Arkib Tag: vaksinasi

Pengusaha pengangkutan awam berhak semak status vaksinasi penumpang

PENGUSAHA pengangkutan awam diminta memastikan setiap penumpang menerima vaksin Covid-19 yang lengkap ketika melakukan perjalanan rentas negeri.

Arahan itu meliputi semua pengusaha pengangkutan awam darat, udara dan sektor maritim.

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, pengusaha pengangkutan awam berhak memeriksa status vaksinasi penumpang.

“Semua pengusaha perlu memastikan setiap penumpang atau pengguna pengangkutan awam menunjukkan sijil vaksinasi,” katanya.

Sebelum ini, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob meminta para pengusaha mengelak bersikap puas hati dan sentiasa mematuhi arahan ditetapkan kerajaan.

Antara arahan atau prosedur operasi standard (SOP) termasuk memakai pelitup muka dan kerap menggunakan pensanitasi tangan.

Sementara itu, pengguna pengangkutan awam turut digalak menjalani ujian saringan Covid-19 kendiri sebelum melakukan perjalanan rentas negeri.

Ia bukan sahaja bagi melindungi diri sendiri malah meliputi ahli keluarga dan orang sekeliling.

Rentas negeri dibenarkan mulai esok 11 Oktober 2021

SEPERTI dinanti ramai, aktiviti rentas negeri secara rasminya dibenarkan mulai esok (11 Oktober 2021) tanpa memerlukan kebenaran polis bagi mereka yang telah lengkap dos vaksinasi.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata ini adalah berikutan kadar vaksinasi bagi populasi dewasa kini telah mencapai 90 peratus.

Kebenaran ini turut tertakluk bagi pergerakan untuk aktiviti pelancongan, namun kebenaran tersebut tidak terpakai bagi pergerakan ke kawasan atau lokaliti yang tertakluk di bawah PKPD.

Ismail Sabri berkata, tiada lagi sekatan jalan raya (SJR) di sempadan-sempadan negeri.

“Tetapi pihak polis akan membuat pemeriksaan secara rawak seperti di R&R misalnya untuk memeriksa status vaksinasi mereka yang mambuat perjalanan rentas negeri,” katanya.

Beliau turut mengingatkan rakyat Malaysia supaya sama-sama mematuhi peraturan dan SOP yang telah ditetapkan kerajaan.

Ismail Sabri menambah bahawa kebenaran pergerakan ini turut diberikan kepada mana-mana rakyat Malaysia yang ingin membuat perjalanan ke luar negara tanpa memerlukan permohonan MyTravelPass seperti sebelum ini.

Rentas negeri selewatnya pertengahan Oktober ini – Muhyiddin

RENTAS negeri dijangka dibenarkan pada separuh pertama Oktober ini yang akan bersandarkan kepada data selepas 90 peratus populasi dewasa lengkap vaksinasi, kata Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN), Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Muhyiddin berkata, perkara tersebut antara yang dibincangkan dalam mesyuarat MPN semalam, yang melibatkan beberapa menteri kabinet.

“Dimaklumkan tadi bahawa rentas negeri akan dibenarkan, sama ada awal Oktober atau selewat-lewatnya pertengahan bulan,” kata Muhyiddin.

“Jadi, saudara bolehlah pergi merayau ke mana-mana seluruh Malaysia ini tetapi sentiasa ingat tentang SOP (prosedur operasi standard).”

Muhyiddin berkata, MPN turut membincangkan mengenai pembukaan semula sempadan negara kepada pelancong dan pengembara perniagaan.

“Mereka akan meneliti sama ada membenarkan rakyat Malaysia yang lengkap vaksinasi ke luar negara. Pada masa sama, ia juga akan membincangkan sama ada membenarkan pelancong dan pengembara perniagaan datang ke negara kita.

“Saya percaya ia akan membawa kesan besar kepada negara,” kata Muhyiddin sambil menambah perkara itu akan dikemukakan kepada Perdana Menteri dan pengumuman akan dibuat tidak lama lagi.

Turut hadir pada mesyuarat itu adalah Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, Menteri Kanan Pendidikan Datuk Radzi Jidin dan Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.

Honda lancar kempen I’m Vaccinated untuk lebih keselamatan pelanggan

HONDA Malaysia melancarkan kempen proaktif “I’m Vaccinated” untuk memastikan keselamatan dan keyakinan pelanggan di pusat pengedar seluruh negara.

Ini sebahagian dari inisiatif syarikat itu dalam memastikan semua pengedarnya mendapat vaksinasi dalam tempoh ditetapkan.

Setakat ini, 80 peratus dari pengedar telah mendapat vaksinasi penuh dan hanya mereka yang lengkap dos dibenarkan bekerja di pusat-pusat pengedar. Honda Malaysia mensasarkan semua pengedar mereka mendapat dos lengkap menjelang Oktober ini.

Pengarah Urusan dan CEO Honda Malaysia, Ms. Madoka Chujo berkata, “Kami bersyukur pengeluaran kenderaan telah kembali beroperasi dan pusat-pusat pengedar Honda boleh menjalankan aktiviti jualan dan servis kepada pelanggan kami.”

“Dengan kempen “I’m Vaccinated”, semua pekerja di pengedar kami yang telah lengkap dos dan melepasi tempoh 14 hari akan diberikan lencana dan topeng muka dengan logo “I Am Fully Vaccinated” pengenalan mudah.”

Tambahan lagi, Honda Malaysia turut memastikan semua premis mereka akan menjalankan proses sanitasi dan disinfeksi secara berkala.

Khas untuk staf kerajaan, Honda Malaysia menawarkan Joy Of Buying dimana mereka dan pasangan boleh memiliki Jazz atau BR-V baharu.

Dari 1 September hingga 31 Oktober juga, pelanggan boleh menikmati diskaun sehingga RM1,000 manakala sempena Hari Malaysia, pelanggan berpeluang mendapat tawaran sehingga RM6,000 di bawah program September Special Benefits.

Untuk maklumat lanjut, hubungi 1-800-88-2020 atau layari www.honda.com.my.

Kakitangan Proton mula terima vaksin hari ini

PROTON memulakan proses vaksinasi bagi semua kakitangannya hari ini. Pekerja yang bertempat di Tanjung Malim dan Shah Alam yang belum divaksin akan mendapat temujanji di aplikasi MySejahtera.

Program itu berlangsung selama beberapa hari bagi memastikan kesemua yang mendaftar untuk memperoleh vaksin akan mendapatkan dos pertama mereka.

Bagi mempercepatkan usaha di Tanjung Malim, pengeluar automotif nasional itu telah bekerjasama dengan pihak berkuasa peringkat negeri dan persekutuan untuk menjadikan kompleks sukan sebagai Pusat Pemberian Vaksin Industri (PPVIN).

Dengan kapasiti maksimum harian kira-kira 800 orang, PPVIN tersebut akan beroperasi selama enam hari bagi memastikan warga Proton serta pembekal yang berada di sana mendapat vaksin mereka.

Bagi kakitangan di Shah Alam pula, mereka akan mendapat vaksin mereka di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC) kerana kekangan ruang yang besar dan syarat pematuhan SOP diperlukan oleh Proton untuk mewujudkan PPV sementara.

Dr Li Chunrong, CEO Proton berkata, “Proton berharap dengan proses vaksinasi warga kerja, kami akan membantu mengurangkan jangkitan Covid-19 di Malaysia.

“Dengan inisiatif sama dari syarikat lain, ia mampu menghidupkan semula industri automotif yang terhenti seketika semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan”, tambahnya.

Dengan permulaan hari ini, proses vaksinasi ini akan diulangi semula tiga minggu kemudian bagi warga Proton mendapatkan dos kedua mereka.

Syarikat itu menjangkakan kebanyakan kakitangan mereka akan mendapat vaksin penuh menjelang pertengahan Ogos.