Arkib Tag: pratonton

Dongfeng Malaysia pamer M Hero II, Voyah Dream dan 008 di KLIMS 2026

Bertempat di KLIMS 2026, Dongfeng Malaysia memperlihatkan 3 model andalan yang mungkin bakal dibawa masuk ke pasaran Malaysia.

Tiga model yang dimaksudkan itu ialah:

  • MHero II
  • Voyah Dream
  • Dongfeng 008

M Hero II

Ini merupakan jawapan Dongfeng untuk model-model SUV off-road di luar sana: M Hero II, atau lebih dikenali sebagai M-Hero M817 di pasaran China.

Penampilan gagah SUV ini disumbangkan oleh dimensi yang agak besar, sepanjang 5,100 mm, lebar 1,998 mm, tinggi 1,919 mm dan jarak antara roda 3,005 mm.

Ia merupakan sebuah SUV plug-in hybrid yang dipacu oleh enjin 1.5 liter turbo 197 hp dan dipadankan dengan dua motor elektrik, menghasilkan kuasa 687 hp.

Jarak pandu keseluruhan boleh mencecah sehingga 1,300 km.

Aspek pemanduan dibantu dengan sistem pacuan semua roda, mod pemanduan berbilang permukaan, serta teknologi casis termaju.

Rekaan bersegi menguasai bahagian luar SUV M Hero II ini ditambah dengan rekaan fender dan gerbang roda yang lebar, skid plate, serta jeriji tertutup lengkap dengan logo bercahaya.

Ruang kabin pula menempatkan skrin kluster digital 10.23 inci, skrin tengah 15.6 inci, cermin pandang belakang digital, serta tombol khas dengan skrin bulat pada konsol tengah.

 

Dongfeng 008

SUV ini lebih dikenali sebagai Dongfeng eπ 008 (sebut: Yipai 008) di pasaran China.

Ia merupakan sebuah SUV saiz pertengahan yang ditawarkan sebagai EV dan juga EREV yang mampu mencapai jarak pemanduan sejauh 1,200 km.

Unit yang dipamerkan ini merupakan versi EV yang dipacu motor elektrik 270 hp/320 Nm dan boleh dipandu sejauh 636 km.

Dimensi ukuran sepanjang 5,002 mm, lebar 1,972 mm, tinggi 1,732 mm dan jarak antara roda melebihi 3 meter (3,025 mm).

Tidak seperti kebanyakan kereta mewah China, Dongfeng 008 membawakan imej yang lebih kemas di bahagian luar.

Ruang kabinnya luas, menempatkan tempat duduk kapten baris kedua, meja boleh lipat, serta kemudahan seperti peti sejuk terbina.

Voyah Dream

Tidak cukup dengan pilihan MPV mewah di pasaran, boleh cuba lihat Voyah Dream yang dipamerkan ini.

Ia membawakan ukuran dimensi sepanjang 5,315 mm, lebar 1,980 mm, tinggi 1,810 mm dengan jarak antara roda 3,200 mm.

MPV ini tersedia dalam versi EV yang dipacu dua motor elektrik 543 hp, pek bateri 108.7 kWh dan jarak pandu sehingga 700 km (data CLTC).

Versi yang dipamerkan ini pula dipacu oleh sistem plug-in hybrid (PHEV) terdiri daripada enjin 1.5 liter turbo dan menawarkan jarak pandu sehingga 1,500 km.

Reka bentuk luar Voyah Dream meletakkannya sebaris dengan MPV mewah yang ada di pasaran.

Ruang kabin pula menawarkan konfigurasi tujuh tempat duduk, dengan fokus utama tertumpu pada baris kedua yang menyediakan kerusi kapten lengkap dengan skrin kawalan peribadi.

Ciri lain termasuklah skrin paparan siling untuk penumpang belakang serta peti sejuk.

Bakal masuk Malaysia?

Buat masa ini, pihak Dongfeng Malaysia masih belum membuat sebarang keputusan untuk membawa masuk ketiga-tiga model ini kelak.

Apa yang jelas, ia menunjukkan keberanian Dongfeng Malaysia untuk menaikkan tanda aras produknya ke satu tahap yang lebih tinggi.

 

KLIMS2026: GWM Haval H7 Hi4 PHEV dipertontonkan, tawar jarak pandu lebih 1,000 km

GWM Malaysia mempertontonkan sebuah lagi model baharu di acara KLIMS 2026, iaitu Haval H7 Hi4 PHEV.

SUV off-road tenaga baharu ini menampilkan rekaan kotak ikonik yang menggandingkan karakter SUV lasak dengan daya tarikan gaya hidup moden.

Spesifikasi

Berbanding Hi2 yang lebih ringkas, sistem Hi4 merujuk kepada tetapan hibrid pacuan semua roda yang lebih sesuai untuk pemanduan yang lebih lasak.

Pada Haval H7 Hi4 PHEV ini, ia menampilkan enjin 1.5 liter turbo dengan dua motor elektrik dan transmisi DHT dua-kelajuan.

Kuasa keseluruhan mencecah 370 PS dan 750 Nm, membolehkan pecutan 0-100 km/j dalam 6.2 saat.

Dalam mod sifar emisi, SUV ini boleh bergerak sejauh 150 km (CLTC) dengan jarak pandu keseluruhan boleh melebihi 1,000 km.

Casis & Dimensi

Haval H7 membawakan ukuran dimensi panjang 4,800 mm, lebar 1,950 mm , tinggi 1,843 mm dan jarak antara roda 2,738 mm.

Tidak seperti barisan model Tank dengan binaan body-on-frame, Haval H7 mengguna pakai casis monocoque.

Namun, ia masih lagi mampu menawarkan keupayaan pemanduan off-road dengan sudut pendekatan 25 darjah, sudut pelepasan 32 darjah dan sudut breakover 20.1 darjah.

H7 juga mampu meredah air sedalam 580 mm dan dilengkapi dengan kekunci pembeza belakang kawalan elektronik.

Luaran

Tema kotak menguasai keseluruhan reka bentuk Haval H7.

Di bahagian depan ia menampilkan jeriji berbentuk segi empat yang diinspirasikan daripada kubu pertahanan, diikuti lampu utama segi empat yang diinspirasikan daripada struktur tanggam dan pasak.

Lampu belakang pula menampilkan rekaan potongan kristal.

Kesemua elemen ini menggabungkan karakter lasak dengan sentuhan premium, sekali gus mewujudkan identiti SUV off-road urban yang tersendiri.

Kabin

Tema lasak tersebut diteruskan pada ruang kabin, menampilkan struktur papan pemuka yang menegak.

Terdapat kelengkapan seperti stereng dua jejari, skrin kluster digital 12.3 inci, serta skrin infohibur 15.6 inci di bahagian tengah.

Chery Tiggo 9 2026 dipertonton di Malaysia – harga anggaran bawah RM189,000

Chery Malaysia mempertontonkan sebuah SUV saiz pertengahan Tiggo 9 2026 yang bakal dilancarkan tidak lama lagi.

Harga jualan untuk SUV tiga baris tempat duduk segmen-D ini dianggarkan bawah RM189,000.

Secara standard, Tiggo 9 didatangkan dengan pakej berikut:

  • Jaminan kenderaan selama 7-tahun atau had perbatuan 150,000 km
  • Jaminan enjin 7-tahun atau had perbatuan sehingga 150,000 km

Spesifikasi kuasa

Chery Tiggo 9 ini dipacu enjin 2.0 TGDi yang mampu menghasilkan kuasa 256 PS dan daya kilas 390 Nm.

Enjin itu dipadankan dengan transmisi klac berkembar 7-kelajuan dan sistem pacuan semua roda (AWD).

Terdapat mod pemanduan Eco, Normal, Sport, Sand, Mud, Snow dan juga Off-road.

Casis & Dimensi

Tiggo 9 menggunakan tetapan suspensi topang MacPherson di depan diikuti sistem multi-link di belakang.

SUV ini berukuran sepanjang 4,810 mm, lebar 1,925 mm, tinggi 1,741 mm dengan jarak antara roda 2,800 mm, kecil sedikit berbanding Jaecoo J8.

Kapasiti tangki bahan api adalah sebesar 65 liter. Ruang kargo pula sebesar 448 liter dan boleh mencapai kapasiti sehingga 2,065 liter.

Secara standard, Tiggo 9 dipasangkan rim 20 inci yang dibaluti tayar 245/50R20.

Kelengkapan luaran


Di bahagian luar, Tiggo 9 tampil berbeza dengan Jaecoo J8, di mana ia menggunakan rekaan bampar depan yang wujud pada Tiggo 9X versi global.

Antara kelengkapan yang ada termasuklah:

  • lampu utama LED automatik
  • lampu nyalaan siang DRL LED
  • lampu membelok jenis sekuential
  • rel bumbung
  • spoiler belakang
  • lampu belakang LED
  • pintu tailgate berkuasa bebas tangan

Ruang kabin


Ruang kabin Tiggo 9 dihiasi dengan upholsteri kulit palsu diikuti roda stereng balutan kulit dengan larasan kuasa empat tahap dan kawalan iklim dua zon automatik.

Tempat duduk pemandu hadir dengan larasan 10-tahap dan fungsi memori sementara tempat duduk penumpang depan pula diberikan larasan 6-tahap.

Tempat duduk baris depan turut hadir dengan ciri seperti:

  • fungsi urut
  • fungsi ventilasi dan pemanasan
  • Boss switch (tempat duduk penumpang)
  • konsol tengah dengan fungsi penyejukan

Penumpang baris kedua juga berpeluang menikmati fungsi ventilasi dan pemanas, tirai tingkap dan sistem pendingin hawa yang boleh dikawal secara berasingan.


Ciri lain yang ada pada ruang kabin Tiggo 9 termasuklah:

  • skrin kluster digital 10.25 inci
  • skrin infohibur 15.6 inci
  • sokongan Apple CarPlay/Android Auto tanpa wayar
  • sistem audio Sony 14-pembesar suara
  • slot pengecasan peranti pintar tanpa wayar 50W
  • sistem pencahayaan ambien dinamik 64-warna
  • skrin paparan head-up HD

Keselamatan

Secara standard, Chery Tiggo 9 dibekalkan dengan 10 beg udara, kamera panorama HD 540 darjah, serta ciri-ciri penting seperti:

  • ABS, EBD, TCS, ESP, HAC, HDC
  • Sistem Pemantauan Tekanan Tayar (TPMS)
  • Amaran Lintasan Trafik Belakang (RCTA)
  • Sistem Pemantauan Tumpuan Pemandu (DMS)
  • Sistem Pemantauan Titik Buta (BSD)

Ciri bantuan keselamatan termaju (ADAS) termasuklah:

  • Amaran Pelanggaran Hadapan (FCW)
  • Brek Kecemasan Autonomi (AEB)
  • Kawalan Jelajah Adaptif (ACC)
  • Bantuan Penukaran Lorong (LCA)
  • Bantuan Pengekalan Lorong (LKA)
  • Amaran Keluar Lorong (LDW)
  • Pengelakan Keluar Lorong (LDP)
  • Bantuan Kesesakan Trafik (TJA)
  • Amaran Bukaan Pintu (DOW)
  • Bantuan Parkir Automatik (APA)

Warna

Untuk pasaran Malaysia, Chery Tiggo 9 ditawarkan dalam pilihan warna Matte Grey dan Carbon Black.

Mercedes-Benz CLA 250+ 2026 – tempahan dibuka, harga anggaran RM295,888

Mercedes-Benz Malaysia baru-baru ini mengumumkan pembukaan tempahan bagi model sedan elektrik serba baharu Mercedes-Benz CLA 2026.

Ia hanya ditawarkan dalam varian tunggal CLA 250+ with EQ Technology, dengan harga jualan anggaran bermula dari RM295,888 atas jalan tidak termasuk insurans.

Berikut merupakan beberapa fakta ringkas yang perlu anda tahu:

 

1. Unit pacuan

CLA 250+ hadir dengan tetapan motor elektrik tunggal pacuan belakang, menghasilkan kuasa 272 hp dan daya kilas 335 Nm.

Dengan padanan transmisi automatik 2-kelajuan, CLA 250+ boleh memecut sepantas 6.7 saat dari 0-100 km/j dan mencapai kelajuan tertinggi 210 km/j.

 

2. Bateri & pengecasan

CLA 250+ mampu bergerak sejauh 792 km untuk sekali cas penuh (data WLTP), terima kasih kepada pek bateri NMC 85 kWh.

Dengan senibina elektrik 800-voltan dan keupayaan pengecasan DC 320 kW, pemilik CLA boleh menambah jarak sehingga 325 km dalam masa 10 minit sahaja.

 

3. Dimensi

Sebagai sebuah sedan kompak, CLA membawakan ukuran sepanjang 4,723 mm, lebar 1,855 mm, tinggi 1,468 mm dan jarak antara roda sepanjang 2,790 mm.

Berbanding generasi terdahulu, CLA baharu ini lebih panjang 35 mm, lebih lebar 25 mm, dan menawarkan ruang kabin yang lebih luas.

Buat pertama kalinya sebuah Mercedes menawarkan ruang kargo hadapan (frunk) sebesar 101 liter sebagai pelengkap kepada ruang kargo belakang 405 liter.

 

4. Luaran

Daripada segi rekaan luaran, penampilan CLA tampak sporti disumbangkan oleh ciri seperti jarak overhang yang pendek, rekaan belakang GT serta jarak antara roda yang panjang.

Bahagian depan mempunyai panel jeriji yang dihiasi dengan 142 LED bintang tiga bucu yang bercahaya.

Elemen bintang Mercedes itu juga boleh didapati pada unit lampu utama depan dan belakang.

 

5. Kabin

Ruang kabin CLA pula dihiasi dengan skrin paparan lebar MBUX Superscreen yang terdiri daripada skrin kluster digital 10.25 inci dan dua skrin sebesar 14 inci.

Sistem operasi MB.OS turut menawarkan ciri kepintaran buatan (AI) yang menggunakan sokongan ChatGTP4o dan Microsoft Bing, serta Google Gemini untuk persoalan berkaitan sistem navigasi.

Lebih banyak perincian tentang model ini akan diketahui menjelang pelancaran rasmi yang akan berlangsung tidak lama lagi.

 

Nissan Serena e-Power C28 dipertontonkan – pelancaran Q1 2026 sebagai model CKD

Edaran Tan Chong Motor (ETCM) baru-baru ini mengadakan sesi pratonton bagi model MPV baharu yang bakal dilancarkan pada tahun depan, iaitu Nissan Serena e-Power.

Generasi keenam Nissan Serena e-Power (C28) itu dikuasakan oleh sistem pacuan e-Power yang terdiri daripada enjin 1.4 liter, motor elektrik 163 PS dan 315 Nm dan pek bateri lithium-ion 1.769 kWh.

Tidak seperti kenderaan hibrid di pasaran, sistem e-Power ini bergantung sepenuhnya pada motor elektrik untuk bergerak.

Enjin 1.4 liter itu tadi hanya bertindak sebagai unit penjana kuasa, namun tetap didatangkan dengan teknologi sistem pancitan terus dan Mirror Bore Coating yang mampu mengurangkan geseran, gegaran dan bunyi.

Kadar penggunaan bahan api adalah serendah 5.4 liter untuk setiap 100 km, dan MPV ini boleh bergerak sejauh 1,000 km untuk setangki minyak penuh.

Daripada segi penampilan, Serena e-Power C28 ini membawakan imej yang lebih moden, dimulakan dengan jeriji V-motion dan bampar yang lebih kemas, lampu belakang dengan grafik boomerang, serta logo Nissan baharu.

Rim pula bersaiz 16 inci.

Menurut ETCM lagi, Nissan Serena e-Power merupakan model e-Power yang pertama akan dipasang di kilang Serendah.

Harga jualan serta spesifikasi penuh Nissan Serena e-Power akan diumumkan pada pelancaran rasmi yang dijangka berlangsung pada suku pertama 2026 (Q1 2026).

Tempahan Jetour T2 2026 dibuka, pelancaran Q1 2026, harga anggaran RM178,888

Pihak Jetour Malaysia telah mengumumkan pembukaan tempahan bagi model SUV premium lasak Jetour T2, dengan harga anggaran dari RM178,888.

Dengan kemunculan versi pemanduan sebelah kanan (RHD) baru-baru ini, ia sekaligus menjadikan Malaysia sebagai antara pasaran terawal di dunia yang menyambut kemunculan model ini.

Untuk info, Jetour T2 versi RHD ini telah pun dipamerkan semasa acara pameran Shanghai Auto Show pada bulan April yang lepas.

Berikut merupakan beberapa fakta ringkas tentang Jetour T2 yang bakal dilancarkan pada suku pertama 2026 (Q1 2026):

 

1. Enjin

Jetour T2 dikuasakan oleh enjin petrol 2.0L TGDi dengan hamburan kuasa 245 PS dan daya kilas 375 Nm.

Enjin itu dipadankan dengan transmisi automatik klac berkembar tujuh-kelajuan, sistem pacuan empat roda serta mod pemanduan pintar X-Intelligent yang boleh disesuaikan mengikut permukaan dan keadaan jalan.

 

2. Dimensi

Jetour T2 merupakan SUV saiz pertengahan dengan ukuran dimensi sepanjang 4,785 mm, lebar 2,006 mm, tinggi, 1880 mm dengan jarak antara roda 2,800 mm.

 

3. Kelengkapan

Jetour T2 mendapat kelengkapan seperti unit pencahayaan LED berserta logo Jetour bercahaya, rel bumbung serta kotak storan luaran pada pintu kargo belakang.

Untuk ruang kabin, terdapat skrin kluster 10.25 inci, skrin infohibur 15.6 inci, sokongan Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar, serta tidak ketinggalan sistem audio Sony dengan 12 pembesar suara.

 

4. Keselamatan

Jetour Malaysia mengesahkan SUV T2 ini akan dilengkapi dengan enam beg udara, sistem pemantauan tekanan tayar (TPMS), kamera keliling 360 darjah, serta sistem bantuan pemandu ADAS Tahap 2.

Rakyat Malaysia yang berminat boleh membuat tempahan di semua pengedar sah Jetour dengan yuran tempahan RM1,000.

smart #1 akan dipertonton di acara Carlist Drive Auto Fair pada 1-3 September 2023

SUSULAN pelancaran smart #1 di EVx 2023 baru-baru ini, smart Malaysia menganjurkan pratonton eksklusif pada 26 hingga 28 September 2023.

Acara ini telah menarik perhatian peminat smart dengan lebih daripada 1,000 pengunjung yang hadir dan menawarkan peluang memandu uji kereta serta interaksi secara peribadi.

Menurut smart, sambutan yang telah diterima amat menggalakkan dengan ramai pengunjung memuji EV kompak itu atas ciri-ciri premium dan reka bentuknya.

Dalam perkembangan terbaharu bagi smart Malaysia, mereka mengumumkan bahawa persiapan sedang dijalankan untuk pembukaan pengedar pertama pada masa akan datang.

Kemuncak acara pratonton kali ini turut disertai oleh ahli ahli kelab pemilik smart, yang memeriahkan acara dengan semangat dan sokongan mereka.

Pameran smart #1 di Carlist DRIVE Auto Fair 2023

smart Malaysia mengumumkan smart #1 akan dipamerkan di Carlist DRIVE Auto Fair 2023 dengan kerjasama Edaran Otomobil Nasional Berhad (EON).

Jika anda ingin melihat dengan lebih dekat EV kompak terbaharu ini, bolehlah berkunjung ke Hall 2, Setia City Convention Centre dari hari ini, 1 September hingga Ahad, 3 September 2023.

Program ini dibuka kepada orang ramai dari 10 pagi hingga 8 malam.

Dari segi rekaan, smart #1 mendapat sentuhan pereka Mercedes-Benz memandangkan jenama smart kini dimiliki 50-50 oleh jenama Jerman itu dan Geely. Maka sebab itu anda dapat melihat lekuk-lekuk dan elemen rekaan seperti Mercedes GLA atau EQA.

smart #1 dilengkapi dengan lampu LED matriks, gril depan bercahaya, dan lampu LED belakang jenis bar melintang. Kesemua lampu luaran ini akan menyala dengan kesan grafik khas semasa anda membuka/mengunci kereta atau memainkan muzik.

Ruang dalaman smart #1 mendapat ciri premium dan terkini tetapi agak unik dengan cara mereka sendiri.

Antaranya ‘persembahan’ lampu semasa anda mahu membuka pintu (tanpa bingkai), kokpit dengan paparan infotainmen 12.8-inci di tengah, dan paparan instrumen 9.2-inci untuk pemandu.

Ciri lain merangkumi Apple Carplay dan Android Auto, pembesar suara 640W, dan bumbung panoramik halo yang menurut Pro-Net, terbesar dalam segmennya.

Smart #1 juga didatangkan dengan sistem audio Beats dengan 13 pembesar suara, pertama dalam industri automotif. Jangan main-main.