Arkib Tag: skandal

Daihatsu umum pelantikan kepimpinan baharu berikutan skandal ujian keselamatan

DAIHATSU Motor Co. Ltd, yang diselubungi isu penyelewengan ujian keselamatan sejak tahun lalu, telah mengumumkan struktur baharu yang akan mengambil alih kepimpinan syarikat itu bermula 1 Mac ini.

Struktur kepimpinan baharu ini akan menyaksikan pengerusi Daihatsu iaitu Sunao Matsubayashi dan presidennya iaitu Soichiro Okudaira meletakkan jawatan masing-masing.

Matsubayashi akan digantikan oleh Masahiro Inoue yang merupakan ketua pegawai eksekutif Toyota Motor Corporation Amerika Latin dan Caribbean, manakala tempat Okudaira akan diambil alih oleh ketua projek promosi elektrifikasi Lexus di Lexus International Co iaitu Masanori Kuwata.

Sementara itu, timbalan ketua pegawai di kumpulan Toyota Customer First iaitu Keiko Yanagi akan menggantikan Masahiro Yamamoto sebagai pengarah bukan residen Daihatsu.

Daihatsu dan Toyota, dalam satu kenyataan bersama berkata mereka akan melaksanakan langkah-langkah yang menyeluruh untuk mencegah penyelewengan itu daripada berulang dan berusaha ke arah pemulihan Daihatsu.

“Kami sekali lagi ingin memohon maaf yang sedalam-dalamnya kepada pelanggan, pembekal, peniaga, komuniti di mana kilang kami berada, dan banyak pihak berkepentingan kami yang lain atas kesulitan dan kebimbangan yang disebabkan oleh isu penyelewengan pensijilan baru-baru ini.

“Walaupun semua kilang Daihatsu di Jepun menggantung operasi berikutan pengumuman kami yang dibuat pada 20 Disember, kami dapat menyambung semula pengeluaran dan penghantaran beberapa kenderaan setakat semalam,” kata syarikat itu.

Daihatsu akui palsukan keputusan ujian keselamatan sejak 1989

CNN melaporkan bahawa Daihatsu mengakui telah memalsukan keputusan ujian keselamatan untuk kenderaan kenderaan mereka selama lebih 30 tahun, dengan kes terawal dikesan sejak 1989.

Seorang jurucakap Daihatsu memberitahu agensi berita itu bahawa pengeluar kenderaan kompak itu telah menghentikan pengeluaran di semua empat kilangnya sejak Selasa lalu, termasuk satu yang terletak di ibu pejabatnya di Osaka.

Penutupan itu dijangka berlanjutan sehingga sekurang-kurangnya akhir Januari depan dan bakal menjejaskan kira-kira 9,000 orang kakitangan yang bekerja di bahagian pengeluaran domestik.

Langkah ini diambil ketika Daihatsu bergelut dengan skandal keselamatan yang semakin mendalam yang dikatakan “telah menggoncang asas syarikat”, menurut Toyota.

Minggu lalu, Daihatsu mengumumkan jawatankuasa bebas pihak ketiga telah menemukan bukti sebanyak 174 kes penyelewengan data ujian keselamatan melibatkan 64 model, termasuk yang dijual di bawah jenama Toyota.

Sehubungan dengan itu, Daihatsu berkata ia akan menangguhkan sementara semua penghantaran kenderaan domestik dan antarabangsa.

Menurut laporan itu, kes terawal dikesan pada 1989, dengan peningkatan bilangan kes yang semakin ketara sejak 2014.

Skandal ini dilihat sebagai satu lagi tamparan kepada syarikat itu, yang pada April lalu turut mengakui telah melanggar piawaian ujian perlanggaran ke atas lebih 88,000 kereta yang kebanyakannya dijual di bawah jenama Toyota di Malaysia dan Thailand.

Pada Mei lalu, pengeluar kenderaan itu menemui lebih banyak salah laku melibatkan pemalsuan data ujian perlanggaran untuk dua model hibrid yang telah dihentikan jualannya.

Skandal keselamatan Daihatsu: UMW Toyota jamin ketelusan, tanggungjawab

TOYOTA Motor Sdn Bhd (UMWT) dalam satu kenyataan rasmi hari ini memberi jaminan kepada pelanggan dan orang ramai bahawa ia komited untuk meneruskan pengurusan dengan telus dan penuh bertanggungjawab.

Ini berikutan kenyataan oleh Toyota Motor Corporation (TMC) yang melaporkan ‘ketidaksempurnaan prosedur’ dalam ujian yang dilaksanakan oleh Daihatsu Motor Co Ltd (DMC) yang memberi kesan kepada tiga model yang diedarkan oleh UMWT di Malaysia.

Presiden UMW Toyota Motor, Datuk Ravindran K. berkata, “Kami ingin menekankan komitmen kami dalam mengekalkan piawaian dan kualiti tertinggi dalam kenderaan kami. Jangan bimbang, kami sedang berusaha untuk memastikan kesemua kenderaan kami di Malaysia mematuhi peraturan dan undang-undang yang berkaitan.”

Ravindran berkata pihaknya juga sedang bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa kawal selia untuk menangani isu ini secara segera dan telus, dengan komitmen untuk menyediakan kenderaan berkualiti tinggi kepada pasaran Malaysia.


“Kami faham betapa pentingnya kepercayaan pelanggan, dan kami berazam untuk memperkukuhkan keyakinan mereka terhadap kami. Komitmen kami terhadap kepuasan pelanggan sentiasa menjadi fokus utama kami,” katanya.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan pada 20 Disember lalu, TMC berkata siasatan yang dijalankan oleh jawatankuasa pihak ketiga bebas mendapati terdapat penyelewengan dalam 174 item dalam 25 kategori ujian. Ini merupakan tambahan kepada penyelewengan kemasan pintu pada April dan penipuan ujian perlanggaran sisi pada Mei.

Penyelewangan ini melibatkan 64 model dan tiga enjin (model yang sedang dalam produksi, pembangunan atau telah dihentikan) termasuk 22 model dan satu enjin yang dijual oleh Toyota. Model Toyota yang dijual di Malaysia yang terjejas ialah Rush, Veloz dan Yaris/Vios.

Sehubungan dengan itu, TMC dan DMC menangguhkan sementara penghantaran semua model yang terjejas di Jepun dan juga luar negara.

Skandal keselamatan Daihatsu: Perodua buat penilaian terperinci, berhubung dengan pihak berkuasa

MERUJUK kepada pengumuman Daihatsu Motor Co., Ltd. (DMC) yang dikeluarkan pada hari ini mengenai penggantungan model-modelnya disebabkan oleh “ketidakaturan prosedur”, Perodua turut mengeluarkan kenyataannya sebagai maklumbalas kepada laporan jawatankuasa audit bebas.

“Ketidakaturan prosedur” tersebut dilakukan oleh DMC semasa menjalankan ujian keselamatan kenderaan terhadap beberapa pengeluar kenderaan (OEM), yang diumumkan awal pagi ini.

Laporan jawatankuasa audit bebas sepertimana yang diumumkan oleh DMC menyebut: “Pemeriksaan dan ujian ini mengesahkan bahawa kesemua 174 ketidakaturan yang dikenalpasti oleh jawatankuasa audit bebas memenuhi piawaian yang ditetapkan oleh undang-undang dan peraturan”.

Perodua sedang melakukan penilaian terperinci mengenai isu tersebut dan sedang dalam perbincangan bersama pihak berkuasa Malaysia tentang kesan perkembangan ini terhadap kenderaan keluarannya.

Pada 28 April 2023, DMC telah mengumumkan berlakunya “ketidakaturan prosedur” semasa menjalankan ujian keselamatan ke atas  kenderaan di Jepun. Berikutan pengumuman itu, DMC telah menubuhkan jawatankuasa audit bebas yang terdiri daripada peguam dan tenaga kerja teknikal.

“Kami memohon maaf kepada para pelanggan yang kami hargai serta orang awam di atas keresahan yang timbul daripada pengumuman ini,” kata kenyataan yang dikeluarkan oleh Perodua hari ini.

“Niat kami adalah untuk memberi jaminan kepada para pelanggan yang kami hargai.

“Kami akan berkongsi hasil perbincangan ini dengan semua pelanggan kami dalam masa terdekat.”