Arkib Tag: perdana menteri

Kerajaan akan mula peralihan ke EV tahun ini

PENGGUNAAN kenderaan elektrik (EV) bagi flit kenderaan kerajaan akan bermula tahun ini, kata Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad.

Katanya, kerajaan juga akan mengambil kira implikasi kewangan peralihan itu sebelum ianya dikembangkan ke semua agensi.

“Seperti diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim tahun lepas, flit kerajaan akan mempunyai EV tahun ini.

“Walaubagaimanapun, pelaksanaannya tidak akan dibuat besar-besaran kerana melibatkan angka yang besar. Kita perlu mengambil kira faktor kewangan juga,” katanya.

Dalam ucapan Belanjawan 2024 tahun lepas, Anwar Ibrahim berkata kerajaan akan mula beralih ke EV untuk kenderaan rasmi bermula tahun ini.

Katanya, langkah itu sebahagian dari usaha kerajaan untuk mengurangkan pelepasan karbon negara ini.

PM perjelas sebab harga minyak tidak boleh diturunkan

UMUM sedia maklum bahawa Datuk Seri Anwar Ibrahim pernah berjanji untuk menurunkan harga petrol sekiranya beliau dilantik menjadi Perdana Menteri.

Kini, setelah diangkat sebagai PM ke-10 susulan keputusan PRU15, ucapan itu secara berterusan dijadikan modal politik oleh pihak pembangkang terhadapnya.

Ketika menggulung perbahasan usul Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 (KSP RMK-12) di Dewan Rakyat semalam, Anwar mengambil kesempatan untuk menjelaskan perkara itu.

Jelas beliau, harga petrol tidak boleh diturunkan kepada RM1.50 seliter susulan perkembangan membabitkan kadar semasa minyak mentah dunia.

Anwar berkata, harga semasa petrol di Malaysia masih berada pada tahap rendah, iaitu RM2.05 seliter, berbanding Arab Saudi yang menetapkan pada kadar RM2.84 seliter.

Justeru, beliau yang juga Menteri Kewangan menyifatkan, tidak wajar jika cadangan diajukan beliau ketika 2018 itu, berterusan dimanipulasi, tanpa mengambil kira perkembangan semasa.

“Masa itu (2018), berapa harga minyak di Arab Saudi, 50 sen per liter, manakala di Malaysia (RM2.21 seliter).

“Sekarang semasa saya jadi Perdana Menteri, berapa harga petrol? Minyak di Arab Saudi RM2.84 seliter, manakala di Malaysia RM2.05 seliter.

“Kita kena ambil kira ini, kenaikan atau penurunan minyak. Itu maknanya, (harga) minyak kita masih rendah.

“Justeru, tidak tepatlah jika mahu terus menggunakan komen dan hujan dibuat bersama-sama ketika kita dalam Pakatan Rakyat, sebelum ini,” katanya.

Suzuki mahu tambah pelaburan motosikal di Malaysia

SUZUKI Motor Corp berhasrat meningkatkan lagi pelaburan dalam bidang pembuatan motosikal di Malaysia selain mengeratkan kerjasama dengan rakan teknikal tempatannya, KMSB Motors Sdn Bhd.

Gambar oleh: Twitter Anwar Ibrahim

Perkara itu dinyatakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam satu ciapan di X (Twitter). Katanya, penambahan pelaburan dan peningkatan kerjasama itu dimaklumkan sendiri Presiden Suzuki Motor Corp, Toshihiro Suzuki kepada beliau dalam satu kunjungan hormat yang berlangsung petang Jumaat.

“Sayugia, keputusan pelaburan ini amat saya alukan hatta ia akan memberi manfaat kepada pelbagai pihak dalam rantaian industri pembuatan motosikal,” tulisnya di hantaran X tersebut.

Pertemuan itu turut disertai Ketua Setiausaha Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Datuk Seri Isham Ishak; Ketua Pegawai Eksekutif, Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Datuk Wira Arham Abdul Rahman, dan Pengerusi Eksekutif Kumpulan, KMSB Motors Sdn Bhd, Ahmad Faez Yahaya.

“Saya singgung bahawa Kerajaan Perpaduan mengamalkan dasar memudahkan urusan pelabur dalam dan luar negara.

“Dengan kerjasama ini, saya berharap Malaysia akan terus menjadi pilihan pelabur dari negara Jepun,” kata Anwar.

Syarikat p-hailing komited lebih telus tentukan kadar upah ‘rider’

DALAM satu pertemuan dengan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, syarikat pengendali p-hailing memberikan komitmen untuk lebih telus, meneliti dan memperhalusi lebih lanjut pandangan penghantar dalam penentuan dan pengiraan kadar upah mereka.

Pertemuan yang diadakan pada 8 Ogos itu dihadiri 24 syarikat pengendali perkhidmatan berkenaan, serta lima wakil penghantar yang hadir bagi menyatakan pandangan dan mendengar maklum balas pihak syarikat.

Turut hadir ialah Menteri Pengangkutan Anthony Loke, Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil, Menteri Sumber Manusia V. Sivakumar serta pegawai-pegawai kanan kementerian.

“Penelitian lanjut ini penting, bahawa dalam menambah baik kadar upah penghantar, kepentingan pengguna khususnya di kawasan luar bandar harus kekal diutamakan agar tidak terbeban di samping turut mengambil kira keupayaan syarikat,” katanya dalam satu kenyataan.

Gambar: Anwar Ibrahim/Twitter

Pada 22 Julai, Anwar menyatakan beliau akan memanggil semua syarikat pengendali p-hailing bagi memberikan penjelasan terhadap beberapa isu dihadapi penghantar makanan dan barang.

Ini selepas salah seorang penghantar makanan mendakwa kadar penghantaran ketika ini semakin menurun daripada RM7 ke bawah ketika program Sesi Temu Anwar sempenan Program Himpunan Rider MADANI Selangor baru-baru ini.

Menurut Anwar, setelah mendengar pandangan kedua-dua belah pihak, Kerajaan Perpaduan bersetuju untuk meningkatkan peruntukan bagi inisiatif dan latihan peningkatan kemahiran (upskilling) yang diterajui oleh Kementerian Sumber Manusia.

Tambah beliau lagi, selain menyampaikan keluhan penghantar berkait isu kadar upah penghantaran, pertemuan itu turut berkisar tentang pendapatan penghantar, jaringan keselamatan sosial serta keperluan latihan peningkatan kemahiran.

PM ucap selamat ulang tahun ke-65 untuk TUDM

PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengucapkan selamat menyambut Hari Ulang Tahun Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) ke-65.

Su-30 MKM TUDM. Gambar oleh: Kamarul Azizi

Beliau turut menzahirkan penghargaan buat semua warga TUDM atas jasa dan khidmat bakti yang diberikan kepada rakyat dan negara.

“Selamat menyambut Hari Ulang Tahun TUDM ke-65 kepada seluruh warga TUDM,” tulisnya dalam satu hantara Facebook.

“Saya hargai komitmen semua anggota TUDM dalam melindungi kedaulatan dan keselamatan negara. Jasa dan keringat kalian pastinya dihargai sekalian rakyat. Salut!”

TUDM hari ini menyambut ulang tahunnya yang ke-65 dengan tema “Kuasa Udara, Perisai Kedaulatan Negara”.

Belanjawan 2023: Kerajaan tanggung kos ujian lesen B2, teksi, bas dan e-hailing

BERITA baik untuk rakyat Malaysia dari Belanjawan 2023 hari ini, kerajaan akan menanggung sepenuhnya kos ujian memandu untuk kelas B2, lesen teksi, bas serta e-hailing.

Perkara tersebut diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan Persekutuan 2023 di Parlimen hari ini.

Gambar oleh: Metro Driving Academy

“Kerajaan juga bersetuju menanggung bayaran ujian memandu untuk lesen motosikal kelas B2 dan lesen teksi, bas dan e-panggilan,” katanya yang juga menteri kewangan.

Selain itu, beliau turut mengumumkan RM300 juta untuk menyokong perniagaan mikro oleh usahawan wanita dan belia selain peruntukan RM330 juta melalui Tekun.

“Mereka diberi modal memulakan perkhidmatan penghantaran menggunakan motosikal,” katanya lagi.

Anwar Ibrahim tolak guna Mercedes-Benz S600 dibeli JPM, guna kereta sedia ada

PERDANA Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menolak daripada menggunakan Mercedes-Benz S600 yang telah dibeli dan diperoleh Jabatan Perdana Menteri (JPM) sebelum beliau memasuki pejabat.

Dalam satu ciapan di Twitter, beliau berkata langkah itu diambil kerana tidak mahukan sebarang perbelanjaan baharu dibuat ke atas beliau.

“Saya ingin memaklumkan bahawa semalam saya telah menolak untuk menggunakan sebuah kenderaan jenis Mercedes S600 yang telah dibeli dan diperoleh Jabatan Perdana Menteri (JPM) sebelum saya memasuki pejabat.

“Langkah tersebut diambil kerana saya tidak mahukan sebarang perbelanjaan baru dibuat ke atas saya.

“Sebaliknya, saya telah membuat keputusan untuk menggunakan apa saja kenderaan sedia ada di pejabat untuk kegunaan harian,” katanya menerusi Twitter.

Anwar, yang baru sahaja dilantik sebagai Perdana Menteri ke-10 pada Khamis lalu, sebelum ini juga berkata bahawa beliau tidak akan mengambil gaji bagi jawatan tersebut.

Pasca PRU15: DS Anwar Ibrahim jadi Perdana Menteri Malaysia ke-10

PENGERUSI Pakatan Harapan (PH), Dato’ Seri Anwar Ibrahim dijangka mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-10 hari ini.

Gambar oleh: Malay Mail

Istana Negara dalam satu kenyataan berkata, “Setelah memperhalusi titah pandangan Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu, Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah telah memberi perkenan untuk melantik Yang Berhomat Dato’ Seri Anwar bin Ibrahim sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-10.”

Menurut kenyataan itu lagi, ia selaras dengan kuasa Baginda yang diperuntukkan di bawah Perkara 40(2)(a) dan Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan.

Dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada 19 November lepas, PH memenangi 82 kerusi, sementara Perikatan Nasional (PN) memenangi 73 kerusi, dan Barisan Nasional (BN) memenangi 30 kerusi.

Tol percuma pada 18 dan 19 November sempena PRU15

PERDANA Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan bahawa 30 konsesi lebuh raya telah bersetuju untuk menawarkan kadar tol percuma pada hujung minggu ini bersempena dengan Pilihanraya Umum ke-15 (PRU15).

Menurut Ismail Sabri, kadar tol percuma itu akan bermula dari 12.01 pagi 18 November (Jumaat) dan akan berakhir pada 11.59 malam 19 November (Sabtu).

Ia melibatkan semua jenis kenderaan persendirian Kelas 1 yang dianggarkan kira-kira 90 peratus daripada jumlah keseluruhan kenderaan di lebuh raya.

“Implikasi kewangan daripada inisiatif ini akan diserap sepenuhnya oleh syarikat-syarikat konsesi lebuh raya sebagai salah satu dari inisiatif Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) mereka, dengan anggaran kos tanggungan sebanyak RM34.5 juta,” katanya.

Menurut beliau lagi, tawaran pemberian tol percuma itu diputuskan setelah mengambil kira cadangan dan rundingan yang melibatkan antara Kementerian Kerja Raya dengan semua syarikat pengendali konsesi lebuh raya minggu lalu.

“Melalui inisiatif ini, kerajaan berharap agar ia dapat meringankan serba sedikit beban kewangan para pengguna khususnya warga negara untuk pulang mengundi demi melaksanakan tanggungjawab mereka sebagai pemilih dalam sistem demokrasi yang diadakan setiap lima tahun sekali,” katanya.

Kerajaan cadang bina litar drag di setiap negeri – PM

KERAJAAN bercadang untuk membina litar khusus bagi perlumbaan drag di setiap negeri bagi memperkasakan program pembangunan sukan permotoran dalam negara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata cadangan itu akan dimasukkan dalam Bajet 2023, yang akan dibentang Oktober ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob

“Setakat ini, hanya terdapat dua litar drag yang dibina iaitu di Terengganu dan Melaka,” katanya.

Menurutnya, apabila litar itu siap, ia akan memberi peluang kepada belia untuk membabitkan diri dengan lebih serius dalam sukan permotoran mengikut saluran yang betul.

Terengganu Drag Strip. Imej oleh: Facebook

“Perlumbaan drag mungkin tidak terlalu bahaya jika dibandingkan dengan perlumbaan trek kerana ia hanya memerlukan jalan yang lebih pendek dan lurus,” katanya ketika merasmikan Program RXZ Members 4.0 Tahun 2022 di Litar Permotoran Drag Strip di Gong Badak, Sabtu lepas.

Perdana Menteri juga menyeru golongan muda supaya menyertai MyFit@Motorsports 2022 iaitu program pembangunan permotoran peringkat akar umbi, membabitkan pembangunan sukan motosikal dan kereta, yang dianjurkan Kementerian Belia dan Sukan.

“Di bawah program itu, peserta berpeluang mendapat pendidikan melalui latihan, kursus dan klinik, sekali gus dapat mencungkil bakat atlet permotoran negara bagi menyertai kejohanan serta perlumbaan di peringkat negeri dan nasional,” kata Ismail.

Menurutnya, kerajaan akan sentiasa menyokong aktiviti kelab permotoran, terutama dalam menjayakan program amal bagi membantu rakyat yang ditimpa kesusahan seperti dilanda banjir, bagi mengurangkan aktiviti tidak sihat di jalanan.

“Pertubuhan berkaitan permotoran banyak melakukan aktiviti amal. Ketika banjir banyak kelab motor terbabit dengan kerja pembersihan rumah mangsa banjir.

“Mungkin boleh anjurkan (perhimpunan penunggang) setiap tahun dan kerajaan boleh beri penajaan, dapat ketengahkan minat anak-anak muda, dapat kurangkan tanggapan negatif terhadap penunggang yang dikaitkan dengan pelbagai nama seperti Mat Motor,” katanya.

Dalam pada itu, Perdana Menteri turut mengucapkan tahniah kepada semua pihak yang terbabit dalam penganjuran Program RXZ Members 4.0 Tahun 2022, yang menerima lebih 30,000 kunjungan peminat sukan permotoran di seluruh negara itu.

Pada perhimpunan itu, penganjur turut menawarkan hadiah utama cabutan bertuah iaitu sebuah motosikal Yamaha R1 1000cc bernilai RM135,000 serta dua buah Yamaha RXZ bernilai RM60,000.

1.6 juta penjawat awam kini boleh perbaharui insurans kereta secara ansuran

BEKERJA sebagai penjawat awam ada banyak faedahnya, antaranya adalah gaji yang stabil, bonus musim perayaan dan juga pencen yang terjamin.

Kini, penjawat awam bakal mendapat satu lagi manfaat iaitu mereka boleh memperbaharui insurans kenderaan dan cukai jalan secara ansuran menerusi program Pembiayaan Insurans Kenderaan Keluarga Malaysia myezycover.com.

Program yang diilhamkan oleh Kementerian Sumber Manusia, di bawah kerjasama strategik antara PERKESO, ANGKASA dan A Tech Insure Sdn Bhd ini telah dilancarkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Menurut Ismail Sabri, program itu berlandaskan konsep patuh syariah Qardhul Hasan (pinjaman tidak melibatkan faedah atau unsur riba) dan bakal memanfaatkan kira-kira 1.6 juta penjawat awam termasuk yang bertaraf kontrak.

Menerusi myezycover.com, penjawat awam boleh memperbaharui insurans kenderaan dan cukai jalan tanpa sebarang bayaran pendahuluan dan faedah. Pembayaran balik boleh dilakukan menerusi Skim Potongan Gaji ANGKASA (SPGA) sehingga 10 bulan.

Penjawat awam tetap dan bertaraf kontrak layak memohon skim pembiayaan insurans ini dengan syarat nisbah hutang tidak melebihi 60% daripada jumlah pendapatan bulanan.

“Melalui myezycover.com, penjawat awam boleh memperbaharui insurans kenderaan di hujung jari dengan mudah, jimat dan pantas. Nota perlindungan insurans diperoleh dalam masa hanya lima minit,” kata Ismail Sabri.

“Inisiatif ini tidak berorentasikan komersial semata-mata. Apa yang paling penting, ia dapat membantu merealisasi konsep Keluarga Malaysia berasaskan indeks kebahagiaan yang menjadi tanda aras komitmen dan kesungguhan kerajaan,” tambah beliau lagi.

Isu bekas PM masih terima pengiring trafik, KPN jawab warga maya

BEKAS perdana menteri layak menerima khidmat pengiring trafik dan keselamatan.

Perkara itu disahkan Ketua Polis Negara Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berdasarkan Akta Ahli Parlimen (saraan) 1980 (Akta 237) berhubung keistimewaan bekas perdana menteri.

Acryl menjelaskan, bekas perdana menteri berdepan tindakan undang-undang masih layak menerima perkhidmatan itu sehingga proses rayuan dimuktamadkan mahkamah.

“Buat masa ini, PDRM memberikan perkhidmatan berkenaan kepada kesemua bekas perdana menteri Malaysia.

“Sejak akhir-akhir ini, PDRM mengesan beberapa pihak mempertikaikan keistimewaan pengiring keselamatan dan pengiring trafik untuk bekas-bekas perdana menteri,” katanya.

Ketua Polis Negara Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani. – Foto ihsan Malay Mail

Terdahulu, Acryl berkata khidmat kedua-dua pengiring berkenaan disediakan PDRM berdasarkan kepada peruntukan di bawah Akta Ahli Parlimen (saraan) 1980.

Sebelum ini, tular di media sosial beberapa individu mempertikaikan bekas perdana menteri masih menggunakan khidmat pengiring trafik dan keselamatan walau dijatuhi hukuman oleh mahkamah.