fbpx

Rupa penuh konsep Proton Saga Knight didedahkan

proton saga knight 17

SEPERTI dijanjikan, rekaan penuh konsep Proton Saga Knight didedahkan secara rasmi hari ini bersempena Hari Kemerdekaan negara yang ke-64. Ia merupakan karya oleh Saharudin Busri yang merupakan Ketua Rekabentuk Industri di MIMOS Berhad.

Model dalam konsep tiga dimensi (3D) ini direka khas untuk webinar rekabentuk anjuran Persatuan Pereka Perindustrian Malaysia (PEREKA) yang diadakan hari ini.

Dapat dilihat bahawa Saga Knight mempunyai rekaan moden dan boleh dikatakan agak futuristik, sebagai contoh pada lampu depan LED bertitik yang dihubungkan oleh strip LED memanjang, rekaan bumbung terapung dengan tiang-A hitam, dan lampu LED belakang yang juga mendapat strip nipis memanjang.

Menariknya, elemen retro pula termasuklah gerbang roda yang bersegi, grafik merah oren pada sisi badan terus menunjukkan ia sebuah Saga Knight, dan lencana Proton di depan yang menyala dengan lampu. Memang ikonik dan mengimbau kenangan bila lihat lencana Proton yang asal ini.

Untuk bahagian dalam, Saharudin bekerjasama dengan sebuah syarikat jam tempatan, Artwist, dimana beliau menggunakan tema merah dan hitam. Rekaan ini diambil dari model edisi khas kumpulan Wings, satu sentuhan menarik.

Dalam model tiga-dimensi penuh kali ini, dapat dilihat juga kabinnya menggunakan paparan digital sepenuhnya untuk kluster instrumen dan unit infotainmen. Paparan ini terdiri dari beberapa skrin berwarna definisi tinggi yang disusun melintang, malah penumpang depan juga mendapat skrin sendiri.

Di konsol tengah bahagian bawah, terdaapt satu skrin yang kami rasa untuk kawalan pendingin hawa, juga digital. Kawalan fizikal hanyalah pada beberapa butang dan tombol yang disusun dalam bentuk bulatan.

Kami juga sukakan sentuhan pada roda stereng dimana Saharudin mengambil rekaan dari Proton Saga asal, cuma mungkin warna dan bahannya lebih moden.

Menurut Saharudin, dia memilih kereta Proton Saga kerana ia pernah menjadi ikon dan kebanggaan negara suatu masa dulu.

“Sempena Hari Kemerdekaan ini, saya rasa sangat sesuai untuk segarkan semula rekaan Saga lama menjadi lebih moden dan sesuai dengan trend masa kini,” kata Saharudin.

Kurang dari seminggu lepas, kami ada menyiarkan beberapa imej awal Proton Saga Knight ini. Untuk video rupa penuh tiga-dimensi Proton Saga Knight ini, anda boleh tonton video di bawah:

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved