Arkib Tag: rendering

Lelaki ini hasilkan grafik kereta ringkas tetapi cool – Evo, CR-X, AE86, Audi Quattro dan banyak lagi

Kami pernah berkongsi beberapa artikel mengenai lakaran kereta sebelum ini seperti Proton Saga Knight moden, dan Proton Saga ala Seoul Vibe. Tetapi kedua-dua lakaran itu adalah rekaan dan imaginasi artis/pelukis semata-mata, tidak wujud kereta sebenar.

Kali ini, kami kongsikan lakaran kereta yang diambil dari kereta sebenar, cuma ia diolah cukup ringkas tetapi agak cool. Hinggakan kami rasa lakaran-lakaran ini boleh dijadikan poster dinding bilik tidur atau wallpaper telefon pintar.

Dihasilkan oleh Sajay Shinu dan dikongsi di laman Instagram beliau, pelbagai model kereta telah dilakar antaranya Mitsubishi Lancer Evo VI, Alfa Romeo 159 wagon, Honda CR-X, Porsche 935 Slant Nose, Volkswagen Golf Mk4 R32, dan kegemaran penulis, Peugeot 205 GTi.

Terdapat juga SUV seperti Volvo XC90, Mercedes-Benz G500, Land Rover Discovery dan Jeep Wrangler Overlook.

“Saya hanya menggunakan Photoshop pada peranti Wacom Cintiq untuk lakaran-lakaran ini,” kata Sajay kepada Engear.

Terdapat juga lakaran yang dibuat secara fizikal di atas kertas sebenar.

“Untuk lakaran atas kertas pula, saya menggunakan pen fountain, marker alkohol, dan ball point. Kemudian jenis kertas pula adalah multimedia paper,” terangnya.

Anda boleh lihat gambar-gambar lakaran lain di laman Instagram milik Sajay. Penulis pula rasa berminat nak mintak dia lakarkan Proton Satria GTi atau Perodua Myvi. Amacam?

Lakaran: Hindustan Ambassador bukan lagi seperti dulu, kini sebuah sedan futuristik!

NAMA Hindustan Ambassador mungkin asing dalam kalangan peminat kereta dunia namun di India, ia dianggap sebagai antara kereta paling ikonik di negara itu.

Ini kerana ia merupakan model kereta pertama yang dipasang di negara itu dan pengeluarannya juga bertahan selama lebih lima dekad iaitu dari 1956 hingga 2014.

Ambassador dibangunkan oleh Hindustan Motors yang menggunakan model Morris Oxford III sebagai asas. Walaupun mempunyai reka bentuk yang sederhana tanpa sebarang suntikan  kemewahan, ia pernah menjadi simbol status suatu ketika dahulu disebabkan popularitinya di kalangan penjawat awam dan pegawai kerajaan.

Jadi, apakah kaitan Ambassador dengan sedan hitam ini? Apa yang anda lihat ini sebenarnya adalah lakaran digital Ambassador versi 2021 yang dihasilkan oleh Amol Satpute untuk projek latihan praktikalnya (internship) bersama Tugbotz Design.

Satpute sebelum ini pernah bekerjasama dengan DS Automobiles dan Honda semasa menjalani program pertukaran di Strate, Paris.

Seperti yang boleh dilihat, interpretasi moden ini langsung tidak sama seperti model asal yang mana rekaannya sering dikatakan menyerupai topi bowler.

Malah, bentuk badannya menyerupai Aston Martin Lagonda Taraf, dengan lampu hadapan langsing serta gril besar yang jelas diinspirasikan daripada sedan British itu. Lampu nyalaan siang berbentuk cincin pula adalah elemen yang dipinjam daripada model-model Aston Martin Zagato.

Namun menurut perekanya, ada beberapa ciri reka bentuk Ambassador asal yang diterapkan pada versi moden ini seperti fender belakang yang menonjol serta bonggol pada bahagian bonet.

Ini digabungkan dengan ciri-ciri moden seperti lubang udara sisi pada fender hadapan, garis bumbung yang rendah seakan coupe dan jalur trim krom di sekeliling tingkap dan bahagian bawah badan.

Bahagian belakang pula menampilkan rekaan dek yang elegan yang disumbangkan oleh lampu LED langsing menegak dan tulisan ‘AMBASSADOR’ pada bahagian but.

Bampar belakang dilengkapi dengan diffuser namun ia kelihatan agak kosong tanpa kehadiran muncung ekzos. Ini menimbulkan persoalan, adakah Ambassador akan dihidupkan semula sebagai sebuah kereta elektrik?

 

Sukar untuk diperkatakan kerana setakat ini, tiada tanda-tanda yang menunjukkan Hindustan Motors mempunyai perancangan untuk mengembalikan Ambassador ke pasaran.

Idea Satpute ini juga berkemungkinan besar akan kekal sebagai lakaran digital sahaja namun sekurang-kurangnya ia satu percubaan yang baik.

Proton Satria Neo 2021 versi 5-pintu pula dilakar, paling sesuai jadi pengganti Satria?

SELEPAS membayangkan Proton Satria Neo 2021 beberapa minggu lepas, kini pakar manipulasi imej automotif terkenal, Theophilus Chin, melakarkan pula hatchback itu tetapi dengan versi lima-pintu.

Bagi kami, versi ini lebih realistik dalam masa sekarang kerana boleh dikatakan hampir tiada lagi hatchback baharu yang dikeluarkan dengan tiga-pintu.

Malah, model-model yang sebelum ini popular dengan penampilan tiga-pintu seperti Volkswagen Golf GTi, Renault Clio RS dan Ford Fiesta ST juga kini hanya ditawarkan dalam varian lima-pintu. Mungkin atas faktor permintaan?

Apa pun, kembali kepada subjek kita hari ini, lakaran Proton Satria Neo 2021 lima-pintu ini mungkin boleh menjadi pengganti paling sesuai untuk Suprima S. Jika Proton mahu mengeluarkan hatchback lima-pintu baharu yang sporti, kami rasa peminat juga tidak kisah jika nama ikonik Satria digunakan.

Sama seperti lakaran versi tiga-pintu sebelum ini, imej digital dengan nama Satria Theo (cara humor perekanya meletakkan nama) turut diasaskan dari Lynk & Co 02 iaitu model hatchback prestasi terbaharu dari kumpulan Geely.

Dapat dilihat rupa depan 02 ini diberikan rekaan Geely Emgrand S dan disulami dengan Infinite Weave bersama jalur merah di bawahnya seperti X50. Tetapi rupa sisi dan belakang diubah sedikit untuk disesuaikan dengan gaya lima-pintu.

Dapat dilihat ia mengenakan warna bumbung hitam yang memberikan kesan gaya ‘floating roof’. Kemudian, rekaan lampu belakang dihubungkan dengan bar krom yang nipis memanjang.

Dari segi mekanikal, menurut portal Paultan.org, kombinasi yang boleh digunakan oleh Proton adalah platform BMA yang sesuai untuk model segmen-B serta pakej enjin 1.5-liter 3-silinder turbo dan kotak gear dwi-klac 7-kelajuan. Trenkuasa ini juga yang serupa pada Proton X50.

Theophilus Chin juga menyampaikan mesej dalam video lakarannya mengatakan disebabkan sambutan menggalakkan dari lakaran Satria Neo sebelum ini, beliau menyertakan sekali lakaran kokpit dan bahagian dalaman pula.

Pada pendapat anda, sesuaikah lakaran ini menyambung legasi Satria? Mereka yang menyatakan minat akan benar-benar membeli hatchback seperti ini atau akhirnya sangkut dengan SUV sahaja?