fbpx

Lakaran: Hindustan Ambassador bukan lagi seperti dulu, kini sebuah sedan futuristik!

hindustan ambassador 05

NAMA Hindustan Ambassador mungkin asing dalam kalangan peminat kereta dunia namun di India, ia dianggap sebagai antara kereta paling ikonik di negara itu.

Ini kerana ia merupakan model kereta pertama yang dipasang di negara itu dan pengeluarannya juga bertahan selama lebih lima dekad iaitu dari 1956 hingga 2014.

Ambassador dibangunkan oleh Hindustan Motors yang menggunakan model Morris Oxford III sebagai asas. Walaupun mempunyai reka bentuk yang sederhana tanpa sebarang suntikan  kemewahan, ia pernah menjadi simbol status suatu ketika dahulu disebabkan popularitinya di kalangan penjawat awam dan pegawai kerajaan.

Jadi, apakah kaitan Ambassador dengan sedan hitam ini? Apa yang anda lihat ini sebenarnya adalah lakaran digital Ambassador versi 2021 yang dihasilkan oleh Amol Satpute untuk projek latihan praktikalnya (internship) bersama Tugbotz Design.

Satpute sebelum ini pernah bekerjasama dengan DS Automobiles dan Honda semasa menjalani program pertukaran di Strate, Paris.

Seperti yang boleh dilihat, interpretasi moden ini langsung tidak sama seperti model asal yang mana rekaannya sering dikatakan menyerupai topi bowler.

Malah, bentuk badannya menyerupai Aston Martin Lagonda Taraf, dengan lampu hadapan langsing serta gril besar yang jelas diinspirasikan daripada sedan British itu. Lampu nyalaan siang berbentuk cincin pula adalah elemen yang dipinjam daripada model-model Aston Martin Zagato.

Namun menurut perekanya, ada beberapa ciri reka bentuk Ambassador asal yang diterapkan pada versi moden ini seperti fender belakang yang menonjol serta bonggol pada bahagian bonet.

Ini digabungkan dengan ciri-ciri moden seperti lubang udara sisi pada fender hadapan, garis bumbung yang rendah seakan coupe dan jalur trim krom di sekeliling tingkap dan bahagian bawah badan.

Bahagian belakang pula menampilkan rekaan dek yang elegan yang disumbangkan oleh lampu LED langsing menegak dan tulisan ‘AMBASSADOR’ pada bahagian but.

Bampar belakang dilengkapi dengan diffuser namun ia kelihatan agak kosong tanpa kehadiran muncung ekzos. Ini menimbulkan persoalan, adakah Ambassador akan dihidupkan semula sebagai sebuah kereta elektrik?

 

Sukar untuk diperkatakan kerana setakat ini, tiada tanda-tanda yang menunjukkan Hindustan Motors mempunyai perancangan untuk mengembalikan Ambassador ke pasaran.

Idea Satpute ini juga berkemungkinan besar akan kekal sebagai lakaran digital sahaja namun sekurang-kurangnya ia satu percubaan yang baik.

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved