Arkib Tag: raize

Daihatsu sambung semula penghantaran Rocky dan Toyota Raize di Jepun

DAIHATSU Motor Co mengumumkan bahawa penghantaran bagi tiga model – Daihatsu Rocky, Toyota Raize, dan Subaru Rex – akan disambung semula di Jepun.

Ini susulan penggantungan jualan dan penghantaran model-model tersebut berikutan krisis keselamatan tahun lepas.

Walaubagaimanapun, dalam perkembangan terbaharu, Kementerian Pengangkutan mengumumkan bahawa penggantungan itu ditarik balik kerana kenderaan-kenderaan tersebut mematuhi standard Undang-Undang Kenderaan Darat.

Menurut laporan oleh carwatch, ujian telah dilakukan oleh kementerian itu sendiri.

Daihatsu berkata mereka akan kembali mengeluarkan dan menghantar kenderaan-kenderaan tersebut secara beransur-ansur. Persiapan kini dibuat bersama dengan syarikat jualan dan pembekal.

Tahun lepas, sebanyak 56,111 unit Toyota Raize dan 22,329 Daihatsu Rocky terlibat dalam isu manipulasi ujian perlanggaran.

Dalam ujian perlanggaran berkenaan, keputusan untuk tiang yang digunakan untuk mengukur impak di sebelah kiri digunakan juga di sebelah kanan sedangkan kedua-dua bahagian perlu diuji.

Kedua-dua model berkenaan didapati menjalani ujian UN R135 yang tidak sempurna. Dalam kes ini, Daihatsu membuat ujian perlanggaran hanya di bahagian penumpang dan tidak di bahagian pemandu.

Penemuan itu menjejaskan kira-kira 78,000 kenderaan hibrid yang dijual di Jepun.

TAS 2023: Toyota Hiace dan Perodua Ativa versi retro dari Alpine Style

JIKA anda peminat modifikasi kereta moden bertemakan retro, maka anda perlu tengok hasil kerja terbaharu Alpine Style ini.

Mereka mempersembahkan Carica dan Havana di Tokyo Auto Salon 2023 (TAS 2023), iaitu versi retro bagi van Toyota Hiace dan SUV Perodua Ativa (Toyota Raize dan Daihatsu Rocky).

Carica

Nama Carica merupakan singkatan dari “California Dreaming Car”, kini menukar rupa Hiace menjadi seperti sebuah van Scooby Doo.

Terdapat dua versi bagi Carica ini, pertamanya gaya Amerika dengan warna badan dwi-tona, panel putih dan bahagian krom pada gril, bampar, cermin sisi, belakang, dan rim. Gaya Euro pula mendapat bampar brushed dan kemasan hitam di bahagian lain badannya.

Di dalam kabin pula menampakkan teknologi Alpine. Terdapat skrin infotainmen 11-inci, cermin pandang belakang digital 12-inci, dan paparan 12.8-inci untuk penumpang belakang.

Sistem audio juga jenis fancy, dengan stereo dinaik taraf berserta lampu. Ciri tambahan pula adalah khemah yang boleh dikembangkan di belakang untuk anda bermalam.

Havana

Havana pula mengambil inspirasi dari kenderaan-kenderaan lama di ibu negara Cuba. Toyota Raize (Perodua Ativa) itu dilengkapi komponen gaya retro seperti gril, perumah lampu depan, dan bampar krom. Di bawah lampu depan terletaknya DRL LED dan lampu isyarat.

Di dalam pula, aksesori Alpine merangkumi paparan infotainmen 9-inci dan cermin pandang belakang digital 12-inci. Sistem audio juga dinaik taraf, manakala paparan untuk penumpang belakang merupakan aksesori tambahan.

Harga permulaan untuk Carica adalah sekitar 4.98 juta Yen (RM168k) manakala untuk Havana pada 3.98 juta Yen (RM134k).

Honda WR-V dilancar di Indonesia – SUV kompak 1.5L, inilah pesaing Perodua Ativa

INDONESIA menjadi negara pertama di dunia menerima Honda WR-V serba baharu. SUV segmen-B ini lebih kecil dari HR-V dan menjadi pesaing kepada Daihatsu Rocky dan Toyota Raize, iaitu kembar kepada Perodua Ativa.

WR-V mempunyai ukuran dimensi 4,060mm panjang, 1,780mm lebar, dan 1,608mm tinggi. Sebagai perbandingan dengan Ativa, WR-V ini 5mm lebih pendek, 70mm lebih lebar, dan 27mm lebih rendah. WR-V juga mempunyai kelegaan tanah sebanyak 220mm dan ruang kargo 380 liter.

Nadi kepada Honda WR-V ini ialah unit 1.5-liter NA dengan 121hp dan 145Nm tork. Output disampaikan ke roda depan melalui transmisi CVT.

Antara ciri pada WR-V (bergantung kepada varian) adalah lampu depan LED dengan DRL LED, rim 16- atau 17-inci, auto-lock, paparan instrumen analog dengan skrin MID 4.2-inci, enam pembesar suara, tempat duduk kombinasi kulit-fabrik, stereng balutan kulit, dan pendingin hawa automatik.

WR-V juga didatangkan dengan ciri keselamatan seperti Honda Sensing, ADAS, LaneWatch, dan enam beg udara. Pilihan warna untuk SUV kompak ini termasuklah Taffeta White, Meteoroid Gray Metallic, dan Crystal Black Pearl. Warna Stellar Diamond Pearl dan Ignite Red Metallic pula hanya untuk varian RS.

Untuk harga, Honda WR-V dijual pada harga bermula Rp.271.9 juta (RM82k) untuk E, hingga Rp.309.9 juta (RM94k) untuk RS dengan Sensing.

Sebagai perbandingan, Honda HR-V di Malaysia bermula pada harga RM114,800 manakala Perodua Ativa berharga antara RM62,500 hingga RM72,600.