Arkib Tag: stesen minyak

Shell tak jadi tutup 34 stesen minyak di Sabah tahun depan

MENERUSI satu kenyataan rasmi yang dikeluarkan, Jabatan Ketua Menteri Sabah mengesahkan bahawa Shell telah membatalkan rancangannya untuk menutup 34 stesen minyak di Sabah menjelang Januari tahun depan.

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor dalam kenyataan sama berkata kerajaan negeri mengalu-alukan berita baik itu.

“Kami telah bawa isu ini ke perhatian kerajaan Persekutuan, kami hargai cakna dan keprihatinan kerajaan Persekutuan terhadap situasi di Sabah,” katanya.

Menurut kenyataan itu susulan daripada pengumuman Shell mengenai rancangan penutupan tersebut pada Jun lepas, Hajiji telah bertemu dengan Pengerusi Shell Malaysia Siti Hurrairah Sulaiman untuk membincangkan perkara berkenaan.

Pada Jun lalu, Shell Timur Sdn Bhd selaku pengendali kiosk Shell di Sabah dan Labuan dilaporkan akan menutup 35 stesen minyak yang kurang produktif di kawasan pantai timur bagi mengekalkan prestasi syarikat.

Stesen yang terjejas ialah 10 di Tawau, dua di Semporna, enam di Lahad Datu, 12 di Sandakan, dua di Labuan dan masing-masing satu di Likas, Telipok dan Kuala Penyu.

113 stesen minyak Petron terima penarafan 5-bintang

BARU-baru ini sebanyak 113 stesen minyak Petron dari lapan buah negeri – iaitu Johor, Pulau Pinang, Pahang, Terengganu, Perak, Kedah, Selangor dan Wilayah Persekutuan telah menerima penarafan lima bintang daripada majis tempatan negeri.

“Penilaian ini mengiktiraf komitmen kami terhadap kecermerlangan perkhidmatan pelanggan,” kata Choong Kum Choy, Ketua Dagangan Runcit dan Perniagaan Komersial Petron.

“Keperluan dan jangkaan pelanggan adalah penting bagi kami dan kami mahu mereka mendapat pengalaman positif setiap kali mereka berada di stesen minyak Petron.

“Matlamat kami adalah untuk menjadikan stesen kami hentian pit pilihan ramai,” tambahnya.

Petron Malaysia memulakan kempen tandas bersih di bawah program Fuel Happy untuk memastikan semua stesen minyaknya bersih, kering dan beroperasi.

Pada 2018, Petron telah melancarkan program ‘Tandas kita Bersih’ dengan slogan ‘Jom Singgah Petron’.

Program ini dibangunkan melalui rundingan bersama Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).

Beberapa buah stesen minyak termasuk Petron Batu Buruk di Terengganu, Petron Tongkang Pecah di Johor dan Petron Senawang 2 di Negeri Sembilan telah memenangi tempat pertama dalam Anugerah Tandas Terbaik Kebangsaan di bawah kategori stesen minyak.

Choong juga berkata, “Kami memuji usaha pengusaha kamu untuk meningkatkan cabaran bagi mencapai dan mengekalkan standard perkhidmatan tertinggi buat pelanggan kami.

“Mempunyai tandas yang bersih membuktikan bahawa kami mengambil berat tentang setiap aspek pengalaman pelanggan kami di stesen minyak.”

Stesen minyak dibenar beroperasi dari 6 pagi hingga 12 malam

PERKHIDMATAN stesen minyak dibenarkan beroperasi dari 6 pagi hingga 12 malam bagi semua fasa kecuali kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan.

Cadangan dipersetujui pada mesyuarat kedua Menteri Kuartet Covid-19 dan akan disyor kepada Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik Covid-19.

“Mesyuarat juga memberi fokus kepada penambahbaikan SOP dengan usaha mempermudah 181 SOP kepada 10,” kata Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Sementara itu, Hishammuddin turut menyentuh mengenai cadangan kebenaran rentas negeri.

Jelasnya, keputusan kebenaran merentas negeri perlu dibuat secara bertanggungjawab dengan mempertimbangkan tahap keselamatan dengan tahap tertinggi.

Pelbagai faktor perlu dipertimbang termasuk jumlah peratusan vaksinasi dan kemampuan hospital di negeri dalam menangani Covid-19.

Buat masa ini, kerajaan telah memberikan kelonggaran berkaitan rentas negeri seperti projek rintis gelembung pelancongan Langkawi dan pasangan jarak jauh.

Kes pecah masuk stesen minyak selesai, polis tahan suspek wanita

JENAYAH membawa padah.

Itu dapat disimpulkan terhadap nasib seorang wanita selepas dia ditahan polis bagi membantu siasatan kes pecah masuk stesen minyak sekitar Bandaraya Melaka.

Memetik laporan Bernama, suspek ditahan polis pada 11 Julai lalu di sebuah rumah dekat Taman Peringgit Ria.

Sebelum ini, polis percaya suspek bergerak secara sendirian malah, semakin aktif memecah masuk stesen minyak dan bangunan sejak Jun lalu.

“Suspek sering memakai ‘jacket hoodie’ ketika menjalankan aktiviti memecah masuk stesen minyak di bangunan lama antara 3 dan 7 pagi.

“Nilai kerugian keseluruhan kes adalah sebanyak RM5,000 termasuk wang tunai dan kerosakan cermin akibat dipecahkan, yang ditanggung pemilik stesen,” memetik kenyataan polis.

Sementara itu, ujian air kencing terhadap suspek mendapati dirinya positif dadah dan direman mulai 12 sehingga 17 Julai ini.

Polis turut merampas beberapa peralatan dipercayai digunakan suspek bagi melakukan aktiviti pecah masuk bangunan.

Pada masa sama, polis percaya suspek telah menggunakan wang hasil curi untuk membeli dadah.

Hargai sokongan pelanggan, ShopeePay di Caltex diteruskan

PARA pengguna berpeluang untuk terus menikmati pulangan wang apabila berbelanja di stesen minyak Caltex dengan menggunakan e-dompet, ShopeePay.

Memetik kenyataan Chevron iaitu syarikat memegang pemasaran jenama Caltex, pengguna layak menerima pulangan rebat daripada Shopee dengan perbelanjaan minimum RM15.

Langkah itu dibuat sebagai penghargaan kepada pengguna yang menyokong kempen pembayaran tanpa tunai membabitkan kerjasasama di antara Caltex dan Shopee sebelum ini.

“Kami di Caltex sentiasa mencari jalan untuk meningkatkan kepuasan pelanggan.

“Untuk itu, kami mengadakan kerjasama dengan Shopee menerusi aplikasi ShopeePay sebelum ini.

“Ia mendapat reaksi positif pengguna hasilnya lebih RM1 juta rebat berjaya dicapai sepanjang tempoh kempen,” kata kenyataan itu.

Caltex merupakan stesen minyak pertama di Malaysia menawarkan cara pembayaran alternatif yang lebih selamat selain memudahkan urusan pelanggan.

Perkhidmatan e-dompet digunakan di lebih 420 buah stesen minyak Caltex seluruh Malaysia.

Kenderaan dijilat api ketika diisi minyak, pemandu cemas padam kebakaran

KES kenderaan terbakar ketika sedang diisi minyak acap kali berlaku di negara ini.

Terbaharu, tular di media sosial sebuah kenderaan terbakar ketika sedang diisi bahan bakar itu di sebuah stesen minyak.

Insiden dipercayai berlaku di Sandakan, Sabah.

Menerusi video dimuatnaik pengendali akaun media sosial MyWatch di Twitter, kelihatan seorang lelaki sedang mengisi minyak sebelum secara tiba-tiba kenderaannya dijilat api.

Cemas dengan situasi itu, lelaki terbabit dilihat segera mendapatkan alat pemadam api sebelum dibantu seorang penunggang motosikal serta beberapa petugas stesen minyak berkenaan.

Sebelum ini, terdapat beberapa kes kebakaran membabitkan kenderaan ketika sedang diisi minyak.

Antaranya termasuk sebuah insiden kenderaan pacuan empat roda (4×4) yang terbakar ketika sedang diisi minyak di Bintulu, Sarawak pada tahun 2017.

Selain itu, seorang lelaki juga dilaporkan melecur anggota badan selepas disambar api ketika mengisi minyak di Seri Kembangan, Selangor pada Ogos tahun lalu.

Menerusi laporan berita tempatan, insiden bukan sahaja menyebabkan mangsa mengalami kecederaan malah, turut menyebabkan kenderaan miliknya musnah akibat dijilat api.