Perodua baru-baru ini menyerahkan sembilan unit kenderaan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hulu Langat dan KLIA.
Ia terdiri daripada tujuh unit Perodua Ativa dan dua unit Perodua Aruz.
Sumbangan kenderaan tersebut juga merupakan sebahagian daripada inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) Perodua.
Penyerahan kenderaan dibuat secara berperingkat bermula April lalu, di mana tiga unit Perodua Ativa disumbangkan kepada IPD Hulu Selangor.
Baki enam unit kenderaan diserahkan dalam satu majlis yang diadakan di Kuala Kubu Bharu pada 12 Oktober 2026.
Dato’ Sri Zainal Abidin Ahmad, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua berkata, “Kami menghargai peranan polis dalam menjaga keselamatan negara serta memuju pengorbanan dan dedikasi yang ditunjukkan dalam menjalankan tanggungjawab mereka.
“Kami berharap sumbangan ini dapat membantu melancarkan usaha pihak polis untuk terus berkhidmat kepada rakyat,” ujarnya lagi.
Sejak 2019, Perodua telah menyumbang sebanyak 21 unit kenderaan kepada beberapa IPD di Selangor.
Perodua sebelum ini telah menyerahkan dua unit Bezza (pada 2019), empat unit Myvi (2022) serta enam unit kenderaan pelbagai model pada tahun 2024.
Route 77 Harley-Davidson Kuala Lumpur baru-baru ini menyerahkan tiga unit motosikal kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tujuan penilaian konsep (POC).
Tiga model yang diserahkan itu ialah:
Low Rider ST
Street Glide
Pan America
Program POC ini membolehkan pihak Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) meneliti aspek kesesuaian, prestasi, pengendalian serta praktikaliti terutama bagi tugasan pengiring dan tugas rasmi.
Bakal beraksi di LTdL 2026
Acara Le Tour de Langkawi (LTdL) 2026 akan menjadi medan terbaik untuk anggota JSPT merasai sendiri karakter setiap platform dalam persekitaran operasi sebenar.
Penggunakan sepanjang LTdL 2026 merupakan sebahagian daripada proses penilaian POC dan tidak bermaksud ia akan digunakan secara kekal oleh PDRM.
Menurut Pengarah JSPT, hasil daripada POC ini akan membantu pihaknya untuk membuat penilaian objektif berdasarkan keperluan operasi semasa.
“Dengan LTdL berlangsung sepanjang tempoh penilaian, ia menyediakan persekitaran dunia sebenar untuk anggota kami menilai motosikal ini dalam keadaan tunggangan dan operasi sebenar.
Inisiatif ini turut mencerminkan kerjasama antara sektor swasta dan PDRM dalam menilai platform serta teknologi motosikal yang berpotensi menyokong keperluan operasi trafik dan tugas pengiring yang semakin berkembang.
Pada 10 September yang lalu, Pro-Net menyerahkan tiga unit kenderaan Proton e.MAS kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Tiga kenderaan tersebut terdiri daripada Proton e.MAS 5 Premium, Proton e.MAS 7 Premium dan Proton e.MAS 7 PHEV Premium Plus.
Nilai keupayaan dalam dunia sebenar
PDRM akan menggunakan ketiga-tiga kenderaan tersebut untuk menilai kebolehgunaan, praktikaliti serta keperluan pengecasan dalam situasi sebenar.
Ia sekali gus memberikan gambaran yang lebih jelas mengenai kesesuaian kenderaan elektrik dengan keperluan operasinya.
Sepanjang tempoh penilaian, pihak Gentari turut menyediakan perkhidmatan pengecasan secara percuma.
Dato’ Ir. Abdul Rashid bin Musa, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Proton berkata, “Penilaian bersama PDRM ini merupakan peluang yang baik untuk kami melihat sendiri bagaimana kenderaan e.MAS dapat digunakan dalam situasi sebenar, dan memberikan pengalaman yang lebih menyeluruh berbanding pandu uji biasa.
“Dengan tiga model iaitu e.MAS 5, e.MAS 7 dan e.MAS 7 PHEV, PDRM dapat merasai perbezaan antara setiap pilihan sistem pacuan elektrik serta menilai prestasi dan kesesuaiannya mengikut keperluan operasi mereka.”
Penilaian ini juga bertujuan membantu PDRM memahami kesesuaian teknologi EV dan PHEV dengan keperluan penggunaan kenderaannya.
Ini kerana kenderaan e.MAS berpotensi untuk menyokong tugas operasi harian PDRM termasuklah rondaan pencegahan jenayah, tertakluk kepada hasil penilaian dan pertimbangan kerajaan pada masa depan.
Edaran Tan Chong Motor (ETCM) menyerahkan dua unit Nissan Kicks e-Power kepada pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tujuan penilaian.
Kedua-dua unit Nissan Kicks e-Power itu akan menjalani program pembuktian konsep selama dua bulan bagi menilai prestasi, praktikaliti dan kesesuaian dalam dalam operasi rondaan sebenar.
Nilai kesesuaian dalam operasi sebenar
Komisioner Polis Redzuan Bin Abd Hamid, Pengarah Jabatan Logistik dan Teknologi Ibu Pejabat PDRM Bukit Aman berkata, “Adalah penting setiap teknologi baharu dinilai dalam persekitaran operasi sebenar.
“Program Proof of Concept ini membolehkan kami menilai prestasi, praktikaliti serta kesesuaian Nissan Kicks e-Power untuk kegunaan operasi barisan hadapan.
“Hasil penilaian ini akan menyokong usaha berterusan kami dalam mengenal pasti penyelesaian mobiliti yang sesuai bagi memenuhi keperluan operasi,” ujarnya.
Christopher Tan, Naib Presiden Eksekutif ETCM percaya inovasi terbaik ialah inovasi yang memenuhi keperluan dunia sebenar.
“Kicks e-Power menawarkan pengalaman pemanduan seperti EV tanpa memerlukan pengecasan serta menghapuskan kebimbangan jarak.
“Melalui program penilaian ini, kami berharap dapat melihat bagaimana SUV ini mampu menyokong pelbagai aplikasi armada, termasuk bagi kegunaan perkhidmatan barisan hadapan,” jelasnya lagi.
Spesifikasi Kicks e-Power
Nissan Kicks e-Power dipacu oleh sistem e-Power, terdiri daripada:
enjin 3-silinder 1.2 liter HR12DE berkuasa 82 PS/103 Nm
motor elektrik 129 PS/280 Nm
pek bateri 2.06 kWh
Enjin tersebut hanya bertindak sebagai unit penjana membekalkan kuasa kepada bateri dan tiada sebarang sambungan mekanikal kepada roda.
Hong Leong Yamaha Motor (HLYM) menyerahkan 200 unit Tracer 9 GT kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Ia menandakan penyerahan terbesar yang dibuat oleh HLYM kepada PDRM setakat ini.
Jentera ini dipilih atas faktor keselesaan tunggangan, prestasi tinggi, teknologi canggih, ketahanan dan kebolehpercayaan.
Selain daripada itu, PDRM juga yakin akan reputasi Yamaha dalan aspek kualiti dan kebolehpercayaan, disokong rangkaian selepas jualan Yamaha Quality Service (YQS) yang meluas di seluruh negara.
Yamaha Tracer 9 GT ini akan digunakan dalam tugasan iringan peringkat tinggi dan rondaan khas.
Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya semalam (11 Jun) mengadakan Op Motosikal di KM 28.4 Lebuhraya Persekutuan menghala ke Kuala Lumpur.
Ia bertujuan untuk mengurangkan kadar kemalangan jalan raya melibatkan penunggang motosikal di laluan tersebut.
Operasi tersebut turut menyaksikan penggunaan dron untuk mengesan pesalah menerusi kerjasama dengan Pasukan Gerakan Udara (PGU) Bukit Aman.
Difahamkan, sebanyak 47 saman telah dikeluarkan terhadap pelbagai kesalahan mengikut Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan LN167/59.
Sumber: Bernama
Selain itu, sebanyak 16 saman dikeluarkan atas kesalahan yang dirakam oleh Unit Dron.
Antara kesalahan termasuklah aksesori kenderaan yang tidak sempurna, tiada lesen memandu, tidak memakai topi keledar, mengabaikan isyarat lalu lintas, LKM tamat tempoh, penggunaan alat komunikasi semasa memandu, tidak memakai tali pinggang keledar, tiada lampu brek/brek ketiga serta halangan lalulintas.
Menerusi hantaran di laman Facebook, Polis Petaling Jaya memaklumkan pelaksanaan Op Motosikal mendapat respons positif daripada masyarakat setempat dan akan diteruskan pada masa akan datang.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Shahrulnizam Ja’afar berkata kepada laman Bernama, saman akan tetap dikirimkan kepada pesalah di bawah POL 170A untuk tindakan lanjut walaupun mereka tidak ditahan di lokasi operasi.
Sebanyak 17 laluan akan ditutup sementara bersempena dengan lawatan Presiden China Xi Jinping pada 15 hingga 17 April ini.
Menurut kenyataan rasmi yang dikeluarkan oleh pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM), penutupan penuh atau lencongan jalan akan dibuat dalam tempoh 30 hingga 45 minit.
Laluan tersebut akan dibuka semula selepas delegasi selesai melalui jalan tersebut.
Berikut merupakan senarai jalan/laluan yang terbabit:
15 April 2025 (Selasa) jam 6.00 petang
-Lebuh KLIA/Lebuhraya ELITE/Lingkaran Putrajaya/Lebuhraya Putrajaya-Dengkil/Persiaran Selatan/Lebuh Gemilang/Jalan P5
16 April 2025 (Rabu) jam 9.30 pagi
-Jalan P5/Lebuh Gemilang/Persiaran Selatan/Lebuhraya Putrajaya-Dengkil/Lingkaran Putrajaya/Lebuhraya MEX/Lebuhraya KESAS/Lebuhraya SPE/Lebuhraya SUKE/Lebuhraya NPE/Smart Tunnel/Lebuhraya KL-Seremban/Jalan Istana/Jalan Damansara/Jalan Sultan Abdul Halim/Jalan Sultan Iskandar
16 April 2025 (Rabu) jam 12.30 tengah hari
-Jalan Sultan Abdul Halim/Jalan Sultan Iskandar/Jalan Damansara/Jalan Istana/Lebuhraya KL-Seremban/Lebuhraya NPE/Lebuhraya SUKE/Lebuhraya SPE/Lebuhraya KESAS/Lebuhraya MEX/Lingkaran Putrajaya/Lebuhraya Putrajaya-Dengkil/Persiaran Selatan/Lebuh Gemilang/Jalan P5
16 April 2025 (Rabu) jam 4.10 petang
-Jalan P5/Lebuh Gemilang/Jalan Tunku Abdul Rahman/Lebuh Sentosa/Lebuh Perdana Barat/Persiaran Seri Perdana
16 April 2025 (Rabu) jam 6.30 petang
-Persiaran Seri Perdana/Lebuh Perdana Barat/Lebuh Sentosa/Jalan Tunku Abdul Rahman/Lebuh Gemilang/Jalan P5
17 April 2025 (Khamis) jam 8.50 pagi
-Jalan P5/Lebuh Gemilang, Persiaran Selatan/Lebuhraya Putrajaya-Dengkil/Lingkaran Putrajaya/Lebuhraya ELITE/Lebuh KLIA
Pihak PDRM turut menyeru kepada semua pengguna jalan raya untuk tidak menggunakan laluan yang terlibat sepanjang penutupan penuh yang dilaksanakan.
KENYATAAN MEDIA PENGARAH JABATAN SIASATAN DAN PENGUATKUASAAN TRAFIK (JSPT)
PENUTUPAN PENUH / LENCONGAN JALAN SEMPENA LAWATAN TUAN YANG TERUTAMA XI JINPING, PRESIDEN REPUBLIK RAKYAT CHINA KE MALAYSIA PADA 15 HINGGA 17 APRIL 2025 pic.twitter.com/rJ5TrFQQNC
Bersempena dengan musim perayaan Hari Raya Aidilfitri 2025 yang bakal tiba, Petron Malaysia bekerjasama dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) melancarkan Program Keselamatan Jalan Raya di Petron MRR2, Selayang.
Objektif program ini adalah untuk meningkatkan tahap kesedaran pengguna jalan raya tentang kepentingan amalan pemanduan yang selamat.
Menurut Shaliza Mohd Sidek selaku Ketua Perniagaan Runcit Petron Malaysia berkata, “Isu keselamatan memang merupakan agenda penting di Petron. Kami telah mengadakan program khusus di sekolah dan universiti terpilih, terutamanya di kawasan yang mempunyai kadar kemalangan dan kematian jalan raya yang tinggi untuk memupuk sikap lebih prihatin dan bertanggungjawab di kalangan pemandu dan penunggang baharu.”
“Dalam masa yang sama, kami juga menjalin kerjasama strategik dengan PDRM dalam Program Go-To-Safety-Point (GTSP) yang telah menjadikan stesen-stesen Petron sebagai titik selamat untuk semua pelanggan dan komuniti setempat semasa kecemasan.
“Kami berharap program hari ini menjadi peringatan kepada semua agar sentiasa berwaspada dan memandu dengan penuh tanggungjawab, terutamanya menjelang Hari Raya,” ujarnya lagi.
Petron juga bekerjasama dengan rakan strategik seperti Carro dan Rider Gate untuk menawarkan pemeriksaan kereta dan motosikal secara percuma.
Gramp’s Asia pula menawarkan sampel semburan kereta botani berbau segar dalam usaha untuk meningkatkan kesedaran terhadap tidur mikro, sementara IGL Coatings pula menyediakan produk untuk cermin depan kereta bagi meningkatkan keterlihatan dan mengurangkan keletihan mata.
Pelanggan juga boleh mendapatkan sampel produk kopi dan roselle daripada NesQ.
Stesen minyak Petron telah dijadikan sebagai pusat bantuan komuniti menerusi program GTSP sejak 2013 lagi, dan pada tahun 2024 sebanyak 54 pengusaha stesen Petron telah diiktiraf oleh PDRM atas sumbangan cemerlang mereka.
Siapa sangka, crossover sedan yang nampak garang ini sudah pun menjadi sebahagian daripada armada kereta peronda (MPV) pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Namun, usah bergembira terlalu awal, kerana dua unit Peugeot 408 yang diserahkan oleh Peugeot Malaysia ini merupakan unit yang dipinjamkan kepada PDRM untuk tujuan penilaian dalam dunia sebenar.
Berdasarkan gambar yang dibekalkan, unit yang dipinjamkan itu merupakan varian Allure.
Untuk pasaran Malaysia, Peugeot 408 memiliki tanda harga bermula dari RM146,055, dan dikuasakan oleh enjin Puretech 1.6 liter turbo menghasilkan 218 PS dan 300 Nm.
Buat masa ini, pihak PDRM mempunyai armada kereta peronda yang terdiri daripada sedan segmen C Honda Civic generasi FC dan juga FE.
Polis Bentong berkata ia telah membuka kertas siasatan berhubung video tular yang memaparkan sekumpulan individu yang memandu secara berbahaya di Jalan Genting Highlands.
Menurut Ketua Polis Daerah Bentong Superintendan Zaiham Mohd Kahar, pihaknya terkesan rakaman video berkenaan yang dikongsi orang awam melalui mesej peribadi di Facebook Polis Bentong.
“Hasil siasatan, klip video berkenaan dimuat naik di laman sosial.
“Terdapat beberapa rakaman memaparkan aktiviti dipercayai dilakukan sekumpulan pemilik kenderaan yang memandu secara berbahaya di selekoh Jalan Genting Highlands sehingga menimbulkan kegusaran dan kebimbangan masyarakat,” katanya dalam kenyataan.
Berikutan itu, Zaiham berkata, polis membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 iaitu memandu secara melulu dan merbahaya kepada orang awam.
Beliau meminta orang ramai yang melihat kejadian dan mempunyai maklumat untuk tampil membantu siasatan polis.
Katanya, polis akan mengambil tindakan tegas dan menjalankan operasi bersepadu sekitar lokasi berkenaan khusus pada hujung minggu dan cuti umum yang dipercayai menjadi tumpuan pemilik kenderaan melakukan aktiviti mengganggu ketenteraman pengguna lain.
Mungkin masih ramai yang tidak tahu, memandu secara perlahan di lorong tengah atau lorong kanan merupakan satu tindakan yang menyusahkan ramai pengguna jalan raya lain.
Sikap pemanduan yang dikenali sebagai lane hogging ini juga sebenarnya mampu meningkatkan risiko kemalangan.
Menurut laporan BuletinTV3 yang memetik kata-kata Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri, sikap lane hogging ini adalah tidak bertanggungjawab dan boleh dikenakan tindakan tegas.
“Jika pemandu ingin mengurangkan kelajuan, mereka hendaklah beralih ke lorong kiri untuk memberi laluan kepada pemandu lain agar perjalanan dapat diteruskan dengan lancar,” katanya.
KENAL PASTI FUNGSI LORONG DI LEBUHRAYA PLUS
Elak menjadi Lane Hogger, Galakkan Aliran Trafik yang Lancar!
Ketika musim perayaan terutamanya, akan berlaku lonjakan trafik di mana semua kereta beratur untuk menuju ke destinasi tertentu mengikut aturan dan pic.twitter.com/2HD7yPjuPG
Tambahnya, tindakan saman dan kompaun antara RM300 hingga RM2,000 boleh dikenakan kepada pemandu yang didapati bersalah.
Perkara ini turut disokong oleh kajian yang dibuat oleh Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) di mana lane hogging sering berpunca daripada kurangnya disiplin pemanduan serta kesedaran pengguna terhadap fungsi setiap lorong yang wujud.
Menurut Pegawai Penyelidik Kanan MIROS, Norfaizah Mohamad Khaidir berkata, ramai pemandu beranggapan mereka berhak menggunakan lorong laju selagi mereka tidak memandu melebihi had laju.
“Jika ditanya, rakyat Malaysia tahu bahawa memandu melebihi had laju adalah salah, tetapi ramai tidak sedar bahawa memandu perlahan di lorong laju juga satu kesalahan,” katanya.
Sebanyak 104,234 saman atas pelbagai kesalahan telah dikeluarkan sepanjang Op Selamat 23/2025 yang diadakan selama lima hari sempena sambutan Tahun Baharu Cina.
Menurut Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT), Datuk Sri Mohd Yusri Hassan Basri, jumlah itu menunjukkan pengurangan sebanyak 43% atau (78,798 saman) berbanding 183,033 saman yang direkodkan sepanjang Op Selamat 21/2024.
Katanya, terdapat enam kesalahan utama bagi Op Selamat 23/2025 ialah memandu melebihi had laju, memandu di lorong kecemasan, memotong kenderaan di garisan berkembar dan memotong barisan, melanggar lampu isyarat dan memandu menggunakan alat komunikasi atau telefon bimbit.
“Saman memandu melebihi had laju mendahului enam kesalahan utama bagi Op Selamat 23/2025 sehingga semalam yang membabitkan jumlah saman paling tinggi sebanyak 44,940 saman.
“Ini diikuti dengan saman bagi kesalahan melanggar lampu isyarat sebanyak 2034 saman, memandu menggunakan alat komunikasi (869), memandu di lorong kecemasan (602), memotong barisan (573) diikuti memotong garisan berkembar (321),”katanya.
Tambah Mohd Yusri lagi, Op Selamat 23/2025 yang dilancarkan pada 28 Januari yang lalu akan berakhir pada hari ini (2 Februari) bertujuan untuk meminimumkan kes kemalangan jalan raya dan memastikan kelancaran aliran trafik serta mencegah jenayah pecah rumah ketika musim perayaan.
Katanya, pelaksanaan Op Selamat 23 adalah di bawah JSPT di seluruh negara dan turut berkolaborasi dengan Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) untuk menyelaraskan operasi terbabit dengan tema ‘Rumah Selamat dan Selamat Sampai Ke Destinasi’.
“Untuk Op Selamat kali ini, pihak JSPT telah menugaskan 3609 pegawai dan anggota untuk memastikan penugasan Op Selamat berjalan dengan lancar dan mencapai objektif,” katanya.
Kegiatan penyeludupan motosikal jenis Yamaha RX-Z berjaya ditumpaskan oleh Polis Terengganu susulan penahanan seorang lelaki di Kampung Padang Luas, Jertih, di Besut pada Sabtu.
Menurut Ketua Polis Terengganu, Datuk Mohd Khairi Khairudin, kegiatan penyeludupan itu terbongkar hasil pemeriksaan ke atas sebuah rumah yang dijadikan bengkel kenderaan di kampung berkenaan.
Menurutnya, rampasan terbesar itu dijalankan oleh Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Terengganu susulan laporan polis dibuat sebelum ini.
“Hasil pemeriksaan ke atas bengkel yang turut disaksikan oleh suspek menemukan 11 buah motosikal jenis Yamaha RX-Z, empat casis dan enam komponen enjin motosikal jenis tidak pasti.
“Kita percaya kesemua barangan tersebut dibawa masuk dari Thailand tanpa dokumen sah,” katanya.
Beliau berkata, suspek berusia 41 tahun berasal dari Jertih yang mengaku sebagai pemilik rumah itu telah ditahan pada hari sama.
“Suspek didapati mempunyai tiga rekod jenayah di bawah Seksyen 365 Kanun Keseksaan, Seksyen 29 (1) Akta Kesalahan Kecil dan Seksyen 61 (1) LLPK (Langkah-Langkah Pencegahan Khas).
“Hasil siasatan mendapati suspek mengaku terlibat dalam kes yang disiasat manakala ujian saringan air kencing dijalankan ke atasnya adalah negatif,” ujarnya.
POLIS Diraja Malaysia (PDRM) merekodkan penurunan 1.41 peratus kes kemalangan jalan raya di seluruh negara sepanjang tempoh Op Selamat 22 sempena sambutan Aidilfitri bermula 8 hingga 13 April lalu.
Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain berkata jumlah kes kemalangan menurun sebanyak 8,862 kes berbanding 8,989 kes pada tahun lepas.
“Kes kemalangan maut juga menurun 10 peratus dengan 105 kes berbanding 117 kes pada tahun lepas, manakala jumlah kematian turut mencatatkan pengurangan enam peratus dengan 119 kematian berbanding 126 kematian pada tahun sebelumnya,” katanya.
Razarudin berkata penunggang dan pembonceng motosikal masih mencatatkan kematian tertinggi dengan 79 kematian berbanding 80 kematian yang direkodkan pada tahun lepas.
“Berdasarkan kajian, kemalangan yang berlaku berpunca daripada kegagalan mengawal kenderaan sehingga terbabas akibat keletihan dan mengantuk serta tidak menjaga jarak pemanduan selamat antara kenderaan.
“Saya percaya bahawa penurunan kes kemalangan adalah impak positif hasil daripada kesedaran masyarakat terhadap kepentingan keselamatan jalan raya serta amalan pemanduan yang berhemah,” katanya.
Selain itu, Razarudin berkata JSPT merekodkan peningkatan jumlah saman pada Op Selamat 22 apabila sebanyak 114,467 saman dikeluarkan berbanding 29,216 saman pada Op Selamat yang lepas iaitu meningkat kepada 85,251 saman.
Katanya statistik kes jenayah pecah rumah pada Op Selamat kali ini mencatatkan 189 kes berbanding 272 kes pada tahun lepas.
Anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang berkhidmat di Terminal 1, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) akan mengguna pakai skuter elektrik (e-scooter) tidak lama lagi.
Menurut Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan, penggunaan ‘e-scooter’ berkenaan akan membantu polis melakukan rondaan dengan lebih efisien.
“Dengan ‘e-scooter’, kami boleh memberi respon dengan lebih cepat selain lebih banyak tempat dapat di awasi, jelasnya.
Difahamkan, penggunaan ‘e-scooter’ tersebut telah pun dirancang awal tahun ini dengan kerajaan Selangor bersetuju untuk membuat pembelian.
Dalam pada itu, Datuk Hussein Omar Khan turut menjelaskan bahawa kawalan di Terminal 1 akan diperketatkan susulan daripada insiden tembak yang berlaku baru-baru ini.
“Kami akan perketatkan tahap kawalan dan sekuriti.
“Laluan bahagian dalam yang dekat dengan pintu Ketibaan dan Pelepasan juga akan ditutup kepada orang ramai kerana sangat berisiko,” tambahnya.
Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pulau Pinang telah mengeluarkan 197 saman terhadap penunggang motosikal atas pelbagai kesalahan menerusi operasi khas Op Rempit yang dilaksanakan di Plaza Tol Sungai Dua dan Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) pada Ahad.
Menurut JPJ Pulau Pinang, operasi khas itu telah dijalankan dengan kerjasama Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman dan Jabatan Alam Sekitar (JAS).
Operasi yang bertujuan mencegah kegiatan lumba haram dan modifikasi haram itu turut menyaksikan sebanyak 11 motosikal telah disita.
“JPJ Pulau Pinang mengeluarkan 197 notis saman dan menyita 11 motosikal. JSPT Bukit Aman mengeluarkan 34 saman dan lima kompaun manakala JAS pula 18 notis uji semula,” maklum JPJ Pulau Pinang berdasarkan hantaran di akaun rasmi di Facebook.
Antara kesalahan dikesan termasuk penggunaan tayar sotong, ketiadaan brek belakang, tidak mempamer nombor plat dan mengubah suai ekzos.
Dalam pada itu, kesalahan lain yang turut dikenal pasti termasuk menunggang tanpa lesen serta lesen kenderaan motor tamat tempoh.
Bersempena dengan sambutan perayaan Hari Raya Aidilfitri yang bakal menjelang, Petron Malaysia baru-baru ini melancarkan kempen keselamatan jalan raya bertempat di Stesen Minyak Petron MRR2 Safari.
Kempen terbaharu ini turut mendapat sokongan daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), serta rakan kerjasama seperti Applecrumby®, NESQ, Farm Fresh, dan snskidz.
Petron Malaysia juga melancarkan kempen yang sama di dua buah stesen minyak Petron, iaitu di Petron Bukit Lanjan Arah Utara dan Petron Sungai Besi Tol Arah Selatan.
Difahamkan sebanyak lebih daripada 100 pek 1 liter minyak hitam motosikal Petron turut diagihkan kepada pelanggan Petron P-Miles di ketiga-tiga stesen minyak.
Menurut Ketua Perniagaan Runcit Petron Malaysia, Shaliza Mohd Sidek berkata, “Petron Malaysia amat mengambil berat tentang keselamatan jalan raya. Sepanjang sedekad yang lalu, kami telah bekerjasama dengan pihak PDRM dan JPJ sebagai rakan strategik untuk mempromosikan program keselamatan.
“Pada hari ini, kami amat berbesar hati untuk memperluaskan advokasi ini kepada orang ramai melalui stesen minyak kami. Kami berharap dengan menekankan langkah-langkah keselamatan yang penting yang sering diabaikan, seperti mengambil rehat yang mencukupi semasa memandu jauh, dapat mengelakkan lebih banyak kemalangan jalan raya.”
Dalam majlis yang sama, pihak JPJ turut menyumbang topi keledar motosikal kepada kanak-kanak terpilih dari kawasan kejiranan untuk menekankan kepentingan penggunaan topi keledar bagi penunggang motosikal.
Selain menyumbang kerusi keselamatan kanak-kanak, snskids dengan kerjasama Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) juga menjalankan program pemeriksaan kerusi keselamatan kanak-kanak secara percuma.
Sementara itu, jenama NESQ memberikan sampel Kopi Kelasik secara percuma kepada 20 pelanggan terawal menggunakan pemegang cawan kertas mesra alam Go-To-Safety Point (GSTP) Petron.
Farm Fresh pula tidak ketinggalan menyumbangkan produk susu popular mereka, iaitu Yarra by Farm Fresh, serta uncang 30 g serbuk Farm Fresh Grow untuk memudahkan urusan balik kampung bagi keluarga yang mempunyai anak kecil.
Jenama Applecrumby® pula menyediakan sampel pek lampin PureBasics untuk 500 pelanggan terawal di ketiga-tiga stesen minyak, menyediakan reruai aiskrim dan belon secara percuma, serta menawarkan Gift With Purchase (GWP) berupa patung ‘Unicorn’ secara percuma untuk setiap pembelian produk sebanyak RM150 dalam satu resit.
Tawaran tersebut terhad untuk 50 orang pelanggan terawal di mana penebusan fizikal boleh dibuat di Petron MRR2 Safari sahaja.
DALAM usahanya untuk menangani kesesakan lalu lintas sepanjang Ramadan, Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerusi Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) mengerakkan 200 pegawai dan anggota di 142 lokasi hotspot di sekitar ibu negara.
Menurut Pengarah JSPT Bukit Aman Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri, kehadiran pegawai dan anggota JSPT adalah bagi memberi pertolongan dan kerjasama kepada orang ramai selain melancarkan aliran trafik pada waktu puncak.
“Saya mengambil kesempatan ini bagi menasihati orang ramai supaya mengawal emosi, bersabar dan jangan ambil tindakan melulu sekiranya berada dalam kesesakan jalan raya.
“JSPT akan memberikan perkhidmatan terbaik kepada orang ramai termasuk melancarkan Op Selamat sempena Hari Raya Aidilfitri nanti.
“Ia bagi memudahkan pergerakan balik kampung dengan kerjasama Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) supaya premis atau kediaman yang ditinggalkan dalam keadaan selamat,” katanya.
Selain itu, orang ramai turut diingatkan supaya tidak membuat halangan trafik dengan meletakkan kenderaan di bahu jalan.
Dalam perkembangan berasingan, beliau berkata, dianggarkan 1.2 juta kenderaan setiap hari masuk ke ibu negara dan kira-kira 800,000 pada hari minggu sepanjang Ramadan.
“Sepanjang bulan Ramadan, JSPT menjangkakan kesesakan kerana ramai pengguna jalan raya mengambil kesempatan pulang awal ke rumah dengan pelepasan diberi majikan,” katanya.
Tindakan seorang lelaki memandu secara berbahaya dengan melakukan aksi drift mengundang padah apabila kereta jenis Toyota GR Supra dipandunya merempuh kenderaan lain.
Malah, aksi lelaki berusia lingkungan 20-an itu tular di media sosial baru-baru ini dengan kejadian berlaku di Jalan Desa Botani 1, Taman Botani, Batu Pahat pada 21 Februari.
Pemangku Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Superintendan Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani, berkata susulan itu polis menjalankan siasatan sebelum berjaya menahan lelaki itu pada jam 1.15 tengahari.
Shahrulanuar berkata, penahan itu dibuat susulan aksi dilakukan suspek yang bekerja kilang, mula tular di Facebook jam 12 tengahari tadi.
“Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) daerah Batu Pahat mengesan paparan video tular di Facebook menunjukkan rakaman kereta dipandu secara berbahaya sambil melakukan drift.
“Tindakan suspek menyebabkan keretanya dipandu merempuh pacuan empat roda yang diparkir di tempat kejadian.
“Bertindak atas maklumat serta hasil risikan lanjut, polis berjaya mengenal pasti pemandu dan kenderaan yang terbabit.
“Suspek ditahan dan saringan air kencing ke atas suspek mendapati dia negatif dadah. Pada masa sama, kereta terbabit turut disita untuk tindakan lanjut,” katanya.
Katanya lagi, polis membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan berbahaya.
Suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Batu Pahat esok untuk perintah reman.
SEORANG lelaki yang merupakan pekerja p-hailing ditahan polis selepas didapati membakar kereta polis bantuan di Stesen Transit Aliran Massa (MRT) Mutiara Damansara di Petaling Jaya, awal pagi ini.
Menurut Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Mohd Fakhrudin Abdul Hamid, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu jam 1.52 pagi tadi.
“Susulan laporan itu, polis menahan lelaki berusia 26 tahun yang dipercayai terbabit dalam kes berkenaan di rumahnya di Flora Damansara, di sini, kira-kira jam 12 tengah hari tadi.
“Suspek disyaki menggunakan bom petrol yang dibaling ke arah kenderaan itu sebelum terbakar,” katanya kepada Harian Metro, hari ini
Mohd Fakhrudin berkata, polis turut merampas beberapa barangan dipercayai digunakan suspek dalam kes berkenaan.
Siasatan awal dilakukan mendapati suspek juga ada melakukan vandalisme dengan menconteng dinding hentian bas.
“Motif kejadian masih dalam siasatan dan ia disiasat mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan kerana perbuatan khianat,” katanya.
Terdahulu, Harian Metro melaporkan seorang lelaki dikesan memuat naik video mendakwa bertindak membakar sebuah kenderaan polis bantuan di laman sosial TikTok.
Lelaki terbabit memuat naik rakaman video berdurasi lima saat yang memaparkan dia bersama kenderaan sedang terbakar.
Lelaki itu turut membuat hantaran ‘berpuas hati dapat membakar kereta polis #polistakdekeje’.