fbpx

1,000 teksi elektrik TeksiKu akan beroperasi di Lembah Klang, Langkawi mulai November ini

TeksiKu 01

TENAGA Nasional Berhad (TNB) dilaporkan telah menjalinkan kerjasama dengan Mysuri Biz Technologies bagi menyediakan 1,000 unit teksi elektrik menerusi perkhidmatan TeksiKu.

Bercakap kepada paultan.org, Ketua Pegawai Eksekutif Mysuri Biz Technologies, Mohd Noor Ghazali berkata perkhidmatan teksi elektrik itu akan mula beroperasi pada November tahun ini, bermula dengan Lembah Klang dan Langkawi.

Pemilihan Langkawi sejajar dengan rancangan kerajaan untuk menjadikan pulau peranginan itu sebagai salah satu titik permulaan untuk membangunkan infrastruktur kenderaan elektrik (EV), seperti yang diumumkan oleh Menteri Alam Sekitar dan Air (KASA), Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, Ogos lalu.

Tambah Mohd Noor lagi, teksi elektrik itu bertujuan untuk mengubah sistem pengangkutan awam Malaysia dan menerusi program ini, para pemandu teksi boleh menerima pakai teknologi baharu tanpa perlu mengeluarkan belanja yang besar.

Teksi-teksi elektrik tersebut akan tersedia menerusi skim pajakan (leasing) yang disediakan oleh Koperasi Jurupandu TeksiKu.

Sebagai permulaan, flit TeksiKu terdiri daripada MG ZS EV yang menggunakan livery kuning hitam seperti teksi-teksi di New York. Model crossover ini mempunyai sebuah motor elektrik yang menjana 174 hp dan 280 Nm, serta pek bateri 72.6 kWh yang memberikan jarak pemanduan sejauh 440 km.

Tangkap layar laman web Alladin My

Menurut SoyaCincau, tempahan untuk TeksiKu tidak dibuat menerusi aplikasi TeksiKu, sebaliknya Aladdin My. Melihat kepada laman sesawangnya, Aladdin My turut menawarkan pelbagai jenis perkhidmatan lain.

Selain itu, Mysuri akan menyediakan kiosk elektronik di lokasi-lokasi strategik seperti lapangan terbang dan stesen keretapi bagi membolehkan mereka yang tidak mempunyai aplikasi tersebut untuk menggunakan perkhidmatan TeksiKu.

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved