Arkib Tag: produksi

Era supercar V10 Audi R8 berakhir, tiada model pengganti dirancang

Siapa sangka, supercar Audi R8 yang sebelum ini terkenal kerana dipandu oleh pelakon Iron Man hanya mampu bertahan selama dua generasi sahaja, sejak ia mula diproduksikan pada tahun 2006.

Menurut laporan daripada laman Top Gear, unit terakhir Audi R8 telah pun meluncur keluar dari kilang Böllinger Höfe dekat Stuttgart baru-baru ini.

Ia merupakan unit Performance quattro Edition dengan nadi V10 5.2 liter berkuasa 612 hp, dan dilayangkan dengan warna Vegas Yellow.

 

 

Unit terakhir ini sayang sekali tidak akan dimiliki oleh sesiapa, sebaliknya ia akan menjadi bahan pameran di muzium Audi Tradition.

Disebabkan harga jualan yang agak mahal, tidak menghairankan apabila permintaan terhadap kereta sports ini tidak begitu memberangsangkan dan semakin menurun saban tahun.

Tidak seperti kembarnya Lamborghini Huracan yang bakal digantikan dengan model baharu, Audi tidak mempunyai sebarang perancangan untuk memperkenalkan model pengganti untuk R8 ini.

 

Selepas 11,465 unit sejak 2011, pengeluaran Lamborghini Aventador akhirnya tamat

SELEPAS mengeluarkan 11,465 unit sejak 2011, Lamborghini akhirnya menamatkan pengeluaran dan pemasangan Aventador.

Unit terakhir yang dikeluarkan adalah merupakan Avantardor Roadster Ultimae dengan warna biru khas yang dipilih melalui program kustom Ad Personam. Kereta terakhir ini akan pergi ke seorang pembeli di Switzerland.

Sebenarnya, ini kali kedua Lamborghini menamatkan pengeluaran Aventador. Sebelum ini 15 buah dari 4,000 unit kereta tenggelam dalam insiden kapal kargo Felicity Ace. Lamborghini terpaksa memulakan semula pengeluaran untuk menggantikan unit yang musnah itu.

Aventador terbukti sebagai salah satu model Lamborghini paling berjaya dengan jumlah jualan melebihi gabungan model-model V12 lain. Malah, jualan Aventador melebihi Murcielago hanya dalam tempoh lima tahun selepas pengenalannya.

85 peratus pelanggan memilih Aventador mereka melalui program kustom Ad Personam, bermakna terdapat lebih dari 200 kombinasi warna dan trim di luar sana.

Lamborghini memperkenalkan Aventador dalam konfigurasi LP700-4 coupe pada 2011 di Geneva Motor Show. Ia dikuasakan oleh enjin 6.5-liter V12 dengan sudut silinder 60-darjah.

Versi awal menghasilkan 690hp dan 690Nm tork, membolehkan supercar itu memecut ke 100km/j dalam hanya 2.9 saat, dengan kelajuan maksima 350km/j.

Sepanjang pengeluaran Aventador, Lamborghini juga telah mengeluarkan beberapa varian dan menggunakan model itu sebagai asas kepada model-model terhad.

Ini termasuklah SVJ yang mencatatkan rekod masa pusingan di Nurburgring Nordschleife dalam hanya 6 minit 44.97 saat. Terdapat juga model lain seperti Veneno, Centenario, Sian FKP 37, dan Countach LPI800-4.

Pengganti Aventador dilaporkan telah mula menjalani ujian, dan ia nampak hampir sama dengan model sekarang. Ia juga akan mendapat sistem elektrifikasi hibrid, tetapi enjinnya masih V12.

Pengganti ini dikatakan bakal dilancarkan pada 2023. Berakhirlah satu era dalam Lamborghini. Selamat jalan, Aventador.

Nissan GT-R dihenti pengeluaran di Eropah kerana peraturan emisi

NISSAN GT-R R35 telah mula dilancar pada 2007 dan masih dikatakan antara supercar paling berupaya di dunia.

Penggantinya pula masih belum jelas tetapi Nissan telah pun menghentikan pengeluaran dan penawaran GT-R di beberapa pasaran seluruh dunia.

Selepas Australia menamatkan jualan GT-R disebabkan peraturan kemalangan lebih ketat, nampaknya Eropah pula terpaksa mengucapkan selamat tinggal kepada Godzilla ini.

Menurut Autoblog.nl, GT-R tidak lagi boleh didapati di banyak negara-negara Eropah. Walaupun masih didapati di Jerman dan Belgium contohnya, pengedar-pengedar di Belanda, Itali, Sepanyol dan beberapa negara lain tidak lagi menerima tempahan GT-R.

Media Belanda itu juga mendapat pengesahan dari Nissan bahawa supercar itu akan meninggalkan terus pasaran Eropah – sekurang-kurangnya buat masa ini – disebabkan standard emisi/pelepasan yang semakin ketat.

Mereka juga menyatakan bahawa GT-R sudahpun cukup mahal untuk dimiliki di negara itu dan agak susah untuk pengedar menjualnya.

Kali terakhir ia dijual di Belanda, harga permulaan GT-R ialah 183,000 Euro (lebih RM850k) manakala GT-R Nismo bermula pada 303,000 Euro (lebih RM1.4 juta).

Untuk pasaran lain seperti di Amerika Syarikat, Nissan GT-R akan masih ditawarkan dan secara perbandingan menerus, harganya masih lebih rendah berbanding di Eropah.

Sayang betul! Kia Stinger bakal berkubur?

JIKA anda berkira-kira untuk menyambar Kia Stinger, baik berbuat demikian cepat. Ini kerana tiada khabar mengenai Stinger generasi akan datang, mungkin kerana jualannya yang agak ‘suam-suam kuku’.

Menurut laporan media antarabangsa, jangka hayat Stinger mungkin berakhir pada musim bunga tahun depan. Kia telah mendedahkan pelan produksi untuk kilang pengeluarannya di Korea Selatan pada 16 Julai lepas.

Stinger dipasang di kilang itu yang terletak di Sohari Plant, Gwangmyeong, tetapi menurut Korean Car Blog, kilang itu akan diubah untuk persediaan mengeluarkan kenderaan elektrik secara besar-besaran, terutamanya Carnival hibrid.

Ubah suai dan rombakan kilang itu akan bermula awal tahun depan, dan pengeluaran Stinger dijangka berakhir pada separuh masa kedua 2022.

Walaubagaimanapun, Kia ada melancarkan Stinger facelift pada Ogos tahun lepas yang kemudiannya diperkenalkan di pasaran-pasaran eksport awal tahun ini. Jika sedan sports rear-wheel drive ini tidak dihentikan pun, kemungkinan jumlah pengeluarannya akan dikurangkan.

Kia Stinger facelift ditawarkan dengan tiga pilihan enjin petrol, tambahan kepada dua pilihan sebelum ini.

  • 2.5-liter turbo Smartstream – 304hp @ 5,800rpm, 420Nm @ 1,650-4,000rpm (enjin baharu)
  • 3.3-liter turbo V6 T-GDi – 373hp @ 6,000rpm, 510Nm @ 1,300-4,500rpm
  • 2.0-liter Theta – 255hp @ 6,200rpm, 353Nm @ 1,400-4,000rpm

Kesemua enjin digandingkan dengan kotak gear automatik 8-kelajuan, dengan RWD atau AWD. Stinger turut dilengkapi dengan paparan infotainmen yang dikemaskini, sambungan Android Auto dan Apple CarPlay, serta Bluetooth.

Semasa dilancarkan di Malaysia pada 2018, Kia Stinger berharga RM240k hingga RM310k dan bersaing dengan sedan sports seperti Mercedes-AMG C43 4Matic.

Kami sejujurnya berharap Kia akan terus menawarkan Stinger kepada pasaran kerana ia satu model yang cukup sporti dan berbeza dari model-model lain jenama itu. Ia juga menerima pujian dari penguji-penguji yang telah memandunya.