Arkib Tag: sultan johor

Nombor plat FF1 milik Sultan Johor, RM1.2 juta

NOMBOR plat kenderaan FF1 iaitu turutan nombor baharu bagi Putrajaya menjadi milik Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.

Kenyataan di Facebook rasmi baginda memaklumkan, nombor itu dibida baginda dengan tawaran tertinggi.

Sementara itu, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke menerusi perkongsian di Facebooknya pada Sabtu memaklumkan plat FF1 itu bernilai RM1.2 juta.

Nombor plat kenderaan itu dipersembahkan Anthony semasa menghadap baginda di Johor Bahru baru-baru ini.

“Pagi tadi, saya mengadap DYMM Sultan Johor Sultan Ibrahim untuk mempersembahkan secara simbolik nombor plat FF 1 kepada Tuanku yang merupakan pemilik nombor khas unik tersebut,” tulisnya.

“Tuanku telah perkenan untuk membayar kepada kerajaan sebanyak RM1.2 juta untuk nombor khas tersebut. Untuk rekod, bayaran RM1.2 juta merupakan nilai tertinggi yang pernah dikutip setakat ini oleh kerajaan untuk pendaftaran satu nombor plat kenderaan.”

Pada 2016, Sultan Johor dilaporkan memenangi bidaan nombor plat kenderaan F1 dengan nilai bidaan RM836,660 bagi turutan nombor baharu bagi Putrajaya.

Selepas itu, pada Ogos tahun sama, baginda memenangi bidaan untuk nombor plat V1 dengan nilai RM989,780.

Mengulas lanjut, Anthony berkata, bayaran yang diterima itu juga menjadikan jumlah kutipan hasil kerajaan untuk nombor siri FF meningkat kepada RM35.4 juta.

5 berita paling viral Engear sepanjang 2021

TAHUN 2021 kian menutup tirainya dalam hanya beberapa hari sahaja lagi, dan pelbagai isu berlaku di dalam dan luar negara dalam bidang automotif.

Awal tahun menyaksikan kita melalui Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0, kemudian pertengahan tahun setiuasi semakin baik dan sektor ekonomi kembali seperti sedia kala secara berperingkat mulai September.

Walaubagaimanapun, penghujung 2021 menjadi kenangan pahit buat rakyat Malaysia di beberapa negeri dengan banjir yang agak teruk melanda. Yang penting, kita dapat menyaksikan rakyat Malaysia bersatu hati bersama membantu mereka yang terjejas.

Dalam minggu terakhir 2021 ini, kami akan siarkan beberapa artikel seperti pelancaran kereta pilihan, pandu uji pilihan, dan motosikal mantap sepanjang tahun.

Harus diketahui juga walaupun Engear sudah beberapa tahun di Youtube, kami masih ‘adik-adik’ di laman web kerana Engear.tv baru sahaja berusia kira-kira setahun.

Jadi dengan pengalaman muda kami, untuk kali ini, kami senaraikan lima berita paling viral (tular) sepanjang 2021.

5. Conor McGregor dapat ‘mainan’ baharu bot laju mewah Lamborghini

Di tempat kelima, berita berkenaan ikon UFC terkenal, Conor McGregor yang membeli bot laju mewah Lamborghini bernilai USD3.6 juta (RM15 juta).

Dengan pendapatan mencecah ratusan juta dolar setahun, tak hairanlah seleranya pun begitu tinggi, bukan? Dikatakan bot laju mewah Lamborghini ini merupakan pembelian termahalnya selain jam tangan, kereta mewah dan sebagainya.

4. PLUS beri penjelasan isu RFID dan pemansuhan Touch ‘n Go serta SmartTag

Berita ini agak baharu, dimana PLUS mengumumkan mereka akan mula menyediakan lorong RFID di semua lebuh raya Utara Selatan laluan Skudai-Juru bermula 15 Januari 2022.

Jadi timbul persoalan di kalangan netizen dan orang awam bahawa adakah Touch ‘n Go dan SmartTag akan dimansuhkan terus menjelang tarikh itu.

3. Sultan Johor tiba dengan Genesis G90 Limousine

Gambar oleh: HRH Crown Prince of Johor

Pada Ogos lepas, DYMM Sultan Johor Sultan Ibrahim ibni Almarhum Sultan Iskandar menjadi tumpuan peminat kereta tempatan apabila baginda tiba dengan Genesis G90 Limousine baharu.

Baginda hadir dengan limousine mewah itu semasa perasmian Pembukaan Penggal Persidangan Ke-4 Dewan Negeri Johor Yang Ke-14 di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar, Iskandar Puteri, Johor.

2. McLaren Speedtail dilihat di Singapura, milik Tunku Idris?

Satu lagi berita berkaitan kerabat diraja Johor, sebuah McLaren Speedtail yang sangat eksklusif dilihat di Singapura dan dikatakan ianya milik Tunku Temenggong Johor, Tunku Idris Iskandar Sultan Ibrahim.

Berdasarkan makluman dari netizen, Speedtail berkenaan berada di McLaren Singapore untuk penyelenggaraan.

Ia mula tular apabila akaun Instagram @agentmlifestyle memuatnaik  beberapa gambar hypercar itu sedang dinaikkan ke atas sebuah trak.

1. Rupa konsep Proton Saga Knight didedahkan

Seperti biasa, berita berkaitan kereta nasional seperti Proton atau Perodua akan menjadi perhatian, masing-masing ingin menyampaikan komen.

Tetapi di tempat pertama berita paling viral di Engear bukanlah kereta Proton sebenar, sebaliknya sebuah lakaran konsep tiga dimensi (3D).

Ia dilakar oleh Saharudin Busri yang merupakan Ketua Rekabentuk Industri di MIMOS berhad untuk webinar rekabentuk anjuran Persatuan Pereka Perindustrian Malaysia (PEREKA).

Terdapat juga beberapa berita lain yang menjadi perhatian pembaca Engear, antaranya adalah kos penjagaan Proton X50, pembukaan Lebuh Raya Central Spine Road (CSR) laluan Bentong-Lebu.

Selain itu, artikel Tunku Mahkota Johor (TMJ) yang datang berjumpa dengan Datuk Azizulhasni juga digemari pembaca. Ia menjadi perhatian kerana baginda TMJ dilihat memandu Ford GT.

Berita pertahanan juga agak popular kerana ianya menjadi isu negara. Salah-satunya adalah laporan helikopter AW139 Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang hampir sedia beroperasi, dilaporkan sedang diuji berdekatan kilangnya di Itali.

Untuk artikel video pula, senarai aksesori kereta yang haram dibeli menjadi antara kegemaran penonton.

Nantikan video penutup 2021 yang lain pula esok!

Vespa 946 Christian Dior edisi khas ini koleksi terbaharu Sultan Johor

DYMM Sultan Johor Sultan Ibrahim ibni Almarhum Sultan Iskandar dilihat memiliki sebuah Vespa 946 edisi Christian Dior sebagai koleksi terkini baginda.

Sekeping gambar baginda bersama Vespa edisi khas itu tular di media sosial sejak dua hari lepas. Turut dikatakan juga Vespa 946 dengan kolaborasi bersama pereka fesyen terkenal Itali itu berharga sekitar RM150,000.

Vespa 946 Christian Dior ini dihasilkan dengan tema “semangat kebebasan, pergerakan dan ekspresi” dan ia bukan sahaja dijual di bilik pameran Vespa, malah boleh didapati di butik-butik Dior seluruh dunia.

946 edisi Christian Dior menampilkan tempat duduk tunggal dihiasi dengan corak Dior Oblique berwarna putih dan emas, kombinasi yang menjadi identiti jenama fesyen itu.

Ia juga hadir dengan kotak khas yang sepadan, juga dihiasi dengan logo Dior dan dipasang di bahagian kargo belakang. Aksesori lain adalah beg tangan dan topi keledar.

Vespa 946 Christian Dior dikuasakan oleh enjin 155cc silinder tunggal yang menghasilkan 12.9hp dan 12.8Nm tork. Menurut Vespa, skuter ini mempunyai tahap kecekapan penggunaan bahan api sekitar 2 liter per 100km.

Skuter ini juga dilengkapi brek ABS dua-saluran dengan Anti-Slip Regulation (ASR). Suspensi pula adalah lengan tunggal di depan dengan penyerak hentak hidraulik, manakala belakang menggunakan penyerap hentak tunggal dengan preload boleh-laras.

Gambar oleh: HRH Crown Prince of Johor

Rata-rata mengetahui bahawa baginda Sultan Johor merupakan peminat dan pengumpul kereta sejati.

Turut terlihat dalam gambar di belakang baginda adalah Hyundai Ioniq 5, Suzuki Jimny dan Rolls-Royce Cullinan.

Sultan Johor hadir dengan Genesis G90 Limousine, ada ‘taste’!

RATA-rata mengetahui bahawa DYMM Sultan Johor Sultan Ibrahim ibni Almarhum Sultan Iskandar merupakan peminat dan pengumpul kereta sejati.

Baginda Sultan Ibrahim semalam menjadi tumpuan apabila hadir dengan Genesis G90 Limousine baharu. Bagi peminat kereta, pemilihan G90 Limousine ini menggambarkan citarasa tinggi sebagai kenderaan rasmi.

Genesis ialah jenama mewah dari Hyundai, sama seperti Lexus dari Toyota. Model G90 Limousine mula dilancarkan di peringkat global pada 2019 dan mempunyai panjang 5,945mm dan jarak roda 3,450mm.

Sebagai perbandingan, Mercedes Maybach S600 mempunyai panjang 5,453mm dan jarak roda 3,365mm, manakala BMW 7-Series mempunyai ukuran 5,260mm dan 3,210mm untuk panjang dan jarak rodanya.

Sesuai dengan saiznya, limo G90 ini dikuasakan oleh enjin 5.0-liter V8 yang menjana 420hp. Kuasa dihantar ke semua roda melalui kota gear automatik 8-kelajuan.

Kemewahan G90 Limousine lebih terserlah di bahagian dalam, dimana ia mendapat kemasan kulit semi-aniline, skrin TV, dan tempat duduk VIP dengan pelarasan 18-arah dan perehat kaki.

Harga untuk Genesis G90 Limousine bermula pada USD138,000 (RM585k) sebelum sebarang aksesori kustom dan tambahan. Sudah tentu unit milik Sultan Johor ini berharga jauh lebih mahal.

Gambar oleh: HRH Crown Prince of Johor

G90 Limousine ini dilihat semasa baginda hadir ke majlis perasmian Pembukaan Penggal Persidangan Ke-4 Dewan Negeri Johor Yang Ke-14 di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar, Iskandar Puteri, Johor.