Arkib Tag: r34

Artisan boleh bina sebuah Nissan GT-R R35 untuk anda dengan rupa R34, 1,000hp

SEMUA tahu yang Nissan GT-R R35 kini sudah berusia walaupun ia masih kereta paling berprestasi yang dijual oleh Nissan hari ini.

Walaubagaimanapun, Artisan Vehicle Design nampaknya mempunyai cara untuk menjadikannya lebih menarik. Syarikat penala ini sedang membangunkan R35 dengan badan gaya R34, kabin baharu sepenuhnya, dan sehingga 1,000hp. Keluaran terhad, sudah tentu.

Kedengaran seperti GT-R sempurna, bukan? Kerana anda dapat prestasi moden dari R35 tetapi dengan rupa klasik R34 yang cool. Penulis lebih gemar rupa  R34 Skyline, ada yang sependapat?

Untuk mendapatkan hasil ini, Artisan menukar semua panel badan R35 dengan komponen gentian karbon bagi mengurangkan berat tetapi meningkatkan ketegarannya. Sistem lampu juga adalah baharu sepenuhnya.

Untuk warna, Artisan menawarkan warna-warna ikonik GT-R seperti Millenium Jade, Midnight Purple, dan Bayside Blue. Tetapi anda juga boleh memilih warna lain yang anda mahu.

Kabin dalam diberikan sistem infotainmen baharu, dan papan pemuka serta kemasan pintu berlainan dari GT-R standard. Terdapat juga kemasan gentian karbon dan balutan kulit Alcantara di beberapa bahagian.

Kini kita ke bahagian mekanikal pula. Jika anda membeli Artisan GT-R ini, anda boleh pilih dua pakej kuasa iaitu Track atau Ultimate. Track memberikan anda 800hp manakala Ultimate sehingga 1,000hp.

Kedua-dua versi dilengkapi dengan brek, tayar, dan suspensi yang dipertingkat semuanya, bagi memastikan kereta sentiasa dalam kawalan.

Imej-imej ini masih dalam lakaran, tetapi prototaip sebenar akan dipertontonkan pada acara SEMA hujung 2024 nanti, dan pengeluaran bermula selepas itu.

Hanya 36 unit akan dihasilkan seluruh dunia, dengan harga permulaan USD450,000 (RM2.085 juta). Jika anda mempunyai bajet, adakah anda akan sambar satu?

Nissan Skyline GT-R R34 Paul Walker bakal dilelong

KITA semua tahu bahawa Nissan Skyline GT-R R34 adalah kereta sport JDM yang istimewa namun unit yang ditampilkan ini lebih istimewa berbanding yang lain kerana ia dispesifikasikan dan pernah dipandu oleh mendiang Paul Walker.

Dan buat pertama kalinya, peminat francais Fast & Furious berpeluang untuk memiliki kereta penuh sejarah ini kerana ia akan dilelong oleh Bonhams pada satu acara lelongan yang akan diadakan dari 28 April hingga 5 Mei depan.

Harga pembukaan tidak dinyatakan namun ia sudah pasti mencecah enam atau tujuh angka memandangkan kereta ini telah diubah suai mengikut cita rasa Walker sendiri.

Bukan itu sahaja, unit berwarna TV2 Bayside Blue ini juga merupakan satu-satunya GT-R R34 asli yang muncul dalam filem Fast & Furious 4 yang dikeluarkan pada 2009. Nombor casisnya adalah BNR34-400109.

Menurut Bonhams, beberapa buah Skyline lain yang digunakan untuk penggambaran filem tersebut sebenarnya adalah model GT-T yang telah diubah suai dengan kit badan.

Tambah syarikat itu lagi, kereta ini dibeli di Jepun dan dibawa masuk ke Amerika Syarikat tanpa enjin oleh Kaizo Industries. Syarikat itu berjaya mendapatkan sebuah enjin RB26 dan kereta ini kemudiannya didaftarkan dengan pihak berkuasa.

Modifikasi yang telah dilakukan pada GT-R R34 ini memang bukan calang-calang. Antara ‘barang’ yang telah dimasukkan adalah intercooler Turbonetics, set spring Nismo, strut titanium ARC, rim Volk Racing RE30 19 inci, brek Rotora dan sistem ekzos Nismo NE-1. Boost juga telah dinaikkan bagi membolehkan enjin menjana 550 hp.

Di dalam, anda akan menemui roll cage kustom, stereng Momo dengan balutan Alcantara, pedal Nismo V-Spec, paparan head-up kustom dan kerusi OMP dengan tali pinggang keledar lima poin. Tempat duduk belakang telah dikeluarkan.

Apa yang menarik, setelah penggambaran selesai, kereta ini disita oleh pihak berkuasa kerana ia tidak pernah diimport secara rasmi ke Amerika Syarikat. Pada 2012, ia telah dilepaskan dan kemudiannya dieksport ke Jerman dan berada di sana sehingga ke hari ini.

Kereta ini jarang dipandu dan hanya menjadi bahan pameran di Munich Motorworld. Menurut Bonhams, ia masih boleh dipandu namun bakal pemilik baharunya dinasihatkan untuk membuat servis terlebih dahulu sebelum ‘melenjan’.

Nissan Skyline GT-R R34 milik Brian O’Conner diabadikan dalam bentuk Lego Speed Champions

LEGO Speed Champions menyediakan alternatif yang lebih mampu milik kepada mereka yang mungkin tidak mampu mengeluarkan belanja yang tinggi untuk set Lego Technic.

Ia tidak begitu terperinci seperti Technic namun kualiti set yang dibawakan oleh Speed Champions sudah cukup  untuk bagus untuk kanak-kanak dan juga orang dewasa.

Kini, barisan Speed Champions menambah satu lagi model ke koleksinya dan ia pasti akan membuat peminat francais Fast and Furious begitu teruja.

Ini kerana set terbaru itu menampilkan kereta yang paling ikonik dari filem 2 Fast 2 Furious iaitu Nissan Skyline GT-R (R34) milik Brian O’Conner yang dimainkan oleh mendiang Paul Walker.

Mengandungi 319 kepingan Lego, perincian set ini tidak kurang hebatnya. Seperti jentera sebenar, Skyline GT-R R34 itu memakai kit badan dan didatangkan dalam warna kelabu dengan grafik biru pada bahagian bonet, pintu dan spoiler.

Apa yang menarik, ia juga didatangkan dengan figura mini Brian O’Conner yang boleh diletakkan pada tempat duduk pemandu.

Menurut laporan, set Nissan Skyline GT-R (R34) 2 Fast 2 Furious ini boleh ditempah mulai 3 Januari 2023 dengan harga anggaran 24.99 euro (RM115).

 

Lewis Hamilton lenjan Nissan Skyline R34 di Jepun, sampai berasap tombol gear!

2022 bukanlah suatu musim yang begitu menggembirakan buat Lewis Hamilton. Ini merupakan musim pertama juara dunia tujuh kali itu tanpa menang satu perlumbaan pun.

Kini musim dengan jentera W13 telah berakhir, pemandu berusia 37 tahun itu sempat berseronok seketika dan melupakan sementara segala tentang kerjanya.

Dalam satu video terkini di Instagram miliknya, Hamilton dilihat ‘menikmati’ sebuah Skyline GT-R. Dia berseronok melenjan Skyline R34 itu di jalan raya sekitar Jepun di waktu malam, malah dia sempat membuat ‘donut’ dan ‘burnout’ sehingga asap memasuki ruang kabin melalui kawasan tombol gear.

Ini bukanlah petanda yang baik, mungkin klacnya dan kotak gearnya terlebih panas, tetapi Hamilton dan teman di sebelah yang merakam video itu hanya mampu tergelak.

Nissan Skyline R34 GT-R dikuasakan oleh enjin 2.6-liter turbo 6-silinder dengan kuasa sekitar 276hp dan 391Nm tork, dengan kotak gear 5-kelajuan manual dan sistem pacuan semua-roda.

Video Lewis Hamilton itu kini telah mendapat lebih 1.7 juta Like dan hampir 16,000 komen semasa artikel ini ditulis.

Hamilton sebelum ini berseronok di Jepun dengan bermain kereta kawalan radio (RC) Tamiya Lunchbox, yang difahamkan pernah dimilikinya semasa beliau masih kecil.

Nissan Skyline GT-R NISMO Z-Tune ini terjual dengan harga RM8.9 juta!

SEORANG pengumpul kereta di Amerika Syarikat (AS) telah membeli sebuah Nissan Skyline R34 GT-R dengan harga hampir USD2 juta, lebih tepat lagi USD1,985,000! Ya, bukan Ringgit Malaysia tuan-tuan, tetapi Dollar AS.

Ini bersamaan RM8.9 juta. Tetapi ini bukan Nissan Skyline R34 biasa, sebaliknya versi NISMO Z-Tune. Tapi masih sangat mahal, bukan? Harga ini dikatakan empat kali ganda dari harga biasa.

GT-R Z-Tune ialah versi tertinggi dalam Skyline, paling diburu dan pastinya paling mahal. NISMO pada asalnya mahu membina sebanyak 20 unit, tetapi akhirnya hanya mengeluarkan 19 unit. Kesemua kereta juga dibina dan dipasang dengan tangan.

Kereta yang terjual ini difahamkan salah satu dari dua unit di Thailand, yang pertama pernah terjual juga di AS, dan yang kedua adalah unit ini.

Ianya dibeli oleh seorang pengumpul dengan nama samaran 458 Destroyer, yang memang peminat tegar Nissan GT-R dan pernah membeli hampir kesemua varian.

Difahamkan juga beberapa tahun lepas Z-Tune berharga sekitar USD500,000 (RM2.24 juta) tetapi disebabkan permintaan tinggi hari ini, dia membayar keseluruhan RM8.9 juta termasuk kos pengangkutan dan cukai.

Dari labih 50 kereta dalam koleksinya, 458 Destroyer meminati jentera Jepun (JDM) 90an serta eksotik moden, termasuklah dua Lexus LFA, sebuah LaFerrari, 599 GT0, sebuah Sheepy Lamborghini, Nissan R34 Paul Walker, RX-7 Veilside, dan banyak lagi.

Harga Nissan GT-R R34 telah melonjak naik beberapa tahun kebelakangan ini, dan harganya boleh sangat ‘keras’ untuk versi seperti Z Tune dan V-Spec II Nur.

Permintaan ini antaranya adalah disebabkan peminat di negara seperti AS dan Australia yang sanggup membayar dengan amaun berlipat ganda semata-mata minat mereka terhadap jentera JDM era ini.

Sedikit latar belakang mengenai Z-Tune, selain jumlah terhad, ia mencapai status tinggi kerana NISMO menala Skyline ini berdasarkan pengalaman mereka dalam perlumbaan seperti LeMans GT2 serta GT500.

Enjin pertama 2.8-liter 6-silinder turbo dikenali sebagai Z1 dan menghasilkan 500hp dan 540Nm, dengan pecutan 0-100 boleh dicapai dalam 3.8 saat, cukup pantas semasa tahun 2003. Kelajuan maksima tidak dihadkan, dan angka 300km/j tidak mustahil.