Arkib Tag: wmoto

WMoto SM125i dilancarkan pada harga bermula RM5,888

DI SAMPING melancarkan model skuter RT1, MForce Bike Holdings Sdn Bhd selaku pengedar rasmi jenama WMoto di Malaysia turut memperkenalkan motosikal jenis kapcai terbaru iaitu SM125i.

Menguasakan SM125i adalah enjin 123.7 cc silinder tunggal, empat lejang SOHC dengan suntikan bahan api elektronik yang mampu menghasilkan 7.8 hp pada 8,000 rpm dan 8.5 Nm pada 6,000 rpm. Enjin ini dipadankan dengan transmisi empat kelajuan.

Menurut MForce Bike, model ini menggunakan suspensi jenis fork teleskopik di hadapan dan penyerap hentak berkembar di belakang. Sistem brek pula terdiri daripada cakera di hadapan, manakala bahagian belakang masih menggunakan jenis dram.

Selain itu, SM125i turut didatangkan dengan lampu LED penuh pada bahagian depan dan belakang, serta untuk lampu isyarat membelok. Ia juga dikatakan motosikal kapcai 125 cc pertama yang menggunakan panel meter pelbagai warna.

Ciri-ciri lain yang disertakan termasuk sistem kunci anti-kecurian, soket pengecas dan ruang simpanan di bawah tempat duduk. Motosikal ini mempunyai tangki bahan api berkapasiti empat liter dan berat keseluruhannya adalah 96 kg.

WMoto SM125i boleh didapati dalam tiga warna iaitu Radiant Yellow, Luminous Blue dan Blazing Red. Harga jualannya bermula dari RM5,888 tidak termasuk insurans dan cukai jalan. Ia didatangkan dengan waranti selama dua tahun atau 20,000 km.

WMoto RT1 masuk pasaran Malaysia – RM9,888

Selepas melancarkan WMoto RT2 baru-baru ini, WMoto Malaysia (MForce Bike Holdings) kini melancarkan satu lagi model skuter terbaharu iaitu RT1.

Jika dibandingkan dengan RT2 yang merupakan model 250 cc, RT1 mempunyai kapasiti enjin yang lebih kecil 149.3 cc, silinder tunggal yang menghasilkan 15.4 hp pada 8,000 rpm dan 14.5 Nm pada 6,750 rpm.

Menariknya, RT1 merupakan skuter 150 cc pertama dalam pasaran yang dilengkapi dengan sistem kawalan cengkaman (TCS) dan panel meter jenis TFT.

Sistem TCS membantu meningkatkan keselamatan dengan mencegah tayar dari tergelincir ketika menunggang terutamanya di atas permukaan jalan yang licin dan basah.

Selain itu, ia didatangkan dengan sistem brek anti-kunci (ABS) dan sistem pencahayaan LED penuh pada bahagian hadapan dan belakang.

Seperti RT2 dan RT3, model ini juga mempunyai kamera papan pemuka (dashcam) yang boleh merakam video dalam resolusi 1080p untuk rakaman yang lebih jelas.

Ciri-ciri lain yang terdapat pada RT1 termasuk sistem kunci pintar, port USB, pad anti-gelincir di bahagian pemijak kaki dan pemijak kaki penumpang aluminium, lampu LED di dalam ruang simpanan di bawah tempat duduk.

WMoto RT1 dijual pada harga bermula dari RM9,888 (tidak termasuk insurans dan cukai jalan) dan boleh didapati dalam tiga warna menarik iaitu Enchanting Blue, Mystique Black dan Dazzling Grey.

Setiap pembelian didatangkan dengan jaminan selama dua tahun tanpa had perbatuan.

MForce mulakan 2024 dengan WMoto RT2 – RM16,888

Pengedar rasmi jenama WMoto, MForce Bike Holdings Sdn Bhd dengan rasminya melancarkan WMoto RT2 untuk pasaran tempatan. 

Skuter maxi 250cc dengan gaya ‘adventure’ itu hadir dengan harga jualan rasmi RM16,888. 

Berkongsi platform sama dengan RT3, model ini juga dipacu enjin  246.9cc yang berupaya menjana 23hp pada 7,500rpm dan 22.5Nm pada 6,000rpm. 

Menariknya, WMoto RT2 ini didatangkan dengan kamera papan pemuka depan dan belakang secara standard seperti yang terdapat pada RT3S. Antara ciri premium lain ditawarkan termasuk panel meter TFT dengan fungsi TPMS (tyre pressure monitoring system), sistem smart key, ABS dan pencahayaan LED penuh. 

Tidak cukup dengan itu, ciri praktikal turut dipertingkat dengan adanya dua slot pengecas USB yang terletak di ruang simpanan depan dan di bawah tempat duduk. 

Tidak dilupakan, skuter maxi ini juga hadir dengan tangki 12.6L.

Ini rupa jelas ‘Supermoped’ WMOTO, lancar tak lama lagi

Beberapa minggu ini tular ‘spy shot’ daripada warga media sosial yang memaparkan sebuah motosikal ‘supermoped’ yang sedang menjalani ujian jalan raya di Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS).

Terbaru, pemilik akaun Facebook Najwa Syafiqah berjaya merakam gambar jelas motosikal berkenaan di salah sebuah stesen minyak di Gopeng, Perak. 

Didakwa sebagai ‘supermoped’ terbaru dari WMOTO, gambar terbaru itu memberitahu kami beberapa ciri menarik yang ditawarkan.

Pertamanya, motosikal berkenaan hadir dengan pencahayaan LED penuh termasuk lampu hadapan yang seakan diilhamkan daripada Ducati Panigale V4. Lampu hadapan juga dilengkapi dengan ciri DRL (daytime running light). 

Panel meter pula jenis digital penuh dan menunjukkan info yang penuh termasuk paras minyak, suhu enjin, volt bateri, odometer, waktu, dan meter RPM. Tinjauan di bahagian rim pula menunjukkan kehadiran sensor ABS sekaligus merujuk kepada adanya sistem keselamatan ABS. Namun, tidak dipastikan sama ada ABS tersebut adalah satu atau dua saluran. 

Antara ciri lain kelihatan termasuk brek jenis axial di bahagian depan dengan cakera brek tunggal di depan dan belakang serta tork teleksopik.  Transmisi pula jenis manual namun tidak dapat dipastikan jumlah gear yang tersedia. 

WMoto Bobbie VII – bobber klasik berharga RM35,888

MFORCE Bike Holdings baru-baru ini melancarkan WMoto Bobbie VII ke pasaran tempatan dengan harga jualan bermula dari RM35,888 (tidak termasuk insurans dan cukai jalan).

Menurut syarikat itu, ia boleh didapati dalam dua warna iaitu Matte Black dan Metallic Black, dan didatangkan dengan jaminan pengeluar selama dua tahun atau 20,000 km.

Bobbie VII dikuasakan oleh enjin dua silinder empat lejang bersesaran 693 cc yang turut dilengkapi dengan sistem penyejukan cecair.

Enjin berkenaan mampu menghasilkan output berjumlah 74 hp pada 8,500 rpm dan 64 Nm pada 6,500 rpm. Ia dipadankan dengan transmisi enam kelajuan.

Dari segi dimensi, model ini mempunyai ukuran panjang 2,240 mm, lebar 865 mm, dan tinggi 1,065 mm. Berat keseluruhan adalah 211 kg, manakala kapasiti tangki bahan api adalah 15 liter.

Sistem suspensi yang digunakan merangkumi fork teleskopik dan cantilever, dipadankan dengan tayar berukuran 120/80-17 di hadapan dan 150/80-16 di belakang.

Untuk brek, ia dilengkapi dengan cakera tunggal pada bahagian depan dan belakang, ditemani dengan ABS dwi-saluran.

Walaupun mempunyai penampilan serba klasik, Bobbie VII sebenarnya sarat dengan ciri-ciri moden. Ini termasuk lampu LED untuk lampu utama, belakang serta lampu isyarat, dan juga panel meter jenis digital. Turut disertakan adalah pengecas USB.

WMoto XDV250i dilancarkan di Malaysia – 2 varian, harga dari RM18,888

PERSAINGAN dalam pasaran skuter kembara di Malaysia kini menjadi semakin sengit dengan kehadiran pesaing baharu dari MForce Bike Holdings Sdn Bhd iaitu WMoto XDV250i.

Ia ditawarkan dalam dua varian iaitu standard dan Project-X yang merupakan versi lebih rugged dengan aksesori tambahan. Harga bermula dari RM18,888 untuk varian standard dan RM21,888 untuk Project-X.

XDV250i Project-X

XDV250i dikuasakan oleh enjin 249 cc silinder tunggal SOHC dengan penyejukan cecair yang menghasilkan 24.8 hp pada 8,750 rpm dan 23 Nm tork maksimum pada 6,750 rpm.

Selain itu, enjin berkenaan juga dilengkapi dengan sistem suntikan bahan api elektronik dan patuh piawaian emisi Euro 4. Kapasiti tangki bahan api adalah 13.5 liter.

Untuk suspensi, XDV250i menggunakan sistem suspensi keluaran KYB yang terdiri daripada fork jenis terbalik (USD) 41 mm di depan dan penyerap hentak teleskopik berkembar di belakang.

Ketinggian pelana adalah sekitar 800 mm, manakala berat keseluruhan skuter kembara ini adalah 159 kg. Sementara itu, sistem brek pula merangkumi brek cakera depan dan belakang, serta ABS dwi-saluran.

Selain itu, XDV250i juga didatangkan dengan cermin penghadang angin boleh laras, bar hendal boleh laras, sistem Remote Keyless dan panel meter LCD penuh dengan penunjuk tekanan angin tayar, suhu dan sebagainya.

Untuk kemudahan penunggang, terdapat ruang penyimpanan barang berkapasiti 26 liter, port pengecas USB dan juga pencahayaan pada butang dan suis.

Varian Project-X didatangkan dengan aksesori tambahan berupa tiga buah kotak penyimpanan aluminium, cermin penghadang angin yang lebih tinggi serta rim spoke dengan tayar tanpa tiub.

WMoto SX2-300 dan Moto Morini X-Cape 650 X tampil kompetitif di Rimba Raid Taman Negara 2022

MFORCE Bike Holdings Sdn. Bhd. telah menyertai Rimba Raid Taman Negara 2022 yang berlangsung di Taman Negara, Pahang dengan menghantar dua model motosikal untuk dipertandingkan iaitu Wmoto SX2-300 dan Moto Morini X-Cape 650 X.

Ini adalah kemunculan ulung bagi kedua-dua model tersebut di acara perlumbaan motosikal. Seramai 241 pelumba daripada 15 buah negara telah pun menyahut cabaran untuk menakluki laluan-laluan lasak di sekitar Taman Negara dan Hutan Simpan Pahang.

Acara ini menyaksikan kejayaan bagi kedua-dua model itu apabila Wmoto SX2-300 berjaya mendapat tempat ketujuh secara keseluruhan dan pelumba Malaysia yang ketiga berjaya menamatkan perlumbaan ini.

Ini bermakna, ia mampu menewaskan dan meninggalkan lebih kurang 60 buah motosikal pesaing yang lain di belakang.

Moto Morini X-Cape 650 X pula menamatkan perlumbaan di tempat ke-15 dan merupakan pelumba Malaysia kedua yang berjaya mengatasi cabaran dan halangan di laluan-laluan sukar walaupun motosikal tersebut memiliki reka bentuk yang bertemakan adventouring dan lifestyle.

Kemenangan ini sedikit sebanyak memberikan kejutan kepada para penonton serta pesaing-pesaing lain kerana kedua-dua model ini masih baharu di pasaran Malaysia. Wmoto SX2-300 dilancarkan pada Jun lepas, manakala X-Cape 650 diperkenalkan pada April.

Tambahan pula, kedua-dua model ini tidak mengguna sebarang aksesori tambahan atau melakukan sebarang pengubahsuaian berlebihan kecuali menukar tayar dan ekzos yang lebih sesuai untuk kegunaan off-road.

Dengan jarak perlumbaan dalam 155km ini, sememangnya memerlukan kemahiran, mentaliti dan stamina yang mantap selain jentera perlumbaan yang baik untuk melengkapkan perlumbaan ini.

Dari segi spesifikasi, Wmoto SX2-300 dikuasakan oleh enjin 292.4cc silinder tunggal dengan penghidup elektrik, sejukan cecair, menjana 28hp pada 9,000rpm dan 25Nm tork pada 6,500rpm. Kuasa disalurkan melalui kotak gear 6-kelajuan dan rantai.

Motosikal scrambler ini dijual pada harga RM18,800 dan ditawarkan dengan tiga pilihan warna – merah, hitam dan putih.

Sementara itu, Moto Morini X-Cape 650 X dipacu oleh enjin 649cc 4-lejang dua-silinder sebaris yang menjana 60hp pada 8,500rpm dan 56Nm tork pada 7,000rpm.

X-Cape 650 X dijual pada harga RM43,999, iaitu RM4,000 lebih tinggi dari versi X-Cape 650.

WMoto SX2-300 diperkenal – Enjin 292cc, tiga pilihan warna, RM19k

MFORCE baru-baru ini menambah penawaran mereka dalam pasaran motosikal kecil dengan pengenalan WMoto SX2-300 baharu. Ia dijual pada harga RM18,800 dan ditawarkan dengan tiga pilihan warna – merah, hitam dan putih.

Dipanggil “Scrambler Model”, SX2-300 ini disasarkan lebih kepada tunggangan off-road. Ia juga kini digunakan oleh pasukan keselamatan Malaysia yang terlibat dalam Ops Benteng.

WMoto SX2-300 dikuasakan oleh enjin 292.4cc silinder tunggal dengan penghidup elektrik, sejukan cecair, menjana 28hp pada 9,000rpm dan 25Nm tork pada 6,500rpm. Kuasa disalurkan melalui kotak gear 6-kelajuan dan rantai.

Motosikal ini mempunyai kelegaan tanah 285mm, dengan tinggi tempat duduk 900mm, kapasiti tangki bahan api 11 liter serta mempunyai berat keseluruhan 151kg.

SX2-300 hadir dengan rim 19-inci di depan dan 17-inci di belakang, masing-masing dengan tayar 3.00-19 dan 110/70. Sistem brek pula terdiri dari cakera tunggal di depan dan belakang dengan ABS dua-saluran.

Untuk suspensoi, SX2-300 dilengkapi fork terbalik di depan serta monoshock tunggal di belakang dengan pelarasan pra-muatan.

Ciri lain pada WMoto SX2-300 termasuklah lampu LED dan paparan LCD monokrom ringkas untuk instrumen. WMoto SX2-300 hadir dengan jaminan dua-tahun atau 20,000km.

WMoto ES250i kini di Malaysia – Enjin Euro 4, ABS dua-saluran, RM13,888

KINI terdapat skuter 250cc terbaharu di pasaran Malaysia, iaitu WMoto ES250i. Dibawakan dan diedar oleh MForce Bike Holdings Sdn Bhd, ES250i ini dijual pada harga RM13,888 (tanpa cukai jalan dan pendaftaran).

WMoto ES250i dikuasakan enjin 244.3cc 4-lejang silinder tunggal SOHC yang mampu menjana 21hp pada 8,500rpm dan 21Nm tork pada 6,500rpm. Kuasa disalurkan ke roda belakang melalui transmisi CVT.

Enjin ini juga menggunakan sistem suntikan bahan api elektronik dengan penghidup elektrik dan menepati piawaian Euro 4.

ES250i dilengkapi dengan suspensi teleskopik KYB di depan dan dwi-penyerap di belakang. Sementara itu, sistem brek pula adalah 240mm untuk depan dan belakang serta hadir dengan ABS dwi-saluran.

WMoto ES250i didatangkan dengan rim 13-inci dibaluti tayar 110/70 di depan dan 130/70 di belakang.

Dari segi dimensi pula, skuter ini mempunyai panjang 1,955mm, lebar 740mm dan tinggi keseluruhan 1,115mm. Tinggi tempat duduk pula ialah 770mm manakala kelegaan tanah ialah 135mm.

ES250i mempunyai berat 147kg serta tangki bahan api 12 liter.

WMoto ES250i ditawarkan dengan tiga pilihan warna iaitu Fiery Red, Midnight Blue dan Slate Grey. Anda boleh mula melihat skuter ini dengan lebih dekat di semua cawangan MForce seluruh negara bermula esok.

Wmoto F15 ini pesaing terbaharu Honda RS-X150 dan Yamaha Y15ZR, harga RM6k sahaja

SATU lagi kapcai telah menerpa pasaran Malaysia, iaitu Wmoto F15 dan ia ditawarkan pada harga agak kompetitif, RM5,999 (tanpa insurans, pendaftaran dan cukai jalan). F15 ini akan bersaing dengan motosikal kelas 150cc seperti Honda RS-X150 dan Yamaha Y15ZR.

Wmoto F15 dikuasakan oleh enjin 149.2cc 4-lejang yang berupaya menghasilkan 10.5hp pada 7,000rpm dan 11Nm tork pada 8,000rpm. Ia menggunakan kotak gear 5-kelajuan dan mempunyai berat sekitar 118kg.

F15 mempunyai ketinggian pelana 770mm dan dilengkapi lampu LED untuk depan dan belakang berserta DRL. Tangki bahan apinya adalah berkapasiti 5.5 liter.

Wmoto F15 menggunakan fork teleskopik di depan dan penyerap hentak monoshock di belakang. Untuk brek pula, ia mendapat cakera 290mm di depan dan 190mm di belakang.

Ciri lain adalah meter gabungan analog dan digital, serta paparan paras bateri. Wmoto F15 ini hadir dengan jaminan dua tahun atau 20,000km (yang mana terdahulu).

Wmoto F15 kini boleh didapati di kesemua pengedar sah Wmoto seluruh negara dengan tiga pilihan warna iaitu kuning, biru dan turquoise.