Arkib Tag: prototaip

Toyota perkenal prototaip EV untuk tawan angkasa lepas!

Tokyo Motor Show 2023 yang bakal berlangsung merupakan salah satu acara terbesar dan terpenting tahun ini.

Salah satu pengeluar, Toyota sudah tentu mempersiapkan banyak model untuk dipertontonkan, seperti Land Cruiser elektrik dan trak pikap kecil yang boleh menjadi pesaing kepada Ford Maverick.

Menariknya, terdapat satu prototaip oleh Toyota yang merupakan kenderaan elektrik (EV) off-road, bukan untuk kegunaan di Bumi tetapi di angkasa!

Dinamakan sebagai Toyota Space Mobility, kenderaan eksperimental ini mempunyai stereng semua roda dan motor elektrik untuk setiap tayar. Ia mampu memanjat permukaan tidak rata sehingga 50cm dan menaiki benteng sehingga 25 darjah.

Difahamkan ia lebih dari sekadar untuk pertunjukan kerana Toyota melabelkannya sebagai prototaip, bermakna ia akan diuji sepenuhnya. Kenderaan ini direka untuk digunakan di bulan, seperti Lunar Cruiser.

Direka untuk persekitaran mencabar, Space Mobility bersaiz kecil kerana ia perlu lincah dan mudah dikemudi di permukaan kasar.

Toyota berkata ianya cuma sepanjang 3,460mm, lebih pendek dari sebuah kereta kei (kei car). Space Mobility mempunyai lebar 2,175mm dan tinggi 1,865mm, dengan rekaan kokpit terbuka.

Lunar Cruiser dan Space Mobility sebenarnya bukanlah satu-satunya projek Toyota untuk angkasa lepas. Awal bulan lalu, Baby Lunar Cruiser didedahkan dengan rekaan inspirasi FJ40 dan tayar tanpa udara.

Ia juga mempunyai motor pada tayar dan direka “untuk menakluk permukaan kasar di Bumi dan selanjutnya”.

Proton Satria Cabriolet berpotensi tetapi kurang bernasib baik

SEJAK penubuhannya pada 1983, Proton telah menghasilkan banyak kereta konsep dan prototaip menerusi kerjasama dengan rakan-rakan kongsi dari luar negara.

Dalam banyak-banyak prototaip yang terhasil, penulis rasa Satria Cabriolet paling menonjol dan menarik perhatian. Jika tidak silap, inilah satu-satunya kereta jenis cabriolet atau convertible yang pernah direalisasikan oleh Proton (walaupun tidak berjaya dipasarkan).

Gambar oleh: AllCarIndex

Satria Cabriolet dibangunkan sekitar tahun 1997 dan pada tahun yang sama, ia membuat kemunculan sulung bukan di tanah air tetapi di Frankfurt International Motor Show. Ya, percaya atau tidak, pengeluar kereta nasional itu pernah menyertai pameran permotoran bertaraf antarabangsa.

Namun ini bukanlah sesuatu yang luar biasa kerana seperti yang anda mungkin sedia maklum, kereta Proton mula menembusi pasaran-pasaran Eropah termasuk Ireland dan United Kingdom sejak 1989 lagi.

Berbalik kepada Satria Cabriolet, kehadirannya di Frankfurt Motor Show secara amnya boleh dilihat sebagai langkah untuk menaikkan lagi nama Proton di Jerman. Ketika itu, Satria dijual di pasaran Jerman, Perancis dan Turki sebagai Proton 300 Series namun dalam jumlah yang kecil.

Gambar oleh: Zulfa Kamaruzaman

Prototaip Satria Cabriolet yang dipamerkan di Frankfurt itu merupakan salah satu daripada hanya dua unit yang dihasilkan. Ia dicat warna ungu, mempunyai rekaan bampar depan yang berbeza, rim lima jejari berbentuk bintang (yang kemudiannya ditukar dengan rim Satria GTI) dan paip ekzos berkembar.

Sudah tentu, tarikan utama kereta ini adalah bumbung convertible jenis fabriknya. Tidak banyak yang diketahui mengenai bumbung ini namun ia dikatakan dibangunkan oleh sebuah syarikat yang berpangkalan di California, Amerika Syarikat.

Ruang dalamannya juga agak unik, dengan kemasan kulit berwarna beige dan fabrik kelabu. Selain daripada itu, rekaan papan pemuka, konsol tengah, stereng dan tombol gear dikekalkan.

Gambar oleh: Zulfa Kamaruzaman

Anda mungkin masih ingat kereta ini juga pernah digunakan untuk membawa Tun Mahathir mengelilingi Stadium Nasional Bukit Jalil ketika acara pembukaan Sukan Komanwel 1998.

Hari ini, kereta ini dimiliki oleh seorang individu bernama Muhammad Jeya Raj yang telah berjaya membaik pulihnya ke tahap yang memuaskan.

Sementara itu, unit kedua pula berwarna emas dan mempunyai ciri-ciri rekaan yang sama dengan unit berwarna ungu ini. Bagaimanapun, kelibatnya begitu jarang dilihat kerana menurut desas-desus, ia masih lagi dalam simpanan Proton.

@engear.tv 5 Fakta Cool Kereta Proton Satria Cabriolet #engeartv #proton #satria #cabriolet #rare #unique #fakta #fyp #malaysia #reels @retrohavoc ♬ original sound – ENGEAR SHOP – Engear TV

Sayangnya, Satria Cabriolet tidak pernah dipasarkan akibat krisis kewangan yang melanda Asia pada 1997. Bagi penulis, kereta ini berpotensi besar untuk laku di pasaran-pasaran yang menghargai kereta dengan bumbung yang boleh dibuka namun nasibnya agak kurang baik kerana ‘dilahirkan’ pada zaman di mana ekonominya tidak menentu.

Proton Ultimate, kereta sports tempat yang tidak kesampaian – Imbas Engear

RAMAI yang sering meminta model prestasi mampu milik dari jenama tempatan Proton atau Perodua, kerana merasakan kebanyakan model dijual hari ini tidak cukup “umph”.

Proton sekitar 2000 hingga 2013 banyak menghasilkan model-model R3 yang seronok dipandu, malah masih menjadi buruan di pasaran terpakai hari ini.

Tetapi mungkin ramai tidak mengetahui 20 tahun dahulu, Proton pernah hampir mengeluarkan kereta sports mid-engined mampu milik untuk rakyat Malaysia. Bahkan satu unit prototaip dilaporkan telah dibina.

Kisahnya bermula apabila Proton mahu meningkatkan imej mereka dan menjadi lebih menonjol dari jenama-jenama kos rendah (terutamanya dari Asia timur), dengan membina model berteknologi tinggi dalam bentu jentera sports mid-engined (enjin tengah) 2.0-liter.

Memandangkan Proton pada masa itu masih memiliki Lotus Engineering, maka pastinya mereka mempunyai tenaga kepakaran dan kejuruteraan untuk dimanfaatkan.

Kereta sports itu sepatutnya dilancarkan pada 2003, kira-kira tiga tahun selepas projek itu didedahkan, dengan designasi Proton Ultimate (PU). Tempoh ini dianggap singkat – kebanyakan R&D mengambil masa kira-kira empat tahun – tetapi ianya dikatakan munasabah kerana dua sebab.

Pertama, ia direka untuk menjadi model jumlah pengeluaran rendah dengan parameter khas spesifik, tidak seperti model pengeluaran besar-besaran seperti kereta Proton lain.

Keduanya, kebanyakan proses kejuruteraan adalah berlainan dari kebiasaan dan akan menggunakan bahan-bahan komposit ringan.

Program dengan nama dalaman ‘Project Sepang’ ini dipercayai bermula pada Februari 2000, dengan konsep casis yang telah ditetapkan. Casis yang bakal digunakan ialah ‘Monaco’ dari Lotus yang pernah dipertontonkan di Frankfurt Auto Show.

Tetapi ia bukanlah sebuah kereta Lotus versi Proton, atau sebaliknya. Lotus sendiri mahu kedua-dua kenderaan ini berbeza. Pengeluar UK itu kemudiannya merealisasikan model mereka iaitu Europa pada 2006.

Dalam hal Proton, objektifnya ialah untuk menawarkan kereta sports dengan teknologi tinggi tetapi mampu milik, khasnya untuk rakyat Malaysia. Harga sasaran pada masa itu ialah RM150,000 (kira-kira RM249,000 hari ini jika ambil kira faktor inflasi).

Nampak mahal RM240,000 untuk sebuah Proton? Harus diingat, ini sebuah kereta sports dua tempat duduk mid-engined. Sedangkan SUV Proton pun sudah lebih RM120,000, ini pun perkara yang kita tida pernah fikir 10 tahun lepas.

Untuk enjin pula, beberapa pilihan untuk Ultimate telah diambil kira seperti Petronas E01 dengan 204hp dan Proton V6 yang mampu menjana sehingga 200hp.

Dikatakan Proton mahu menggunakan enjin Petronas kerana mereka kurang gembira membayar terlalu tinggi kepada Mitsubishi untuk mendapatkan enjin.

Menurut CEO Proton pada masa itu, kereta sports ini akan menggunakan banyak teknologi dan bahan ringan, tetapi masih ‘suku dari kos untuk membangunkan sedan biasa’. Ini boleh dicapai dengan menggunakan banyak komponen Proton sendiri, sebagai contoh brek dari Wira.

Pengeluaran untuk PU dikhabarkan sekitar 10,000 hingga 15,000 unit dalam tempoh kira-kira lima tahun.

Semasa kereta sports ini sepatutnya dikeluarkan, Proton juga telah melabur untuk barisan pemasangan baharu mereka di kilang Shah Alam, untuk membolehkan proses pengeluaran berbeza dari model konvensional.

Sekurang-kurangnya satu unit prototaip dikatakan telah siap dengan ‘enjin Amerika’. Tidak diketahui sama ada prototaip ini masih ada atau telah dilupuskan selepas Geely masuk ke dalam Proton.

Sayang sekali program PU ini tidak dapat direalisasikan sepemnuhnya. Beberapa pembangunan lain dalam syarikat ini juga mungkin mengalih fokus mereka, selain perubahan kempimpinan yang membuatkan keutamaan bertukar.

Apa pendapat anda mengenai projek Proton Utimate ini? Jika ia diteruskan dengan generasi baharu hari ini, boleh jual dengan harga RM230,000 hingga RM250,000?

Sebagai perbandingan, harga kereta sports seperti Alfa Romeo 4C, Lotus Elise, dan Toyota GR86 adalah sekitar RM220,000 hingga RM400,000, merangkumi kereta baharu dan recond.

Artikel asal, maklumat, dan gambar dikongsi oleh rakan media kami, Chips Yap di MotaAuto.

Mazda failkan paten rekaan struktur kereta sports – model RX baharu?

IDEA biasanya dipatenkan untuk melindunginya sekiranya ia akan digunakan untuk projek di masa akan datang.

Berita terbaharu mengenai ini ialah Mazda yang telah mempatenkan fail untuk kereta sports mereka. Lakaran paten yang diterbitkan awal minggu ini menunjukkan struktur suspensi dan rekaan belakang kenderaan yang dilihat agak teknikal.

Gambar oleh: Ipforce.jp

Pada struktur beberapa palang dan bingkainya terdapat juga keterangan untuk beban yang mampu ditampung pada setiap bahagian.

Nombor paten 2021-112926 (P2021-112926A) itu sendiri merujuk kepada Rear Body Structure of Vehicle atau struktur badan belakang kenderaan.

Gambar oleh: Ipforce.jp

Dari lakaran ini, tidak dapat dipastikan sama ada ia akan menggunakan enjin silinder biasa atau rotary. Tapi jika kita lihat pada center tunnel yang menegak di tengah-tengah kereta, dapat dijangkakan ia adalah jentera pacuan roda-belakang (RWD).

Konsep Mazda RX-Vision. Gambar oleh: Mazda

Ini bukanlah kali pertama kita melihat pengeluar Jepun itu memfailkan paten rekaan kereta sports mereka. Hampir dua tahun lepas, terdapat rekaan dilaporkan mengenai kemungkinan kereta sports Mazda, dan paten ini juga bertarikh Januari 2020.

Jadi soalan terbesar di sini ialah – adakah ini gambaran awal Mazda RX-9? Dengan rekaan enjin depan, binaan badan aluminium dan pacuan roda-belakang dengan suspensi dan bingkai diperkukuh, ia nampak seperti mempunyai pengendalian mantap.

Konsep Mazda RX-Vision. Gambar oleh: Mazda

Paten ini juga mungkin kesinambungan dari lakaran konsep RX-Vision yang mula ditunjukkan pada 2015.

Dengan masa depan yang semakin banyak menggunakan elektrifikasi (hibrid, EV, PHEV dan sebagainya), menarik untuk kita lihat pengeluar seperti Mazda yang komited untuk menghasilkan kereta sports. Diharap lakaran ini menjadi realiti tidak lama lagi dan tidak berakhir atas kertas.