fbpx

SUKE: Prolintas akan ubah tanjakan susur keluar ke Grand Saga kepada dua lorong

Prolintas SUKE

Projek Lintasan Kota Holdings Sdn Bhd (Prolintas) menerusi anak syarikatnya Projek Lintasan Sungai Besi-Ulu Klang Sdn Bhd telah mengeluarkan kenyataan terkini berkenaan tanjakan susur keluar dari Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE).

Menurut Prolintas, Bahagian Operasi Lebuhraya SUKE bersama perunding dilantik sedang mengkaji reka bentuk sesuai untuk mengubah tanjakan susur keluar ke Lebuhraya Cheras-Kajang (Grand Saga) dekat lampu isyarat ke PGA/Jalan Medan Masria kepada dua lorong.

“Melihat kepada kapasiti jalan yang agak luas, tanjakan susur keluar itu boleh ditambah baik menjadi dua lorong. Ini akan membantu untuk mengurangkan tempoh masa beratur dan seterusnya berupaya untuk membenarkan lebih banyak kenderaan keluar dari tanjakan itu pada satu-satu masa.

Kajian juga dijalankan bersama syarikat konsesi Lebuhraya Cheras-Kajang (CKE) untuk meneliti semula keseluruhan konfigurasi lampu isyarat termasuk berdekatan Maktab PDRM yang juga dibawah kendaliannya”, katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada Isnin.

Menurut syarikat itu lagi, dua unit papan tanda “Dilarang Belok Kanan” akan diletakkan pada 200 meter sebelum simpang ke CKE dan satu lagi di simpang terbabit untuk memberi amaran kepada pengguna agar tidak membelok ke kanan yang boleh memperlahankan kenderaan sehingga mengakibatkan timbunan trafik. Kedua-dua papan tanda berkenaan dijangka siap dipasang minggu ini.

Sebahagian daripada jalan susur (dari Gereja St Francis of Assisi, Jalan Cheras ke Jalan Medan Masria) kira-kira sepanjang 400 meter itu telah siap dan baki 200m lagi masih dalam pembinaan dan dijangka siap pada akhir Februari 2023.

“Semua tindakan-tindakan yang diambil ini akan memudahkan perjalanan pengguna Lebuhraya SUKE dan melancarkan trafik dekat jalan-jalan sambungan di sekitarnya,” katanya lagi.

Lihatkan Ulasan (1)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved