Arkib Tag: purosangue

Ferrari Purosangue dilancarkan di Malaysia, RM5 juta untuk SUV V12!

ITAL Auto Malaysia Sdn Bhd, pengimport dan pengedar rasmi Ferrari di Malaysia, secara rasmi telah melancarkan Ferrari Purosangue di bilik pamerannya yang terletak di Kuala Lumpur.

Bukan setakat SUV pertama Ferrari, Purosangue juga merupakan kereta empat pintu dan empat tempat duduk pertama bagi jenama supercar dari Itali itu.

Ia dibina menggunakan casis serba baharu dengan struktur bawah yang diperbuat sepenuhnya daripada aluminium aloi. Menurut Ferrari, casis ini lebih ringan dan tegar berbanding casis empat tempat duduk sebelum ini, sekali gus membantu meningkatkan aspek NVH.

Selain itu, ia mempunyai bumbung gentian karbon untuk merendahkan pusat graviti dan pintu belakang welcome doors untuk memudahkan penumpang masuk dan keluar.

Pintu tailgate yang diperbuat daripada aluminium mempunyai bukaan sehingga 73 darjah bagi membolehkan penumpang mengakses ruang but berkapasiti 473 liter dengan mudah.

Purosangue mempunyai susun atur transaxle dengan enjin tengah-depan dan kotak gear pada bahagian belakang. Enjin berkenaan dipadankan dengan Power Transfer Unit (PTU) untuk memberikan kereta ini pacuan semua roda (AWD) serta nisbah pengagihan berat 49:51%.

Dengan sesaran 6.5 liter dan 12 silinder yang disusun dalam bentuk V, enjin tersebut menghasilkan 725 PS pada 7,750 rpm dan 716 Nm pada 6,250 rpm.

Dengan transmisi klac berkembar lapan kelajuan dan AWD, jentera ini boleh memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam 3.3 saat dan 0 hingga 200 km/j dalam 10.6 saat. Kelajuan maksimum dikatakan melebihi 310 km/j.

 

Purosangue dilengkapi dengan sistem suspensi aktif dengan peredam adaptif True Active Spool Valve (TASV) System, serta pelbagai lagi ciri elektronik seperti Side Slip Control (SSC) 8.0 dan Chassis Dynamic Sensor enam hala (6w-CDS).

Di dalam, anda akan menemui empat tempat duduk individu, masing-masing dengan pelarasan elektrik, paparan berukuran 10.2 inci, pengecas wayarles dan sistem audio Burmester 3D.

Apa yang menarik, 85 peratus daripada trim di dalam kabin Purosangue diperbuat daripada bahan lestari. Sebagai contoh, pelapik bumbung diperbuat daripada polyester kitar semula, sementara karpet pula daripada poliamida yang dikitar semula daripada pukat nelayan.

Bukan itu sahaja, balutan Alcantara juga diperbuat daripada polyester kitar semula. Malah, Purosangue merupakan kereta pertama di dunia yang menggunakan versi ini.

Sistem keselamatan Purosangue terdiri daripada ciri-ciri bantuan pemandu ADAS seperti Adaptive Cruise Control (ACC), Automatic Emergency Brake System (AEB), Auto High Beam (HBA/HBAM), Lane Departure Warning (LDW), Lane Keeping Assist (LKA), Blind Spot Detection (BSD), Rear Cross Traffic Alert (RCTA) dan pelbagai lagi.

Harga jualan Ferrari Purosangue bermula dari RM5 juta termasuk duti dan cukai. Ia didatangkan dengan program jaminan lanjutan selama tujuh tahun.

Ferrari Purosangue rasmi dilancar – empat pintu, empat tempat duduk, V12 dengan 715hp

INI bukan sahaja SUV pertama dari Ferrari, tetapi juga kereta pertama dengan empat-pintu dari Maranello. Diberi nama Purosangue, ia mendapat penggayaan moden Ferrari terkini seperti Roma, 296 GTB, SF90 dan 812 Superfast.

Tetapi harus diingat, Ferrari tidak mahu anda panggil Purosangue ini sebagai SUV. “Kami tidak memanggilnya SUV”, kata CEO Ferrari, Benedetto Vigna. “Kita langsung tida bercakap mengenai SUV.” Baiklah.

Tetapi betul juga, bentuk Purosangue ini lebih kepada kereta sports empat pintu yang sedikit tinggi. Garis-garis dan bentuk pada badannya memang sleek dan sporti.

Di dalam hud yang panjang di depannya, tersimpan enjin 6.5-liter V12 naturally-aspirated yang duduk agak rapat dengan ruang kabin, memberikan Purosangue ini keseimbangan depan-ke-belakang 49/51.

Kuasa adalah 715hp dan menariknya, tork juga 715Nm. Enjin ini memberikan 80 peratus torknya pada 2,100rpm, kuasa maksima pada 7,750rpm, dan enjin ini mampu rev sehingga 8,250rpm.

Output disalurkan ke semua roda melalui sistem pacuan semua-roda baharu dan kotak gear dwi-klac 8-kelajuan. Sistem pacuan semua-roda ini memutuskan pacuan roda depan dalam gear keempat atau kira-kira 200km/j.

Bumbungnya diperbuat dari gentian karbon untuk merendahkan titik graviti. Pintu belakangnya boleh dibuka sehingga 79 darjah, penting untuk memudahkan penumpang keluar dan masuk memandangkan ruang belakangnya tidak begitu besar.

Harga untuk Ferrari Purosangue bermula kira-kira USD400,000 (RM1.8 juta) dan penghantaran kepada pelanggan akan bermula awal 2023.

Ferrari Purosangue bakal dilancar secara rasmi 13 September depan

HANYA seminggu sahaja lagi kita sebelum sampai ke hari pelancaran SUV pertama dari jenama Prancing Horse, iaitu Ferrari Purosangue.

Ferrari nampaknya telah mula menayangkan imej teaser di media sosial mereka dan menyatakan tarikh pelancaran iaitu 13 September depan.

Sumber: IG Coachepies

SUV dari Maranello itu mula diumumkan empat tahun lepas semasa Ferrari mempersembahkan hala tuju mereka untuk 2018-2022. Kini Purosangue sedia untuk kemunculan rasminya.

Apa yang sudah pasti ialah ia bakal mendapat enjin V12 naturally-aspirated, jawapan Ferrari kepada Lamborghini Urus. Pengeluarannya juga akan terhad, tidak melebih 20 peratus dari pengeluaran keseluruhan tahunan Ferrari.

Sumber: IG Coachepies

Harus diingat juga pengeluar supercar itu ‘melarang’ umum melabelkan Purosangue sebagai sebuah SUV, sebaliknya lebih gemar memanggilnya FUV (Ferrari Utility Vehicle). Berdasarkan imej-imej intipan, ia memang lebih kelihatan seperti hatchback besar dengan sedikit kelegaan tanah.

Purosangue akan menjadi Ferrari empat-pintu pertama yang boleh didapati secara meluas, dengan mengambil kira 456GT Venice wagon hanya dibina sebanyak tujuh unit.

Dari perincian setakat ini, kita dapat ketahui bahawa Ferrari Purosangue akan dilengkapi sistem pacuan semua-roda dan suspensi udara, dibina pada platform yang direka untuk menempatkan sistem janaan hibrid.

Pengganti FF/GTC4Lusso ini juga akan menggunakan kotak gear automatik dwi-klac dan konfigurasi empat tempat duduk dengan ruang lebih besar dari model-model shooting brake sebelumnya.

Ferrari sebenarnya agak lewat ke pasaran SUV ini dan Purosangue akan berhadapan dengan persaingan sengit dari model seperti Aston Martin DBX dan Bentley Bentayga Speed, selain Lamborghini Urus.

McLaren setakat ini belum menunjukkan minat terhadap SUV, tetapi CEO baharu mereka terbuka kepada idea sebuah supercar yang lebih tinggi.

Selepas pelancaran rasmi Ferrari Purosangue minggu depan, penghantaran kepada pelanggan akan bermula awal 2023.

Bocor! Inilah rupa SUV Ferrari Purosangue, memang sporti habis

BUKAN rahsia lagi bahawa Ferrari bakal menghasilkan model Sports Utility Vehicle (SUV) yang diberi nama Purosangue. SUV ini dijangka memasuki pasaran pada tahun 2023.

Buat pertama kalinya, rupa sebenar SUV Ferrari ini telah tersebar di media sosial Instagram (IG). Pemilik akaun IG @cochespias telah membuat hantaran mengenai rupa luaran SUV tersebut.

Dari bentuk hadapan, SUV mewah ini kelihatan seakan-akan menyerupai Ferrari Roma manakala rekabentuk belakangnya lebih kepada model 296 GTB.

SUV ini sedikit rendah, tidak seperti rekabentuk SUV tradisional yang lain. Besar kemungkinan adalah kerana visi Ferrari dalam membangunkan Purosangue sebagai Ferrari Utility Vehicle (FUV), bukannya sebagai SUV.

Sumber: Autocar

Ura-ura mengatakan SUV ini bakal menggunakan enjin V8 turbo dengan bantuan motor elektrik. Namun terdapat juga kemungkinan Ferrari akan menggunakan enjin V12 hibrid atau V6 hibrid bagi model asas.

Walaubagaimanapun, pembuat kenderaan mewah dari Itali itu masih belum membuat pengumuman mengenai pelancaran rasmi model SUV tersebut.