Arkib Tag: simulator

Formula 1 jalin kerjasama dengan Playseat, hasil barangan eksklusif untuk gamers!

FORMULA 1 baru-baru ini mengumumkan kerjasama dengan jenama perlumbaan simulator terkemuka Playseat bagi menghasilkan barangan dan produk eksklusif F1 khas untuk gamer dan pelumba sim.

Playseat yang mempunyai lebih 20 tahun pengalaman akan membangunkan pelbagai kelengkapan premium untuk pemain kasual dan profesional, seperti kerusi dan juga simulator.

Syarikat itu bekerjasama rapat dengan pemandu F1 dan pelumba sim profesional untuk menghasilkan tempat duduk yang seakan-akan kokpit Formula 1 sebenar menggunakan teknologi dan peralatan canggih.

Produk pertama yang akan ditawarkan merupakan tempat duduk Playseat Formula Intelligence – F1 Edition yang boleh didapati di pasaran bermula 16 April pada harga 2,499 euro (RM12,737).

Seperti yang boleh dilihat, rekaan kerusinya tidak ubah seperti kerusi yang digunakan pada jentera lumba Formula 1 yang sebenar. Ia dibalut upholsteri kulit PU berwarna hitam.

Kerusi ini didatangkan dengan rangka utama yang diperbuat daripada keluli tiub, bersama dengan base plate yang boleh memuatkan pelbagai jenis stereng direct drive dan set pedal. Turut disertakan adalah rangka untuk memasang monitor.

Dari segi dimensi, ia mempunyai ukuran panjang 168 cm, lebar 61.5 cm dan tinggi 73.5 cm. Berat keseluruhannya adalah sekitar 50 kg.

Playseat menggunakan teknologi Forcelock yang membolehkan pengguna membuat pelarasan dengan cepat dan mudah. Ciri ini direka untuk pemandu dari pelbagai peringkat umur dan saiz badan.

Menurut laman web syarikat itu, pemandu disarankan mempunyai ketinggian minimum 120 cm dan maksimum 220 cm, dengan berat badan dari 20 kg hingga 120 kg.

Menariknya, kerusi Formula Intelligence ini sesuai untuk semua jenis konsol. Selain Formula 1, ia juga sesuai untuk perlumbaan lain yang melibatkan kereta tempat duduk tunggal seperti Formula E, Formula Ford dan Indycar.

Pagani, Racing Unleashed hasilkan simulator Huayra R yang ultra realistik

BAGI mereka yang terlepas peluang membeli Pagani Huayra R yang dilancarkan tiga tahun lalu, ini ada berita baik untuk anda.

Pengeluar hypercar itu menawarkan peluang untuk merasai pengalaman memandu jentera litar itu menerusi simulator Huayra R yang dihasilkan dengan kerjasama Racing Unleashed.

Menurut Pagani, simulator itu pada asalnya ditawarkan kepada pemilik Huayra R sahaja, namun kini ia boleh dibeli oleh sesiapa sahaja (yang berduit) menerusi rangkaian pengedarnya.

Harga mesin ini tidak dinyatakan namun kami boleh bayangkan yang ia jauh lebih murah berbanding sebuah Huayra R yang sebenar, yang dijual pada harga kira-kira 2.6 juta euro (RM13.2 juta) ketika dilancarkan pada 2021.

Seperti Huayra R yang sebenar, simulator ini dibina di kilang Pagani menggunakan mesin autoclave yang sama. Ia mempunyai badan gentian karbon yang dicat hijau, dengan trim merah dan nombor 10 pada bahagian sisi.

Malah menurut syarikat itu, keseluruhan setup termasuk stereng, pedal, kerusi dan tali pinggang adalah sama dengan kereta itu. Jadi secara asasnya pembeli mendapat sebuah Huayra R versi mini tanpa tayar dan enjin.

Simulator ini didatangkan dengan komputer gaming berprestasi tinggi dengan Assetto Corsa Pro, skrin melengkung, sistem audio 5.1 dan set kepala VR.

Untuk menjadikan pengalaman lebih realistik, ia juga mempunyai kicker yang berfungsi untuk memberikan efek gegaran pada tempat duduk. Malah bunyi enjin V12 di dalam permainan itu dirakam terus daripada Huayra R.

Simulator ini mempunyai ukuran panjang 3.11 meter dan lebar 1.7 meter. Sekiranya pemilik ingin membawanya ke mana sahaja di seluruh dunia dengan kapal terbang, mereka boleh menggunakan kotak kayu khas yang disertakan dengan setiap pembelian.

Need For Speed Unbound tiba Disember ini – perlumbaan dengan inspirasi komik dan seni jalanan

SUDAH lama tiada Need For Speed terbaharu dan kini, francais permainan video perlumbaan popular itu akan kembali dengan siri terkini mereka, Unbound, pada Disember ini. Lebih tepat lagi, 2 Disember 2022 nanti.

Perkara pertama yang dapat anda lihat dari imej-imej disiarkan ini adalah seni grafik yang menjadi tema untuk aksi perlumbaan. Benar sekali, Unbound diinspirasikan dari seni jalanan dan buku komik.

Ia mungkin mengundang debat sama ada Need For Speed patut mengambil tema sebegini kerana ia begitu berbeza dengan siri-siri sebelum ini. Mungkin tidak mengapa untuk mengadakan sedikit perubahan, sejajar dengan peredaran masa dan permintaan, bukan?

Jika dilihat sebelum ini Need For Speed juga pernah mengambil langkah lebih kurang serupa dengan Underground dan Undergrond 2, dimana ia mula memasuki scene perlumbaan haram JDM di tengah bandar.

Ini sangat berbeza berbanding di awal francais seperti Hot Pursuit dan High Stakes dengan supercar eksotik Eropah yang dikejar polis di kawasan luar bandar seperti pergunungan dan jalan persekutuan.

Untuk Unbound ini, kami rasa tetap teruja untuk melihat hasilnya dan mungkin mencuba sendiri bermain nanti. Ini kerana penulis sendiri membesar dengan siri Need For Speed seperti NFS3, High Stakes, Most Wanted, Porsche Unleashed, dan Underground.

Kereta-kereta yang dipaparkan setakat ini juga nampak menarik, seperti Mercedes 190E dan sebuah jentera seakan kereta drift (kami tak pasti model apa).

Aksi perlumbaan akan bertempat di sebuah bandar dinamakan Lakeshore, iaitu lokasi fiksyen (rekaan) yang mirip seperti Chicago, Amerika Syarikat. Ia bermula dengan sebuah rompakan kereta berharga di sebuah bengkel.

Apa pendapat anda mengenai Need For Speed baharu ini dan konsepnya? Sementara itu, jemput tonton trailer-nya di bawah.

Muhammad Iqbal Suji juara perlumbaan Toyota GR Velocity Esports Championship musim kelima

MUHAMMAD Iqbal Suji dinobatkan sebagai juara Toyota GR Velocity Esports Championship musim kelima selepas bertarung dalam perlumbaan sengit dan emosional baru-baru ini.

Iqbal yang berusia 24 tahun membawa pulang hadiah wang tunai RM20,000, mengalahkan sembilan lagi pelumba lain dalam siri tiga perlumbaan.

Dengan perlumbaan diadakan secara langsung di depan para peminat dan orang awam di pusat beli-belah 1Utama, ia juga menunjukkan tahap profesionalisme dan semangat kesukanan yang tinggi dalam pelumba online terbaik negara ini.

“Aktiviti perlumbaan Toyota di litar dan di atas talian (online) adalah berkenaan memenuhi impian mereka yang mahu berjaya dalam bidang ini,” kata Presiden UMW Toyota Motor, Ravindran K.

“Penganjuran Toyota GR Velocity Esports Championship menawarkan platform kepada mereka yang berbakat untuk membangunkan dan menunjukkan potensi mereka dengan ada yang berpindah ke perlumbaan sebenar,” tambahnya.

Iqbal akan berganding bahu dengan dua lagi pesaing iaitu Muhammad Uzair dan Taj Izrin Aiman Taj Madira untuk mengetuai pasukan tiga-pelumba, mewakili Malaysia ke acara akhir Toyota GAOO Racing GT Cup pada 2 Oktober depan.

Ini juga akan memberi peluang kepada pasukan Malaysia untuk mewakili Asia untuk ke saingan akhir peringkat global yang akan diadakan di Monaco pada 25 November.

“Memenangi perlumbaan ini mengingatkan saya kepada semua emosi dan kekecewaan beberapa tahun sebelum ini, dan kini saya berjaya memperolehinya, rasa sangat teruja!” kata Iqbal.