Arkib Tag: perodua ativa

Perodua Ativa pintas Traz lagi pada Mei 2026, Proton X50 kekal raja SUV Malaysia!

Pasaran SUV kompak di Malaysia bagi bulan Mei 2026 terus menyajikan drama persaingan tiga segi di antara Perodua Ativa, Traz dan Proton X50.

Selepas pendaftaran terkumpul (YTD) Mac dan April memperlihatkan pergerakan agresif, kedudukan carta kini mula menunjukkan corak penguasaan yang semakin menarik untuk diteliti, terutamanya dalam kem Perodua.

Walau bagaimanapun, takhta kejuaraan secara individu masih lagi milik mutlak Proton X50 yang kekal kebal sebagai SUV paling laris di tanah air.

Proton X50 Kekal Mendominasi, Dekati Angka 12k Unit

Meskipun pasaran berdepan asakan hebat daripada lambakan SUV hibrid dan elektrik (EV) baharu dari China, keutamaan pengguna Malaysia terhadap Proton X50 nyata sukar digugat.

Bagi bulan Mei 2026, SUV segmen-B ini mencatatkan pendaftaran sebanyak 2,073 unit (menurun berbanding 2,468 unit pada April akibat faktor selepas raya).

Prestasi bulanan Proton X50 setakat lima bulan pertama 2026:

  • Januari: 1,891 unit
  • Februari: 2,340 unit
  • Mac: 2,858 unit
  • April: 2,468 unit
  • Mei: 2,073 unit

Jumlah Terkumpul (YTD Mei): 11,630 unit

Keupayaan enjin 1.5L Turbo yang digandingkan dengan transmisi DCT ini membuktikan pilihan rangkaian kuasa konvensional Proton masih memegang kepercayaan tertinggi dalam kalangan pembeli tempatan.

Seteru Seperjuangan: Ativa Pintas Bulanan, Traz Menang YTD!

Di kem Perodua, persaingan antara Perodua Traz dan Perodua Ativa menjadi semakin membara.

Di atas kertas, Ativa membuktikan ia masih bertaring apabila berjaya memintas pendaftaran bulanan Traz buat kali kedua berturut-turut pada bulan Mei dengan kelebihan 223 unit.

Angka pendaftaran bulanan bagi bulan Mei 2026 sahaja:

  • Perodua Ativa: 1,762 unit (April: 2,230 unit)
  • Perodua Traz: 1,539 unit (April: 2,220 unit)

Namun begitu, dari segi pendaftaran keseluruhan (YTD), Traz yang dipacu enjin 1.5L NA kekal di hadapan hasil daripada momentum konsisten pada awal suku pertama yang lalu.

Prestasi pendaftaran terkumpul (YTD sehingga 31 Mei 2026):

  • Perodua Traz (No. 9 YTD): 8,849 unit
  • Perodua Ativa (No. 10 YTD): 8,276 unit

Strategi Dua Penjuru Perodua ‘Tapau’ Proton

Kewujudan serentak Traz dan Ativa dalam portfolio Perodua ternyata merupakan satu langkah taktikal yang sangat berbisa.

Gabungan pendaftaran terkumpul duo SUV kompak Perodua kini sudah pun mencecah 17,125 unit (YTD).

Angka keseluruhan ini bukan sahaja jauh meninggalkan pencapaian individu Proton X50 (11,630 unit), malah menjadi nadi dalam membantu mengukuhkan cengkaman apabila jumlah pendaftaran keseluruhan Perodua mencecah 130,778 unit setakat Mei 2026.

Statistik Pendaftaran Kenderaan (YTD Mei 2026)

Kejutan terbesar pada bulan ini menyaksikan Honda City terpaksa akur terkeluar daripada kelompok 10 kenderaan, sekali gus membolehkan Perodua Ativa kembali membuat kemunculan semula dan berada di tangga kesepuluh:

  1. Perodua Bezza: 39,465 unit
  2. Proton Saga: 37,234 unit
  3. Perodua Axia: 30,940 unit
  4. Perodua Myvi: 23,894 unit
  5. Perodua Alza: 15,677 unit
  6. Proton X50: 11,630 unit
  7. Proton S70: 10,525 unit
  8. Proton e.MAS 5: 9,356 unit
  9. Perodua Traz: 8,849 unit
  10. Perodua Ativa: 8,276 unit

Sumber Data: data.gov.my

Perodua rancang pasang Ativa Hybrid di Malaysia

Perodua merancang untuk melakukan pengeluaran model Ativa Hybrid secara tempatan, lapor Bernama.

Datuk Seri Zainal Abidin Ahmad, Presiden dan CEO Perodua berkata, pihaknya sedang memuktamadkan perbincangan membabitkan perkara termasuklah tempoh pengeluaran, penetapan harga dan butiran lain.

“Sebaik sahaja dapat memuktamadkan perkara-perkara berkaitan, kami akan membuat pengumuman rasmi kemudiannya.

“Apa yang pasti, model Ativa hibrid ini akan dikeluarkan di peringkat tempatan,” katanya pada sidang media bersempena lawatan Duta Besar Jepun ke Malaysia, Noriyuki Shikata ke kilang Perodua baru-baru ini.

Difahamkan, Perodua menerima pelaburan bernilai 1.5 bilion yen (lebih RM37 juta) daripada Global South Fund bagi menyokong teknologi hibrid Jepun di sini.

Perodua Ativa dilancarkan secara rasmi pada tahun 2021, dan merupakan model pertama Perodua yang dibina berdasarkan platform DNGA.

Buat masa ini, Ativa hanya ditawarkan dengan enjin 1.0 liter turbo 1KR-VET yang dipadankan dengan transmisi D-CVT.

Ativa Hybrid pernah ada di Malaysia

Pada September 2022, Perodua melancarkan kajian terhadap mobiliti kenderaan elektrik melibatkan 300 orang pelanggan.

Menerusi program ini, sebanyak 300 unit Ativa Hybrid disediakan di mana kesemuanya merupakan unit CBU daripada pasaran Jepun.

Perodua Ativa Hybrid menggunakan trenkuasa sistem hibrid bersiri di mana hanya motor elektrik digunakan untuk menggerakkan roda kenderaan.

Manakala enjin 1.2 liter WA-VEX hanya bertindak sebagai unit penjana kuasa untuk mengecas bateri dan menggerakkan motor elektrik.

Kembarnya di Jepun (Daihatsu Rocky Hybrid) ditawarkan dengan e-Smart Hybrid terdiri daripada:

  • enjin tiga-silinder 1.2 liter WA-VEX (102 hp/105 Nm)
  • motor elektrik 106 hp/170 Nm
  • pek bateri 4.3 Ah

Proton X50 raja SUV, Perodua Traz kalah 10 unit dengan Ativa pada April 2026

Pasaran SUV Malaysia bagi bulan April 2026 terus memperlihatkan penguasaan Proton X50 yang sukar digugat.

Meskipun pasaran kini dibanjiri dengan pelbagai model baharu sama ada dari jenama tempatan atau China, Proton X50 membuktikan kredibilitinya apabila kekal konsisten sebagai SUV paling laris di tanah air.

Sementara itu, dalam kem Perodua, perhatian terarah kepada model baharu Traz, yang kini secara rasmi memintas kedudukan pendaftaran terkumpul (YTD) saudaranya, Ativa.

Prestasi Proton X50 April 2026

Berdasarkan data pendaftaran sehingga 30 April 2026, Proton X50 kekal stabil dengan pendaftaran sebanyak 2,468 unit bagi bulan April.

Meskipun mencatat penurunan berbanding Mac, momentum X50 masih jauh di hadapan pencabar SUV segmen-B yang lain secara individu.

Prestasi konsisten ini menunjukkan model pembakaran dalaman (ICE) dengan kuasa turbo keluaran Proton masih memegang kepercayaan tinggi pengguna Malaysia.

Berikut adalah prestasi bulanan Proton X50 (Januari – April 2026):

  • Januari: 1,891 unit
  • Februari: 2,340 unit
  • Mac: 2,858 unit
  • April: 2,468 unit
  • Jumlah Terkumpul (YTD): 9,557 unit

Perodua Traz Mula Memintas Ativa

Satu perkembangan yang sangat menarik bagi suku kedua (Q2) 2026 adalah prestasi Perodua Traz yang bersaing dengan Perodua Ativa.

Model ini mempamerkan momentum yang cukup kuat apabila merekodkan pendaftaran sebanyak 2,220 unit pada bulan April, sekali gus memintas kedudukan YTD Ativa.

Data pendaftaran bulanan bagi model Perodua Traz:

  • Januari: 1,520 unit
  • Februari: 1,850 unit
  • Mac: 1,720 unit
  • April: 2,220 unit
  • Jumlah Terkumpul (YTD): 7,310 unit

Manakala prestasi Perodua Ativa menyaksikan persaingan yang cukup sengit sejak Januari 2026:

  • Januari: 1,650 unit
  • Februari: 1,254 unit
  • Mac: 1,380 unit
  • April: 2,230 unit
  • Jumlah Terkumpul (YTD): 6,514 unit

Berdasarkan jualan April, dapat diperhatikan kedua-dua model ini sama kuat dengan Ativa berjaya memintas Traz sebanyak 10 unit.

Strategi SUV Perodua dan Penguasaan Pasaran

Bagi Perodua, kewujudan serentak Traz dan Ativa sebenarnya merupakan satu kelebihan taktikal yang sangat berbisa.

Persaingan sihat antara kedua-dua model ini memberikan kepelbagaian pilihan dalam segmen SUV kompak buat pembeli di Malaysia.

Pengguna boleh memilih sama ada mahukan teknologi turbo pada Ativa atau praktikaliti enjin 1.5L NA pada Traz.

Secara strategik, gabungan pendaftaran Traz dan Ativa kini mencecah 13,824 unit (YTD).

Angka ini ternyata jauh lebih tinggi berbanding pencapaian individu Proton X50 yang mencatatkan 9,557 unit (YTD).

Malah, jika dibandingkan dengan gabungan tiga model SUV utama Proton (X50, X70, X90) sebanyak 12,761 unit (YTD), duo SUV Perodua ini masih lagi mendahului dengan kelebihan 1,063 unit.

Setakat April, penguasaan Perodua dalam pendaftaran keseluruhan sudah pun mencecah angka 106,298 unit.

Gabungan Traz dan Ativa terbukti menjadi penyumbang dalam mengukuhkan cengkaman Perodua dalam pasaran SUV negara.

Statistik Pendaftaran Kenderaan (YTD April 2026)

Berikut adalah kedudukan 10 model paling popular mengikut pendaftaran terkumpul bagi tempoh Januari hingga April 2026:

  1. Perodua Bezza: 32,386 unit
  2. Proton Saga: 29,897 unit
  3. Perodua Axia: 24,955 unit
  4. Perodua Myvi: 19,478 unit
  5. Perodua Alza: 12,806 unit
  6. Proton X50: 9,557 unit
  7. Proton e.MAS 5: 8,473 unit
  8. Proton S70: 8,175 unit
  9. Perodua Traz: 7,310 unit
  10. Honda City: 6,730 unit

Sumber Data: data.gov.my

Perodua Ativa 10 terlaris pada Mac, Traz terkeluar!

Landskap SUV kompak Malaysia bagi penutup suku pertama (Q1) 2026 menyajikan drama yang tidak disangka-sangka di antara Perodua Ativa dan Traz.

Selepas dua bulan mendominasi dan menjadi sebutan ramai, Perodua Traz terkeluar daripada carta 10 terlaris dan berada pada tangga ke-15.

Berdasarkan data terkini, Mac 2026 menyaksikan senior dalam segmen SUV kompak, iaitu Ativa, kembali menunjukkan taring dan menduduki tangga sepuluh teratas.

Kebangkitan ini sekali gus berjaya memintas pencabar baharu tersebut dalam carta bulanan.

Analisis Perodua Ativa vs Perodua Traz 2026

Graf pendaftaran bulanan menunjukkan satu trend yang sangat ketara antara kedua-dua model Perodua ini sepanjang suku pertama 2026.

Persaingan dalaman ini membuktikan bahawa pilihan pengguna masih dinamik walaupun model baharu dilancarkan.

  • Januari 2026: Traz bermula garang dengan 1,901 unit, manakala Ativa sebanyak 1,012 unit.
  • Februari 2026: Jurang semakin rapat apabila Traz merekodkan 1,710 unit dan Ativa mula mendaki ke 1,352 unit.
  • Mac 2026: Kebangkitan mutlak Ativa dengan angka pendaftaran melonjak kepada 1,920 unit, manakala Traz menurun kepada 1,479 unit.

Prestasi cemerlang pada bulan Mac ini meletakkan Ativa kembali di hadapan, sekali gus membolehkan model turbo itu memasuki semula carta 10 model terlaris bulanan.

Kejatuhan pendaftaran Traz secara automatik menolaknya keluar daripada kelompok elit tersebut bagi bulan Mac.

Untuk Q1, Traz masih di atas dengan kedudukan 10 terlaris berdasarkan jualan terkumpul 5,090 unit manakala Atiza di tempat ke-12 dengan jualan 4,284 unit.

Persaingan Perodua Bezza, Proton Saga dan Perodua Axia

Persaingan di kelompok tiga teratas menunjukkan dinamika yang sangat sengit antara dua gergasi nasional.

Walaupun Saga memulakan tahun dengan agresif, kedudukan Q1 2026 menyaksikan takhta kereta nombor satu kini milik Perodua semula.

Pendaftaran Bezza pada bulan Mac mencecah 7,493 unit dan secara rasminya merampas takhta Q1 dengan pendaftaran terkumpul (YTD) sebanyak 22,955 unit.

Saga pula mengekor rapat di tangga kedua dengan 21,690 unit yang menyaksikan pendaftaran pada Mac susut ketara kepada 5,398 unit berbanding 6,007 unit pada Februari.

Satu yang menarik Perodua Axia dengan jualan 5,774 unit pada Mac berjaya memintas Saga dan berada pada tangga kedua.

Jualan terkumpul Axia adalah sebanyak 17,661 unit setakat Mac 2026.

Kebangkitan Honda City dan Nasib Toyota Hilux

Dua bulan lepas (Januari dan Februari), Toyota Hilux menjadi wakil tunggal jenama asing yang berjaya memecah masuk ke dalam kelompok 10 model terlaris.

Namun, Mac 2026 menyaksikan perubahan drastik dalam kategori jenama bukan nasional ini.

Honda City (Sedan & Hatchback) membuat kemunculan semula yang luar biasa dengan pendaftaran sebanyak 2,743 unit pada bulan Mac.

Kebangkitan ini meletakkan angka pendaftaran terkumpul siri City kepada 5,232 unit.

Walaupun pendaftaran Hilux pada bulan Mac menunjukkan peningkatan kepada 1,749 unit berbanding Februari (1,677 unit), kedudukannya tetap terancam.

Persoalan besar kini timbul dengan harga diesel yang melonjak tinggi, apakah nasib kenderaan utiliti seperti Hilux pada masa akan datang?

Toyota Hilux BEV dapat bantu kurangkan impak harga diesel?

Statistik Pendaftaran Kenderaan (YTD Mac 2026)

Berikut adalah kedudukan 10 model paling popular mengikut pendaftaran terkumpul bagi tempoh Januari hingga Mac 2026:

  1. Perodua Bezza: 22,955 unit
  2. Proton Saga: 21,690 unit
  3. Perodua Axia: 17,661 unit
  4. Perodua Myvi: 13,650 unit
  5. Perodua Alza: 8,691 unit
  6. Proton X50: 7,089 unit
  7. Proton e.MAS 5: 6,701 unit
  8. Proton S70: 5,798 unit
  9. Honda City: 5,232 unit
  10. Perodua Traz: 5,090 unit

Sumber Data: data.gov.my

Perodua Traz 10 terlaris pada Feb, Ativa terkeluar sejak Jan 2026!

Luar biasa! Landskap automotif Malaysia menyaksikan anjakan besar dengan Perodua Traz membuktikannya kalis kecaman manakala Proton Saga dan Perodua Bezza terus bersaing sengit.

Segmen SUV kompak kini menjadi tumpuan Traz terus mengukuhkan kedudukan dalam kelompok 10 terlaris, meninggalkan Ativa yang terkeluar dari radar kelompok elit sejak Januari 2026.

Dalam masa yang sama, persaingan dua model sedan paling ikonik negara, Saga dan Bezza terus menjadi drama kejar-mengejar sengit setakat tahun ini.

Drama Saga vs Bezza: Siapa Sebenarnya Raja?

Permulaan tahun ini memihak kepada Proton apabila Saga 2026 berjaya mengejutkan pasaran dengan kemenangan besar pada bulan Januari.

Namun, Perodua tidak menunggu lama untuk melakukan serangan balas pada bulan berikutnya.

  • Januari (Kemenangan Proton): Saga mendominasi dengan 10,285 unit, manakala Bezza tertinggal di belakang dengan 8,431 unit.
  • Februari (Kebangkitan Perodua): Bezza merampas kembali takhta bulanan dengan 7,031 unit, memintas Saga yang mencatatkan 6,007 unit.
  • Keputusan Keseluruhan (YTD): Walaupun Bezza menang di Februari, Proton Saga masih memegang gelaran Raja 2026 setakat ini dengan jumlah terkumpul 16,292 unit berbanding Bezza 15,462 unit.

Proton e.MAS 5: Dominasi Mutlak Pasaran EV

Satu lagi pencapaian yang wajib diberi perhatian adalah prestasi Proton e.MAS 5.

Model ini secara konsisten menjadi pilihan utama pengguna yang mahu beralih kepada teknologi elektrik daripada model petrol tradisional.

Setakat Februari 2026, e.MAS 5 telah merekodkan pendaftaran sebanyak 4,630 unit (YTD).

Kedudukannya yang kukuh di tangga ke-6 keseluruhan pasaran membuktikan bahawa Proton kini adalah peneraju sebenar pasaran EV massa di Malaysia, jauh meninggalkan pencabar EV dari jenama asing.

Satu-Satunya Wakil Luar: Toyota Hilux

Dalam keghairahan jenama nasional menguasai carta, satu fakta yang mengejutkan adalah bagaimana jenama asing tradisional semakin terhimpit.

Daripada 10 kedudukan teratas model paling laris, sembilan daripadanya didominasi sepenuhnya oleh Proton dan Perodua.

Toyota Hilux muncul sebagai pejuang tunggal jenama luar yang berjaya menyelit di kedudukan ke-10 dengan 3,015 unit pendaftaran (YTD).

Jenama Jepun lain yang dahulunya gah kini terpaksa akur berada di luar kelompok elit model individu bagi tahun 2026.

Fenomena Jenama China: Pintas Gergasi Jepun

Bukan sekadar model individu, landskap pengeluar  juga berubah drastik. Jenama dari China kini mula mencabar dominasi tradisi jenama Jepun yang sudah lama bertapak di Malaysia:

  • Chery: Kini melonjak ke kedudukan ke-5 jenama paling laris dengan 5,101 unit, menghampiri Honda yang berada di tangga ke-4 (6,556 unit).
  • BYD: Berjaya menduduki tangga ke-7 dengan 1,382 unit, secara rasminya memintas jenama Jepun seperti Mazda (1,285 unit).

Perodua Traz vs Ativa: Jurang Semakin Rapat!

Di segmen SUV kompak, Perodua Traz terus membuktikan dirinya sebagai model yang kalis kecaman.

Walaupun dihujani kritikan netizen berkaitan spesifikasinya di media sosial, angka jualan menunjukkan realiti yang berbeza apabila Traz kekal utuh dalam kelompok Top 10 pasaran Malaysia bagi dua bulan berturut-turut.

Prestasi Perodua Traz (Kekal No. 8):

  • Januari: Mencatatkan 1,901 unit (Kedudukan No. 8).
  • Februari: Kekal kukuh dengan 1,710 unit (Kedudukan No. 8).
  • Jumlah Terkumpul (YTD): Sebanyak 3,611 unit, mengukuhkan statusnya sebagai antara SUV paling diminati rakyat Malaysia ketika ini.

Prestasi Perodua Ativa (Daripada 11 ke 15):

  • Januari: Bermula perlahan dengan 1,012 unit, menyebabkannya tercampak ke kedudukan ke-15.
  • Februari: Menunjukkan sinar kebangkitan dengan 1,352 unit.
  • Pertumbuhan: Pendaftaran melonjak drastik sebanyak 33.6% dalam tempoh sebulan.
  • Status Semasa: Melonjak naik ke tangga ke-11 dan berada di pintu Top 10.

Fakta Menarik (Jan – Feb 2026)

  • Saga Kekal Takhta Nombor 1: Walaupun tewas pada Februari, Proton Saga masih mendahului carta keseluruhan tahun 2026 dengan 16,292 unit.
  • Bezza Comeback: Perodua Bezza membuktikan taring terus berbisa dengan merampas kedudukan No. 1 Februari melalui 7,031 unit pendaftaran.
  • Lonjakan Ativa: Ativa mencatatkan pertumbuhan pendaftaran bulanan tertinggi dalam kem Perodua iaitu sebanyak 33.6% pada Februari.
  • Fenomena e.MAS 5: Satu-satunya model EV dalam Top 10 Malaysia dengan 4,630 unit atau separuh daripada pendaftaran Myvi.
  • Hilux Bertahan: Toyota Hilux menjadi satu-satunya model bukan kebangsaan dalam kelompok Top 10 dengan 3,015 unit.
  • Chery Himpit Honda: Jenama Chery kini hanya dibezakan sekitar 1,400 unit sahaja untuk merampas kedudukan ke-4 keseluruhan daripada Honda.
  • Dominasi Tempatan: 9 daripada 10 kereta paling laris di Malaysia bagi tahun 2026 setakat ini dari jenama kebangsaan.

Sumber: data.gov.my

Honda WR-V RS boleh buat Perodua Ativa tak duduk senang? – Pandu uji

BILA Honda Malaysia mengumumkan tidak akan membawa masuk BR-V generasi baharu, ramai netizen yang mengeluh kerana merasakan mereka perlu sebuah kenderaan tujuh tempat duduk mampu milik.

Segmen ini – selain Honda BR-V – juga dihuni oleh Mitsubishi Xpander, Toyota Avanza, Perodua Alza, dan Perodua Aruz. Ada pengeluar yang menggelarkan model mereka sebagai crossover, MPV, malah SUV.

 

Bagi penulis, kesemuanya dalam segmen yang sama, gelaran hanya diberi berdasarkan rupa dan bukannya fungsi. Tapi cerita kita hari ini ialah ‘pengganti’ BR-V, iaitu WR-V.

Seperti yang anda telah ketahui, WR-V ialah model segmen-A atau B kompak dengan rupa SUV, dan berkapasiti lima tempat duduk. Ini menjadikannya pesaing kepada Perodua Ativa.

Adakah Honda berpendapat pembeli mereka tidak mahu lagi MPV/crossover tujuh tempat duduk dan mahukan SUV kompak, atau Honda tidak mahu Perodua memonopoli pasaran SUV segmen-A?

Rupa trendy

Sebelum menjawab soalan di atas, kita lihatkan beza harga. Honda WR-V ditawarkan pada harga bermula RM89,900 untuk varian S, tetapi varian RS yang kami uji ini berharga RM107,900. Ativa pula berharga antara RM62,500 hingga RM72,600.

Sudah tentu Ativa lebih mampu milik kerana hadir dengan enjin berkapasiti lebih kecil selain tarafnya sebagai pengeluar kereta nasional.

Tetapi jika diamati penggayaan Honda WR-V, penulis dapati ianya direka untuk memenuhi kehendak dan minat golongan muda masa kini. Trend SUV menular dari segmen lebih atas (C, D, premium) dan kini tiba ke segmen-A. Lihat sahaja Toyota Corolla sedan dengan Corolla Cross, yang mana lebih mudah dijumpai?

Penulis suka rupa keseluruhan WR-V ini kerana ia nampak segar tetapi pada masa yang sama ada ‘family look’ dengan model-model Honda lain. Lampu depan LED mirip City lengkap dengan signal sequential, gril dengan titik-titik krom memberikan rasa premium, pembuka pintu belakang tersorok seperti HR-V, kemudian lampu belakang dengan garisan nyalaan seperti Civic FE.

Saiz WR-V ini terasa cukup-cukup sahaja, sempurna untuk kegunaan keluarga muda yang tinggal di bandar.

Kabin potong ‘stim’

Jujur kata, penulis mula-mula masuk ke dalam WR-V ini rasa sedikit kecewa. Entah kenapa, tapi kabinnya seperti ‘kosong’.

Bila diteliti balik, sebenarnya okay sahaja untuk harga ini. Cuma mungkin penulis terbawa-bawa dengan kecantikan badan luaran, jadi penulis ada harapan tinggi untuk bahagian dalaman.

Banyak plastik keras pada papan pemuka dan panel pintu, tetapi terdapat elemen hitam glos dan merah dengan balutan kulit lembut di papan pemuka bahagian kiri, sedikit sebanyak menyerikan pemandangan.

Jelas kabin WR-V ini setaraf dengan City walaupun tidak serupa sepenuhnya. Jika dibandingkan, kabin HR-V lebih mempunyai rasa ‘wow’, setaraf dengan Civic. Tetapi harga pun dah jauh berbeza, bukan.

Kelengkapan Honda WR-V ini cukup banyak sebenarnya, ia mendapat kemasan kulit dengan jahitan merah, paddle-shifters, pedal sports, paparan TFT 4.2-inci di antara dua meter analog, sambungan Apple Carplay dan Android Auto, dua soket USB, dan barisan ciri keselamatan Honda Sensing.

 

Tempat duduk pula cukup selesa, penulis tiada rungutan untuk bab ini. Kabin juga terasa lapang di depan dan belakang, Honda memang sentiasa cemerlang memanfaatkan ruang yang ada.

Penawaran semua ini jelas menunjukkan Honda memahami kehendak dan trend pembali mereka masa kini. Spesifikasi semuanya memberikan cukup pilihan bagi mereka yang berkeluarga kecil dan golongan muda yang baru bekerja.

Pemanduan berorientasikan selesa, tetapi…

Honda WR-V dikuasakan oleh enjin 1.5-liter i-VTEC yang kita sudah kenali, ia menghasilkan 119hp dan 145Nm tork. Kuasa dihantar ke roda depan menggunakan transmisi CVT, pakej yang sama seperti Honda City.

Jadi, gaya pecutannya mirip model sedan dan hatchback itu, ramai yang sudah terbiasa dan memang ianya okey. Penghantaran kuasa terasa cukup responsif dan linear, CVT Honda merupakan antara yang terbaik untuk segmennya, bagi penulis.

Bezanya, Honda WR-V ini lebih tinggi dari City. Selain dari lebih mudah keluar dan masuk, anda akan dapat pandangan depan lebih jauh dan meyakinkan. Tetapi talaan suspensi adalah lebih lembut dari sedan, jadi olengan badan lebih jelas.

Bagus juga sebegini, kerana akan mengingatkan anda supaya tidak terlalu laju di selekoh. Yang penting, keselesaan lebih utama untuk WR-V ini.

Cuma satu isu kecil buat penulis, kerana didapati agak kerap penulis melawat stesen minyak. Bukan kerana enjinnya tidak jimat, mungkin kerana tangki minyak WR-V ini yang tidak begitu besar.

Kecekapan enjin elok sahaja, penulis dapat 13.5km per liter secara purata walaupun tidak terlalu mencuba. Tetapi tiada info berkenaan kapasiti tangki minyak WR-V ini yang dapat dijumpai, tidak mengapalah.

Apa pun, untuk perjalanan jauh, ciri keselamatan aktif dari Honda Sensing seperti Adaptive Cruise Control (ACC), Lane Keep Assist System (LKAS), dan Auto High beam (AHB) sangat membantu mengurangkan ‘beban’ kepada pemandu.

Honda faham pembeli Malaysia?

Untuk kita jawab semula persoalan di atas tadi, bagi penulis, dua-dua sebenarnya. Honda faham keperluan pembeli mereka masa kini, dan juga mereka tidak mahu biarkan Perodua terlalu selesa dalam segmen SUV kompak ini.

Hal ini pastinya bagus untuk pengguna. Anda ada pilihan membeli model jenama tempatan, atau tambah sedikit untuk model bukan nasional. Pilihan seperti biasa, bukan?

Jadi, ada yang masih rindukan BR-V?

Spesifikasi Honda WR-V RS

Harga: RM107,900
Enjin: 1.5-liter i-VTEC 4-silinder naturally-aspirated
Kotak gear: CVT
Kuasa: 121hp @ 6,600rpm
Tork: 145Nm @ 4,300rpm

Honda Elevate dilancar di India: SUV kompak dengan 1.5 i-VTEC, pilihan 6MT

PASARAN SUV dan crossover segmen-B di India kini begitu hangat. Baru-baru ini Hyundai Exter dilancarkan, bersaing dengan model-model lain seperti Kia Seltos, Volkswagen Taigun, dan Maruti Suzuki Grand Vitara.

Kini pemain terbaharu pula dilancarkan iaitu Honda Elevate, dan India merupakan negara pertama di dunia mendapat model itu. Honda Elevate ini mempunyai saiz mirip Perodua Ativa di negara kita.

Ia ditawarkan dengan enjin petrol buat masa ini, tetapi dikhabarkan varian EV akan menyusul dalam masa tiga tahun. Dari segi dimensi, ia berukuran 4,312mm panjang, 1,790mm lebar, dan 1,650mm tinggi dengan jarak roda 2,650mm.

Honda berkata rekaan Elevate menggunakan tema “bold and masculine” atau lantang dan maskulin. Oh ya, walaupun bersaiz kompak, kapasiti kargonya tidak mengecewakan, sekitar 458 liter.

Elevate dipacu oleh enjin 1.5-liter i-VTEC dengan 119hp dan 145Nm tork, dihantar ke roda depan. Pelanggan di India boleh memilih sama ada menggunakan kotak gear manual 6-kelajuan atau automatik CVT.

Walaupun merupakan model bajet dan kompak, spesifikasinya cukup tinggi. Ia dilengkapi bumbung suria berkuasa, pengecas telefon tanpa-wayar, skrin infotainmen 10.25-inci, dan pendingin hawa belakang.

Terdapat juga soket kuasa 12V di depan dan belakang, kamera undur, serta pelbagai ciri keselamatan terkini di bawah Honda Sensing. Tempahan Elevate akan dibuka pada Julai, dan harga juga kan diumumkan kemudian.

Berminat? Untuk pasaran Malaysia, Honda akan menawarkan model kompak WR-V dan pelancarannya tidak lama lagi. Nantikan laporan kami bila kami mendapat info lanjut.