Arkib Tag: Prolintas

Kad debit, kredit kini diterima di plaza tol GCE, AKLEH

PROJEK Lintasan Kota Holdings Sdn Bhd (PROLINTAS) mengumumkan bahawa ujian rintis Sistem Pembayaran Terbuka (SPT) kini dimulakan di dua lebuh raya kendaliannya iaitu Lebuhraya Koridor Guthrie (GCE) dan Lebuhraya bertingkat Ampang-Kuala Lumpur (AKLEH).

Menerusi SPT, pengguna kenderaan Kelas 1 (kereta) boleh membuat bayaran tol di GCE dan AKLEH menggunakan kad debit, kad kredit atau kad prabayar di Lorong yang telah dikenal pasti dengan papan tanda khas pada gantry.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PROLINTAS, Dato’ Mohammad Azlan Abdullah berkata sistem berkenaan mula dijalankan di ketiga-tiga plaza tol GCE iaitu Plaza Tol Bukit Jelutong, Plaza Tol Elmina dan Plaza Tol Lagong bermula 13 September lalu.

“Sementara itu, Plaza Tol Datuk Keramat, Lebuhraya AKLEH sudah menerima pembayaran tol baharu itu sejak 9 September lalu. Satu lorong disediakan di setiap plaza tol untuk proses percubaan sistem itu selaras dengan piawaian yang ditetapkan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM),” ujarnya.

SPT merupakan tambahan untuk kaedah pembayaran sedia ada seperti kad Touch ‘n Go, SmartTag dan Identifikasi Frekuensi Radio (RFID).

“Inisiatif ini dijangka menyediakan kemudahan dan fleksibiliti untuk pengguna lebuh raya di plaza tol dengan lebih banyak pilihan pembayaran tol sekali gus menyumbang kea rah penambahbaikan industry lebuh raya negara secara keseluruhannya,” jelas beliau.

DASH bekerjasama rapat dengan PDRM bantu siasatan lumba haram di RSA Denai Alam

PROJEK Lintasan Damansara-Shah Alam (Prolintas) iaitu pengendali lebuh raya Lebuhraya Bertingkat Damansara-Shah Alam (DASH) memandang serius perhimpunan besar kenderaan berkelajuan tinggi dan aktiviti lumba haram yang berlaku di sekitar Kawasan Rehat dan Rawat (RSA) Denai Alam baru-baru ini.

Menurut siaran media oleh Prolintas, tiada permit sah dikeluarkan oleh mana-mana pihak untuk sebarang perhimpunan besar sedemikian dijalankan di kawasan terbabit.

“Pihak DASH bekerjasama rapat dengan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Selangor, Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk membantu siasatan kejadian berkenaan”, kata kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu lagi, pihak JSPT merancang menjalankan operasi di kawasan yang dilaporkan berlaku aktiviti haram itu.

“Hasil pemantauan mendapat, susulan kejadian itu, beberapa kesan tayar kenderaan ditinggalkan di sepanjang laluan dikenal pasti.

“Pihak DASH melarang sekeras-kerasnya kegiatan lumba haram di atas Lebuhraya DASH serta menasihatkan pengguna agar sentiasa mematuhi had laju dan semua peraturan pemanduan.”

DASH juga turut mengalu-alukan maklum balas orang ramai dan terus komited menyelesaikan isu yang timbul bagi menjamin keselamatan dan keselesaan pengguna dan komuniti sekeliling.

Pengurangan kadar tol Prolintas – AKLEH, GCE, LKSA dan SILK

PROJEK Lintasan Kota Holdings Sdn. Bhd. (Prolintas) telah mengurangkan kadar tol antara lapan hingga 15 peratus bagi empat lebuh raya di bawah kendaliannya bermula hari ini, Khamis, 20 Oktober 2022.

Empat lebuh raya tersebut adalah Lebuhraya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur (AKLEH), Lebuhraya Koridor Guthrie (GCE), Lebuhraya Kemuning-Shah Alam (LKSA) dan Lebuhraya Lingkaran Penyuraian Trafik Kajang (SILK).

Prolintas memaklumkan, pengurangan kadar tol itu membabitkan kenderaan kelas satu, kelas empat dan kelas lima.

Walau bagaimanapun, bagi kenderaan kelas dua dan kelas tiga kecuali bas, kadar tolnya tidak berubah.

“Pengurangan kadar tol ini membabitkan kenderaan kelas satu (kenderaan yang mempunyai dua gandar contohnya kereta penumpang dan tiga atau empat roda, kecuali teksi dan bas), kelas empat (teksi) dan kelas lima (bas) di empat lebuh raya terlibat,” kata kenyataan itu.

“Bagi kenderaan kelas dua (kenderaan yang mempunyai dua gandar dan lima atau enam roda, kecuali bas) dan kelas tiga (kenderaan yang mempunyai tiga gandar atau lebih, kecuali bas), kadar tol adalah tidak berubah.”

Prolintas berkata, mereka akan terus melakukan yang terbaik dalam menggalas tanggungjawab menyediakan perkhidmatan terbaik setiap masa kepada pengguna.

“Prolintas komited untuk menyediakan perkhidmatan lebuh raya yang terbaik pada setiap masa termasuklah dari aspek operasi dan penyelenggaraan lebuh raya sehinggalah pengalaman perjalanan semua pelanggan di semua lebuh raya kendalian kami.

“Pihak syarikat juga akan terus menyokong usaha-usaha kerajaan yang boleh memberi manfaat dan impak positif kepada rakyat,” katanya.

Berikut adalah kadar tol baharu:

SUKE: Prolintas akan ubah tanjakan susur keluar ke Grand Saga kepada dua lorong

Projek Lintasan Kota Holdings Sdn Bhd (Prolintas) menerusi anak syarikatnya Projek Lintasan Sungai Besi-Ulu Klang Sdn Bhd telah mengeluarkan kenyataan terkini berkenaan tanjakan susur keluar dari Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE).

Menurut Prolintas, Bahagian Operasi Lebuhraya SUKE bersama perunding dilantik sedang mengkaji reka bentuk sesuai untuk mengubah tanjakan susur keluar ke Lebuhraya Cheras-Kajang (Grand Saga) dekat lampu isyarat ke PGA/Jalan Medan Masria kepada dua lorong.

“Melihat kepada kapasiti jalan yang agak luas, tanjakan susur keluar itu boleh ditambah baik menjadi dua lorong. Ini akan membantu untuk mengurangkan tempoh masa beratur dan seterusnya berupaya untuk membenarkan lebih banyak kenderaan keluar dari tanjakan itu pada satu-satu masa.

Kajian juga dijalankan bersama syarikat konsesi Lebuhraya Cheras-Kajang (CKE) untuk meneliti semula keseluruhan konfigurasi lampu isyarat termasuk berdekatan Maktab PDRM yang juga dibawah kendaliannya”, katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada Isnin.

Menurut syarikat itu lagi, dua unit papan tanda “Dilarang Belok Kanan” akan diletakkan pada 200 meter sebelum simpang ke CKE dan satu lagi di simpang terbabit untuk memberi amaran kepada pengguna agar tidak membelok ke kanan yang boleh memperlahankan kenderaan sehingga mengakibatkan timbunan trafik. Kedua-dua papan tanda berkenaan dijangka siap dipasang minggu ini.

Sebahagian daripada jalan susur (dari Gereja St Francis of Assisi, Jalan Cheras ke Jalan Medan Masria) kira-kira sepanjang 400 meter itu telah siap dan baki 200m lagi masih dalam pembinaan dan dijangka siap pada akhir Februari 2023.

“Semua tindakan-tindakan yang diambil ini akan memudahkan perjalanan pengguna Lebuhraya SUKE dan melancarkan trafik dekat jalan-jalan sambungan di sekitarnya,” katanya lagi.