Sukan Asia ke-19 itu akan berlangsung di Hangzhou, wilayah Zhejiang, China, dari 10 hingga 25 September tahun ini. Semua model terkini Proton iaitu Persona, Iriz, Exora, Saga, X50 dan X70, telah terpilih menjadi kenderaan sukan itu.

Proton juga menyeru rakyat Malaysia untuk menyokong acara sukan pelbagai itu dan olahragawan negara yang sedang berusaha untuk menyampaikan persembahan terbaik mereka di Sukan Asia.

Bagi mencapainya, Proton akan melancarkan kempen nasional untuk membina keterujaan menjelang acara tersebut, dengan meraikan semangat kesukanan di kalangan rakyat dan menonjolkan peranan sukan dalam memupuk perpaduan, selain dari mempromosikan aktiviti kecergasan dan sukan.

Kempen ini juga adalah untuk mengukuhkan hubungan di antara Proton dengan orang ramai, selarasi dengan slogan acara tahun ini – “Heart to Heart, @Future”.

“Acara sukan di Asia akan memberikan platform penting kepada Proton, dan matlamat kami adalah untuk menghubungkan semua lapisan masyarakat untuk sertai kami dan memberikan sokongan kepada olahragawan negara bagi mendorong mereka untuk mencapai kejayaan, dan merangkul identity kita sebagai sebahagian dari Keluarga Asia,” kata Roslan Abdullah, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Proton.

Kempen bersempena acara di Hangzhou 2022 akan dimulakan dengan “Peraduan Proton Ignite Your Life” di mana pelanggan berpeluang untuk memenangi hadiah apabila mereka menempah dan mendaftar samada Persona, Iriz, Exora, Saga, X50 ataupun X70 dari 1 Februari hingga 31 Julai 2022.

Hadiah menarik termasuk Hadiah Utama perjalanan eksklusif ke Hangzhou untuk merasai acara secara langsung, serta hadiah bulanan seperti e-baucar untuk produk sukan.

Nantikan perkembangan terkini mengenai promosi dan activiti baharu sempena Sukan Asia ke-19 Hangzhou 2022 melalui saluran media sosial Proton, di Facebook (@ProtonCarsOfficial) dan Instagram (@protoncars).

Produksi X70, X50 disambung selepas terhenti sementara akibat banjir

PRODUKSI model Proton X70 dan X50 disambung semula selepas ia dihentikan sementara akibat banjir besar melanda sebahagian negara pada Disember tahun lalu.

Pemberhentian produksi secara sementara dibuat memandangkan sebilangan besar pembekal komponen kepada Proton terjejas akibat bencana itu.

Ketua Pegawai Operasi (CEO) Proton Edar Roslan Abdullah berkata, pihaknya berusaha sebaik mungkin untuk memastikan kelancaran operasi syarikat itu.

Jelasnya, Proton juga turut membantu kakitangan serta pembekal terjejas akibat banjir bagi meringankan beban yang ditanggung.

“Kami (Proton) sedang berusaha untuk kembali memproduksi semua model kami dalam masa yang secepat mungkin.

“Bencana ini banyak menjejaskan mata pencarian keluarga dalam komuniti Proton. Kami akan terus menghulurkan bantuan sekadar termampu,” kata Roslan.

Disember lalu, negara berdepan banjir besar sekaligus memberi kesan kepada sebilangan penduduk di Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Johor, Kedah dan negeri Pantai Timur.

Banjir menyebabkan kebanyakan harta benda penduduk rosak termasuk ratusan kenderaan akibat dimasuki air.

Dalam perkembangan sama, Proton turut menghulurkan bantuan kepada mangsa banjir dengan memberi diskaun terhadap alat ganti tertentu.

Diskaun turut diberikan untuk caj buruh kepada pelanggan yang telah membuat laporan polis berhubung insiden itu.

Jualan Proton naik, mungkin keluar model baharu sebelum pengecualian SST tamat

PROTON berjaya menjual lebih 13,362 unit kenderaan pada Oktober.

Jumlah itu termasuk unit eksport yang secara keseluruhan menyaksikan peningkatan lebih 28.7 peratus berbanding jualan bulan September.

Memetik kenyataan dikeluarkan Proton, jualan tahunan syarikat itu setakat ini adalah 86,739 unit dan angka itu melebihi 1.6 peratus berbanding tahun lalu iaitu sebanyak 84,999 unit bagi tempoh 10 bulan.

Model Saga menjadi yang terlaris dengan 5,107 unit berjaya diserahkan kepada pembeli pada bulan Oktober lalu.

Foto ihsan Proton

Sementara itu, kenderaan utiliti sukan (SUV) X50 telah terjual lebih 3,839 unit sementara X70 adalah 2,165 unit.

Berikut jumlah unit model Proton yang lain terjual pada bulan Oktober:

Exora 359 unit

Persona 1,393 unit

Iriz 492 unit

Terdahulu, Ketua Pegawai Operasi (CEO) Proton Edar Roslan Abdullah berkata, pihaknya tidak terkecuali berdepan masalah kekurangan bekalan komponen.

Namun, pihaknya yakin masalah terbabit dapat diatasi segera sekaligus memberi jaminan ia tidak akan berlanjutan dengan tempoh lebih lama.

“Walaupun kami gembira dengan populariti Saga dan dua SUV terbaharu, kami juga agak terkesan dengan kekurangan bekalan komponen beberapa model.

“Permintaan pasaran dijangka akan terus kukuh hingga hujung tahun, jadi kami sedang berusaha keras menuju penutup 2021 ini,” katanya.

Foto ihsan Proton

Dalam perkembangan lain, Roslan turut mengucapkan terima kasih kepada kerajaan yang melanjutkan pengecualian cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) sehingga 31 Jun 2022.

Jelasnya, langkah itu memberi peluang kepada pengguna mendapatkan kenderaan dengan harga lebih murah sekaligus membantu pengusaha industri permotoran kekal berdaya saing.

“Proton berterima kasih kepada kerajaan kerana melanjutkan tempoh pengecualian SST ini.

“Ia memberi peluang kepada kami untuk memenuhi tempahan yang telah diterima dan tidak akan membebankan pelanggan yang inginkan penjimatan itu.

“Lanjutan tempoh itu juga kami percaya akan merancakkan lagi jualan kenderaan pada separuh pertama tahun lalu, mungkin ada model bahari akan diperkenalkan” katanya lagi.

Ketahui tujuh model kereta Jerman bawah RM30,000 di pasaran Malaysia

MEMILIKI kenderaan mewah menjadi impian bagi kebanyakan individu terutama kepada mereka yang ‘gilakan’ kereta.

Namun, tidak semua mampu memiliki kenderaan mewah apatah lagi jika ia membabitkan jenama syarikat pengeluar dari Jerman.

Tetapi tahukah anda, masih ada kereta continental ini yang harganya mampu milik dan boleh didapati di pasaran Malaysia?

Berikut antara tujuh kereta mewah Jerman telah kami temui yang mana harganya di bawah RM30,000!

BMW 3 Series E46 318CI (2002)

Model 3 Series ini antara yang paling handsome pernah dihasilkan syarikat pengeluar BMW.

Tergolong dalam ‘keluarga’ coupe, ia mempunyai kapasiti enjin 1,800 cc.

Harga sebuah model ini boleh didapati sekitar RM29,999.

BMW 3 Series E46 318CI. – Foto ihsan Facebook/CK Lee

BMW 5 Series E60 (2007)

Model rekaan Chris Bangle ini juga dikenali sebagai eagle eye. Kereta ini diproduksi di Malaysia dan mempunyai enjin 2,500 cc.

Harga di pasaran adalah sekitar RM28,800.

Apa yang menarik mengenai model ini ia bukan sahaja mampu dimiliki pada harga berpatutan malah, prestasi yang dihasilkan amat memuaskan.

BMW 5 Series E60 (2007). – Foto ihsan Facebook/Kelvin Law

BMW X5 (2004)

BMW X5 merupakan kenderaan utiliti sukan (SUV) paling terkenal di Malaysia suatu ketika dahulu.

Model ini mempunyai enjin 3,000 cc dan cukup sporty  untuk kegunaan pelbagai jenis permukaan jalan raya.

Harga di pasaran ketika dianggarkan RM29,800.

BMW X5 (2004). – Foto ihsan Wikipedia

Mercedes Benz B Class (2004)

Mercedes Benz B Class B170 Avantgarde mempunyai enjin kapasiti 1.7 liter atau 1,700 cc.

Kelebihan model ini adalah bersifat kompak dan mudah untuk dikendalikan terutama di dalam bandar.

Hasil penyelidikan dan recce yang kami lakukan mendapati harganya adalah sekitar RM22,300 atau jauh lebih rendah.

Kena pandai survey ya!

Mercedes Benz B Class (2004). – Foto ihsan Wikipedia

Mercedes Benz C Class (2005)

Turut dikenali sebagai model ‘mata kacang’ ia merupakan antara kenderaan sedan terbaik pernah dihasilkan Mercedes.

Kelihatan ‘mahal’ dan ‘elegan’, model tahun 2005 ini boleh didapati dalam lingkungan harga RM27,800.

Mercedes Benz C Class (2005). – Foto ihsan Wikipedia

Mercedes Benz CLS (2005)

Model ini tergolong dalam kategori coupe namun, mempunyai empat pintu.

Boleh dikatakan legend, model tahun 2005 ini boleh didapati pada harga RM28,800. Murah bukan?

Mercedes Benz CLS (2005). – Foto ihsan Wikipedia

Porsche Cayenne (2006)

Model SUV ini antara yang terbaik pernah wujud dalam industri automotif dunia.

Ia mempunyai enjin 3.2 liter dan mampu memecut pada kelajuan menakjubkan.

Harga bagi model 2006 ini adalah dalam lingkungan RM41,00.

Porsche Cayenne (2006). – Foto ihsan Wikipedia

Jadi, apa pendapat anda?

Adakah berbaloi untuk memiliki kenderaan mewah terpakai pada harga berpatutan ini?

Tepuk dada tanya selera!

Mungkin kalau dah jemu drive Proton atau Perodua, anda boleh cuba nasib untuk memiliki kenderaan mewah yang disenaraikan di atas.

Cuma…pastikan anda punya modal untuk proses servis kenderaan ya!

Proton tangguh operasi susulan PKP, pasaran Pakistan terjejas

PENUTUPAN sementara operasi Proton menyaksikan berlaku kelewatan penghantaran produknya ke pasaran Pakistan.

Perkara itu diumum Al-Haj Automotive yang merupakan syarikat menguruskan penjualan kenderaan Proton di negara itu.

Mengakui aktiviti perniagaan terjejas teruk, Al-Haj Automotive pada masa sama meminta para pelangannya bersabar dengan situasi berlaku.

“Keseluruhan aktiviti perniagaan terjejas teruk. Kami jangkakan penghantaran untuk pelanggan akan mengalami kelewatan.

“Kami akan memantau dengan dekat situasi tidak menentu ini. Semoga para pelanggan dapat menanti penuh sabar dengan situasi ini,” memetik satu kenyataan.

Sebelum ini, Proton memaklumkan penutupan sementara operasinya susulan perintah kawalan pergerakan menyeluruh bagi membendung Covid-19.

Ketika ini, dua model telah dilancarkan Proton di pasaran Pakistan.

Dua model tersebut adalah kenderaan utiliti sukan (SUV) Proton X70 dan jenis sedan iaitu Saga.

Komited untuk terus bersaing di pasaran Pakistan, sebuah kilang produksi akan dibina di Karachi bermula suku ketiga tahun ini.

Apa yang menarik, pembukaan kilang itu nanti bakal menyaksikan pembuatan Proton X50 bagi pasaran Pakistan.

Pembukaan kilang pengeluaran Proton dijangka mampu menghasilkan 25,000 unit kenderaan dan membuka lebih 2,000 peluang pekerjaan.

Proton jual 9,440 kenderaan pada Mei, hadapi masalah kurang bekalan cip

KEKURANGAN bekalan cip menyaksikan jualan kenderaan Proton Holdings Bhd (Proton) susut 37.1 peratus pada Mei.

Laporan dikeluarkan syarikat itu menunjukkan hanya 9,440 unit kenderaan terjual pada Mei lalu.

Selain itu, ia juga dipercayai didorong oleh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) seluruh negara bagi mengekang penularan Covid-19.

Ketua Pegawai Eksekutif Proton Edar berkata, syarikat itu kekal berada di kedudukan kedua tertinggi mencatatkan jualan kenderaan setakat ini.

“Jualan kami mencukupi untuk kekal di tempat kedua secara keseluruhan.

“Kami juga menerima sumbangan daripada bahagian eksport yang berjaya mencapai jualan tertinggi dalam tempoh 98 bulan,” kata Roslan Abdullah.

Proton Saga mengakhiri bulan Mei dengan jualan terbanyak bagi segmen-A apabila 3,786 unit diserahkan kepada pemilik.

Proton X50 pula mencapai 1,899 unit pada bulan Mei sementara Proton X70 sebanyak 1,523 unit jualan.

Terdahulu, Roslan berkata jualan Proton di luar negara terus membina momentum meskipun pasaran antarabangsa mempunyai pelbagai langkah kawalan pergerakan.

“…669 unit merangkumi Proton Saga, X50 dan X70 dieksport pada bulan Mei, pencapaian ini merupakan bulan terbaik untuk jualan antarabangsa,” katanya lagi.

Sementara itu, Proton menjangkakan jualan kenderaan akan tergendala untuk tempoh sekurang-kurangnya dua minggu ekoran pelaksanaan sekatan pergerakan penuh.

Namun, perkhidmatan selepas jualan (servis) masih beroperasi dengan kadar minimum.

Pelanggan diminta untuk membuat temu janji awal bagi mengelak sebarang kesulitan.

Tiada lagi CampPro CFE, Proton dijangka hasil enjin 1.5 Turbo di Malaysia

SAPURA Industrial mendedahkan Proton bakal menghasilkan enjin 1.5 liter tiga-silinder atau dikenali sebagai Global Engine Petrol 3 (GEP3).

Perkara itu dimaklumkan Sapura Industrial menerusi laporan tahunan 2021.

Menerusi laporan berkenaan, Sapura Industrial mengesahkan menerima surat penganugerahan membekalkan berberapa komponen enjin GEP3 kepada Proton.

Antara komponen itu termasuk penyerap getaran kilasan, serta aci sesondol bagi injap kemasukan dan ekzos.

Enjin GEP3 dijangka menggantikan sepenuhnya enjin 1.6 turbo CampPro CFE.

Penggunaan enjin GEP3 membuka peluang buat Proton memasuki semula pasaran eksport yang mengenakan standard emisi lebih ketat.

Setakat ini, enjin GEP3 digunakan pada model X59 dan X70 yang dieksport ke pasaran Pakistan.

Proton sudah menggunakan enjin GEP3 dalam dua versi di negara ini iaitu suntikan bahan api pelbagai titik menjana 150 PS (148 hp) dan tork maksima 226 Nm untuk X50.

Sementara itu, versi 177 PS (175 hp) dan 255 Nm dipadankan pada X50 varian tertinggi Flagship serta X70 1.5 T-GDI.

Dua enjin berkenaan dipadankan dengan kotak gear klac-berkembar jenis basah tujuh-kelajuan oleh CEVT (China Euro Vehicle Technology).

Pemasangan enjin GEP3 dijangka akan dihasilkan di kilang milik Proton dekat Tanjung Malim, Perak.

Tips Kewangan: Berapa kos ‘bela’ Proton X50?

KEHADIRAN Proton X50 tidak dinafikan memeriahkan lagi industri automotif tempatan.

Menerima sambutan hangat sejak dilancarkan Oktober tahun lalu, rata-rata memilih model ini bukan sahaja kerana rekaannya tetapi juga disebabkan kos yang berpatutan.

Namun, sejauh mana mudahnya ‘membela’ X50 ini?

Jom kita semak perbelanjaan jika anda pemilik atau ingin memiliki sebuah Proton X50.

Kos servis Proton X50

Proton telah mengeluarkan panduan bagi pemilik kenderaan menjalani servis bagi model X50.

Berikut antara informasi disediakan dengan memetik sumber dari laman web Proton.

Servis 1,000 kilometer

Berdasarkan maklumat diperoleh daripada Proton, tiada sebarang penukaran komponen bagi model X50 untuk jarak perbatuan 1,000 kilometer pertama.

Maka, terselamatlah duit mana-mana owner Proton X50 untuk 1,000 kilometer pertama ini.

Servis 10,000 kilometer

Apabila Proton X50 mencecah jarak perbatuan 10,000 kilometer, minyak pelincir perlu ditukar.

Kuantiti minyak pelincir diperlukan adalah lima liter.

Kos bagi minyak pelincir adalah sekitar RM163.00 dan setakat ini, tiada maklumat mengenai jenis digunakan sama ada semi-sintetik atau sintetik penuh.

Penapis minyak hitam juga perlu ditukar yang mana kosnya adalah RM51.00. Jangan lupa, anda juga perlu menukar drain plug gasket berharga RM4.00.

Selain itu, Proton mencadangkan pemilik X50 menukar penapis udara enjin dengan kos RM59.00.

Secara keseluruhan untuk servis 10,000 kilometer, pemilik X50 perlu membayar sekitar RM276.00.

Servis 20,000 kilometer

Servis 20,000 kilometer memerlukan penukaran penapis bahan api (fuel filter) berharga RM58.00 dan penapis kabin N95 (RM69.00).

Tiada penukaran penapis udara enjin dan kos keseluruhan servis adalah RM127.00

Servis 30,000 kilometer

Kos upah untuk mekanik akan dikenakan untuk servis kali ini. Harganya adalah RM78.00 termasuk cukai.

Penukaran komponen adalah sama seperti kali pertama servis dilakukan yang mana jumlah keseluruhan adalah RM358.00

Servis 40,000 kilometer

Proton X50 yang mencecah jarak perbatuan 40,000 kilometer memerlukan penukaran tiga palam pencucuh dengan anggaran harga RM100.00.

Cecair brek juga perlu ditukar dan harga keseluruhan adalah RM459.00.

Servis 110,000 kilometer

Timing belt atau tali sawat pemasaan enjin perlu ditukar pada 110,000 kilometer.

Kosnya adalah RM112.89 dan upah mekanik adalah RM228.00. Jumlah keseluruhan adalah RM825,00.

Secara keseluruhan, kos penyelenggaraan Proton X50 sehinggga 110,000 kilometer atau 66 bulan sekitar RM5152.22.

Namun, harus diingat ini hanyalah saranan Proton dan kos ini melibatkan pusat servis diiktiraf sahaja.

Sudah pasti, kosnya boleh menjadi lebih atau berkurangan.

Setelah melakukan kira-kira ini, amacam?

Sudahkah anda bersedia memiliki X50? Bagaimana pula dengan yang sudah memilikinya?

Kongsikan pandangan anda bersama kami di platform media sosial EnGear!

Proton bina kilang penghentakan badan kereta baharu, labur RM200 juta

Proton Holdings Bhd (Proton) melabur lebih RM200 juta bagi membina kilang penghentakan badan kereta baharu di Tanjung Malim, Perak.

Projek dijangka siap menjelang suku ketiga 2022 akan menempatkan jentera hentakan ‘Superlarge’ bagi meningkatkan lagi kebolehan hentakan syarikat.

Perkembangan ini merupakan sebahagian rancangan Proton menambah tahap penggunaan komponen tempatan bagi model sedia ada dan akan datang.

Selain itu, ia juga membolehkan pengeluaran panel badan yang lebih besar.

Proton juga telah membelanjakan lebih RM1.2 bilion untuk barisan pengeluaran baharu pada 2019.

Memetik kenyataan media, Proton yakin mampu mengeluarkan pelbagai model serta produk bertaraf tinggi selain mempunyai teknologi baharu.

Proton catat jualan tertinggi sejak tujuh tahun, 32,826 unit terjual pada suku pertama 2021