Arkib Tag: teksi

Mohon lesen percuma e-hailing, teksi atau bas dengan MyPSV

BERITA baik bagi anda yang bercadang mengambil lesen memandu e-hailing, teksi, atau bas. Anda mungkin tidak perlu membelanjakan wang poket anda sendiri kerana anda boleh memohon secara percuma melalui Program MyPSV.

MyPSV merupakan program di bawah Kementerian Pengangkutan Malaysia melalui Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ). Ia membantu golongan B40 mendapatkan Lesen Vokasional Kenderaan Perkhidmatan Awam (Public Service Vehicle atau PSV).

Berikut adalah syarat kelayakan memohon lesen PSV melalui program MyPSV:

Untuk lulus, calon-calon di bawah Program MyPSV E-Hailing perlu menduduki Kursus Teori E-Hailing. Tetapi bagi calon-calon Program MyPSV Bas, anda perlu menduduki Kursus Teori Vokasional, latihan dan ujian praktikal (termasuk litar dan jalan raya) setara dengan ketetapan sedia ada.

Program ini memberi peluang kepada 4,000 orang merangkumi 3,500 calon untuk PSV E-hailing/Teksi dan 500 calon untuk PSV Bas daripada golongan B40 di seluruh negara.

Gambar oleh: Malay Mail

Ia dijalankan menerusi peruntukan sebanyak RM2 juta di bawah Belanjawan 2023. Peruntukan ini merangkumi kos ujian dan latihan kepada calon dengan kadar RM190 untuk setiap calon PSV E-hailing/Teksi dan RM2,590 untuk setiap calon PSV Bas.

MyPSV juga merupakan usaha cakna kerajaan untuk membantu golongan B40 mempertingkatkan taraf sosioekonomi dan pendapatan isi rumah melalui peluang pekerjaan dalam sektor ekonomi gig, seterusnya menyokong dan menambah baik kelangsungan sektor pengangkutan awam serta pelancongan di negara ini.

Melalui program ini, JPJ akan menyelaras senarai penerima bantuan kepada Institut Memandu (IM) dan pengendali e-Hailing dengan kerjasama persatuan-persatuan pengusaha bas serta agensi-agensi lain yang terlibat.

Had usia teksi, e-hailing kini dinaikkan kepada 15 tahun

Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) hari ini mengumumkan bahawa pelanjutan had usia penggunaan kenderaan teksi dan e-hailing di seluruh negara kini telah dinaikkan kepada 15 tahun.

Dalam satu kenyataan, APAD memaklumkan bahawa langkah itu sejajar hasrat Kementerian Pengangkutan untuk melestarikan industri teksi dan e-hailing ke arah penambaikan sistem pengangkutan negara.

Menurut agensi itu lagi, pelanjutan tersebut terguna pakai bagi kenderaan dalam kelas lesen teksi dan e-hailing yang telah mencapai had usia maksimum bermula 1 Jan tahun ini.

Antara syarat lain ialah semua kenderaan yang akan diberi kelulusan tersebut mematuhi dan melepasi semua syarat pemeriksaan berkala wajib Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM), selain mematuhi syarat operasi lain yang ditetapkan bagi memastikan tahap keselamatan kenderaan, keselesaan pengguna dan imej industri terjamin, menurut kenyataan itu.

“Sehubungan itu, pihak APAD berharap pemain industri teksi dan e-hailing dapat meningkatkan mutu perkhidmatan seterusnya menjadikan perkhidmatan ini sebagai mod pilihan rakyat yang diyakini dan berkualiti,” katanya.

Maklumat dan pertanyaan lanjut boleh didapati di laman portal rasmi APAD iaitu www.apad.gov.my atau hadir terus ke pejabat APAD berhampiran.

1,000 teksi elektrik TeksiKu akan beroperasi di Lembah Klang, Langkawi mulai November ini

TENAGA Nasional Berhad (TNB) dilaporkan telah menjalinkan kerjasama dengan Mysuri Biz Technologies bagi menyediakan 1,000 unit teksi elektrik menerusi perkhidmatan TeksiKu.

Bercakap kepada paultan.org, Ketua Pegawai Eksekutif Mysuri Biz Technologies, Mohd Noor Ghazali berkata perkhidmatan teksi elektrik itu akan mula beroperasi pada November tahun ini, bermula dengan Lembah Klang dan Langkawi.

Pemilihan Langkawi sejajar dengan rancangan kerajaan untuk menjadikan pulau peranginan itu sebagai salah satu titik permulaan untuk membangunkan infrastruktur kenderaan elektrik (EV), seperti yang diumumkan oleh Menteri Alam Sekitar dan Air (KASA), Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, Ogos lalu.

Tambah Mohd Noor lagi, teksi elektrik itu bertujuan untuk mengubah sistem pengangkutan awam Malaysia dan menerusi program ini, para pemandu teksi boleh menerima pakai teknologi baharu tanpa perlu mengeluarkan belanja yang besar.

Teksi-teksi elektrik tersebut akan tersedia menerusi skim pajakan (leasing) yang disediakan oleh Koperasi Jurupandu TeksiKu.

Sebagai permulaan, flit TeksiKu terdiri daripada MG ZS EV yang menggunakan livery kuning hitam seperti teksi-teksi di New York. Model crossover ini mempunyai sebuah motor elektrik yang menjana 174 hp dan 280 Nm, serta pek bateri 72.6 kWh yang memberikan jarak pemanduan sejauh 440 km.

Tangkap layar laman web Alladin My

Menurut SoyaCincau, tempahan untuk TeksiKu tidak dibuat menerusi aplikasi TeksiKu, sebaliknya Aladdin My. Melihat kepada laman sesawangnya, Aladdin My turut menawarkan pelbagai jenis perkhidmatan lain.

Selain itu, Mysuri akan menyediakan kiosk elektronik di lokasi-lokasi strategik seperti lapangan terbang dan stesen keretapi bagi membolehkan mereka yang tidak mempunyai aplikasi tersebut untuk menggunakan perkhidmatan TeksiKu.

Maxim tawar e-hailing dengan fungsi kegunaan harian, bakal lancar Foods&Goods

MAXIM menawarkan penyelesaian e-Hailing terbaharu yang menggabungkan pengangkutan biasa serta fungsi tambahan merangkumi penghantaran barang, kargo, bantuan tepi jalan, dan keperluan harian seperti dobi serta urut/spa.

Syarikat e-hailing itu juga dalam satu kenyataan berkata akan menawarkan perkhidmatan-perkhidmatan tersebut pada harga berpatutan.

Selain itu, Maxim juga bakal melancarkan pasaran Foods&Goods, dimana anda boleh menggunakan aplikasi itu untuk membeli makanan, barangan runcit, produk kesihatan dan kecantikan, aksesori fesyen, dan banyak lagi.

Ia sekaligus akan membuka peluang kerjasama dengan rakan kongsi baharu yang mahu menjadi sebahagian dari komuniti perniagaan.

Kos perjalanan telus

Imej oleh: I Love Borneo

Maxim menawarkan harga yang lebih berpatutan berbanding kebanyakan pesaingnya. Sebagai contoh, kos perjalanan bermula serendah RM4, dan nilai diketahui sebaik anda membuat tempahan dan ianya tidak berubah walaupun trafik dalam waktu puncak.

Untuk kemudahan anda, tempahan beberapa alamat juga boleh dibuat dalam satu perjalanan, malah anda boleh menukar laluan semasa dalam perjalanan.

Imej oleh: Facebook Maxim

Selain itu, anda boleh memaklumkan pemandu tentang syarat tambahan: menyatakan terdapat penumpang kanak-kanak, memerlukan baki wang bagi pembayaran tunai dengan wang nilai besar, menambah bagasi, mengangkut haiwan, atau meminta pemandu untuk membawa barang.

Satu lagi ciri yang berguna ialah berkongsi trek perjalanan. Anda boleh menghantar pautan kepada orang lain, berkenaan pergerakan kereta yang dapat dilihat pada peta dalam waktu yang sebenar.

Ini berguna apabila anda perlu menjemput rakan di sepanjang jalan atau memastikan perjalanan orang tersayang berjalan lancar.

Kadar «Penghantar» dan «Beli Dan Hantar»

Tanpa meninggalkan rumah, anda boleh menempah rakan penghantaran, serta pembelian dan penghantaran barangan runcit dan barangan lain yang diperlukan.

Perkhidmatan ini menerima permintaan yang tinggi semasa waktu pandemik dan masih dalam permintaan tinggi.

Di bahagian komen, anda menunjukkan maklumat tambahan, sebagai contoh, apa sebenarnya yang perlu dihantar atau menulis senarai barangan untuk dibeli.

Untuk maklumat lanjut, layari https://taximaxim.com/my/

Kerajaan cadang perluas Skim Rehabilitasi Sewa Beli Bas dan Teksi

KERAJAAN akan berbincang dengan pelbagai pihak berkepentingan cadangan memperluaskan Skim Rehabilitasi Sewa Beli Bas dan Teksi kepada mereka gagal mendapatkan skim bantuan tersebut.

Timbalan Menteri Kewangan II Yamani Hafez Musa berkata, ini kerana masih terdapat baki peruntukan belum digunakan sehingga 31 Oktober 2021.

Setakat ini, hanya RM505 juta daripada RM 1 bilion digunakan melibatkan 1,492 akaun.

“Masih ada baki peruntukan sebanyak RM495 juta untuk dimanfaatkan oleh pengusaha bas dan teksi.

“Sehingga kini, hanya lapan syarikat kredit yang terlibat dalam skim berkenaan,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Timbalan Menteri Kewangan II Yamani Hafez Musa. – Foto ihsan Bernama

Pada 17 November lepas, kerajaan bersetuju memanjangkan lagi skim rehabilitasi yang pada awalnya tamat pada 31 Disember ini.

Kerajaan melancarkan Skim Rehabilitasi Sewa Beli Bas dan Teksi kepada pengusaha bas dan teksi yang terjejas akibat pandemik Covid-19.

Ia membolehkan golongan terbabit mendapatkan moratorium pinjaman sehingga 12 bulan dan bayaran balik lebih murah.

Perkhidmatan e-hailing, inDriver beri pilihan penumpang tawar harga tambang

KEWUJUDAN firma e-hailing di negara ini boleh diumpamakan seperti “cendawan tumbuh” dengan terbaharu, syarikat inDriver tampil menawarkan perkhidmatan.

Setakat ini, operasi inDriver boleh didapati di Pulau Pinang, Alor Setar, Sungai Petani, Ipoh, Taiping, Melaka, Johor Bahru, Batu Pahat, Kluang, Kuantan dan Kuala Terengganu.

Selain itu, syarikat ini juga turut menyediakan perkhidmatan di Kuching, Miri, Sibu, Bintulu dan Kota Kinabalu.

Apa yang menarik mengenai perkhidmatan ini adalah ia mempunyai fungsi Real Time Deals (RTD).

RTD membolehkan penumpang menawarkan harga tambang dirasakan sesuai dengan perjalanan ke lokasi yang ingin dituju.

Pemandu kemudian akan membuat keputusan sama ada ingin menerima tawaran tersebut atau menawarkan semula harga yang dirasakan lebih berbaloi.

Selain itu, pemandu juga berhak menolak tawaran yang diberikan penumpang jika tidak berminat dengan tawaran harga tersebut.

Bagaimanapun, pemandu lain yang berada di kawasan berhampiran juga boleh menawarkan perkhidmatan jika bersetuju menerima tugasan daripada penumpang.

Penumpang boleh memilih pemandu berdasarkan harga tambang, rating pemandu, jangkaan masa tiba atau kenderaan digunakan.

Pada masa kini, pembayaran inDriver hanya boleh dibuat secara tunai sahaja.

Fungsi lain ditawarkan aplikasi inDriver termasuk berkongsi lokasi GPS kepada kontak dipercayai dan butang kecemasan menghubungkan pemandu atau penumpang terus ke pihak berkuasa.

Teksi Putrajaya, Cyberjaya dihiasi Jalur Gemilang sempena bulan merdeka

JABATAN Penerangan (Japen) menyantuni pemandu teksi sekitar Putrajaya dan Cyberjaya dalam program Info On Wheels (IOW) Merdeka bersempena Sambutan Bulan Kebangsaan 2021.

Menerusi acara itu, kenderaan teksi dihiasi dengan Jalur Gemilang sebagai tanda menyemarakkan semangat kemerdekaan.

Sesi penyerahan Jalur Gemilang kepada pemandu teksi berlangsung di Anjung Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) dalam skala kecil.

Ia bagi mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ketika pandemik Covid-19.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pengarah (Kandungan Digital) Japen Hashim Bedu berkata, program penyerahan Jalur Gemilang bertujuan menyemai semangat patriotism.

“NGO yang bekerjasama dengan Japen dilihat sebagai ejen yang memasarkan maklumat dasar kerajaan.

“Secara tidak langsung membantu menjayakan Kempen Kibar Jalur Gemilang,” katanya kepada pemberita.

Japen akan  mengagihkan kira-kira 200 Jalur Gemilang kepada pemandu teksi di sekitar Putrajaya dan Cyberjaya.

Hashim berkata sebanyak 2,432 program di 10,970 lokasi telah dilaksanakan setakat ini dengan agihan sebanyak 67,223 Jalur Gemilang.

Warga maya dakwa lelaki rempuh kenderaan di KKIA alami kemurungan

GAGAL mengawal kemarahan akibat barisan menunggu dipotong, seorang pemandu teksi bertindak merempuh beberapa kenderaan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA), Sabah.

Insiden pada semalam berlaku selepas lelaki terbabit dikatakan berang kerana barisan menunggu penumpang dipotong pemandu teksi lain.

Menerusi rakaman video tular di media sosial, lelaki berusia 60 tahun itu dilihat merempuh tiga buah kenderaan lain dalam kejadian jam 1 petang itu.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Supt George Abdul Rakman mengesahkan kejadian berkenaan, lapor Bernama.

Setakat ini, polis masih menyiasat bagi mengenal pasti punca kejadian untuk tindakan lanjut.

Pada masa sama, polis mengesahkan tiada kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan dalam kejadian itu.

Sementara itu, insiden mulai tular sejak semalam selepas beberapa pengguna media sosial memuat naik video berkenaan di media sosial.

Pelbagai reaksi diberi pengguna media sosial selain ada yang bersimpati dengan pemandu teksi terbabit yang dibimbangi mengalami masalah kemurungan.

Lanjutan percuma satu tahun untuk kenderaan perkhidmatan awam – MOT

KEMENTERIAN Pengangkutan Malaysia (MOT) akan memberi pelanjutan selama satu tahun secara automatik kepada mana-mana kenderaan perkhidmatan awam yang telah mencapai had usia maksima penggunaan seperti ditetapkan di dalam syarat lesen/permit kenderaan.

Gambar oleh: Malaymail

Inisiatif ini adalah demi membantu pemain-pemain industri pengangkutan awam khususnya pemilik teksi, bas sekolah dan bas persiaran dalam mengharungi waktu sukar akibat pandemik Covid-19.

Lanjutan ini juga adalah termasuk kepada yang telah mendapat lanjutan dalam tahun 2020 sebelum ini.

Pelanjutan ini tertakluk kepada kenderaan terlibat menjalani dan lulus pemeriksaan kenderaan di PUSPAKOM, serta mencapai had usia maksima penggunaan untuk tempoh bermula 1 Januari hingga 31 Disember 2021.

Keputusan ini diambil susulan sesi perbincangan antara MOT bersama persatuan dan pengendali termasuklah Persekutuan Persatuan-persatuan Bas Sekolah Malaysia, Pan Malaysia Bus Operators Association (PMBOA), Persatuan Pengusaha Bas Persiaran Semenanjung Malaysia (PPBPSM), Gabungan Teksi Semenanjung Malaysia (GTSM), Koperasi Melayu Teksi Pulau Pinang, Persatuan Teksi India Wilayah Persekutuan dan Persatuan Kereta Sewa Hulu Selangor.

Diharapkan dengan pelanjutan had usia penggantian kenderaan selama setahun secara automatik ini dapat memberi kelegaan kepada industri pengangkutan awam seterusnya kembali pulih serta terus berdaya saing untuk tempoh panjang demi manfaat rakyat serta negara secara keseluruhannya.