Arkib Tag: V12

Lamborghini Revuelto pengganti Aventador, masih enjin 6.5-liter NA!

DENGAN penamatan pengeluaran Aventador pada September 2022 lepas, maka berakhirlah satu era sepanjang kira-kira 12 tahun.

Kini pengganti supercar itu telah didedahkan, iaitu Lamborghini Revuelto. Menariknya, dalam zaman EV dan turbo sekarang, Lamborghini masih ‘berdegil’ dengan memberikan Revuelto enjin naturally-aspirated 6.5-liter V12 berkuasa 813hp.

Tetapi enjin itu telah mendapat bantuan tiga motor elektrik, memberikan output keseluruhan setinggi 1,0001hp. Ia masih AWD, tetapi kini kuasa disalurkan melalui kotak gear baharu, dwi-klac 8-kelajuan.

Hasilnya, pecutan 0-100 dalam 2.5-saat, dan 200km/j boleh dicapai kurang 7 saat. Kelajuan maksima pula ialah 350km/j. Dengan motor elektrik yang dibekalkan, Lamborghini Revuelto boleh dipandu dalam mod EV secara senyap sejauh 9.6km.

Dari segi penggayaan, Revuelto masih membawakan sedikit rupa dan bayangan Aventador. Tetapi perincian pada Revuelto termasuklah elemen Y pada banyak komponen badan seperti lampu depan, lampu belakang, papan pemuka, dan ruang kemasukan udara di sisi.

Menurut Lamborghini, elemen Y itu dikaitkan dengan aeroangkasa masa kini. Lebih tepat lagi, jet pejuang F-35 Lightning II. Oh ya, scissor door masih dikekalkan, yang menjadi identiti kenderaan Lamborghini.

Revuelto dibina dari casis monocoque baharu dengan struktur depan dari gentian karbon sepenuhnya. Ia mendapat tayar Bridgestone Potenza Sport khas dengan profil 265/35/20 di depan dan 345/30/21 di belakang. Tak cukup agresif? Anda boleh pilih kombinasi 265/30/21 dan 355/25/22.

Untuk bahagian kabin, Lamborghini Revuelto dilengkapi paparan instrumen digital 12.3-inci, dan paparan instrumen potret bersaiz 8.4-inci di tengah.

Penumpang juga mendapat paparan sendiri sebesar 9.1-inci, dimana Lamborghini mengatakan boleh menggalas tugas sebagai co-pilot bagi pemandu. Fungsi seperti pendingin hawa, navigasi, dan muzik boleh dikawal penumpang, maka pemandu boleh fokus kepada pemanduan.

Terdapat sedikit elemen mesra alam pada supercar ini, dimana proses pembuatannya kini lebih cekap. Balutan kulit di dalam pula menggunakan polyester kitar semula.

Lamborghini mengklasifikasikan Revuelto sebagai high performance electrified vehicle (HPEV). Ciri prestasi lain pada Revuelto termasuklah sistem stereng roda belakang, struktur lebih keras, dan beberapa komponen belakang yang diintegrasikan menjadi satu.

Lamborghini Revuelto bakal dilancarkan secara rasmi hujung tahun ini. Harga belum didedahkan, tetapi sila jangkakan peningkatan dari Aventador sebelum ini.

Lamborghini Invencible, Autentica jentera V12 terakhir sebelum era hibrid

RAMAI yang menyangka bahawa Aventador LP780-4 Ultimae merupakan jentera berenjin V12 terakhir daripada Lamborghini namun pengeluar supercar dari Itali itu sebenarnya mempunyai dua lagi model untuk dipertaruhkan sebelum mengorak langkah ke hadapan dengan trenkuasa hibrid.

Dikenali sebagai Invencible dan Autentica, kedua-duanya dibina menggunakan platform Aventador yang diperkenalkan buat pertama kali 12 tahun lalu namun Invencible merupakan model coupe manakala Autentica pula adalah model roadster.

Direka oleh studio Lamborghini Centro Stile, Invencible dan Autentica tampil dengan pelbagai elemen reka bentuk yang diinspirasikan daripada model-model V12 yang terdahulu termasuk Reventon (gaya aeronautika), Sesto Elemento (spoiler), Veneno (aerodinamik) dan Essenza SCV12 (bonet).

Malah jika diperhatikan, bahagian hadapannya tidak ubah seperti Sian FKP 37, model edisi terhad yang dikuasakan oleh enjin V12 dan teknologi hibrid yang menggunakan supercapacitor.

Invencible didatangkan dalam warna merah Rosso Efesto yang dipadankan dengan upholsteri kulit Rosso Alala dan Alcantara Nero Cosmus pada bahagian dalaman.

Sementara itu, Autentica pula tampil dengan cat Grigio Titans dan perincian berwarna Giallo Auge dan hitam matte. Ruang kabinnya dihiasi dengan upholsteri kulit Nero Ade, jahitan Giallo Taurusm serta kemasan Alcantara dua tona dalam warna Nero Cosmus dan Grigio Octans.

Menurut Lamborghini, ruang dalaman kedua-dua model ini telah diringkaskan bagi membolehkan pemandu menumpukan perhatian terhadap pemanduan. Ini bermakna ia mempunyai papan pemuka yang minimalis yang diserlahkan dengan corong pendingin hawa cetakan 3D, tanpa sebarang skrin sistem infohibur.

Duo ini mempunyai enjin 6.5-liter V12 yang menghasilkan 780 PS dan 720 Nm pada 6,750 rpm. Kuasa disalurkan ke roda oleh transmisi ISR tujuh kelajuan melalui sistem pacuan semua roda. Turut disertakan adalah sistem Lamborghini Dynamic Steering yang mengawal keempat-empat roda.

Aston Martin V12 Vantage baharu didedahkan, tiada pilihan manual, hanya 333 unit

ASTON Martin telah mendedahkan V12 Vantage terbaharu mereka semalam. Ianya dikatakan bakal menjadi jentera V12 terakhir pengeluar itu.

Berita menyedihkan? Sekurang-kurangnya enjin V12 5.2-liter twin-turbo ini menghasilkan lambakan kuasa sebagai ucapan ‘selamat tinggal’. 690hp dan 735Nm tork merupakan outputnya, dan dipadankan dengan kotak gear dwi-klac dari ZF, tiada pilihan manual kali ini.

Dari segi prestasi, Aston Martin V12 Vantage ini mampu memecut ke 100km/j dalam hanya 3.5 saat, manakala kelajuan maksima ialah 321km/j.

Ia telah melalui ‘diet’ dengan penggunaan bahan gentian karbon di bampar, hud, fender depan dan deck lid, menjadikannya seberat sekitar 1,795kg sahaja.

Selain itu, V12 Vantage ini menggunakan unit bateri jenis ringan, serta sistem ekzos keluli tahan karat yang lebih ringan 7.2kg berbanding kereta standard.

Sistem brek pula terdiri daripada rotor karbon seramik bersaiz 410mm dengan penggunaan kaliper brek enam piston di depan dan diikuti dengan rotor 360mm dengan kaliper brek empat piston di belakang.

Penggunaan karbon seramik menyumbang kepada penjimatan berat sekitar 23kg berbanding menggunakan bahan jenis keluli biasa dan ianya mampu bertahan pada suhu operasi setinggi 800 darjah Celcius.

Aston Martin memberikan rim bersaiz 21-inci untuk supercar ini dengan pilihan standard atau lightweight untuk lebih ringan lagi. Tayar pula adalah Michelin Pilot 4S bersaiz 275/35 di depan dan 315/30 untuk belakang.

Hanya 333 unit seumpamanya bakal dibina tetapi jika anda mampu beli, sekali lagi berita menyedihkan. Semuanya dilaporkan telah pun habis ditempah.