fbpx

5 berita paling viral Engear sepanjang 2021

5 artikel viral thumb

TAHUN 2021 kian menutup tirainya dalam hanya beberapa hari sahaja lagi, dan pelbagai isu berlaku di dalam dan luar negara dalam bidang automotif.

Awal tahun menyaksikan kita melalui Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0, kemudian pertengahan tahun setiuasi semakin baik dan sektor ekonomi kembali seperti sedia kala secara berperingkat mulai September.

Walaubagaimanapun, penghujung 2021 menjadi kenangan pahit buat rakyat Malaysia di beberapa negeri dengan banjir yang agak teruk melanda. Yang penting, kita dapat menyaksikan rakyat Malaysia bersatu hati bersama membantu mereka yang terjejas.

Dalam minggu terakhir 2021 ini, kami akan siarkan beberapa artikel seperti pelancaran kereta pilihan, pandu uji pilihan, dan motosikal mantap sepanjang tahun.

Harus diketahui juga walaupun Engear sudah beberapa tahun di Youtube, kami masih ‘adik-adik’ di laman web kerana Engear.tv baru sahaja berusia kira-kira setahun.

Jadi dengan pengalaman muda kami, untuk kali ini, kami senaraikan lima berita paling viral (tular) sepanjang 2021.

5. Conor McGregor dapat ‘mainan’ baharu bot laju mewah Lamborghini

Di tempat kelima, berita berkenaan ikon UFC terkenal, Conor McGregor yang membeli bot laju mewah Lamborghini bernilai USD3.6 juta (RM15 juta).

Dengan pendapatan mencecah ratusan juta dolar setahun, tak hairanlah seleranya pun begitu tinggi, bukan? Dikatakan bot laju mewah Lamborghini ini merupakan pembelian termahalnya selain jam tangan, kereta mewah dan sebagainya.

4. PLUS beri penjelasan isu RFID dan pemansuhan Touch ‘n Go serta SmartTag

Berita ini agak baharu, dimana PLUS mengumumkan mereka akan mula menyediakan lorong RFID di semua lebuh raya Utara Selatan laluan Skudai-Juru bermula 15 Januari 2022.

Jadi timbul persoalan di kalangan netizen dan orang awam bahawa adakah Touch ‘n Go dan SmartTag akan dimansuhkan terus menjelang tarikh itu.

3. Sultan Johor tiba dengan Genesis G90 Limousine

Gambar oleh: HRH Crown Prince of Johor

Pada Ogos lepas, DYMM Sultan Johor Sultan Ibrahim ibni Almarhum Sultan Iskandar menjadi tumpuan peminat kereta tempatan apabila baginda tiba dengan Genesis G90 Limousine baharu.

Baginda hadir dengan limousine mewah itu semasa perasmian Pembukaan Penggal Persidangan Ke-4 Dewan Negeri Johor Yang Ke-14 di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar, Iskandar Puteri, Johor.

2. McLaren Speedtail dilihat di Singapura, milik Tunku Idris?

Satu lagi berita berkaitan kerabat diraja Johor, sebuah McLaren Speedtail yang sangat eksklusif dilihat di Singapura dan dikatakan ianya milik Tunku Temenggong Johor, Tunku Idris Iskandar Sultan Ibrahim.

Berdasarkan makluman dari netizen, Speedtail berkenaan berada di McLaren Singapore untuk penyelenggaraan.

Ia mula tular apabila akaun Instagram @agentmlifestyle memuatnaik  beberapa gambar hypercar itu sedang dinaikkan ke atas sebuah trak.

1. Rupa konsep Proton Saga Knight didedahkan

Seperti biasa, berita berkaitan kereta nasional seperti Proton atau Perodua akan menjadi perhatian, masing-masing ingin menyampaikan komen.

Tetapi di tempat pertama berita paling viral di Engear bukanlah kereta Proton sebenar, sebaliknya sebuah lakaran konsep tiga dimensi (3D).

Ia dilakar oleh Saharudin Busri yang merupakan Ketua Rekabentuk Industri di MIMOS berhad untuk webinar rekabentuk anjuran Persatuan Pereka Perindustrian Malaysia (PEREKA).

Terdapat juga beberapa berita lain yang menjadi perhatian pembaca Engear, antaranya adalah kos penjagaan Proton X50, pembukaan Lebuh Raya Central Spine Road (CSR) laluan Bentong-Lebu.

Selain itu, artikel Tunku Mahkota Johor (TMJ) yang datang berjumpa dengan Datuk Azizulhasni juga digemari pembaca. Ia menjadi perhatian kerana baginda TMJ dilihat memandu Ford GT.

Berita pertahanan juga agak popular kerana ianya menjadi isu negara. Salah-satunya adalah laporan helikopter AW139 Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang hampir sedia beroperasi, dilaporkan sedang diuji berdekatan kilangnya di Itali.

Untuk artikel video pula, senarai aksesori kereta yang haram dibeli menjadi antara kegemaran penonton.

Nantikan video penutup 2021 yang lain pula esok!

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved