Arkib Tag: SOP

Rentas negeri selewatnya pertengahan Oktober ini – Muhyiddin

RENTAS negeri dijangka dibenarkan pada separuh pertama Oktober ini yang akan bersandarkan kepada data selepas 90 peratus populasi dewasa lengkap vaksinasi, kata Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN), Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Muhyiddin berkata, perkara tersebut antara yang dibincangkan dalam mesyuarat MPN semalam, yang melibatkan beberapa menteri kabinet.

“Dimaklumkan tadi bahawa rentas negeri akan dibenarkan, sama ada awal Oktober atau selewat-lewatnya pertengahan bulan,” kata Muhyiddin.

“Jadi, saudara bolehlah pergi merayau ke mana-mana seluruh Malaysia ini tetapi sentiasa ingat tentang SOP (prosedur operasi standard).”

Muhyiddin berkata, MPN turut membincangkan mengenai pembukaan semula sempadan negara kepada pelancong dan pengembara perniagaan.

“Mereka akan meneliti sama ada membenarkan rakyat Malaysia yang lengkap vaksinasi ke luar negara. Pada masa sama, ia juga akan membincangkan sama ada membenarkan pelancong dan pengembara perniagaan datang ke negara kita.

“Saya percaya ia akan membawa kesan besar kepada negara,” kata Muhyiddin sambil menambah perkara itu akan dikemukakan kepada Perdana Menteri dan pengumuman akan dibuat tidak lama lagi.

Turut hadir pada mesyuarat itu adalah Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, Menteri Kanan Pendidikan Datuk Radzi Jidin dan Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.

Tiada lagi SJR seluruh Pahang, polis ingatkan penduduk patuh SOP

TIADA lagi sekatan jalan raya (SJR) antara daerah di seluruh negeri Pahang mulai hari ini.

Perkara itu disahkan Ketua Polis Pahang Datuk Ramli Mohamed Yoosuf.

Penamatan SJR itu dibuat selepas Pahang telah memasuki Fasa Tiga Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Bagaimanapun, penamatan SJR ini bukan menjadi ‘tiket’ untuk orang ramai tidak mengamalkan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Usaha dan tanggungjawab bersama mampu mencegah penularan pandemik COVID-19 daripada terus berleluasa,” kata Ramli dalam satu kenyataan.

Rabu lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan Pahang antara tiga negeri beralih ke fasa PPN.

Ia dibuat berdasarkan penilaian risiko terkini oleh Kementerian Kesihatan dan MKN.

Selain Pahang, Negeri Sembilan turut memasuki Fasa Empat dan Johor dari Fasa Satu ke Fasa Dua.

Peralihan fasa itu berkuat kuasa hari ini.

Stesen minyak dibenar beroperasi dari 6 pagi hingga 12 malam

PERKHIDMATAN stesen minyak dibenarkan beroperasi dari 6 pagi hingga 12 malam bagi semua fasa kecuali kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan.

Cadangan dipersetujui pada mesyuarat kedua Menteri Kuartet Covid-19 dan akan disyor kepada Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik Covid-19.

“Mesyuarat juga memberi fokus kepada penambahbaikan SOP dengan usaha mempermudah 181 SOP kepada 10,” kata Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Sementara itu, Hishammuddin turut menyentuh mengenai cadangan kebenaran rentas negeri.

Jelasnya, keputusan kebenaran merentas negeri perlu dibuat secara bertanggungjawab dengan mempertimbangkan tahap keselamatan dengan tahap tertinggi.

Pelbagai faktor perlu dipertimbang termasuk jumlah peratusan vaksinasi dan kemampuan hospital di negeri dalam menangani Covid-19.

Buat masa ini, kerajaan telah memberikan kelonggaran berkaitan rentas negeri seperti projek rintis gelembung pelancongan Langkawi dan pasangan jarak jauh.

Rentas negeri tidak termasuk dalam senarai kelonggaran SOP – Hishammuddin

KEBENARAN merentas negeri tidak termasuk dalam senarai kelonggaran Prosedur Operasi Standard (SOP) Pelan Pemulihan Negara (PPN), kata Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Hishammuddin berkata keputusan berkaitan kebenaran merentas negeri perlu diteliti oleh Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

“Rentas negeri ada kaitan dengan fasa-fasa dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN) negeri-negeri yang berkenaan.”

“Tapi syor datang daripada menteri bertanggungjawab untuk sektor tertentu dan kemudian dipertimbangkan di pelbagai peringkat termasuk Jawatankuasa Teknikal Pengurusan Pandemik, serta dalam Mesyuarat Menteri Kuartet Covid-19,” tambahnya.

Hishammuddin Hussein. Sumber: Malay Mail

Hishammuddin berkata demikian dalam sidang media selepas meninjau Program Vaksinasi ‘Back to School’ di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Desa Tun Hussein Onn semalam. Turut hadir adalah Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Radzi Jidin.

Pada 14 September lepas, Hishammuddin mengumumkan kerajaan kini di peringkat akhir untuk mengurangkan SOP PPN hanya kepada 10 berbanding 181 sekarang bagi memudahkan orang ramai untuk memahaminya.

Ambang merdeka: Polis beri amaran jangan sertai konvoi, kekal patuh SOP

AKTIVITI berkonvoi masih tidak dibenarkan ketika ini.

Demikian amaran polis yang meminta semua pihak mematuhi peraturan ditetapkan sebagai usaha membendung penularan Covid-19.

Pengarah Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman Datuk Azisman Alias berkata, larangan termasuk sesi perjumpaan di lokasi tumpuan ramai.

Jelas Azisman, pihaknya juga melakukan persiapan bagi memantau sebarang aktiviti konvoi menjelang sambutan hari kemerdekaan pada 31 Ogos nanti.

“Bagi mengelak sebarang insiden yang tidak diingini, pihak JSPT sudah bersedia dengan perancangan mengatur penugasan Op Khas Ambang Merdeka 2021.

“Penguatkuasaan menyeluruh melibatkan kontinjen dan daerah serta Sektor Kenderaan Peronda Lebuhraya (EMPV) Bukit Aman bermula 28 Ogos hingga 1 September,” katanya.

Sebelum ini, tular di media sosial sekumpulan lelaki disaman polis kerana melakukan aktiviti konvoi bermotosikal di Shah Alam, Selangor.

Salah seorang individu disaman memuatnaik status di media sosial berhubung perkara itu sambil mengaku tidak mengetahui bahawa aktiviti konvoi masih tidak dibenarkan.

Terdahulu, Azisman memaklumkan polis telah mengadakan operasi secara bersepadu bersama lain-lain agensi penguatkuasaan.

Katanya, operasi secara besar-besaran dibuat bagi memastikan semua pihak mematuhi peraturan jalan raya dan berharap peraturan dikuatkuasakan terus dihormati.

“Memandangkan pandemik Covid-19 masih belum reda…tiada sebarang sambutan atau perarakan secara besar-besaran akan diadakan di peringkat kebangsaan dan negeri.”

Enam individu bayar ‘tiket’ RM4,000 untuk tonton lumba haram di Pekan

ENAM individu terpaksa membayar harga ‘tiket’ mahal apabila dikompaun RM4,000 kerana menonton perlumbaan haram.

Kompaun dikenakan kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Mereka yang dikompaun berusia antara 20 hingga 31 tahun.

Pihak polis yang membuat rondaan di jalan Kuantan- Segamat di Pekan sekitar jam 12.15 pagi semalam mendapati kesemua mereka melakukan beberapa kesalahan termasuk tidak memakai pelitup muka.

Individu terlibat juga dikatakan berkumpul di luar kereta dan tidak mengamalkan penjarakan sosial.

Kompaun dikenakan mengikut Peraturan 16 (1) Peraturan- peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2021 (P.U (A) 293_2021).

Polis turut menyita dua buah motosikal dan tiga kereta untuk siasatan lanjut.

Puspakom seluruh Selangor, Lembah Klang mula operasi

PERKHIDMATAN Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) seluruh Selangor mula beroperasi, hari ini.

Pengoperasian pusat itu termasuk perkhidmatan bergerak Puspakom seluruh Lembah Klang dan melibatkan semua jenis pemeriksaan kenderaan.

Puspakom dalam satu kenyataan berkata, pelanggan yang ingin mendapatkan perkhidmatan perlu membuat temu janji secara dalam talian.

“Pelanggan yang ingin menjalani pemeriksaan kenderaan wajib membuat janji temu secara dalam talian sebelum hadir ke Puspakom.

“Pemeriksaan secara jumpa terus tidak dibenarkan.

“Pelanggan yang hadir pemeriksaan disarankan untuk sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan,” memetik satu kenyataan, semalam.

Bagaimanapun, Puspakom memaklumkan perkhidmatan di Batu Caves masih belum dibuka pada hari ini.

Pihak Puspakom menjangkakan cawangan Batu Caves akan mula beroperasi pada 21 Julai ini.

Sebelum ini, Puspakom telah menutup semua cawangannya di Selangor berikutan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Kerajaan pertimbang kelonggaran untuk individu lengkap dua dos vaksin

KERAJAAN sedang mempertimbangkan untuk memberi kelonggaran pergerakan kepada individu yang sudah lengkap dua dos vaksin Covid-19.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata langkah itu bagi membolehkan kehidupan rakyat kembali seperti biasa secara berperingkat ketika kerajaan menguruskan pandemik itu.

Beliau telah meminta Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV) untuk menilai semula kelonggaran prosedur operasi standard (SOP) kepada individu yang lengkap dua dos suntikan vaksin.

“Mutakhir sekali saya minta jawatankuasa pengurusan untuk menilai semula bagi mereka yang mendapat dua suntikan vaksin supaya diberi kelonggaran,” katanya.

“Ia sama ada dari segi perjalanan atau pun pergi ke kedai dan makan di restoran. Ini petanda untuk menunjukkan sementara kita menguruskan Covid-19, maka kehidupan rakyat sedikit demi sedikit akan kembali seperti masa lepas.”

Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata pertimbangan kelonggaran pergerakan itu adalah satu inisiatif untuk terus bergerak ke hadapan sewaktu pandemik.

Beliau turut meminta masyarakat bersabar kerana jangka masa Pelan Pemulihan Negara (PPN) hanya sehingga akhir tahun ini.

Dalam perkembangan berkaitan, Muhyiddin berkata, antara fokus program vaksinasi yang kini sudah mencapai lebih 400,000 suntikan sehari ialah di Lembah Klang.

Tambahnya: “Saya percaya dengan langkah tumpuan khusus untuk kawasan ini, maka kes COVID-19 dapat kita uruskan dengan baik”

“Jadual (sasaran imuniti kelompok) yang kita unjurkan dalam PPN iaitu sebelum akhir tahun, insya-Allah (dicapai).”

Langgar SOP naik kenderaan, 12 warga asing dikompaun RM1,500 di Gemas

Gagal mematuhi peraturan had penumpang kenderaan berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), 12 pekerja warga asing dikompaun RM1,500.

Ketua Polis Daerah Jempol Supt Hoo Chang Hook berkata, kesemua yang dikompaun terdiri daripada warga Bangladesh dan India, lapor Bernama.

Jelas Chang Hook, warga asing berkenaan juga gagal mengemukakan dokumen berkaitan ketika ditahan polis.

Pada masa sama, polis menahan sebuah lori yang dipandu seorang lelaki warga tempatan.

Bagaimanapun, lelaki terbabit tidak dikenakan kompaun kerana hanya mengikut arahan majikan.

Pihak polis difahamkan akan memanggil majikan kesemua pekerja berkenaan bagi membantu siasatan.

Pada 10 Mei lalu, kerajaan mengehadkan hanya tiga individu dibenar berada dalam sebuah kenderaan.

Jumlah itu termasuk termasuk individu yang memandu kenderaan.

Arahan berkuatkuasa bersempena PKP yang dilaksanakan bermula 12 sehingga 7 Jun depan.

Anih jangka 100,000 kenderaan guna KLK, LPT1 sempena Aidilfitri

ANIH Bhd menjangkakan purata harian kenderaan di Lebuhraya Kuala Lumpur Karak (KLK) dan Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1 (LPT1) meningkat sehari sebelum Aidilfitri sehingga 17 Mei.

Syarikat konsesi itu menjangkakan jumlah kenderaan bakal meningkat lebih 100,000.

Pengarah Eksekutif Anih Bhd berkata, pihaknya menjangkakan sejumlah 70,180 kenderaan menggunakan KLK sementara 40,250 bagi LPT1 menjelang Aidilfitri.

“Semua fasiliti di sepanjang KLK dan LPT1 mempraktikkan prosedur operasi standard (SOP).

“Pengguna dinasihatkan sentiasa mematuhinya ketika menggunakan kawasan Rehat dan Rawat (R&R),” kata Datuk Nik Fauzi Nik Hussein dalam satu kenyataan.

KLK dan LPT1 merupakan antara lebuh raya paling sibuk ketika menjelang sesuatu perayaan.

Kedua lebuh raya itu menghubungkan beberapa negeri termasuk Kuala Lumpur, Selangor, Pahang, Kelantan dan Terengganu.

Sementara itu, Anih Bhd bersedia dalam usaha menguruskan operasi tol, trafik dan fasiliti.

Langkah terbabit dibuat memandangkan negara berdepan peningkatan kes Covid-19 yang kian membimbangkan.

Sementara itu, orang ramai ingin mendapatkan maklumat berhubung perkhidmatan di KLK dan LPT1 boleh layari laman web Anih Berhad atau akaun media sosial.

Rentas negeri: PDRM tetap syarat hanya Isnin hingga Khamis

SEBARANG pergerakan rentas negeri bagi tujuan pekerjaan, perubatan dan pendidikan hanya dibenarkan pada hari Isnin hingga Khamis sahaja.

Arahan dikeluarkan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) selepas mengambil kira situasi pandemik Covid-19 yang kembali serius.

Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, pihaknya akan terus memperketatkan kawalan sebagai usaha mengekang penularan pandemik Covid-19, lapor Bernama.

Kes Covid-19 seluruh negara menunjukkan peningkatan sejak beberapa hari lalu.

Semalam, lebih 2,078 kes Covid-19 dicatatkan seluruh negara dengan lapan kematian.

Terdahulu, Acryl Sani berkata rentas negeri hanya dibenarkan bagi individu mempunyai urusan kecemasan, kematian dan pasangan jarak jauh.

Bagaimanapun, rentas negeri bagi tujuan kecemasan dan kematian yang dibenarkan hanya melibatkan ahli keluarga terdekat.